Turnip kaya dengan vitamin K, A, C dan B9 (Folate)
Turnip
| ||
|
Rupanya seiras dengan radish merah, radish putih, rutabaga, kohlrabi, dan beberapa jenis lobak lagi. Namun, pihak botani telah mengkelasifikasikannya sebagai spesis yang masih berbeza. Namun, ramai beranggapan turnip dari rumpun lobak yang sama.
Kebanyakan turnip yang sering didapati adalah dari jenis berkulit putih. Terdapat juga jenis yang bahagian atasnya berwarna ungu, kemerahan, atau kehijauan disebabkan pancaran matahari yang terkena pada umbi turnip sewaktu ia tumbuh membesar dan terdedah kepada cahaya matahari.
Isi umbi turnip berwarna putih sepenuhnya. Ada juga spesis turnip yang mana umbi muda berwarna oren kemerahan.
Umbi dan daun turnip, kedua-duanya boleh dimakan. Rasa turnip hampir sama dengan radish. Radish kadangkala lebih pedas dan berbau dari turnip. Rasa daun sayur turnip lebih kuat dan menusuk dari umbinya. Daun muda sayur turnip sangat sesuai dalam masakan jenis bersup. Dengan memasak umbi dan daun sayur turnip dapat mengurangkan rasa menusuk turnip tersebut.
Disegi permakanan, turnip jenis besar ditanam untuk makanan binatang ternakan. Turnip jenis kecil lebih sesuai dijadikan makanan untuk manusia.
Sebenarnya, turnip hampir sama dengan radish, lobak putih/lobak cina, rutabaga, dan kohlrabi, samada disegi rasa dan juga rupanya.
|
|
|
|
Nilai Nutrisi
Dibandingkan dengan umbi, daun sayur turnip lebih banyak mengandungi zat-zat makanan yang diperlukan oleh tubuh.
Yang amat ketara, daun sayur turnip sangat kaya dengan vitamin K; 100 gram membekalkan 368 mcg vitamin K, bersamaan dengan 350% lebih kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh manusia.
Daun sayur turnip juga kaya dengan vitamin C, vitamin A, folate, vitamin C, lutein, kalsium dan manganese.
Seperti lobak rutabaga, turnip juga mengandungi bahan 'cyanoglucoside' yang mengeluarkan 'cyanide', dengan demikian memberi rasa pahit apabila dimakan. Menurut kajian lain, rasa pahit pada turnip juga disebabkan oleh kandungan kalsium didalamnya. Daun sayur turnip mengandungi 4 kali ganda lebihan kalsium dari sayur-sayuran berkobis lain, 2 kali ganda dari mustard green (sayur sawi).
Manfaat Kesihatan
Sebagai makanan, turnip berkhasiat untuk kesihatan dan mengandungi kalori yang rendah.
1. Pencegahan dari Kanser
Jenis sayur-sayuran berlobak seperti turnip mengandungi nilai anti-oksidan dan zat kimia phyto yang tinggi. Sangat baik bagi mengurangi risiko kanser.
Zat-Zat Anti-Oksidan. Nilai anti-oksidan dalam turnip, terutama pada daun sayurnya, terletak pada vitamin C, vitamin A, vitamin E, manganese dan beta-karotin.
Zat-Zat Phyto. Umbi turnip turut mengandungi zat-zat phyto yang kompleks (bahan-bahan yang terdapat dalam makanan jenis pohon yang dapat meningkatkan kesihatan akan tetapi tidak dianggap mustahak untuk kehidupan) yang meransang aktiviti anti-oksidan, dengan demikian meneguhkan kemampuan menyirna radikal bebas dan mencegah kerosakan DNA pada sel-sel tubuh.
Daun-daun muda sayur turnip membekalkan kadar glucosinolate yang tinggi. Glucosinolate adalah zat phyto kimia semulajadi yang mengandungi belerang, yang mana apabila dihadam akan bertukar menjadi 2 bahan, iaitu indole dan isothiocyanate. Bahan-bahan tersebut membantu organ hati menyirna toksin, anasir-anasir berkanser (carcinogen) dan mencegah perkembangan sel-sel tumor. Glucosinolate membantu melindungi tubuh dari beberapa jenis kanser dan juga bermanfaat sebagai anti-kulat, anti-bakteria dan anti-parasit.
Menurut Linus Pauling Institute, indole glucosinolate boleh mengurangkan risiko kanser pada paru-paru dan kolon.
Satu kajian kultur jaringan/tissue culture yang disiarkan dalam keluaran "International Journal of Oncology", March 2012 mendapati bahawa 'brassinin', sejenis bahan indole, mampu memusnahkan sel-sel kanser pada kolon.
Satu kajian yang disiarkan dalam "Journal of Agricultural and Food Chemistry" November 2012 mendapati bahawa dari 9 jenis sayuran berkobis, daun sayur turnip muda mengandungi kadar glucosinolate ke-2 tinggi, selepas taugeh sawi (mustard sprout).
