6

Tuesday, December 20, 2011

Kayu Manis: Keistimewaannya......

[Artikel ini petikan dari beberapa sumber kajian sains. Moga pembaca mendapat manfaat dari informasi tentang khasiat Kulit Kayu Manis. ‎Penulis tidak terlibat dengan mana-mana promosi produk kesihatan yang berkaitan dengan Kulit Kayu Manis]-oleh Sabarudin Sahari  

Kulit Kayu Manis
 
Pohon Kayu Manis Raksaksa, di Mnshouji, Japan
Apakah Kayu Manis?‎

Kayu Manis adalah spesis pohon, tergolong dalam famili pohon ‎lauraceae atau laurel. Spesis pohon ini dipercayai melebihi 100 jenis.

Pohon Kayu Manis banyak tumbuh bertaburan di serata dunia; terutamanya Sri Lanka, ‎India, Myanmar, Bangladesh, China, Indo-China (Kemboja, Laos, Vietnam), Myanmar (Burma), Thailand, ‎Malaysia, Nusantara Indonesia, Filipina, Brazil, Amerika Selatan, Amerika Tengah, ‎Mesir, Madagascar, Zanzibar, Afrika dan negara-negara lain.

Pohonnya sentiasa kehijauan. Daun muda (pucuk) berwarna kemerah-merahan. Rata-rata, pohon ini tumbuh liar membesar sehingga mencecah ketinggian 7m (56 kaki). Pohon yang tumbuh secara peladangan ‎komersial; sederhana besar, tingginya sekadar 3 m (10 kaki). Kerana setelah mencapai ‎usia 2-4 tahun, batang atau dahan-dahannya di potong ‎untuk menghasilkan rempah. Dan, batang-batang, dahan-dahan baru akan tumbuh semula. ‎

Cara penghasilan rempah juga berbeza dari satu tempat dengan yang lain. Secara ‎umumnya, lapisan kulit luar pada batang dan dahan yang di potong akan di kikis-bersih dari sebarang kulat/jamur, lumut dan tompokan. Kulit yang bersih itu lalu di kupas. Kulit dahan yang sederhana besar akan menggulung dengan sendirinya atau di gulung berselangan memanjang agar tidak membengkok. Kulit dari batang atau dahan yang besar akan ‎di kupas dalam bentuk kepingan kecil yang tidak teratur saiznya. Kulit-kulit tersebut lalu dikeringkan, samada di jemur (3-4 hari) atau ‎pun menggunakan alat pengering. Kemudian, di simpan ‎di tempat yang teduh sehingga kering dengan sempurna.

Untuk penjualan atau kegunaan, kulit kayu manis yang kering dan panjang; di potong-potong lebih pendek, digredkan mengikut keadaan kualitinya. Sebahagian lain, di kisar menjadi serbuk/bubuk. Atau, di suling ‎untuk mendapatkan minyak. ‎



Rempah kayu manis adalah sejenis rempah yang harum beraroma, manis dan agak pedas rasanya. ‎Aroma dan ‎rasa ini menjadikan rempah kayu manis sentiasa diguna oleh manusia sejak zaman berzaman. Ia adalah salah satu dari jenis rempah yang tertua di dunia.

Jenis-Jenis ‎Kayu Manis

Dari 100 +  jenis pohon kayu manis yang tumbuh di dunia, selalunya 4 jenis rempah kayu manis yang terjual di pasaran, samada dalam bentuk kulit bergulung, kepingan, serbuk ‎atau pun minyak: ‎

1)‎ Kayu Manis Sri Lanka/Ceylon (Cinnamomum verum/C. zeylanicum)‎; ‎
2)‎ Kayu Manis Cina/Kayu Manis Cassia (Cinnamomum aromaticaum/C.cassia)‎; ‎
3)‎ Kayu Manis Indonesia/Padang/Kerinci (Cinnamomum burmannii)‎; dan
‎4)‎ Kayu Manis Saigon/Vietnam (Cinnamomum loureiroi)‎.

Kayu Manis Sri Lanka. Nama sainsnya ialah Cinnamomum verum atau C. zeylanicum. C. ‎verum, diterjemahkan bermaksud “kayu manis asli”. Di anggap sebagai kayu ‎manis yang sebenarnya. Dipercayai sebagai tumbuhan asli dari Sri Lanka. ‎

Rasa rempahnya manis, baunya harum, aromanya menyegarkan.

