0

Thursday, December 19, 2013

Zat Gizi Zinc

Apakah Zinc?


Zinc (Zn). Zinc adalah zat gizi kelumit yang sangat penting bagi memelihara kesihatan tubuh. Meskipun hanya sekelumit, Zn merupakan zat yang perlu ada dalam setiap bahagian tubuh. Zn berperanan dalam pelbagai fungsi biologi dalaman tubuh. Semua bahagian tubuh memerlukan Zn untuk kekal berfungsi secara normal.

Di dalam tubuh, Zn adalah zat gizi kelumit ke-2 terbanyak, selepas zat besi. Otot dan tulang mengandungi kira-kira 90% dari keseluruhan Zn dalam tubuh. Paling pekat dalam kelenjar ‎prostat dan mata. Sangat pekat dalam otak, pancreas, ‎hati, kelenjar ginjal, dan air mani lelaki.‎ Tubuh memerlukan antara 2-4 gm setiap masa, 6.2-6.7 mg setiap hari. Tubuh tidak mempunyai sistem khusus bagi menyimpan Zn. Justru, bekalan Zn setiap hari adalah mustahak bagi memelihara kesihatan.

Fungsi Zinc


Hanya Zn, zat gizi yang berada dalam semua jenis enzim. Ia menjadi komponen utama kepada lebih ‎dari 100 jenis enzim (ada sumber mengatakan 300 jenis). Ia juga menjadi penggalak ‎kepada aktiviti enzim-enzim. Semua enzim-enzim tersebut bergantung kepada Zn untuk mampu memberi bertindak-balas kimia untuk menyihatkan tubuh, antara lain:
  • pembinaan dan ‎kembang-biak sel-sel.
  • penghasilan protein dan DNA yang sempurna, kembang-biak gene.
  • metabolisma karbohaidrat dan tenaga.
  • kesembuhan dari luka, jangkitan dan penyakit.
  • pengurusan penghasilan dan kadar ‎hormon dalam tubuh.
  • penghasilan enzim anti-oksidan ‎‎‘superoxide dismutase’ (SOD).
  • membantu penghasilan asid perut dan enzim-enzim penghadaman dalam pancreas.
  • tumbesaran normal, sejak perkembangan janin, kanak-kanak, dan keremajaan.
  • fungsi deria rasa, bau, selera makan, juga pengaruh kepada syahwat.
  • fungsi kekebalan tubuh.
Manfaat dan Gejala Kekurangan Zinc


1     Zn ‎| Sel, Selaput, Tisu, Protein.    Zn berada dalam semua sel-sel tubuh, terutama dalam 'nucleus'. Zn merupakan sebahagian dari struktur selaput sel dan protein. Zn ‎terlibat dalam penghasilan sel-sel baru, protein, DNA dan RNA. Juga terlibat dalam pelbagai aspek metabolisma sel, karbohaidrat, dan protein.

Para pengkaji percaya bahawa Zn merupakan komponen utama kepada struktur 3,000 jenis protein (disebut jari-jemari Zn /zinc fingers) dari kira-kira ‎‎100,000 protein di dalam tubuh. Jari-jemari Zn didapati mengatur ekspresi gene dengan bertindak sebagai faktor transkripsi (protein tertentu yang digabungkan dengan DNA dan protein-protein lain, untuk mempengaruhi tindak-tanduk gene-gene tertentu di dalam tubuh).

Justru, Zn adalah zat gizi yang menjadi komponen penting pada unsur-unsur genetik dalam tubuh; penting bagi pertumbuhan semua tisu-tisu, termasuk kulit, otak, mata, otot dan darah; penting untuk perkembangan otak kepada janin dalam kandungan, pembinaan otot dan tumbesaran pada keseluruhannya. Kekurangan Zn boleh menyebabkan perubahan pada 'chromosome'.

2    Zn ‎| Kesembuhan dan Baik-pulih.      Zn menggalak penghasilan dan baik-pulih sel-sel. Zn juga menguatkan tisu-tisu seperti tisu bronchiole dan paru-paru.

Sebagai komponen kepada banyak enzim, Zn berada dalam semua tisu, selaput lembab/lendir, otot, membantu membina dan membaik-pulih tisu, selaput dan otot bila kecederaan. Kekurangan Zn boleh memperlambat kesembuhan. Ulser atau kerosakan dalaman tubuh segera pulih dengan menambah pengambilan Zn. Saranan 30 mg/hari supplemen Zn (bersama 2 mg tembaga) selama 4-6 minggu boleh membantu kesembuhan dari luka. Ubat sapuan yang mengandungi Zn juga menyumbang kepada kesembuhan.

Kulit sentiasa diperbaharui dengan sel-sel baru. Zn mempercepat penghasilan sel-sel kulit yang baru. Justru, bekalan Zn yang mencukupi adalah mustahak bagi memelihara kesihatan kulit. Krim Zn boleh membantu baik-pulih kerosakan pada kulit, seperti luka, kelecuran, gatal-gatal kulit, ruam kelangkang bayi, bisul, kudis, kelemumur, eczema, psoriasis, neurodermitis dsbnya. ‎‎

Zn terlibat dalam penghasilan sel-sel darah putih dan meningkat keberkesanan fungsi sel-sel kekebalan. Sel-sel darah putih adalah mustahak bagi proses penyembuhan dan bertindak mempertahan ‎tubuh dari beberapa jenis jangkitan, termasuk kanser mulut, ulser, ‎kelecuran, luka pembedahan. Saranan - supplemen 30 mg/hari (bersama 2 mg tembaga), atau sapuan Zn setiap hari.

