Showing posts with label ZAT GIZI BESI. Show all posts
Showing posts with label ZAT GIZI BESI. Show all posts
0

Friday, August 1, 2014

Ada Apa Pada Kacang Kelisa/Botol/Botor/Jaat

Kacang Kelisa Muda
Ulam/Lalap Kacang Kelisa
Kerabu Kacang Kelisa
Ubi Pohon Kacang Kelisa
Biji-Bijian Kacang Kelisa
Pohon-Pohon Kacang Kelisa
Kacang Kelisa/Botol/Botor/Jaat kurang dipedulikan. Sebenarnya ia hebat, berkhasiat, sarat zat: *Kalsium *Besi *Magnesium *Manganese *Fosforus *Zinc *Thiamin (B1) *Riboflavin (B2)

Kacang Kelisa


Kacang ini, didaerah utara semenanjung Malaysia, lebih mengenalinya sebagai Kacang Kelisa. Ia juga rata-rata dikenali sebagai Kacang Botol.

Nama botani Kacang Kelisa @ Kacang Botol ialah Psophocarpus tetragonolobus, dari kerabat Psophocarpus, yang terdiri dari 6-9 jenis spesis, masing-masing memiliki sedikit berbeza. 

Indonesia mengenalinya dengan berbagai nama; kacang botor, kacang belimbing, kacang embing, jaat (Sunda), cipir, cicipir, kěcipir (Jawa), kacang sirek atau kalkang, kelongkang, biraro dan banyak lagi. Inggeris menyebutnya winged bean, winged pea, four-angled bean (merujuk pada 4 cuping buahnya), manila bean, mauritius bean, goa bean dan asparagus pea.

Kacang kelisa ialah tumbuhan kekacang tropika yang dipercayai berasal dari Papua New Guinea. Pokok ini tumbuh dengan subur dalam iklim tropika hujan panas dan lembab; di negara-negara khatulistiwa Asia Tenggara sehingga ke Asia Selatan seperti India dan Sri Lanka, dan Jepun yang menyebutnya ryukyuan atau shikaku-mame, Africa dan Latin Amerika.

Pohon kacang kelisa tumbuh secara menjalar merembat. Buahnya memanjang, mempunyai 4 cuping. Sepanjang setiap tepi cuping bergerigi kecil lembut, mengandungi banyak biji benih tersusun didalamnya. Bijiannya berbentuk bulat membujur mirip kacang soya.

Kacang kelisa berwarna hijau muda ketika masih muda, hijau gelap ketika matang, dan bertukar berwarna perang coklat apabila tua.

Permakanan Kacang Kelisa


Sebenarnya, hampir semua bahagian pohon kacang kelisa berguna dan menjadi bahan makanan oleh masyarakat dibeberapa negara:
  • Kacang kelisa muda: sedap dan rangup dimakan, dan tidak liat. Lazim dijadikan ulam/lalap, digoreng, dibuat kerabu, sayuran atau dimasak dalam berbagai resepi makanan oleh masyarakat Malaysia dan Indonesia.
  • Sebahagian masyarakat menjadikan bunga dan daun muda sebagai ulam/lalap. Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun dan rasanya hampir serupa dengan daun bayam. Bunganya sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri. Bunga dan daun muda mengandungi protein yang agak tinggi.
  • Terdapat spesis kacang kelisa yang akarnya berubi. Ubi-ubinya berperisa seperti kacang tanah. Boleh digoreng, atau dimasak sebagai sayur berubi, hampir serupa dengan ubi kentang, tetapi lebih kaya protein berbanding ubi kentang. Ia amat digemari oleh penduduk Papua New Guinea, amat popular diMyanmar sebagai juadah makanan. 
  • Biji-bijian dari kacang kelisa yang tua telah diiktiraf sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi banyak protein sepertimana kacang soya. Biji-bijiannya juga boleh digoreng sepertimana kacang tanah, atau diproses seperti kacang soya iaitu dijadikan pelbagai produk yang boleh dimakan atau diminum; perlu dimasak dahulu selama 2–3 jam bagi memusnahkan 'trypsin inhibitor' dan 'hemagglutinin', anasir yang mencegah penghadaman.
  • Kacang kelisa mengandungi protein yang tinggi, bukan sahaja sebagai makanan untuk manusia, bahkan sesuai dan berpotensi digunakan sebagai makanan kepada binatang ternakan, seperti ikan keli Afrika.   

