0

Thursday, November 29, 2012

Ayat Kursiyy & Fadhilatnya

Ayat Kursiyy, iaitu Ayat 255, Surah Al-Baqarah. Dikenali sebagai ‘Penghulu Segala Ayat-Ayat Al-Quran’.

Firman Allah SWT (Ayat Kursiyy), yang bermaksud:

[Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Maha Hidup Kekal dan Berdiri Dengan Sendirinya, tiada Dia dipengaruhi oleh rasa ngantuk dan tidur, padaNya memiliki segala apa jua di langit dan di bumi, tiada seorang pun sanggup memberi syafaat disisiNya kecuali dengan izinNya, Yang Maha Tahu apa jua di hadapan dan di belakang, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu apapun dari ilmuNya melainkan sekadar mana yang Dia kehendaki, betapa luas kursi/singgahsanaNya meliputi seluruh langit dan bumi, dan tiada jua berat bagiNya memelihara kedua-duanya, Dia Maha Tinggi lagi Maha Agung].

Ayat Kursiyy memiliki 170 huruf, 50 kalimah/kata-kata, 7 ayat. Ayat ini diwahyukan selepas hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Turunnya ayat ini diiringi oleh gerombolan 70,000 malaikat memuliakannya. Waktu ayat ini diturunkan, semua syaitan gempar, lari bertempiaran dan bertabrakan sesama sendiri, sehingga pergi mengadu kepada ketua mereka, iaitu iblis. Mereka kemudian di suruh menyiasat apa yang telah berlaku. Tiba di Madinah, tahulah mereka bahawa Ayat Kursiyy telah diturunkan untuk umat islam, sebagai perisai utuh yang akan merintangi dan menghancurkan kekuatan mereka. Alhamdulillah!!!


Pahala Membaca Ayat Kursiyy. Dari Ibnu Abbas ra, bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya pada Jibril as tentang pahala membaca Ayat Kursiyy. Jibril as pun memberitahu; "tatkala Allah SWT mencipta bumi, bumi mulanya tidak dapat menetap pada kedudukannya, sentiasa bergerak-gerak; maka Allah SWT perintahkan 70,000 malaikat untuk memegang bumi agar tidak bergerak-gerak, tetapi mereka tidak berdaya; maka ditambah lagi 70,000 malaikat, masih tidak berdaya; maka ditambah lagi 70,000 malaikat, masih juga tidak berdaya; seterusnya Allah SWT mencipta "Jabal Kaf" dan diliputi dengan dunia, disekelilingnya pula Allah SWT mencipta 440 bukit, lalu disurat Ayat Kursiyy diatasnya, maka bumi pun menjadi tetap pada kedudukannya; justru, barangsiapa membaca Ayat Kursiyy dari umatmu, baginya pahala seberat Jabal Kaf dan 440 bukit tersebut, dan pahala sebanyak tasbih-tasbih dari sekelian malaikat tersebut".

"Dan tatkala Allah SWT mencipta matahari dan bulan, maka Allah SWT perintahkan 70,000 malaikat untuk menggerakkan keduanya, tetapi mereka tidak berdaya; maka ditambah lagi 70,000 malaikat, masih tidak berdaya; seterusnya ditambah lagi 70,000 malaikat, masih juga tidak berdaya; lalu di surat Ayat Kursiyy di atas keduanya, maka matahari dan bulan pun bergerak dan berpusing menurut kedudukannya; maka barangsiapa membaca Ayat Kursiyy dari umatmu, baginya pahala bilangan sekelian malaikat tersebut dan bilangan tiap-tiap sesuatu yang disinari oleh matahari dan bulan". Demikianlah riwayat yang tersebut di dalam kitab Lam'atul Aurad.

Fadhilat Ayat Kursiyy 

Ayat Kursiyy mengandungi fadhilat yang sangat besar, luas dan serba-guna, seiring dengan kemuliaannya sebagai penghulu kepada ayat-ayat di dalam al-Quran. Banyak hadits yang menerangkan kebaikan ayat ini. Dan banyak juga kaedah amalan yang diajarkan oleh para ulamak dan guru yang telah mendapat petunjuk dan manfaat dari amalan ayat ini.