Zn membantu penyerapan vitamin A, justru mempertingkat proses ‎kesembuhan dan ‎melawan jangkitan bakteria.

3     Zn ‎| Hormon.     Zn penting kepada penghasilan hormon. Metabolisma karbohaidrat dan penghasilan hormon insulin memerlukan Zn. Hormon insulin mengawal gula darah, mengatur dan kadar tenaga tubuh. Kekurangan Zn boleh melambatkan tindak-balas insulin, gula darah bertambah sukar untuk distabilkan, boleh menjejaskan kawalan gula darah, terutama pada pesakit kencing manis.

Zn diketahui membantu dalam penghasilan hormon 'testosterone'. Testosterone adalah hormon utama lelaki, juga berada dalam tubuh wanita. Untuk lelaki, Zn dan hormon testosterone mempunyai pengaruh besar pada kesuburan; jumlah sperma dalam air mani, ketangkasan sperma, dan daya-menghamil sperma. Zn juga diperlukan bagi membina selaput luar dan ekor sperma. Kekurangan Zn akan menjejaskan kualiti dan jumlah sperma. Kekurangan testosterone pada wanita pula akan mendinginkan nafsu syahwat, kurang teransang, kulit kering, dan rambut rontok dan mudah rosak.

Bagi wanita, Zn membantu tubuh menggunakan hormon peranakan, iaitu 'oestrogen' dan 'progesterone'. Zn bukan sahaja menyumbang kepada nafsu syahwat wanita, tetapi juga bertanggungjawab kepada beberapa perubahan fasa-fasa yang dilalui oleh wanita sejak dari aqil baligh, kemunculan jerawat, penghasilan suara wanita, kedatangan dan pusingan haid, perkembangan ovari, kehamilan, peranakan dan penyusuan. Kekurangan Zn boleh menyebabkan ketidak-saimbangan hormon, menghalang kelancaran metabolisma protein, yang mengakibatkan penghasilan ovari yang kurang berkualiti.

4     Zn ‎| Anti-Oksidan.     Zn memiliki ciri-ciri anti-oksidan. Ia juga merupakan komponen utama kepada enzim anti-oksidan.

Zn menjadi sebahagian dari komponen struktur selaput sel dan protein; kekurangan Zn dalam selaput sel akan mendedahkan selaput tersebut kepada kerosakan oksidasi dan menjejaskan struktur dan fungsi selaput.

Zn membantu melumpuhkan radikal bebas dan membantu menghasilkan 'gluthione' yang bertindak menyerap dan menyirna radikal bebas. Zn juga terlibat dalam penghasilan enzim anti-oksidan ‎‎‘superoxide dismutase’ (SOD), yang berkuasa melindungi semua ‎jenis sel yang terdedah kepada ‎bebanan oksidasi termasuk sel-sel kulit. Radikal bebas bahaya kerana ia boleh merubah sel-sel normal menjadi sel-sel kanser dengan cara merosaki DNA.

Zn juga didapati berperanan dalam aktiviti sel-sel luluh sendiri (apoptosis), satu proses penting di mana sel-sel yang bermasalah luluh sendiri dan keadaan ini sangat baik bagi memelihara pertumbuhan dan perkembangan sel-sel sihat dan mengawal rebakan sel-sel berpenyakit.

Nilai-nilai anti-oksidan Zn dapat melindungi tubuh dari pra-matang usia, penuaan pada kulit, kataract, kemerosotan mata, kanser, dan berbagai jenis masalah yang disebabkan oleh radikal bebas.

Zn juga membantu me-nyah toksin dari tubuh, toksin seperti cadmium, arsenic, pelumbum, raksa, dan alkohol.

5     Zn | Fungsi Otak dan Saraf. ‎       Zn mempunyai pengaruh besar ke atas fungsi otak, sebab ia ‎bergandingan dengan vitamin B6 bagi memastikan fungsi penghantar saraf (neurotransmitter) berhubungan ‎dengan seluruh tubuh. Zn juga pekat dalam 'hippocampus' (bahagian hadapan otak) yang mengawal daya pemikiran dan ‎ingatan. Zn juga berperanan dalam sistem isyarat sel, mempengaruhi pengeluran hormon dan penghantaran dorongan gerak (impulse) dari saraf.