0

Thursday, June 26, 2014

ZAT GIZI BESI

Apakah Zat Besi   ?



Besi - unsur kimia bersimbol Fe. Salah satu dari zat galian/gizi yang diperlukan oleh tubuh. Ia menjadi sebahagian dari semua sel tubuh, dan mempunyai banyak peranan biologi dalam tubuh.

Zat besi tergolong dalam kategori zat gizi kelumit. Bererti tubuh memerlukannya dalam kadar yang sedikit.

Zat besi terdapat dalam banyak bahan makanan semulajadi (alami), juga makanan yang diperkaya dengan zat, dan dalam bentuk supplemen.

Lebih kurang 3-4 gram jumlah zat besi terkandung didalam tubuh orang dewasa.

  • Kebanyakannya berada dalam hemoglobin, dalam sel-sel darah merah (hemoglobin adalah sejenis protein pembawa oxygen yang berada dalam sel-sel darah merah).  
  • Bakinya berada dan tersimpan dalam sel-sel otot pada organ hati, spleen, dan sumsum tulang dalam bentuk ferritin atau hemosiderin; dalam tisu otot dalam bentuk myoglobin; juga dalam enzim.

Jenis Utama Zat Besi



Zat besi terdiri dari 2 jenis utama; heme dan bukan-heme.

Dalam makanan, jenis bukan-heme lebih banyak dari heme. Bahan makanan bersumber dari pohon-pohon seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin, bijian dan dalam makanan yang diperkaya dengan zat besi lebih banyak kandungan jenis bukan-heme.

Manakala daging dari ikan dan haiwan ternakan mengandungi kedua-duanya iaitu heme dan bukan-heme; iaitu kira-kira 40% heme dan 60% bukan-heme zat besi. Dari 40% tersebut, hanya kira-kira 25-35% zat besi heme yang dapat diserap oleh tubuh, dan bukan-heme pula hanya kira-kira 3% sahaja. 

Fungsi dan Manfaat Zat Besi   ?



1     Penghasilan Hemoglobin: Zat besi diperlukan dalam penghasilan hemoglobin (protein pembawa oxygen). Ia juga menjadi komponen kepada hemoglobin dan beberapa jenis protein lain dalam tubuh. Hemoglobin ialah sejenis protein yang berada dalam sel-sel darah merah dan mewarnai darah dengan warna merah pekat. Dianggarkan kira-kira  65 - 75 % zat besi (dari 3-4 gram jumlah keseluruhan zat besi dalam tubuh orang dewasa) berada dalam hemoglobin dalam darah.

2       Pembawa Oxygen: Fungsi utama zat besi ialah sebagai bahagian penting dalam penghasilan hemoglobin yang bertugas membawa oxygen, dari paru-paru kepada setiap sel dan tisu seluruh tubuh. Fungsi ini sangat penting kerana oxygen memang diperlukan oleh setiap bahagian dan anggota tubuh bagi melaksanakan berbagaii fungsi harian. Disamping itu, sel-sel darah merah juga turut mengeluarkan karbon dioksida dari tubuh, menghantarkannya ke paru-paru untuk dihela keluar melalui pernafasan.

3       Fungsi Otak: Otak menggunakan kira-kira 20% oxygen yang diperdapat melalui aliran darah. Oleh itu, zat besi sangat penting bagi memelihara kesihatan dan perkembangan otak.

4       Fungsi Otot: ‎Zat besi adalah unsur yang mustahak pada semua sel tubuh; bagi kelansungan tumbesaran, perkembangan, percambahan, dan pemeliharaan fungsi semua sel tubuh yang normal. Ia merupakan komponen pada myoglobin (protein otot) dan sangat penting bagi memelihara kesihatan otot dan tisu penghubung. Myoglobin memerlukan zat besi. Myoglobin ‎membawa dan mengedarkan oxygen, dari hemoglobin keseluruh sel otot. Fungsi ini perlu bagi memelihara kesinambungan penguncupan otot, terutama otot jantung.