Dalam kajian yang disiarkan dalam jurnal "BJU International" keluaran August 2012 pula mendapati bahawa glucosinolate melindungi tubuh dari 'benign prostatic hypertrophy' (sejenis masalah keradangan yang membawa ke arah kanser prostat).
Kaitan antara turnip dan pencegahan kanser dapat difahami kerana turnip (terutama daun sayur) mengandungi zat-zat makanan yang meneguhkan 3 sistem tubuh yang berkait rapat dengan perkembangan dan pencegahan kanser. Apabila ketiga-tiga sistem tersebut hilang kesaimbangan, maka tubuh akan menghadapi risiko beberapa jenis kanser; seperti kanser pundi-pundi kencing, kanser payudara, kanser kolon, kanser paru-paru, kanser prostat, dan kanser rahim.
3 sistem tersebut adalah: (1) sistem nyah toksin, (2) sistem anti-oksidan, dan (3) sistem anti-keradangan.
Sistem Nyah Toksin. Zat-zat anti-oksidan menyumbang kepada aktiviti nyah toksin. Zat-zat phyto glucosinolate juga turut meransang aktiviti enzim dalam nyah toksin. Proses nyah toksin dalam tubuh adalah penting bagi menghindari dari bertambah atau timbulnya risiko kerosakan sel-sel akibat dari toksin yang akhirnya mengakibatkan sel-sel bertukar menjadi kanser.
Sistem Anti-Oksidan. Turnip, terutama daun sayur, merupakan sumber zat-zat anti-oksidan seperti vitamin C, vitamin E, beta-karotin, dan manganese. Sumbangan besar juga dari zat-zat seperti asid hydroxycinnamik, quercetin, myricetin, isorhamnetin, dan kaempferol yang terkandung dalam daun sayur turnip. Zat-zat anti-oksidan tersebut bergabung membantu mengurangkan risiko bebanan oksidasi dalam sel-sel tubuh. Bebanan oksidasi yang kronik —bermaksud kehadiran molekeul-molekeul yang aktif tindak-balas boleh merosakkan sel-sel tubuh — adalah punca timbulnya beberapa jenis kanser. Justru, daun turnip merupakan permakanan sayuran yang membantu mengurangi atau menghindari dari berlakunya bebanan oksidasi yang tidak diingini.
Sistem Anti-Keradangan. Daun sayur turnip sangat kaya dengan vitamin K, dan sumber yang baik kepada asid lemak omega-3 (dalam bentuk aisd alpha-linolenik/ALA). 2 jenis zat anti-keradangan yang berkesan. Vitamin K bertindak sebagai pengurus utama kepada urusan keradangan. Dan ALA adalah bahan binaan kepada beberapa jenis molekeul penghantar isyarat utama dalam urusan anti-keradangan. Manakala zat phyto glucosinolate bermanfaat membantu sistem anti-keradangan.
Perhatian: Turnip dan juga sayur-sayuran dari jenis kobis mengandungi glucosinolate. Kadar glucosinolate terlalu berlebihan boleh mengganggu kelenjar thyroid, melemahkan fungsi thyroid (hypothyroidism). Keadaan ini boleh mengakibatkan penghasilan sejenis bahan dikenali sebagai 'goitrin', yang bertindak menghalang penghasilan hormon thyroid. Kadar indole glucosinolate yang berlebihan dalam tubuh akan menghasilkan bahan-bahan tertentu yang boleh mengganggu penyerapan zat gizi iodine kedalam tubuh.
2. Kesihatan Jantung dan Pembuluh-Pembuluh Darah Ke Jantung
Vitamin K. Turnip memiliki nilai anti-keradangan yang tinggi kerana kaya dengan vitamin K. Khasiat ini dapat membantu menghindari dari serangan jantung, strok dan lain-lain masalah jantung.
B9/Folate. Turnip juga sumber folate terbaik, yang mana dapat membantu memperbaiki sistem jantung dan pembuluh darah kejantung. Folate adalah dari keluarga vitamin B kompleks yang sangat diperlukan bagi menyihatkan sistem pembuluh-pembuluh darah kejantung, termasuk berperanan penting dalam mencegah homocysteine bergumpal/hyperhomocysteinemia. Homocysteine ialah salah satu dari 20 jenis asid amino, kadar homocysteine terlalu berlebihan dalam darah dikaitkan dengan serangan jantung, strok, darah beku dan aliran darah tersumbat.
Vitamins E, C dan Beta-Karotin. Vitamins E, C dan beta-karotin dalam turnip merupakan anti-oksidan yang berkesan bagi melawan radikal bebas didalam tubuh. Terlalu banyak radikal bebas dalam tubuh boleh menyebabkan oksidasi LDL/kolesterol mudharat dan platelet darah menggumpal, dengan demikian boleh mengakibatkan atherosclerosis, keadaan yang boleh merosakkan saluran-saluran darah.