Zn membantu tubuh menghasilkan asid lemak omega 3 yang penting bagi otak berfungsi dengan baik. Zn selalu digunakan bagi merawat schizophrenia, lembab otak/dyslexia, Alzheimer, gagap/autism, patah hati/apathy, tekanan jiwa, dan untuk menambah daya pembelajaran dan ingatan. Kajian dari University of Toronto, dalam jurnal Neuron menunjukkan Zn mempunyai peranan besar dalam mengurus sel neuron berkomunikasi dengan yang ‎lain, memberi pengaruh kepada daya pemikiran dan ingatan seseorang individu. ‎

6     Zn ‎| Kulit. ‎    Zn sangat berpengaruh pada kesihatan kulit. Samada ‎dibekalkan kepada tubuh melalui bahan-bahan makanan alami, supplemen, atau sapuan krim, Zn menyumbang kepada pemeliharaan dan kesembuhan dari berbagai jenis penyakit kulit. Antaranya:

1)  Jerawat.  Zn didapati berkesan merawat dan menghilangkan jerawat biasa dan jerawat batu. Zn adalah zat yang mengurus aktiviti kelenjar-kelenjar penghasil minyak dan kadar hormon dalam lapisan kulit. Minyak dan hormon adalah 2 ‎penyebab utama kepada timbulnya jerawat. Jerawat mudah timbul apabila lebihan minyak yang keluar dari kulit menjadi terhalang. Zn beserta zat-zat makanan lain boleh mengurangkan pengeluaran minyak. Zn juga memelihara kesaimbangan hormon dan mengurangkan kesan ‘androgenic hormon’ ke ‎atas kulit yang menyebabkan timbul jerawat. Zn juga mengawal kadar hormon steroid ‘testosterone’ dalam tubuh, iaitu hormon yang ‎juga dikaitkan sebagai penyebab timbul jerawat. Justru, Zn menghalang timbulnya jerawat.

Zn merawat dan menyembuhkan jerawat yang sudah timbul. Luka disebabkan jerawat adalah ‎tarikan pada jangkitan bakteria dan virus, dan Zn meransang penghasilan sel-sel darah putih untuk ‎melawan jangkitan.

Setiap bintik jerawat akan meninggalkan parut. Zn membantu mengurangkan kesan parut, dan juga bengkak merah dari radang jerawat. Jenis zinc gluconate dan zinc sulfate sering digunakan bagi merawat, menyembuh parut ‎jerawat, dan mengurangkan radang kulit pada jerawat. Satu kajian, disiarkan dalam JAMA (Journal of the American Medical Association), menunjukkan bahawa penggunaan zinc sulfate bagi merawat jerawat membuahkan hasil yang memberansangkan.

Namun begitu, perlu di ingat, manfaat Zn tidak berlaku pada semua individu. Zn mungkin berkesan dan sesuai bagi setengah individu, manakala pada individu lain tidak lansung menunjukkan sebarang kesan.

2)  Rosacea.  Rosacea samar puncanya, begitu juga kaedah mengubatinya. Ia di anggap masalah kulit yang tidak mudah di rawat. Meskipun begitu, rebakannya masih boleh di kawal. Rosacea terjadi kerana kekacauan pada sistem dalaman tubuh. Cara proses 'cathelicidin' (sejenis protein halus dalam kulit) didapati agak berbeza dari kebiasaan pada setengah individu. Proses tersebut yang mencetuskan radang kulit rosacea.

Selalunya, kulit rosacea lebih sensitif dan mudah berlaku keradangan dari kulit jerawat. Rosacea kian semarak dengan panahan sinar matahari, hawa panas, makanan pedas, alkohol, stres, kafein dan asid sitrik. Krim pelindung dari cahaya matahari yang mengandungi zinc dan titanium juga didapati lebih berkesan sebagai pelindung dari cahaya matahari. Krim zinc sulfate didapati menjadi pilihan yang baik bagi merawat rosacea, kerana ia di anggap masih selamat, berkesan dan tidak menunjukkan kesan sampingan yang merbahaya.

Oleh kerana gejala jerawat dan rosacea hampir sama, maka ubat-ubatan yang digunakan juga kebanyakannya sama. Dalam satu kajian, pengambilan supplemen zinc, dos sebanyak 23 mg, 3 kali/hari, untuk jangkamasa 3 bulan, boleh mengurangkan keparahan rosacea kira-kira 75%.‎

3)   Eczema.  Salah satu penyebab eczema ialah kekurangan Zn dalam tubuh. Eczema atau 'Eczema Hypertrophicum' atau 'Dermatitis.' Eczema adalah istilah kepada beberapa jenis penyakit atau masalah radang kulit berbentuk kulit kering, panas, berkuping, lebam, ‎kasar, menebal, kemerahan, bintik-bintik gatal yang sangat terdorong untuk di garu, luka, berair, berdarah, dan bernanah. Kesembuhan bersifat sementara. Boleh timbul kembali dan semakin merebak. Setiap bintik yang sembuh akan meninggalkan parut kehitaman, memakan masa untuk kembali ke tona dan warna asal kulit.

Kekurangan Zn juga disebabkan oleh kekurangan vitamin A dan D. Kekurangan vitamin A dan D sering terjadi pada pesakit eczema. Bila 2 zat gizi ini berkurangan, Zn akan turut berkurangan.

Keberkesanan Zn merawat eczema terletak juga pada peranannya dalam enzim yang terlibat dalam metabolisma asid lemak. Enzim yang bergantung kepada Zn diperlukan bagi menghasilkan asid lemak. Beberapa kajian mendapati kadar enzim ini sangat berkurangan pada pesakit eczema. Asid lemak perlu (EFA) seperti asid lemak omega-3 dikenali mempunyai nilai-nilai anti-keradangan. Bila EFA bretambah, maka gatal-gatal dan keradangan eczema pun berkurangan.