5       Penghasilan Hormon dan Enzim: Zat besi juga turut diperlukan dalam penghasilan beberapa jenis hormon didalam tubuh. Ia merupakan komponen kepada beberapa jenis enzim dan digunakan oleh sel-sel bagi memenuhi berbagai fungsi biologi dalaman tubuh. Enzim membantu tubuh menghadam makanan dan membantu dalam beberapa tindakbalas penting dalam tubuh. Maka apabila tubuh kekurangan zat besi, banyak bahagian tubuh akan turut terjejas.

6       Sistem Kekebalan Tubuh: Zat besi juga mempunyai peranan mengutuhkan sistem kekebalan tubuh, menguatkan daya tahan bagi melawan jangkitan.

Gejala Kekurangan Zat Besi   ?



1    Anemia:    Kekurangan zat besi boleh menimbulkan masalah kesihatan; seperti anemia. Bila zat besi dari permakanan berkurangan, maka simpanan zat besi didalam tubuh akan digunakan. Bila simpanan dalam tubuh juga jadi berkurangan, penghasilan hemoglobin akan terjejas. Ini bermaksud sel-sel darah merah tidak mampu membawa oxygen yang diperlukan oleh sel-sel tubuh. Keadaan ini mengakibatkan timbulnya anemia.

Menurut WHO (World Health Organization), anemia sering berlaku pada penduduk dunia. Ia mungkin disebabkan permakanan yang kurang kandungan zat besi, kurang penyerapan zat besi, atau kehilangan darah yang berlebihan. Tanda-tanda anemia seperti : anggota tubuh sentiasa letih lesu, daya pemusatan fikiran singkat, perkembangan pemikiran bengap pada bayi dan kanak-kanak, emosi mudah marah, prestasi kerja merosot, pembelajaran lembab dan kurang cerdas, fungsi sistem kekebalan lemah dan sering berpenyakit, lidah merah dan bengkak (glossitis), dan suhu tubuh tidak menentu.

Justru, zat besi menjadi unsur yang penting bagi merawat anemia dan membantu mananggani berbagai tanda-tanda anemia tersebut.

2     Restless Leg Syndrome (RLS):  Sindrom Kegelisahan Kaki/Restless Leg Syndrome  (RLS) adalah kegelisahan berpanjangan yang mendorong pergerakan kaki dan juga anggota tubuh yang lain disebabkan kekacauan pada fungsi saraf dan otak. Mereka yang mengidap RLS mengalami rasa tidak selesa terutama pada anggota kaki, lengan atau pada mana-mana bahagian tubuh, sehingga mengakibatkan desakan yang kuat untuk sentiasa bergerak sehingga menjadi sulit untuk lelap.tidur. Sindrom ini lansung mempengaruhi tabii tidur penderita RLS.

Kepentingan zat besi bagi pesakit RLS masih belum benar-benar jelas. Akan tetapi kekurangan zat besi dalam cecair didalam tulang belakang atau dibahagian otak telah dikaitkan dengan timbulnya gejala RLS tersebut. Maka, supplemen zat besi telah disarankan bagi mengurangi kegelisahan pergerakan pada penderita RLS, dan juga merawat kemurungan kerana kurang tidur. Zat besi juga bermanfaat bagi menanggani masalah kelesuan atau kurang tenaga.

Punca Kekurangan Zat Besi

Antara punca kekurangan zat besi ialah masalah penyerapan. Penyerapan zat besi bergantung pada seseorang individu, jenis makanan yang selalu dimakan, jumlah pengambilan vitamin C dan beberapa faktor lain.
Tubuh mempunyai cara tersendiri bagi memelihara kadar zat besi dalam tubuh agar tidak menghadapi risiko lebihan zat besi yang boleh memudharatkan. Mereka yang kurang simpanan zat besi dalam tubuh akan menyerap lebih banyak zat besi dari mereka yang sudah cukup simpanannya.