Merendahkan Kadar Kolesterol. Daun sayur turnip pula membantu dalam penghadaman melalui penyerapan lebih jumlah bile yang menggunakan kolesterol dalam tubuh. Keadaan ini mengurangkan kadar kolesterol dalam tubuh. Daun sayur turnip didapati mampu merendahkan kadar kolesterol dalam darah. Organ hati mengguna kolesterol sebagai bahan asas bagi menghasilkan asid hempedu. Asid hempedu adalah molekeul khusus yang menyumbang kepada pencernaan dan penyerapan lemak. Asid hempedu adalah cecair dalam pundi hempedu/gall bladder. Bila makanan mengandungi lemak memasuki sistem penghadaman, cecair asid hempedu dilepaskan kedalam usus bagi mencerna lemak dan enzim dan akhirnya diserap kedalam tubuh. Justru, bila daun sayur turnip dimakan, zat-zat yang berkaitan dengan serat bercantum dengan asid hempedu dalam usus dan kekal dalam usus lalu dikeluarkan bersama dengan najis, tidak diserap bersama lemak yang dicerna. Bila keadaan ini berlaku, organ hati perlu menggantikan asid hempedu yang hilang dengan cara menggunakan kolesterol yang sedia ada dalam tubuh. Akibatnya, kadar kolesterol menjadi rendah. Daun sayur turnip, samada dimasak atau mentah, dengan demikian merendahkan kadar kolesterol dalam tubuh. Namun, kajian terbaru mendapati daun sayur turnip lebih berkesan merendahkan kadar kolesterol dalam tubuh apabila ianya di panaskan/steamed. .
3. Manfaat-Manfaat Lain
1) Kesihatan Tulang : Turnip mengandungi kalsium dan potassium, zat-zat gizi yang penting bagi menyihat dan memelihara tulang, memelihara kesinambungan sistem kembang kuncup otot tubuh (terutama otot jantung). Kalsium juga baik untuk membantu penghasilan tisu-tisu penghubung. Amalan memakan turnip boleh mencegah dari risiko kerosakan sendi, osteoporosis dan rheumatoid arthritis.
2) Kesihatan Paru-Paru : Carcinogen adalah anasir-anasir yang menyebabkan kanser. Ia menyebabkan kekurangan vitamin A, mengakibatkan keradangan pada paru-paru, emphysema (kembang paru-paru/paru-paru berair) dan beberapa masalah pada paru-paru. Vitamin A dalam sayur daun turnip boleh membantu memelihara kesihatan paru-paru dari keradangan tersebut.
Disamping vitamin A, vitamin C dalam turnip juga turut menyumbang kepada nilai anti-keradangan, dan mengawal gejala asma. Beberapa kajian menunjukkan pengambilan turnip boleh membantu mengurangkan semput paru-paru pada pesakit asma.
3) Kesihatan Mata : Sayur daun turnip kaya dengan lutein, sejenis karotenoid yang memelihara kesihatan mata dan mencegah dari penyakit mata seperti kemerosotan macular dan katarat.
4) Kesihatan Kulit : Turnip kaya dengan vitamin A, vitamin C dan beta-karotin, dan juga zat-zat galian seperti tembaga yang mana penting bagi memelihara kesihatan kulit. Terdapat amalan memakan turnip bagi mencerahkan kulit; kerana vitamin A dan C yang tinggi membantu memelihara kulit menjadi sihat, bersinar, dan mulus. Zat anti-oksidan seperti vitamin C dapat mencegah dari radikal bebas yang menyebabkan kulit rosak, bertompok, berkedut, keriput dan mempercepatkan proses penuaan.
5) Kesihatan Rambut: Turnip menyihatkan rambut. Ia sarat dengan vitamin, anti-oksidan dan zat galian. Zat-zat anti-oksidan seperti C dan E, beta-karotin, lutein dan zeaxanthin membantu menyihatkan rambut.
6) Kesihatan Ginjal dan Mengurangkan Bau Tubuh : Terdapat amalan memakan turnip boleh memecah batu karang dalam ginjal sekiranya tidak begitu besar. Turnip dikatakan bermanfaat bagi menghakis atau mengurangkan kesan bau pada tubuh.
7) Kesihatan Sistem Penghadaman : Serat makanan dalam turnip boleh membantu menyihatkan sistem penghadaman. Kajian telah menunjukkan bahawa glucosinolate juga membantu perut memproses dan menghapus bakteria dalam usus seperti Helicobacter pylori.
8) Mengutuhkan Sistem Kekebalan Tubuh: Turnip bermanfaat untuk keutuhan sistem kekebalan tubuh secara keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment