0

Monday, December 2, 2013

Ada Apa Pada Nattō ?

Nattō



Nattō adalah makanan tradisi Jepun. Wujudnya sejak zaman silam peradaban Jepun. Dibuat dari kacang soya/kedelai ‎yang diperam dengan bakteria Bacillus subtilis.

Bau dan rasa Nattō menyengat, agak berkrim dan melekit. ‎Perlu terbiasa memakannya. Kebanyakan warga Jepun sudah terbiasa memakan Nattō. Paling popular pada warga Timur Jepun; Kantō, ‎Tōhoku, dan Hokkaido. Kerana bau dan rasanya, ada juga dikalangan warga Jepun yang tidak begitu menyukainya. Ramai warga bukan Jepun yang sukar menerimanya, tetapi ada juga yang sukakanya.

Pembuatan Nattō



Masyaraakat Jepun dahulu kala membuat Nattō, dengan mengukus kacang soya, lalu diperam/diragi dalam jerami padi untuk beberapa lama. Jerami padi mengandungi bakteria B. subtilis.

Dizaman pemerintahan kerajaan Taishō (1912–1926), cara pembuatan Nattō berubah menjadi semakin mudah, menggunakan kultur/ragi bakteria B. subtilis, dan kacang soya yang dikukus tidak lagi diperam/diragi dalam jerami padi.

Bahan asas Nattō ialah kacang soya. Kacang yang kecil lebih diutamakan, kerana proses ‎pemeraman lebih mudah sebati hingga kedalamnya. Kacang soya dibersihkan. Lalu direndam dalam air selama 12-20 jam agar kacang soya menjadi kembang dan lembut. Kemudian, kacang soya dikukus selama 6 jam. 'Pressure cooker' sering diguna bagi menjimat masa. Untuk peragian kacang soya, dicampur dengan bacteria Bacillus subtilis, disebut 'nattō-kin' dalam bahasa Jepun. ‎Penjagaan perlu rapi agar tidak tercemar oleh bacteria-bakteria lain. Kacang soya lalu diperam pada suhu 40 °C (104 °F) selama 24 jam. Kemudian ‎Nattō disimpan dalam peti sejuk sehingga 1 minggu, sebelum sedia untuk sajian. ‎

Harini, Nattō dihasilkan melalui industri permakanan Jepun. Dijual dalam bungkusan polisterin. Satu pek mengandungi 2,3 atau 4 bungkusan, setiap satunya mengandungi 40 - 50 gm. Setiap 1 bungkusan cukup untuk semangkok nasi.

Nutrien Nattō



Nattō mengandungi berbagai jenis zat makanan yang berkhasiat untuk kesihatan, berasal dari kacang soya. Oleh kerana kacang soya telah melalui proses pemeraman dan peragian, maka kemudharatan yang terkandung dalam kacang soya telah sirna.

Kalori dalam Nattō lebih rendah berbanding dengan kacang soya mentah, dan Nattō sarat protein. ‎

Nattō sangat kaya dengan vitamin K. Vitamin B-Kompleks dan C dalam kadar sederhana. Sedikit vitamin A. Kadar sodium tidak tinggi. Tanpa/terlalu sedikit kolesterol.

Nattō unggul dengan zat-zat gizi:
  • Manganese, Besi, Magnesium dan Tembaga - unggul
  • Kalsium, Fosforus, Potassium, Zinc dan Selenium - sangat baik.
Jika Nattō dimakan bersama dengan telur dan nasi, warga Jepun menganggapnya sebagai makanan yang lengkap, memenuhi keperluan harian.

Khasiat Nattō



Media Jepun kerapkali mewarwarkan tentang berbagai khasiat Nattō pada kesihatan. Dan warwar ini disokong oleh kajian-kajian sains permakanan dan perubatan.