I]   Sabda-sabda Rasulullah SAW tentang manfaat ayat ini, antaranya;
  1. Sesiapa membaca Ayat Kursiyy selepas setiap solat fardu, tidak ada yang menghalangnya dari masuk syurga selain kematian.
  2. Sesiapa membaca Ayat Kursiyy apabila mahu masuk ke tempat tidur, sesungguhnya akan sentiasa ada penjaga dari Allah SWT untuknya, dan syaitan tidak akan dapat mendekatinya sehingga pagi.
  3. Sesiapa membaca Ayat Kursiyy di waktu petang/sore, dia akan aman dari kejahatan syaitan hingga ke pagi, dan sesiapa membacanya di waktu pagi, dia akan aman dari kejahatan syaitan hingga ke petang/sore.
  4. Sesiapa membaca Ayat Kursiyy, Allah SWT akan melindungnya, anak-anaknya, dan juga rumahnya, sehingga ke rumah tetangganya.
  5. Sesiapa membaca Ayat Kursiyy ketika keluar dari rumahnya, nescaya diperintahkan oleh Allah SWT 70,000 malaikat kepadanya, mereka memohon ampun baginya, mengawalnya, dan mendoakan baginya.
  6. Sesiapa membaca Ayat Kursiyy ketika keluar dari rumahnya, nescaya ditunaikan hajatnya dan diampunkan dosanya, dihilangkan kejahaatannya, diwakilkan oleh Allah SWT para malaikat mengawali dia dari tiap-tiap penyakit, kebinasaan dari jinn dan manusia dan dari tiap-tiap sesuatu yang ditakutinya.
  7. Sesiapa membaca Ayat Kursiyy ketika pulang kerumahnya, Allah SWT akan menghilangkan segala kefakiran di depan matanya.
  8. Sesiapa membaca Ayat Kursiyy tatkala dukacita dan kesusahan, nescaya dia akan di tolong oleh Allah SWT.
  9. Sesiapa membaca Ayat Kursiyy sebanyak 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah SWT akan menjaganya dari kejahatan syaitan, darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur’an sebanyak 3 kali, dan pada hari kiamat dia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia.
II]   Khasiat-khasiat Ayat Kursiyy menurut ramai alim ulama terdahulu, antaranya;
  • Imam Jaafar Shadiq r.a.: sesiapa membaca 1 kali, nescaya Allah SWT akan menghindar darinya 1,000 kesukaran duniawi, yang terkecil sekali ialah kemiskinan dan kepapaan, dan 1,000 kesukaran ukhrawi, yang terkecil sekali ialah azab neraka.
  • Syeikh Abul ‘Abas Al-Bunni: sesiapa membaca Ayat Kursiyy sebanyak kalimah atau kata-katanya (50 kali), lalu ditiupkan pada air hujan kemudian diminumnya, insyaAllah dicerdaskan akal fikirannya dan dimudahkannya menerima ilmu pengetahuan.
  • Syeikh Abul ‘Abas Al-Bunni: sesiapa yang menghadapi seteru/musuh atau bala, atau takut terhadap serangan musuh, hendaklah ia membuat garis lingkaran dengan isyarat nafas sambil membaca Ayat Kursiyy, kemudian masuk bersama jamaahnya ke dalam garis lingkaran tersebut menghadap ke arah musuh, sambil membaca Ayat Kursiyy sebanyak 50 atau 170 kali, insyaAllah musuh tidak melihat atau memudharatkannya.
  • Syeikh Abul ‘Abas Al-Bunni: sesiapa membaca Ayat Kursiyy sebanyak bilangan hurufnya (170), insyaAllah Allah SWT akan memberi pertolongan dalam segala hal, menunaikan segala hajat/tuntutannya, dan melapangkan fikirannya, meluluskan rezekinya, dan menghilangkan kedukaannya.
  • Syeikh Muhyiddin Ibnul Arabi: sesiapa membaca Ayat Kursiyy sebayak 1000 kali dalam sehari semalam selama 40 hari, maka demi Allah, demi Rasul, demi al-Quran yang mulia, Allah SWT akan membuka baginya pandangan rohani, menghasilkan apa yang dimaksud, dan berpengaruh kepada manusia.
  • Abdurahman bin Auf ra, sahabat Rasulullah SAW: sesiapa membaca Ayat Kursiyy ketika hendak tidur, dibaca pada 4 penjuru rumahnya, dan mengharap menjadi penjaga dan pelindung dari syaitan, insyaAllah selamat sejahtera. Dan mereka yang mengamalkan membaca Ayat Kursiyy 7 kali dan setiap 3 Qul 7 kali selepas selesai Solat Jumaat, insyaAllah akan mendapat hikmah dan kelebihan yang tidak terduga.
  • Mengikut keterangan dari kitab “Asrar Mufidah” sesiapa mengamalkan membaca Ayat Kursiyy setiap hari sebanyak 18 kali, insyaAllah ia akan hidup berjiwa tauhid, dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjat dan martabatnya, diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya, serta terpelihara ia dari segala bencana.
  • Ayat Kursiyy boleh dijadikan "Kota Rasulullah" atau benteng dari sebarang kemudharatan; dengan membaca Ayat Kursiyy 7 kali, 6 penjuru atas niat jadikan kota - iaitu 1 kali hembus kehadapan, 1 kali untuk belakang, 1 kali untuk kanan, 1 kali untuk kiri, 1 kali untuk atas dan 1 kali untuk bawah, dan yang ke 7 di tarik nafas ke dalam dada sebagai pelindung zahir dan batin.   
  • Jika berpindah ke rumah baru, pada malam pertama menduduki rumah itu, dibaca Ayat Kursiyy 100 kali, insyaAllah seluruh ahli keluarga akan terhindar dari gangguan jinn dan syaitan. Dan jika ke tempat yang keras/angker dikhuatiri ada penunggu, di baca Ayatul Kursiyy sebanyak 170 kali, insyaAllah jinn dan syaitan yang ingin melakukan kemudharatan akan terbakar hangus.
  • Ayat Kursiyy juga diamalkan agar terselamat dan terlindung dari terkena sihir; seperti ilmu pengasih/pelet/asihan, penganiayaan (santau ), penipuan dan sebagainya.
  • Sesiapa membaca Ayat Kursiyy bagi menghasilkan keberkahan dibaca pada bahan makanan (seperti beras dll.) sebanyak 313 kali, insyAllah akan betambah keberkahan.
  • Sesiapa membaca Surah Al-Fatihah, Ayat Kursiyy dan Surah An-Nash atas niat, lalu ditiup pada ubun anak-anak, nescaya terpelihara keselamatannya, mudah menerima nasihat dan ia tidak akan bercakap dusta.
Demikianlah sedikit sebanyak manfaat dan khasiat Ayat Kursiyy. Banyak pengalaman-pengalaman luarbiasa telah dilalui oleh pengamal Ayat Kursiyy. Keyakinan yang mendalam pada Allah SWT, beserta niat yang ikhlas mengamalkan kalimah agung ini, dan intiqamah/dawam mengamalkannya, insyaAllah akan terkabul apa yang dimaksud/dituntut.

Wasallam, moga bermanfaat!!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...