Permakanan yang tinggi kandungan vitamin C akan menambah penyerapan zat besi; sebaiknya makan pada masa yang sama dengan bahan makanan sumber zat besi. Manakala vitamin A pula membantu melepaskan zat besi dari simpanan dan menjadikan zat besi tersedia untuk digunakan oleh tubuh.

'Phytate' dalam setengah bijirin dan kekacang, fosfat dalam minuman cola, sebahagian protein dalam kacang soya, kalsium dan serat makanan boleh menganggu penyerapan zat besi. Tannin dalam minuman teh atau kopi juga penyebab kurang penyerapan zat besi; teh mengurangkan penyerapan zat besi kira-kira 60% dan kopi 50% dari jumlah yang diambil.

Golongan Yang Menghadapi Risiko Kekurangan Zat Besi
  1. Kanak-Kanak dan Para Remaja:   Zat besi sangat diperlukan oleh kanak-kanak dan para remaja, sewaktu melalui fasa-fasa tumbesaran. Mereka memerlukan lebihan zat besi.
  2. Wanita Hamil, dan Yang Mampu Hamil:   Sewaktu kehamilan, zat besi sangat diperlukan sehingga supplemen zat besi disarankan untuk wanita hamil. Wanita yang peranakannya masih subur perlukan lebihan zat besi kerana zat besi turut keluar sewaktu kedatangan haid. Namun, bagi wanita yang mengambil pil pencegahan hamil, keperluan zat besi tidak mendesak kerana tiada haid tiada kehilangan darah.
  3. Olahragawan:   Olahragawan yang terlibat dalam latihan intensif menghadapi tambahan risiko kepada anemia, kerana kadar oxygen yang dibawa ke sel-sel otot melalui myoglobin mungkin terjejas.   Olahragawan 'vegetarian' juga berisiko tinggi kekurangan zat besi. Bagi memastikan simpanan zat besi yang optima, para olahragawan perlu permakanan yang mengandungi zat besi yang mencukupi. Dalam setengah kes, para doktor menyarankan supplemen zat besi diambil.
  4. Warga Berusia:   Warga berusia adalah golongan yang menghadapi risiko kekurangan zat besi. Permakanan yang kaya zat besi dan vitamin C perlu dititik-beratkan, terutama bagi mereka yang banyak memakan makanan berdaging. Dengan demikian, penyerapan zat besi boleh ditingkatkan. 

Gejala Lebihan Zat Besi   ?



Penyerapan zat besi dikawal oleh simpanan zat besi dalam tubuh. Lebihan zat besi akan disimpan dan terkumpul dalam sel-sel otot dan organ hati, spleen, dan sumsum tulang dalam bentuk ferritin atau hemosiderin, atau dalam tisu otot dalam bentuk myoglobin, dan juga enzim. Zat besi yang diserap hanya dikeluarkan melalui kehilangan darah. Lebihan zat besi keterlaluan akan mencetuskan beberapa gejala pada kesihatan. Namun, keracunan zat besi sangat jarang berlaku.

  • Hemochromatosis: sejenis masalah genetik, penyerapan zat besi yang tinggi. 
  • Alkohol:  Meminum alkohol berlebihan juga menyebabkan keracunan zat besi, kerana alkohol menambah penyerapan zat besi. 
  • Dos Berlebihan:  Dos supplemen zat besi yang berlebihan boleh menyebabkan keracunan. Kebimbangan utama ialah dos berlebihan pada kanak-kanak. Oleh itu, adalah penting menjauhkan supplemen zat besi daripada kanak-kanak.

Penyakit Jantung:    Jumlah zat besi yang tersimpan dalam tubuh boleh mempengaruhi potensi seseorang mengidap penyakit jantung. Lebihan zat besi telah dikaitkan dengan pembentukan radikal bebas yang boleh merosakkan saluran-saluran darah yang membekalkan darah kejantung.  Pertambahan kes-kes penyakit jantung pada wanita selepas putus haid telah dikaitkan dengan pertambahan kadar zat besi dalam darah. Risiko penyakit jantung lebih tinggi bagi masyarakat yang memakan banyak daging merah dari mereka yang kurang memakannya.