Bagi merawat eczema, supplemen Zn dalam dos yang tinggi diperlukan. Chelated zinc adalah pilihan paling baik kerana dalam chelated zinc, Zn bergabung dengan asid amino bagi membantu membawa Zn melalui laluan perut dan usus. Meskipun kajian-kajian ke atas supplemen Zn banyak menimbulkan keputusan yang berbeza, namun banyak pesakit eczema melapurkan kesembuhan yang baik melebihi rawatan biasa. Zn berjaya mengurangkan gatal-gatal dan radang kulit. Satu kajian yang disiarkan dalam jurnal Contact Dermatitis, 1999, 73% dari pesakit eczema "sembuh" dari semarak eczema dengan mengambil zinc 60 mg/hari untuk jangkamasa 1 bulan. Baki pesakit juga menunjukkan kesan positif.

Satu kajian lain yang disiarkan dalam Turkish Journal of Dermatology 2009 - menunjukkan pesakit ‎eczema mempunyai kadar zinc, selenium dan besi yang sangat rendah; 3 zat gizi penting yang ‎terlibat dalam setiap proses metabolisma tubuh. Kajian tersebut berpendapat pengambilan ‎supplemen 3 zat galian tersebut boleh merawat eczema. Demikian juga pendapat menurut kertas kajian ‎sebelumnya yang disiarkan dalam British Journal of Dermatology 1981. ‎

Beberapa kajian lain telah mengesahkan bahawa pengambilan supplemen zinc membantu ‎mengurangkan eczema. Begitu juga dengan krim sapuan. Menurut satu kajian yang disiarkan dalam ‎Journal of the European Academy of Dermatology and Venereology, 2008, menunjukkan sapuan ‎dari campuran clobetasol + zinc sulfate berkesan merawat dan mengurangkan eczema. Kemungkinan muncul kembali juga berkurangan. Gatal-gatal, berkeruping dan radang merah eczema juga semakin pudar. ‎

7       Zn | Tulang, Rambut dan Kuku.    Zn membantu proses "penggizian tulang" yang menggabungkan zat-zat galian untuk menjadikan tulang dan gigi tumpat, keras dan kuat. Zn merawat mana-mana tulang yang retak. Zinc juga berperanan membantu tubuh menghasilkan hormon 'calcitonin' bagi mengatur kesihatan tulang.

Sepertimana kulit, rambut dan kuku juga sentiasa tumbuh. Zn terlibat dalam penghasilan keratin ‎yang diperlukan bagi menghasilkan kulit dan kuku yang sihat. Kekurangan kadar Zn dalam tubuh boleh mengakibatkan keguguran rambut, atau rambut kelihaan tipis, sebam dan cepat beruban. Bagi mereka yang mengalami pertumbuhan rambut yang lembab, kuku rapuh atau keguguran rambut boleh dirawati dengan pengambilan supplemen Zn.

8      Zn | Kelenjar Prostat. ‎     Punca sebenar penyakit prostat masih samar. Yang pasti, kelenjar prostat dan air mani mengandungi kepekatan Zn yang sangat tinggi dalam ‎tubuh. Bagi pesakit prostat, kadar Zn dalam kelenjar prostat didapati cuma 1/10 daripada kadar Zn yang normal. Maka kekurangan Zn dikaitkan dengan penyakit prostat.

Maka ramai orang beranggapan pengambilan supplemen Zn dapat merawat berbagai masalah ‎prostat dan mati pucuk. Berbagai produk dalam pasaran harini mengandungi Zn dan sering ‎diwarwarkan dapat membantu merawat prostat membesar, mencegah kanser prostat, menghidupkan kembali 'mati pucuk', memberi daya ‎kekuatan seks, menambah air mani. Sebaliknya, ada kajian menunjukkan ‎bahawa pengambilan Zn yang berlebihan boleh menyebabkan kanser prostat. ‎Menurut kajian dari National Cancer Institutes, disiarkan dalam jurnalnya, mendapati lelaki yang mengambil ‎lebih dari 100 mg Zn setiap hari atau yang mengambil supplemen zinc lebih dari 10 tahun ‎menghadapi 2 kali ganda risiko mengidap kanser prostat yang parah.

Sebaliknya, beberapa ujikaji sains ke atas pesakit prostat, dos 50-100 mg/hari yang diberikan selama 0.5 - 4 bulan menunjukkan kesan positif setinggi 70%.‎ Kajian lain juga menunjukkan ketumbuhan tumor prostat berkurangan apabila ‎kadar Zn yang normal kembali hadir didalam sistem tubuh. Dan disarankan mengambil 15 mg zinc ‎setiap hari, bila mengalami masalah prostat. ‎Dos supplement Zn yang ideal masih tidak diketahui. Tetapi setengah doktor menyarankan 30 mg, 2 kali/hari. Bagi jangkamasa panjang, supplemen Zn perlu bersama 1–2 mg/hari tembaga bagi mengelak dari kekurangan tembaga.

9     Zn | Sistem Peranakan.      Zn penting dalam ‎perkembangan dan fungsi sistem peranakan. Kaitan antara kadar Zn dalam darah dan kualiti sperma dalam air mani masih belum jelas ‎dan banyak pertikaian.