1     Vitamin K.   Nattō sangat kaya dengan vitamin K, terutama K2. Vitamin K2 (menatetrenone) banyak terdapat dalam bahan makanan yang diperam/diragi seperti keju, miso, dan Nattō.‎ Antara manfaat vitamin K:
  • Vitamin K memelihara kemampuan darah membeku pada tahap yang saksama, agar tidak berlaku pendarahan berlebihan dan tidak terkawal, boleh mengancam nyawa.
  • Vitamin K2 terlibat dalam penghasilan rumpun protein (sekurang-kurangnya 100 jenis protein di seluruh tubuh) untuk berbagai aktiviti dan fungsi tubuh; umpamanya, penghasilan protein Gla yang bergabung dengan kalsium bagi membantu membina dan menumpatkan tulang, dan mencegah dari ‎osteoporosis; menghalang terbinanya batu karang kalsium oxalate dalam ginjal dll.
  • Vitamin K2 juga sangat baik bagi memelihara jantung yang sihat, mencegah arteriosclerosis dan varicosis (darah bergumpal dalam saluran darah sehingga mengembang, menggelembung dan berbelit-belit, terutama dibahagian kaki).
  • Vitamin K2 juga anti-kanser; seperti kanser hati, kolon, paru-paru, perut, saluran pernafasan, payudara, prostat dan leukemia.
  • Vitamin K2 didapati mampu menghalang 'Interleukin-6 (IL-6)' (sejenis cytokine, iaitu bio-kimia yang terlibat dalam sistem kekebalan), dari menyebabkan keradangan. Vitamin K memberi kesan positif menanggani penyakit-penyakit kemerosotan akibat dari keradangan, anti-penuaan dan anti-Alzheimer.
2     Manganese (Mn).    Nattō unggul dengan kandungan Mn. Mn adalah zat gizi kelumit. Ia sangat diperlukan untuk menyihatkan tubuh. Antara manfaat Mn:

‎Mn merupakan faktor gandingan yang perlu bagi mengaktifkan tindak-tanduk aneka jenis enzim bagi menguruskan berbagai metabolisma dalam tubuh, seperti:
  • Metabolisma karbohaidrat, bagi menghasilkan tenaga. ‎Mn mengawal paras gula dalam darah dengan cara menstabilkan penghasilan dan pengeluaran ‎insulin. Sangat baik untuk pesakit Kencing Manis, atau mencegah terjadinya Kencing Manis.
  • Metabolisma glutamine, sejenis asid amino yang paling ‎banyak terdapat di dalam tubuh dan menjadi bahagian utama kepada DNA polymerase. ‎
  • Penghasilan kolesterol, digunakan oleh tubuh bagi menghasilkan ‎hormon seks.‎
  • Penyerapan dan penghantaran zat-zat gizi dan vitamin-vitamin, seperti ‎vitamin E, B-1 dan magnesium yang lebih baik. ‎
  • Perlu untuk enzim anti-oksidan ‎superoxide dismutase (SOD). SOD adalah anti-oksidan yang amat berkesan, berada dalam mitochondria (kilang ‎tenaga ber-oxygen dalam kebanyakan sel-sel), melindungi tubuh dari kerosakan dan ancaman radikal bebas.
Mn sangat penting untuk organ-organ dalaman tubuh, seperti;
  • Memelihara otak agar kekal berfungsi secara normal, dan aktiviti sistem saraf seluruh ‎tubuh terpelihara dengan baik. ‎
  • Membantu menghasilkan enzim untuk pembinaan dan pembentukan tulang yang normal, membantu menumpatkan tulang kerangka, terutama tulang belakang.
  • ‎Perlu untuk kelenjar thyroid menghasilkan thyroxine, iaitu hormon yang menjamin keberkesanan metabolisma dan kelancaran sistem organ-‎organ dalaman tubuh. ‎
  • Membantu‎ proses penghadaman dan penyerapan lemak lebih baik, juga mengurangkan masalah seperti sembelit dan perut ‎kurang selesa.
  • Membantu organ hati berfungsi dengan baik dan lancar. ‎
  • Menyumbang kepada pembinaan tisu-tisu penghubung pada otot dan tulang.
3‎    Besi.    Nattō mengandungi zat besi yang sangat tinggi. Dan zat besi sangat penting pada tubuh. Antara manfaatnya:
  • Berperanan dalam penghasilan hemoglobin dan sel-sel darah merah. Hemoglobin adalah pembawa oxygen utama, dari satu sel ke sel yang lain, hingga keseluruh tubuh. Hemoglobin juga mewanai darah menjadi merah pekat. Kekurangan zat besi bererti kekurangan oxygen. Kekurangan oxygen bererti banyak masalah kesihatan pada tubuh, seperti anemia dll.
  • Otak menggunakan kira-kira 20% oxygen yang diperdapat dari saluran darah. Zat besi membantu membekalkan oxygen kepada darah menjadikan sangat penting pada kesihatan otak, sehingga diperkatakan bahawa zat gizi zinc adalah makanan otak.
  • Terlibat dalam metabolisma protein, memelihara kesihatan otot. Banyak terdapat dalam 'myoglobin' iaitu protein otot. Myoglobin ‎mendapatkan oxygen dari hemoglobin dan memberi makan kepada seluruh otot-otot. Sangat diperlukan oleh otot bagi aktiviti penguncupan.
  • Besi berperanan utama bagi memperteguh sistem kekebalan tubuh, merawat kemurungan, mengatur suhu tubuh dsbnya. ‎