Namun begitu, ada pendapat juga mengatakan bahawa masih belum terdapat bukti yang kukuh bahawa lebihan zat besi meningkatkan penyakit jantung. Oleh itu, tidak disarankan menghindar dari memakan daging merah atau makanan lain yang tinggi kandungan zat besi, kerana meskipun daging merah memang kaya dengan zat besi, akan tetapi protein dan lain-lain nutrien didalam daging merah juga diperlukan oleh tubuh.

Penyakit Kencing Manis Jenis 2:    Ada pendapat mengatakan bahawa simpanan zat besi yang berlebihan didalam tubuh boleh menyebabkan penyakit kencing manis jenis 2. Beberapa kajian telah menunjukkan kadar zat besi yang sangat tinggi pada pesakit kencing manis jenis 2. Pesakit yang mengidap hemochromatosis (masalah genetik yang banyak penyerapan zat besi) menghadapi lebih tinggi risiko kencing manis.

Namun bukti-bukti sains masih belum cukup bagi menunjuk hubung-kait antara zat besi dan kencing manis jenis 2. Oleh itu, mengurang pengambilan zat besi bagi tujuan merawat atau mengelak risiko kencing manis adalah tidak digalakkan. 

Kadar/Dos Saranan Zat Besi   ?



Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan garis panduan kadar/dos pengambilan zat besi, disebut Recommended Nutrient Intakes for Malaysia/RNI. Namun, garis panduan tentang had maksima yang masih selamat tidak ditentukan oleh Kementerian.

Oleh yang demikian, rujukan had maksima yang masih selamat dari Institute of Medicine, National Academy of Sciences boleh diambil sebagai panduan:

Had yang boleh diambil tanpa mendatangkan sebarang kesan sampingan atau keracunan. 
  • 40 mg/hari bagi kanak-kanak dibawah usia 14 
  • 45 mg/hari bagi warga berusia 14 tahun keatas.

Sumber Zat Besi



Bagi tujuan memenuhi kadar/dos saranan permakanan zat besi, pelbagai jenis makanan perlu dimakan.

Sebaiknya, makanan yang kaya dengan zat besi dimakan seiring dengan makanan yang kaya dengan vitamin C, kerana vitamin C membantu tubuh menyerap zat besi dengan lebih baik lagi. 

# 1. Jenis-Jenis Cengkerang: Kepah, Siput, Tiram, Sotong Katak, Siput Laut, Sotong Kurita, Kepah, Kapis/Scallop.
# 2. Organ Hati Binatang: Ayam, Ayam Belanda/Turkey, Biri-Biri, Lembu. 
Daging Binatang: Lembu dan Biri-Biri. 
# 3. Jenis-Jenis Kuaci: Bijian Labu, Bijian Bijan, Bijian Bunga Matahari, Bijian Flax.
# 4. Jenis-Jenis Kekacang: Gajus, Pine, Kacang Hazel, Kacang Tanah, Badam, Pistachio, Macadamia, Kacang Ginjal, Garbanzo (Chickpeas), Kacang Lima, Kacang Navy, Kacang Hitam, Kacang Pinto, Kacang Black-eyed.
# 5.  Bijirin Penuh, Bran dan Bijirin Yang Diperkaya: Quinoa, Oat, Barli, Beras Perang, Buckwheat, Millet.
# 6. Sayur-Sayuran Hijau: Bayam, Swiss Chard, Sayur Lobak Cina, Kale, Sayur Bit.
# 7.  Bar Coklat dan Serbuk Koko. 
Sumber: Health·Alicious·Ness.com







0

Tuesday, March 25, 2014

Ada Apa Pada Bijian Bijan@Lenga@Wijen ?