Kesuburan Lelaki.  Zn didapati paling pekat dalam air mani ‎dan kelenjar prostat lelaki. Zn diperlukan bagi menghasilkan air mani dan perkembangan organ seks ‎lelaki. Kandungan kadar Zn dalam air mani didapati sangat rendah pada lelaki yang tidak subur/impoten. Kandungan kadar Zn didapati tinggi pada lelaki yang mempunyai banyak jumlah sperma dalam air maninya.

Beberapa kajian ‎menunjukkan pengambilan supplemen Zn telah mempertingkat keperkasaan, ketangkasan dan ‎pertambahan jumlah sperma dalam air mani. Bagi lelaki yang kurang subur, dengan pengambilan supplemen Zn 240 mg/hari telah menambah jumlah ‎bilangan sperma, dan mampu menghamilkan. Dalam kajian lain, bagi lelaki yang mempunyai jumlah sperma ‎yang rendah, dengan pengambilan 2 kali 57 mg/hari, selama 3 bulan, telah menunjukkan peningkatan pada ‎kualiti sperma, jumlah sperma, ketangkasan sperma, dan sperma mampu menghamilkan. ‎Bagaimanapun, ‎kajian-kajian tersebut hanya terhad pada kelompok lelaki yang terhad, hasil kajian belum ‎boleh dijadikan garis panduan.

Namun, kajian-kajian lain pula menunjukkan 60 mg Zn setiap hari (bersama 2 mg tembaga, bagi menghalang hakisan Zn) mengakibatkan jumlah sperma berkurangan dan mati pucuk. Justru, hubungan antara Zn dan jumlah dan kualiti sperma masih kontroversi.

Kesuburan Wanita.  Manakala bagi kaum wanita pula, Zn menyumbang kepada setiap fasa ‎sistem peranakan, termasuk fasa-fasa kehamilan, kelahiran dan penyusuan. ‎Zn sangat penting sewaktu kehamilan, kerana Zn terlibat dalam urusan baik-pulih dan fungsi DNA. Ia mustahak bagi meransang ‎pembiakan sel-sel dan bagi membangunkan komponen-komponen utama sel-sel sewaktu fasa-fasa ‎kehamilan. Banyak perkembangan dan aktiviti enzim sewaktu kehamilan yang menjadikan Zn ‎sebagai salah satu zat makanan yang utama dan penting bagi janin dalam kandungan dan wanita hamil.‎ Zn juga masih penting sewaktu fasa penyusuan bayi, bagi memastikan sel-sel yang sihat terus dihasilkan bagi membantu aktiviti penyusuan.

Sindrom PMS (premenstrual syndrome) dapat dikurangkan dengan pengambilan Zn yang mencukupi. Wanita kehilangan Zn melalui ‎pengeluaran bersama darah haid, tetapi bukan kehilangan yang begitu banyak.

10      Zn | Tumbesaran.     Zn diperlukan untuk aktiviti lebih dari 100 jenis enzim (Zn metalloenzymes) dimana Zn berada di lokasi yang paling aktif seperti di DNA polymerase, RNA polymerase, dan thymidine kinase. Secara amnya, Zn berfungsi sebagai pemacu, pemacu-gandingan, dan/atau fungsi struktur dalam Zn metalloenzymes. Oleh kerana enzim-enzim ini penting untuk penghasilan protein, asid nucleik, dan percambahan sel-sel, maka Zn di anggap mustahak untuk tumbesaran. Di samping itu, beberapa ratus jenis protein yang ber-nucleus Zn juga terlibat dalam ekspresi gene untuk pelbagai jenis protein.

Tumbesaran terbantut (tubuh lambat meninggi, dan kurang berat badan) merupakan gejala biasa akibat dari kekurangan Zn di kalangan kanak-kanak. Meskipun mekanisma bagaimana kekurangan Zn mempengaruhi tumbesaran yang terbatas masih belum dapat dipastikan, namun kajian menunjukkan bahawa kehadiran Zn mempengaruhi sistem-sistem isyarat sel yang bergandingan dengan tindak-balas hormon tumbesaran, iaitu faktor tumbesaran seperti insulin IGF-1 (insulin-like growth factor-1).

Oleh yang demikian, Zn sangat diperlukan ketika kehamilan, untuk tumbesaran janin yang mana sel-sel sangat aktif bercambah-biak. Zn juga membantu mengurangkan masalah sewaktu kehamilan dan kelahiran pra-matang. Bagi kanak-kanak, mereka membesar lebih cepat dari orang dewasa, maknanya mereka memerlukan lebih banyak Zn untuk membolehkan sistem tubuh mereka menghasilkan tisu-tisu sel yang baru. Zn juga diperlukan untuk menghasilkan hormon tumbesaran. Beberapa kajian menunjukkan kanak-kanak yang tidak mendapat Zn yang mencukupi lebih cenderung kepada terbantut tumbesaran/dwarfism. ‎‎

11       Zn | Mata dan Penglihatan. ‎       Kepekatan Zn yang tinggi terdapat dalam retina mata. Apabila meningkat usia, Zn semakin berkurangan, menjadi penyebab kepada rabun malam, kataract dan kemerosotan mata atau 'age-related macular degeneration' (AMD). Gejala AMD; hilang penglihatan/buta atau kabur.

Vitamin A merupakan zat penting bagi memperbaiki penglihatan, meransang beberapa ‎jenis enzim. Namun, vitamin A tidak mampu berfungsi tanpa kehadiran Zn. Kekurangan Zn ‎mengurangkan aktiviti ‘retinol dehydrogenase’, sejenis enzim yang diperlukan bagi membantu ‎tindak-tanduk vitamin A ke atas mata. Menurut satu kajian yang disiarkan dalam Archives of Ophthalmology, Zn turut penting bagi menghalang kerosakan pada sel-sel dalam retina mata, dengan ‎demikian memperlambat perkembangan AMD dan buta.

Bagi mereka yang kekurangan Zn dan mengalami rabun malam, para doctor menyarankan ‎pengambilan 15-30 mg Zn setiap hari bagi membantu menyihatkan mata dan memelihara penglihatan. ‎Supplemen Zn pada jangka masa panjang, boleh mengurangkan kadar tembaga, justru 1-2 mg supplemen ‎tembaga bersama dengan supplemen Zn disarankan bagi mereka yang mengambil supplemen Zn melebihi beberapa ‎minggu.

12      Zn | Deria Rasa, Bau, Selera Makan.       Sesuatu yang unik tentang Zn ialah ia menyumbang kepada deria rasa, bau dan selera makan.‎ Zn mengaktifkan bahagian otak yang menerima dan memproses maklumat dari sensor perihal rasa dan bau. Salah satu enzim penting yang bertanggungjawab mengendali fungsi deria rasa dan bau ialah ‎enzim yang bergantung kepada Zn, iaitu ‘carbonic anhydrase' (CA) VI’.

Sekiranya ‎Zn berkurangan dalam tubuh, maka enzim ini tidak dapat berfungsi dengan wajar mengakibatkan hilang deria rasa dan ‎bau. (CA) VI berfungsi meransang sel-sel stem menjadi matang dan memelihara fungsi rasa dan ‎bau. Beberapa kajian mendapati bahawa dengan tambahan kadar Zn yang tinggi boleh ‎mempertajam kedua deria ini dan berfungsi dengan lebih optima.

‎Kekurangan Zn juga didapati kepada orang yang mengalami anorexia atau bulimia (kekacauan yang berkait-rapat dengan hilang deria rasa, bau dan selera makan). Zn digunakan bagi merawat anorexia. Dos supplemen 50 mg Zn setiap hari (bersama dengan 1 - 3 ‎mg tembaga setiap hari) selama beberapa minggu boleh menanggani masalah anorexia atau bulimia.

13      Zn | Sistem Penghadaman.      Zn membantu penghasilan asid perut dan enzim-enzim penghadaman dalam pancreas, menjadikan penghadaman lebih lancar. Penghasilan asid perut yang saksama boleh menghindar dari beberapa masalah kesihatan, seperti pedih ulu hati (heartburn). ‎Kekurangan Zn boleh menyebabkan cirit-birit yang parah. Dan cirit-birit pula boleh ‎mengurangkan kadar Zn dalam tubuh.

Usus kurang mampu menyerap Zn disebabkan masalah berlaku pada flora usus. Kajian-kajian menunjukkan pathogens (mikrob mudharat) seperti bakteria dan kulat telah berkoloni dalam usus menggantikan bakteria manfaat. Pathogens, terutama staphylococcus aureus dan candida albicans, seterusnya memusnahkan flora yang sihat serta lapisan-lapisan tisu usus (gastrointestinal mucosa). Kerosakan ini menyebabkan usus kurang mampu menyerap zat-zat makanan termasuk Zn. Laluan juga menjadi mudah bagi makanan kurang hadam, toksin dan pathogens memasuki kedalam darah. Keadaan ini dikenali sebagai Sindrom Perut Tiris (Leaky Gut Syndrome). Zn meransang pengeluaran asid perut hydrochlorik. Keadaan ini membantu mengembalikan pertumbuhan flora yang sihat sementara pathogens beransur disingkirkan. Apabila flora yang sihat sudah mampu berfungsi, Zn membantu mengatasi sindrom perut tiris. Keadaan ini akan meruntuhkan koloni bakteria dan sekaligus mengurangkan reaksi keradangan pada kulit yang menyebabkan eczema.

14      Zn | Sistem Kekebalan.     Sistem kekebalan sentiasa memerlukan Zn untuk terus berfungsi dengan berkesan. ‎Di kalangan semua vitamin dan zat gizi, Zn paling berpengaruh pada sistem kekebalan tubuh. Zn terlibat dalam penghasilan sel-sel darah putih dan meningkat keberkesanan fungsi sel-sel kekebalan. ‎Zn  bertindak mengaktifkan T lymphocytes (sel-sel T) untuk melindungi tubuh, mengurus tindak-balas sistem kekebalan, menyerang sel-sel kanser atau sel-sel yang dijangkiti. Justru, Zn banyak terdapat dalam sel-sel darah putih dan merah.

Sebagai faktor gandingan kepada 100 jenis enzim, Zn mempengaruhi berbagai fungsi organ dalam jaringan sistem ‎kekebalan tubuh. Umpamamya, faktor gandingan menghasilkan enzim ‎‎‎‘adenosine deaminase’ (ADA), yang berfungsi memberi isyarat kepada sel-sel T ‎untuk siap-siaga mempertahankan tubuh dari jangkitan.‎

Kekurangan Zn pasti menjejas dan melumpuhkan fungsi sistem kekebalan. Jumlah sel-sel T akan berkurangan, yang sedia ada menjadi lemah untuk melawan sebarang jangkitan. Sel-sel T tidak mampu mengenal-pasti anasir asing yang mudharat. Menurut satu kajian yang ‎disiarkan dalam American Journal of Clinical Nutrition, "orang yang kekurangan Zn lebih ‎terdedah kepada berbagai jenis pathogens (mikrob mudharat)".‎

Zn meransang aktiviti sel-sel darah ‎putih, maka amat sesuai bagi mengurangi selsema dan jangkitan lain. Supplemen Zn membantu mengurangkan keparahan selsema berpanjangan, mengurangkan jumlah 'cytokine' yang meransang keradangan yang menambah keparahan selsema atau jangkitan-jangkitan lain. Lozenge Zinc didapati dapat menyingkatkan masa jangkitan selsema sehingga 40%, menurut satu kajian yang ‎disiarkan dalam jurnal Open Respiratory Medicine Journal.‎

Dos Saranan


Dos saranan Zn yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:
  • 6.7 mg/hari bagi lelaki dewasa
  • 4.9 mg/hari bagi wanita dewasa.
Dos ini di kira sesuai untuk warga Asia Tenggara amnya. Manakala untuk warga Barat, terutama USA, dos saranan (RDA) untuk lelaki dewasa ialah 11 mg/hari dan untuk wanita dewasa 8 mg/hari.

Kekurangan Zinc


Punca kekurangan Zn selalunya disebabkan:
  • Permakanan yang kurang Zn. Zinc ‎chelator phytate (terkandung dalam bijian dan serat makanan) boleh mengganggu penyerapan Zn.
  • ‎Kurang mampu menyerap Zn, acrodermatitis ‎enteropathica iaitu kurang mampu menyerap Zn disebabkan faktor genetik, kekalutan sistem darah dari faktor genetik, penyakit hati dan ginjal kronik, penyakit kulit, kencing manis, kanser, masalah jangkitan dan penyakit kronik yang lain.
  • ‎Usus kurang mampu menyerap Zn disebabkan flora usus dikuasai oleh pathogen (bakteria mudharat).
  • Kekurangan vitamin A dan D menyebabkan kurang penyerapan Zn.
  • Faktor gayahidup seperti stres, tekanan jiwa, terlalu banyak aktiviti seks, alkohol.
Lebihan Zinc


Walalupun Zn merupakan keperluan yang sangat penting bagi kesihatan, akan tetapi lebihan Zn ‎juga boleh memudharatkan kesihatan.‎

Keracunan Zn.  Keracunan Zn boleh timbul samada dalam bentuk parah atau kronik.
  1. ‎Kesan sampingan dari pengambilan Zn yang berlebihan seperti: pening, loya, muntah, hilang ‎selera makan, perut cramp, cirit-birit dan sakit kepala. Satu kes yang dilapurkan seseorang ‎telah mengalami pening, loya dan muntah yang parah selama 30 minit selepas mengambil 4 gm ‘zinc ‎gluconate’ (bersamaan 570 mg zinc alami). ‎
  2. ‎Penyerapan Zn yang berlebihan boleh menghalang penyerapan zat tembaga dan besi. ‎Pengambilan 150–450 mg Zn/hari telah dikaitkan dengan kekurangan kronik pada ‎kadar zat tembaga, perubahan fungsi zat besi, fungsi kekebalan tubuh yang kurang berkesan, dan ‎kekurangan kadar kolesterol manfaat LDL (high-density lipoproteins) dalam tubuh. ‎
  3. ‎Ion Zn yang bebas dalam cecair sangat beracun kepada kehidupan. Ion Zn sangat tinggi ‎kuasa asid (asid Lewis) sehingga boleh menyebabkan kekaratan. Asid dalam perut mengandungi ‎asid hydroklorik di mana logam Zn mudah larut dan menghasilkan karat ‘zinc chloride’. Karat ‎ini sangat berbisa dan beracun, boleh menyebabkan kerosakan pada dinding perut dan usus, dan ‎boleh membawa akibat maut. Terdapat kes yang dilapurkan, seseorang maut apabila perut dan usus ‎rosaknya akibat dari menelan syiling zinc. Peurt dan usus yang rosak telah terdedah kepada jangkitan bakteria dan kulat dalam perut dan usus. Manakala dalam ‎kes yang lain, seseorang mengalami kelesuan melampau dan ataxia (hilang kesaimbangan pada pergerakan ‎otot.
  4. ‎Keracunan Zn juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf penerima ‘nerve ‎receptors’ dalam hidung yang menyebabkan anosmia (hilang deria bau). Keadaan ini boleh ‎membawa bahaya kerana tidak mampu menghidu atau menangkap bau seperti ketirisan gas, asap, ‎dan tidak dapat membezakan makanan yang sudah basi atau tercemar sebelum memakannya.‎
Oleh kerana tidak terdapat sumber dari pihak berwajib atau dari Kementerian Kesihatan malaysia, maka data rujukan di buat pada FNB (Food and Nutrition Board, Institute of Medicine, dari Medicine of the National Academies (dahulunya dikenali sebagai National Academy of Sciences)). FNB telah menggariskan had maksima yang masih selamat untuk pengambilan Zn. Sebagai garis panduan, pengambilan jangkamasa panjang ‎melebihi had maksima akan meningkatkan risiko kesan-kesan negatif pada kesihatan. Had maksima tersebut tidak ‎terpakai pada individu yang menerima rawatan ubat-ubatan dari doktor pakar.‎