4    Tembaga.   Nattō juga kaya dengan zat gizi tembaga. Tembaga merupakan komponen kepada berbagai jenis enzim yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri. Enzim adalah molekeul protein yang ‎melaksanakan tindak-balas kimia diseluruh tubuh. Antara manfaat tembaga:
  • Tembaga berperanan dalam pelbagai proses tumbesaran tubuh yang normal, sejak diperingkat janin, dan kanak-kanak sedang membesar. Tindak-balas enzim-enzim lebih aktif dan berkesan, apabila tembaga bekerjasama dengan zinc dalam nisbah yang saksama.
  • 90% tembaga berada dalam darah. Menjadi komponen kepada protein 'ceruloplasmin', iaitu protein pembawa tembaga ke tisu-tisu. Ceruloplasmin juga bertindak sebagai enzim yang menggalak oksidasi zat-zat gizi, termasuk zat besi. Maka, tembaga membantu penggunaan zat besi dengan lebih berkesan; justru mengelak dari anemia.
  • Tembaga sebagai ejen penghapus radikal bebas. 'Superoxide dismutase' (SOD) adalah enzim yang bergantung kepada zat tembaga, bertindak sebagai penggalak kepada penyirnaan radikal 'superoxide' dari tubuh. Radikal superoxide timbul dari metabolisma biasa dan/atau apabila sel-sel darah putih menghapus bakteria dan virus. Jika tidak disirna dengan segera, radikal superoxide boleh merosakkan selaput-selaput sel. Bila tembaga berkurangan, aktiviti superoxide dismutase menjadi lemah, radikal superoxide menjadi lebih berkuasa dan merosakkan selaput-selaput sel.
  • Sebagai komponen kepada 'lysyl oxidase' atau dikenali juga 'protein-lysine 6-oxidase' (LOX), sejenis enzim protein yang terlibat dalam penghasilan kollagen dan elastin, 2 jenis protein terdapat pada tulang dan tisu-tisu penghubung.
  • Sebagai komponen kepada enzim 'tyrosinase', bagi menukar tyrosine kepada melanin. Melanin adalah pigmen yang mewarnai rambut dan kulit. 
  • Penting bagi penghasilan hormon thyroid yang dikenali sebagai 'thyroxine', iaitu hormon yang menjamin keberkesanan metabolisma dan kelancaran sistem organ-‎organ dalaman tubuh. ‎
  • Diperlukan bagi penghasilan phospholipids yang terdapat dalam lapisan pelindung 'myelin' yang meliputi dan melindungi saraf.
  • Sebagai sebahagian dari komponen enzim 'cytochrome c oxidase (kompleks IV), dan dopamine hydroxylase dalam sistem pernafasan.
  • Berperanan dalam penghasilan tenaga, menukar 'dopamine' kepada 'norepinephrine' dan pembekuan darah.
    5    Magnesium (Mg)‎.   Nattō' juga kaya dengan Mg. Mg penting untuk urusan metabolisma tubuh. Mg bertindak sebagai faktor gandingan kepada lebih dari 300 jenis enzim. ‎Antara manfaatnya;
    • Ketumpatan Tulang:   Mg berperanan penting dalam metabolisma tulang. Kira-kira 50 - 60% Mg dalam tubuh berada dipermukaan ‎tulang. Mg, bersama dengan vitamin D, ‎tembaga dan zinc, mengurus kadar kalsium dalam tubuh. Apabila bekalan Mg kekurangan, paras ‎hormon parathyroid pun menurun, menyebabkan kalsium kurang terserap oleh usus. ‎Tubuh terpaksa mengguna simpanan kalsium apabila diperlukan, mengakibatkan hakisan ‎tulang. Kekurangan kalsium dan Mg akan membawa ke arah osteoporosis.
    • Penghasilan Tenaga:   Mg turut memainkan peranan dalam metabolisma tenaga. Mg menjadi ‎faktor gandingan kepada reaksi enzim bagi menghasilkan tenaga. Kadar Mg yang rendah dalam tubuh boleh ‎menyebabkan kelesuan kerana kekurangan tenaga. ‎