Bijian bijan adalah multi-zat gizi alami. Sarat dengan 8 jenis zat gizi, yang tinggi kadarnya:
          *Kalsium  *Tembaga  *Besi  *Magnesium  *Manganese  *Fosforus  *Selenium  *Zinc
Bijan @ Lenga @ Wijen


Bijan atau Lenga (Malaysia), Wijen (Indonesia), Sesame (Inggeris). Nama botani Sesamum indicum. Ia sejenis pohon herba berbunga dari genus Sesamum, keluarga Pedaliaceae. Pohonnya meninggi sekitar 1.52-1.83 meter (5-6 kaki).

Bijan tumbuh bercambah diAsia, terutama Burma (pengeluar terbesar dunia), India (pengeksport terbesar dunia) dan China. Jepun merupakan pengimport terbesar dunia, diikuti oleh China. Bijan merupakan salah satu pohon tanaman yang tertua, sejak 3000 tahun dahulu menjadi tanaman utama dirantau Timur Tengah. Kini, ia merupakan tanaman komersial dibeberapa negara Afrika seperti Nigeria, Sudan, Uganda, Somalia dan Ethiopia. Beberapa spesis lain yang terdekat dengan sesamum indicum juga saling tumbuh di Afrika dan juga India.

Bijan lebih sesuai tumbuh dinegara beriklim tropika. Ia tahan kemarau. Mampu hidup sedangkan tumbuh-tumbuhan lain gagal. Pohon ini ditanam bagi mendapatkan bijiannya. Bijian bijan mengandungi minyak yang tinggi. Rupa bijian bijan iras kuaci tembikai, tetapi bersaiz kecil halus.  

Bijan terdiri dari banyak spesis, termasuk juga hybrid. Spesis yang bernilai komersial; seperti bijan putih, bijan hitam, bijan emas, masing-masing berbeza warna kulit/selaput bijinya. Bijan emas juga disebut bijan coklat atau kuning. Nilai kandungan zat pada spesis-spesis tersebut lebih-kurang sama, cuma rasanya agak berbeza.

Bijan putih disenangi untuk adunan berbagai kueh mueh dan resepi masakan, kerana rasanya lembut, enak, rangup dimamah. Bijan emas, beraroma segar dan enak. Ia juga menjadi pilihan popular dalam kebanyakan masakan dan pembuatan kueh mueh dalam berbagai resepi dan adunan. Bijan hitam lebih beraroma herba, baunya agak kuat dan tengik, agak sukar untuk dimakan mentah.

Terdapat juga kalangan masyarakat menggunakan bijian bijan sebagai bahan perubatan tradisional, kerana nilai-nilai zat makanan yang tekandung didalamnya dipercayai dapat memberi pencegahan dari penyakit dan kesembuhan pada masalah kesihatan.

Sepertimana kekacang dan bahan makanan lain, bijian bijan juga boleh mendatangkan allergi pada setengah individu yang alahan.

Manfaat Bijian Bijan


Rasa bijian bijan rangup kekacangan, agak enak dan leka dimakan mentah. Ia makanan berkhasiat untuk kesihatan, kerana memiliki keistimewaan yang terletak pada berbagai zat gizi.

Bijian bijan adalah multi-zat gizi alami, sarat dengan 8 jenis zat gizi yang tinggi kadarnya:   *Kalsium  *Tembaga  *Besi  *Magnesium  *Manganese  *Fosforus  *Selenium  *Zinc.

Disamping itu, ia juga kaya dengan *Lemak *Vitamin B1/thiamin dan *Vitamin B6/pyridoxine.

0

Monday, December 2, 2013

Ada Apa Pada Nattō ?

Nattō



Nattō adalah makanan tradisi Jepun. Wujudnya sejak zaman silam peradaban Jepun. Dibuat dari kacang soya/kedelai ‎yang diperam dengan bakteria Bacillus subtilis.

Bau dan rasa Nattō menyengat, agak berkrim dan melekit. ‎Perlu terbiasa memakannya. Kebanyakan warga Jepun sudah terbiasa memakan Nattō. Paling popular pada warga Timur Jepun; Kantō, ‎Tōhoku, dan Hokkaido. Kerana bau dan rasanya, ada juga dikalangan warga Jepun yang tidak begitu menyukainya. Ramai warga bukan Jepun yang sukar menerimanya, tetapi ada juga yang sukakanya.

Pembuatan Nattō



Masyaraakat Jepun dahulu kala membuat Nattō, dengan mengukus kacang soya, lalu diperam/diragi dalam jerami padi untuk beberapa lama. Jerami padi mengandungi bakteria B. subtilis.

0

Thursday, November 7, 2013

Jus Kunyit Untuk Kesihatan

Jus kunyit adalah yang terbaik ! 
Kunyit tidak mahal, enak, dan menyegarkan 
Bermanfaat kepada setiap sistem dalaman ‎tubuh 
Pastikan herba eksotik ini menjadi minuman anda ! ‎

Jus Kunyit

Jus Kunyit merupakan minuman istimewa, kerana sarat pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Bukan sahaja untuk mengekalkan kesihatan, bahkan menyumbang kepada  perawatan dan kesembuhan sebahagian dari penyakit yang dideritai.

Hindar dari mengguna terlalu banyak kunyit, kerana terlalu banyak kunyit akan memberi rasa pahit dan tidak enak di minum.

Bahan-bahan: 
  • 5 sm kunyit yang bersaiz agak besar. 
  • 1 sisir/rumpun sayur selada atau seleri
  • 3 batang lobak merah/carrot
  • 1 biji timun yang dipotong hujungnya
  • ‎1 biji isi buah lemon 
  • air asam jawa (pilihan tambahan)
  • air gula melaka/jawa/aren (pilihan tambahan)
Cara:
  1. Kupas atau cuci kulit kunyit, selada/seleri, lobak merah, timun, dan isi buah lemon dengan bersih‎ dan potong kecil-kecil
  2. Blend setiap satu bahan asing-asing 
  3. Tapis asing-asing, kemudian campur dan aduk semuanya sebelum diminum
  4. Tambah ketul air/ice cube bagi menambahkan kesegaran.  . 
Tip -
1)    bersihkan blender secepat mungkin, kerana kunyit akan ‎meninggalkan warna kuning pada blender.
2)    hanya gula melaka/jawa/aren digunakan, kerana gula pasir (sukros) sebenarnya memudaratkan tubuh. 


Ada Apa Pada Kunyit ?

Kunyit kaya dengan vitamin-vitamin penting seperti pyridoxine (B6), niacin (B3), ‎folate (B9), riboflavin (B2), A, C, E dan K. ‎

Kunyit tinggi kandungan vitamin B6 dan C. Setiap 100 gm herba ini membekalkan 1.80 mg atau 138% vitamin B6, dan 23.9 mg ‎atau 43% vitamin C dari dos saranan harian yang diperlukan oleh tubuh.

Kunyit mengandungi banyak zat-zat gizi seperti kalsium, besi, potassium, manganese, tembaga, ‎zinc, dan magnesium. Setiap 100 gm membekalkan 41.42 mg atau 517% zat besi, dan 7.83 mg atau 340% manganese dari dos saranan harian yang diperlukan oleh tubuh.

Kunyit mengandungi minyak essential/pati seperti termerone, curlone, curumene, cineole, dan ‎p-cymene. Kunyit tidak mengandungi kolesterol.

Manfaat Kunyit

1     Anti-Oksidan.    Kunyit mengandungi zat phyto curcumin yang hebat. Kajian klinikal menunjukkan  kekuatan anti-oksidan (nilai ORAC) bagi setiap 100 gm kunyit, adalah antara yang ‎paling tinggi di kalangan herba rempah. ‎Sangat berkesan menyirna radikal bebas di dalam tubuh, mencegah berbagai jenis kanser, dan ‎meng-utuhkan sistem kekebalan tubuh. ‎

