0

Sunday, July 20, 2014

Siapa Calon Suami atau Isteri Menurut Islam ?

"Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.

Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.

(Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan kehendakNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil peringatan (daripadanya)."





Kehidupan yang kita lalui didunia ini hanya sementara. Kecantikan dunia tidak kekal. Kemegahan yang diraih tidak abadi.

Disuatu detik, kematian akan datang juga. Setiap yang bernyawa akan mati. Setiap kita akan pergi dari dunia ini. Tidak terdaya dihindari. Tidak terkuasa untuk lari. Kematian akan membawa kita ke suatu alam yang kekal abadi.

Tinggallah segala kecantikan, segala kemegahan, segala kemewahan sebagai suatu episod dunia, tidak dibawa bersama. Episod dunia yang akan diperhitungkan, yang nantinya membentuk siapa kita  di SANA...

Amal yang baik, yang solleh, yang diredzai Allah dan RasulNya, akan mewarnai wajah dan keunggulan kita di SANA. Sebaliknya, amal yang jelek, yang dimurkai, yang tidak terampun oleh Allah, entah bagaimana rupa dan nasib malang akan menimpa kita di SANA??? Nasib malang yang kita tempah sejak kehidupan didunia !!!!

Suatu perkara asas dalam episod kehidupan didunia ialah menentukan pasangan hidup: samada sebagai suami atau isteri.

Ada orang memilih pasangan kerana kecantikan, kekacakan, kebangsaan, tanpa memperdulikan agama. Ada pula kerana kekayaan, kerana keturunan dan nasab yang hebat, kerana mengejar kehidupan "glamour." Harta kekayaan, pangkat darjat, kemegahan, kekacakan kecantikan, kemiskinan kedaifan, kejelekan rupa, sentiasanya mencabar pemilihan siapa pasangan hidup kita? Hanya keimanan yang tebal teguh, pasrah, redha, dan berkehendak kepada Allah yang dapat membantu menentukan sesuatu pilihan yang membahagiakan kehidupan di akhirat kelak. Rasulullah menyuruh memilih pasangan kerana agama. Kerana amal agama yang akan membina kehidupan abadi diSANA; bukan kecantikan, kekacakan, darjat, kekayaan, nasab atau keturunan. Firman Allah: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa."

Calon Isteri

Bagi lelaki, Nabi SAW bersabda (yang bermaksud): “Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara; harta kekayaannya, kedudukannya, kecantikannya dan agamanya. Hendaklah memilih yang taat beragama, nescaya engkau akan beruntung.” (HR Bukhari dan Muslim). Isteri yang taat pada agama akan memupuk kesejahteraan rumahtangga, terbendung dari masalah kederhakaan pada suami, engkar pada Allah dan Rasul. Dan dari penceraian.

Calon Suami

Bagi wanita, Aisyah Ra berkata (yang bermaksud): "Pernikahan hakikatnya adalah penghambaan, maka hendaknya dia melihat dimanakah kehormatannya akan diletakkan."

Kerana suami dipertanggungjawab sepenuhnya untuk mendidik, memimpin isteri dan zuriat-zuriat seisi keluarga diatas landasan kehidupan beragama untuk meniti jalan ke SANA.

Nabi SAW bersabda, maksudnya: "Takutlah kepada Allah di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanat (titipan) yang berada di sampingmu; barang siapa tidak memerintahkan solat kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan RasuNya."

Firman Allah, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6)

Suami yang beragama, berkemungkinan besar dapat memimpin isteri, melahirkan zuriat yang soleh-solehah, serta membina kehidupan yang baik lagi abadi di akhirat kelak. Sebaliknya, jika gagal mendidik dan memimpin keluarga, anak-anak, isteri dan dirinya sendiri akan terjerumus ke lembah neraka.

Justru, jika wanita tersilap memilih, maka boleh membawa padah pada kehidupan di akhirat nanti.

                       "Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.
Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.
(Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya)."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...