    • Urusan Kadar Gula Dalam Darah:   Mg adalah faktor gandingan kepada lebih dari 100 jenis ‎enzim yang terlibat dalam pengawalan gula dan metabolisma glukos. Mg membantu mengurus ‎tindak-balas insulin terhadap kadar gula dalam darah, dan memelihara tekanan darah yang ‎normal.  Mg dapat mengurangkan risiko ‎penyakit Kencing Manis Jenis 2.‎
    • Kesaimbangan Sistem Saraf:    Mg berperanan penting dalam aktiviti reseptor NMDA (N-methyl-d-aspartate), iaitu reseptor saraf yang terdapat dalam selaput sel-sel otak. ‎Reseptor adalah molekeul khusus yang mengawal keluar-masuk maklumat dari sel-sel sistem saraf. Jika Mg berkurangan, tekanan jiwa dan kecelaruan fikiran akan meningkat. ‎
    • Hypertension:   Kekurangan Mg merupakan salah satu penyebab kepada serangan jantung dan tekanan darah tinggi. Kekurangan Mg juga boleh ‎mengakibatkan cramp, kekejangan otot (juga otot jantung dan saluran pernafasan yang ‎menyebabkan asma), sakit kepala dan migraine, sengal-sengal dan kelesuan. ‎
    6    Lain-Lain Khasiat.   Nattō mengandungi zat-zat gizi Kalsium, Fosforus, Potassium, Zinc dan Selenium yang sangat baik. Masing-masing sangat diperlukan oleh tubuh, mempunyai faedah tersendiri kepada kesihatan tubuh. Disamping itu, analisa zat makanan mendapati Nattō :
    • Mengandungi sejenis enzim 'serine protease' iaitu kinase yang berkesan mengurangkan pembekuan darah, membantu menghindar dari tompokan darah beku dalam saluran darah (thrombosis), serangan jantung, atau strok. Satu kajian di Taiwan, 2009 menunjukkan kinase dalam Nattō mampu mengurangkan bengkak pada tisu otak (amyloid ‎fibrils), memberi kemungkinan boleh mencegah atau merawat penyakit disebabkan amyloid, seperti Alzheimer.
    • Mengandungi vitamin pyrroloquinoline quinone (PQQ). PQQ adalah faktor gandingan kepada aktiviti enzim bakteria. Ramai para saintis permakanan percaya PQQ adalah vitamin yang baru ditemui, manakala yang lainnya menganggap PQQ sebagai zat makanan yang penting bagi kesihatan tubuh. PQQ didapati dapat membantu mengurangkan risiko nyanyuk termasuk nyanyuk Alzheimer.
    • Mengandungi kimia alami seperti daidzein, genistein, isoflavone, ‎phytoestrogen, dan selenium, berkemungkinan dapat mencegah kanser. Kebanyakan kimia-kimia ini juga berada dalam produk-produk kacang soya yang lain, dan kesan pencegahan terhadap kanser masih belum pasti.
    • Mengandungi 'pyrazine' dan 'tetramethylpyrazine'. Pyrazine adalah sejenis bahan kimia alami dari natto yang memberi bau dan rasa yang tengik pada nattō, tetapi bertindak mengurangkan pembekuan darah. Tetramethylpyrazine adalah kimia alami anti-keradangan.
    • Mengandungi 'polyamine' berbanding bahan-bahan makanan yang lain. Polyamine adalah kimia alami dari kalangan asid amino, yang boleh mengurangkan tindak-balas sistem kekebalan yang berlebihan.
    • Nattō juga kadangkala digunakan sebagai salah satu bahan makanan kesihatan pada binatang peliharaan.
    Bahan makanan lain yang hampir serupa dengan Nattō, iaitu menggunakan kancang soya dan peragian dengan bakteria Bacillus subtilis, juga terdapat dibeberapa negara didunia. China - shuǐdòuchǐ, Korea - cheonggukjang, Thailand - thuanao, Nepal dan beberapa daerah Himalaya (Bengal Barat dan Sikkim) - kinema, Manipur - hawaijaar, Nagaland - akhuni, Arunachal Pradesh, India - piak.
    ________________________________________

    No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...