1

Tuesday, July 15, 2014

ADA APA PADA BENDI ?

Kacang Bendi


Kacang Bendi atau Bendi, adalah antara jenis sayuran yang popular dan digemari di Malaysia. Mana-mana pasar, supermarket dan mall ada menjualnya.

Nama sains "Abelmoschus esculentus" dari kelompok pepohonan berbunga Malvaceae. Juga turut dikelasifikasikan dari kelompok pepohonan bunga raya "Hibiscus esculentus."

Bendi dimakan sebagai sayuran oleh warga dunia, dengan berbagai nama. Bhindi, dherosh di Asia Selatan (India dan Pakistan). Bamya atau bamieh di Timur Tengah. Okra, ochro, okoro, ladies' fingers, bhindi, bamia, atau gumbo bagi rata-rata negara Barat. Quimbombo di Cuba. Okura di Jepun. Qiu kui (sebutan cheeoh kway) di Taiwan dan China.

Negara asal bendi tidakdapat ditentukan, dalam pertikaian. Ada mengatakan dari Guatemala, Afrika Barat, Ethiopia, India atau Bangladesh.

Pohon bendi tumbuh subur dinegara-negara beriklim tropika, sub-tropika, dan sederhana panas. Rata-rata, pohonnya meninggi kira-kira 4 kaki (1.2 meter). Boleh mencecah setinggi 6 kaki (1.8 meter). Ada spesis yang meninggi melebihi 7 kaki (2.1 meter). Pohonnya mengeluarkan banyak buah berisikan biji-biji, tidak henti-henti sepanjang tahun. Ia sangat mudah tumbuh. Bahagian yang selalu menjadi sayuran ialah buah muda, lembut dan rapuh.

Bendi yang sering ditemui dirantau ini berwarna hijau. Terdapat juga spesis bendi yang berwarna merah, ungu pekat dsbnya, tetapi jarang ditemui. Warnanya dipengaruhi oleh kadar pigmen yang terkandung didalamnya.

Manfaat Bendi


Bendi adalah antara sayuran yang sangat rendah kalori; membekalkan cuma 30 kalori bagi setiap 100 g. Ia tidak mengandungi lemak tepu atau kolesterol.

Namun demikian, bendi kaya dengan serat makanan, zat gizi, vitamin, dan zat phyto.

Serat dan Lendir. Serat bendi bermutu tinggi bagi memelihara saluran perut dan usus. Ia membantu menyerap kembali air, memerangkap kolesterol yang berlebihan, toksin yang terhasil dari metabolisma, dan lebihan cecair hempedu. Kemudian, keluar semuanya dari tubuh melalui najis.

Bendi kaya dengan lendir yang membantu kesinambungan kembang kuncup perut dan usus bagi menggerak keluar sisa makanan yang telah dihadam.

Lendir dan serat bendi bermanfaat:
  • membantu mengimbangi gula dalam darah dengan cara menyerap gula dalam usus kecil. 
  • membantu menghindari berlakunya sembelit, melega saluran perut dan usus, mengurang radang usus, dan menyembuh ulser usus.
  • meransang percambahan bakteria bermanfaat didalam usus kecil dikenali sebagai 'probiotics' sepertimana dilakukan oleh yoghurt dan membantu penghasilan vitamin B-kompleks.

Protein. Protein dan minyak yang terdapat dalam biji-biji bendi merupakan sumber protein sayuran yang terbaik. Ia kaya dengan asid-asid amino yang menyihatkan tubuh.

Vitamin A. Bendi mengandungi sejumlah vitamin A yang menyihatkan, serta anti-oksidan dari jenis flavonoid seperti beta-karotin, xanthin dan lutein. Ia tergolong dari kalangan sayur-sayuran yang tinggi nilai anti-oksidan.

Permakanan sayur-sayuran dan buah-buahan alami yang kaya dengan flavonoid, termasuk bendi, dapat membantu:
  • melindungi dari kanser pada paru-paru dan rongga mulut.
  • penting bagi mata dan penglihatan. 
  • memelihara selaput lendir dan kulit agar kekal sihat. 

Vitamin C.  Bendi juga sumber terbaik kepada anti-oksidan vitamin C, membekalkan kira-kira 36% dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh. Kajian mendapati bahawa permakanan bahan makanan yang kaya dengan vitamin C membantu tubuh mengutuhkan sistem kekebalan tubuh, melindungi dari anasir-anasir berjangkit dan perosak radikal bebas, dan mengurangkan risiko jangkitan selsema dan batuk.

Vitamin B9/folate. Sayuran ini mengandungi vitamin B-kompleks seperti B9/folate, B3/niasin, B5/asid pantothenik, B6/pyridoxine, B2/rivoflavin, dan B1/thiamin.

Bendi kaya dengan folate; membekal kira-kira 22% dari kadar saranan harian bagi setiap 100 g. Folate perlu bagi ibu yang hamil, membantu mengurangkan berlakunya kecacatan pada tabung saraf/neural tube janin. Folate juga sangat penting bagi pembentukan dan pembinaan janin, mengukuhkan tabung saraf/neural tube janin terutama dalam masa 4-12 minggu pertama perkembangan janin dalam rahim ibu.

Vitamin K.  Bendi mengandungi vitamin K yang sangat tinggi, 53 mcg iaitu 44% kadar saranan harian harian bagi setiap 100 g. Vitamin K adalah faktor gandingan kepada enzim-enzim pembekuan darah dan juga diperlukan bagi menguatkan tulang.

Zat Gizi Manganese. Bendi juga sumber yang tinggi zat gizi manganese, setiap 100 g membekalkan sebanyak 0.990 mg bersamaan 43% dari kadar saranan harian. Ia juga sumber yang baik kepada beberapa zat gizi yang penting seperti kalsium, tembaga, besi, magnesium, fosforus, selenium dan zinc.

Kajian terkini menyatakan bahawa 'lecithin' yang terkandung dalam bendi berkemungkinan memberi tindak-balas anti-tumor pada sel-sel kanser payudara. Namun, kajian selanjutnya adalah perlu bagi memastikan nilai-nilai perubatan bendi terhadap kanser. (*Lecithin adalah komponen penting pada seluruh sel-sel tubuh dan membantu dalam metabolisma lemak untuk digunakan oleh sel-sel tubuh).

Disamping itu, beberapa kajian lain juga sedang dijalankan keatas ekstrek bendi bagi menanggani penyakit kencing manis.


1 comment:

  1. Tq info, kebetulan saya suka sgt kacg bendi, masak apa pun ok ja..tapi yg paling sedap goreng campur telur, letak asam keping supaya hilang lendir campur sikit kicap....fuhhh

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...