| ||
| ||
| ||
| ||
| ||
|
Kacang Kelisa/Botol/Botor/Jaat kurang dipedulikan. Sebenarnya ia hebat, berkhasiat, sarat zat: *Kalsium *Besi *Magnesium *Manganese *Fosforus *Zinc *Thiamin (B1) *Riboflavin (B2)
Kacang Kelisa
Kacang ini, didaerah utara semenanjung Malaysia, lebih mengenalinya sebagai Kacang Kelisa. Ia juga rata-rata dikenali sebagai Kacang Botol.
Nama botani Kacang Kelisa @ Kacang Botol ialah Psophocarpus tetragonolobus, dari kerabat Psophocarpus, yang terdiri dari 6-9 jenis spesis, masing-masing memiliki sedikit berbeza.
Indonesia mengenalinya dengan berbagai nama; kacang botor, kacang belimbing, kacang embing, jaat (Sunda), cipir, cicipir, kěcipir (Jawa), kacang sirek atau kalkang, kelongkang, biraro dan banyak lagi. Inggeris menyebutnya winged bean, winged pea, four-angled bean (merujuk pada 4 cuping buahnya), manila bean, mauritius bean, goa bean dan asparagus pea.
Kacang kelisa ialah tumbuhan kekacang tropika yang dipercayai berasal dari Papua New Guinea. Pokok ini tumbuh dengan subur dalam iklim tropika hujan panas dan lembab; di negara-negara khatulistiwa Asia Tenggara sehingga ke Asia Selatan seperti India dan Sri Lanka, dan Jepun yang menyebutnya ryukyuan atau shikaku-mame, Africa dan Latin Amerika.
Pohon kacang kelisa tumbuh secara menjalar merembat. Buahnya memanjang, mempunyai 4 cuping. Sepanjang setiap tepi cuping bergerigi kecil lembut, mengandungi banyak biji benih tersusun didalamnya. Bijiannya berbentuk bulat membujur mirip kacang soya.
Kacang kelisa berwarna hijau muda ketika masih muda, hijau gelap ketika matang, dan bertukar berwarna perang coklat apabila tua.
Permakanan Kacang Kelisa
Sebenarnya, hampir semua bahagian pohon kacang kelisa berguna dan menjadi bahan makanan oleh masyarakat dibeberapa negara:
- Kacang kelisa muda: sedap dan rangup dimakan, dan tidak liat. Lazim dijadikan ulam/lalap, digoreng, dibuat kerabu, sayuran atau dimasak dalam berbagai resepi makanan oleh masyarakat Malaysia dan Indonesia.
- Sebahagian masyarakat menjadikan bunga dan daun muda sebagai ulam/lalap. Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun dan rasanya hampir serupa dengan daun bayam. Bunganya sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri. Bunga dan daun muda mengandungi protein yang agak tinggi.
- Terdapat spesis kacang kelisa yang akarnya berubi. Ubi-ubinya berperisa seperti kacang tanah. Boleh digoreng, atau dimasak sebagai sayur berubi, hampir serupa dengan ubi kentang, tetapi lebih kaya protein berbanding ubi kentang. Ia amat digemari oleh penduduk Papua New Guinea, amat popular diMyanmar sebagai juadah makanan.
- Biji-bijian dari kacang kelisa yang tua telah diiktiraf sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi banyak protein sepertimana kacang soya. Biji-bijiannya juga boleh digoreng sepertimana kacang tanah, atau diproses seperti kacang soya iaitu dijadikan pelbagai produk yang boleh dimakan atau diminum; perlu dimasak dahulu selama 2–3 jam bagi memusnahkan 'trypsin inhibitor' dan 'hemagglutinin', anasir yang mencegah penghadaman.
- Kacang kelisa mengandungi protein yang tinggi, bukan sahaja sebagai makanan untuk manusia, bahkan sesuai dan berpotensi digunakan sebagai makanan kepada binatang ternakan, seperti ikan keli Afrika.