2     Anti-Keradangan.   Curcumin memiliki nilai anti-keradangan sangat berkesan setanding dengan ubat kimia anti-‎keradangan. Curcumin tidak pula menimbulkan kesan negatif kepada tubuh. Justru, kunyit membantu menghalang atau melambatkan perkembangan penyakit arthritis dan ‎rheumatoid arthritis. Curcumin bertindak melegakan sengal sendi, kesakitan, dan bengkak pada arthritis dan gejala rheumatoid arthritis. Petunjuk juga mendapati kunyit dapat menghalang ‎penghasilan protein IL-2 yang memusnahkan lapisan pelindung kepada saraf. ‎

3     Anti-Virus, Anti-Bakteria, Anti-Kulat.   Curcumin juga anti-kuman (virus, bakteria, dan kulat). Nilai-nilai ini bermanfaat mempercepat kesembuhan dan mencegah jangkitan pada luka, kecederaan atau kelecuran. ‎Curcumin membantu mengembalikan tona kulit yang ‎rosak. Justru, curcumin membantu merawat psoriasis dan masalah kulit yang lain. ‎

4       Anti-Kanser.  Curcumin mencegah pembiakan sel-sel kanser. Curcumin meransang sel-sel kanser ‎untuk luluh-sendiri dan tidak membiak. Curcumin membantu menghalang beberapa jenis kanser termasuk prostat, kulit dan usus kolon dengan cara menyirna beberapa jenis bahan kimia dan enzim yang menyebabkan kanser. Kunyit, dicampurkan dengan cauliflower/bunga kobis, dapat menghalang kanser prostat dan ‎menghentikan perkembangan kanser prostat yang sedang dialami. ‎Curcumin juga boleh menghalang kanser payudara dari merebak ke hati, dan menghalang tumor ‎dari merebak ke serata bahagian tubuh. Curcumin juga membantut saluran-saluran darah dari berkembang membentuk tumor. ‎

5     Manfaat Lain.    Sangat banyak manfaat kesihatan yang lain daripada kunyit.

Kunyit dan Penyakit Alzheimer:    Curcumin didapati berkesan menghalang, mengurang dan menghakis tompokan plaque ‎protein amyloid yang menjadi punca penyakit Alzheimer. 

Kunyit dan Saluran Darah dan Jantung (Cardiovascular Disease)‎:   Curcumin mengurangkan tahap LDL (kolesterol mudharat) dalam darah, merendahkan risiko penyakit yang berkaitan dengan saluran darah dan jantung (cardiovascular disease). Vitamin B6 dalam kunyit membantu mengawal kadar homocysteine (asid amino bukan dari golongan protein) dalam darah yang merosakkan sel-sel.‎

Kunyit dan Organ Jantung:   Kunyit mengandungi potassium, manganese dan zat besi. Potassium adalah komponen terpenting pada sel-sel dan cecair tubuh, yang ‎mengawal denyut jantung dan tekanan darah. Manganese digunakan oleh tubuh sebagai faktor ‎gandingan untuk menghasil enzim anti-oksidan superoxide dismutase. Besi penting sebagai ‎faktor gandingan untuk enzim cytochrome oxidase di peringkat metabolisma sel-sel dan diperlukan ‎untuk penghasilan sel darah merah.‎

Kunyit dan Kencing Manis:   Kunyit membantu mengurangi kadar insulin yang perlu dihasilkan ‎oleh pancreas bagi menanggani masalah kemasukan gula ke dalam darah. Dengan demikian, pacuan insulin yang mendadak dapat dielakkan bagi pesakit Kencing Manis.‎

Kunyit dan Organ Hati:   Kunyit boleh meransang fungsi organ hati untuk meningkatkan lagi penghasilan sejenis enzim yang boleh ‎ meng-nyah toksin di dalam tubuh. ‎

Kesan Sampingan
  • Kunyit tidak digalakkan di makan oleh penderita batu karang hempedu. ‎
  • Kunyit perlu di makan bersama dengan makanan yang ‎lain. Pening, loya dan kejang perut boleh berlaku jika kunyit di makan tanpa diiringi makanan yang ‎lain. 
  • Kunyit boleh menyebabkan tindak-balas allergi dan gatal-gatal kulit pada setengah individu.
________________________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...