Interaksi Zn dengan Ubat-Ubatan. ‎‎  Pengambilan supplemen Zn boleh mempunyai kesan interaksi dengan beberapa jenis ubat-ubatan lain. ‎‎
  1. Antibiotik. Antibiotik quinolone (seperti Cipro®) dan tetracycline (seperti Achromycin® dan ‎Sumycin®) mempunyai interaksi dengan Zn dalam saluran perut dan usus. Akibat dari interaksi ini, penyerapan Zn dan juga antibiotik kedua-duanya terhalang. Antibiotik perlu di ambil sekurang-kurangnya ‎‎2 jam sebelum atau 4–6 jam selepas supplemen Zn bagi mengurangkan interaksi ‎tersebut. ‎‎
  2. Penicillamine. Zn mengurangkan penyerapan dan tindakan penicillamine, iaitu ubat bagi merawat rheumatoid arthritis. Bagi mengurangkan interaksi ini, supplemen Zn ‎di ambil sekurang-kurangnya 2 jam sebelum atau selepas penicillamine.‎
  3. Diuretics/Ubat Lawas Kencing. Ubat lawas kencing seperti chlorthalidone (Hygroton®) dan ‎hydrochlorothiazide (Esidrix® and HydroDIURIL®) akan menambah pengeluaran Zn dari tubuh melalui ‎air kencing sehingga kira-kira 60%. Pengambilan ubat lawas kencing yang berpanjangan boleh mengurangkan kadar Zn dari ‎tubuh. ‎
Sumber Zinc


Sumber Alami.   Zat-zat makanan sepatutnya didapati dari sumber alami. Makanan dari sumber alami mengandungi, bukan hanya vitamin-vitamin dan zat-zat gizi yang penting, tetapi juga serat makanan dan bahan-bahan alami lain yang turut menyumbang kepada kesihatan tubuh. Supplemen, vitamin atau zat gizi, hanya menjadi mustahak sebagai tambahan apabila timbul situasi khusus yang memerlukannya.‎

Zn boleh diperdapat dalam berbagai jenis makanan alami. Makanan yang paling tinggi kandungan ‎Zn adalah :‎
  • Makanan Laut - paling banyak dalam Tiram, Ketam ‎
  • Daging – Lembu, Kambing Biri-Biri
  • Hati Lembu, Kambing‎
  • Wheat Germ (Gandum) Kering ‎
  • Bayam, Kobis, Serai, Halia/Jahe, Alfalfa, Seleri, Mustard, Cendawan
  • Kuaci Labu, Kuaci Squash (Jenis Labu), Kuaci Tembikai/Semangka, Kuaci Biji Matahari, ‎Bijian Bijan, Kaskas  ‎
  • Kacang Tanah, Badam, Gajus, Kacang Hazel, Walnut ‎
  • Koko dan Coklat Kehitaman ‎
  • Jenis Kekacang,- Kacang Hijau, Kacang Kidney (Ginjal) dll.‎
Supplemen Zn.    Supplemen Zn yang ideal masih belum dapat dipastikan. Sebahagian doktor menyarankan ‎‎30 mg 2 kali sehari bagi menghalang hakisan Zn. Bagi jangkamasa panjang, supplemen Zn ‎memerlukan 1–2 mg tembaga setiap hari bagi mencegah kekurangan tembaga. ‎

Zn juga boleh didapati dalam bentuk supplemen kapsul atau tablet. Bagaimana pun, individu ‎yang sihat tidak perlu mengambil supplemen melebihi dari 20 mg setiap hari, meskipun U.S. ‎National Research Council telah menetapkan had maksima masih selamat (Tolerable Upper Intake) sebanyak ‎‎40 mg/hari. ‎

Beberapa kajian tentang keberkesanan supplemen Zn dapat dirumuskan seperti berikut :‎
  • Pilihan Pertama : ‘zinc glycinate’ menjadi pilihan kerana paling mudah diserap oleh tubuh.
  • Pilihan Ke-2 : ‘zinc picolinate’ lebih mudah di serap berbanding ‘zinc gluconate’ dan ‘zinc ‎citrate’.‎
  • Pilihan Ke-3 : ‘zinc oxide’ dan ‘zinc carbonate’ sukar di serap oleh tubuh dibandingkan ‎dengan ‘zinc acetate’ dan ‘zinc sulfate’.
Namun, kemujaraban zinc oxide, zinc stearate, dan zinc sulfide masih dipersoalkan oleh ‎badan penasihat kepada United States Food and Drug Administration. ‎
________________________________________

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...