Kulitnya berwarna merah ‎kekuningan, licin, tipis dan rapuh. Serat kulitnya tidak begitu keras dan padat, mudah di ‎kisar dengan pengisar “coffee grinder” untuk dijadikan serbuk. Harganya lebih ‎mahal dari jenis-jenis lain.‎

C. ‎verum lebih terkenal di negara-negara Latin Amerika. Lazim digunakan sebagai bahan ‎istimewa dalam pembuatan hot-chocolate ala Mexico. ‎

Kayu Manis Cina. Nama sainsnya ialah Cinnamomum cassia atau C. aromaticaum. Spesis ‎ini banyak tumbuh di negara China, Bangladesh, Uganda, India dan Vietnam.‎

C. cassia sedikit berbeza dari C. verum. Aroma dan rasanya lebih pedas, lebih manis dan menusuk. ‎Warna kulitnya lebih gelap, iaitu coklat kemerahan. Serat kulitnya lebih tebal dan ‎padat, agak sukar di gulung setelah di kupas, dan lebih sukar untuk dijadikan serbuk dengan menggunakan ‎coffee grinder biasa.

Harganya juga lebih murah dari C. verum.‎ C. cassia rata-rata digunakan oleh masyarakat Cina. Juga terkenal di Amerika Syarikat ‎dan Kanada.


Kayu Manis Indonesia. Nama sainsnya ialah Cinnamomum burmannii. Juga dikenali ‎sebagai Kayu Manis Padang atau Kayu Manis Kerinci. C. burmanii banyak tumbuh di ‎serata negara Asia Tenggara. Indonesia adalah pengeluar utama ‎rempah kayu manis jenis ini, terutamanya ke negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat.

Di ‎Indonesia, pohon ini banyak tumbuh di Pulau Sumatra. Perusahaan dan budidaya rempah ini banyak di ‎daerah Kerinci (Jambi) dan Padang. Spesis ini sudah diperkenalkan ke Hawaii; sekarang tumbuh merebak keserata kepulauan Hawaii. ‎

Kayu manis Indonesia di jual dalam bentuk kulit bergulung, kepingan kecil, serbuk dan minyak. Harganya adalah yang termurah. Kerana faktor yang termurah juga menjadikan eksport rempah kayu manis Indonesia ke negara-negara Barat teguh bertahan sejak sekian abad lamanya.

Kayu Manis Saigon atau Vietnam. Kayu manis Saigon/Vietnam sebenarnya sudah lama berada ‎di dalam pasaran. Akan tetapi, pemasarannya terhenti disebabkan perang ‎Vietnam – Amerika.

Awal abad ke 21, rempah kayu manis jenis ini kembali berada di ‎persaingan pasaran Amerika Syarikat dan di negara-negara Eropah. ‎

Warna kulitnya lebih gelap, iaitu kecoklatan. Serat kulitnya tebal dan ‎padat, sering dijual dalam bentuk kepingan, sukar untuk dijadikan serbuk oleh ‎coffee grinder biasa.

Rasa dan aromanya paling kuat dari spesis lain. Juga, kandungan minyak "cinnamaldehyde" adalah yang terkaya. Justru, ia menjadi lebih berharga. ‎

Kayu Manis: Kegunaan ‎

Sejarah. Rempah Kayu Manis mempunyai sejarah di dalam peradaban dunia sejak berkurun ‎lamanya.‎

China kuno, sejak 2,700 B.C. lalu, kitab perubatannya ada menyebut tentang khasiat kayu manis. Mesir kuno, 2000 BC lalu, rempah kayu manis sudah di import ke Mesir; digunakan sebagai rempah perasa dalam masakan dan minuman, bahan perubatan ‎dan bahan pengawetan kepada mayat.

Di Era Pertengahan (abad 5 - 14) Eropah dan ‎Afrika Utara menggunakannya dalam berbagai resepi masakan. ‎ Di abad 15 - 17, rempah kayu manis menjadi salah satu penyebab gerombolan kuasa barat seperti ‎Belanda, Portugis, Sepanyol, Perancis, Inggeris meneroka dan menakluk negara-negara Timur ‎dan Asia Tenggara; seperti India, Sri Lanka, Filipina, Indonesia, Kepulauan Melayu, Thailand, Kemboja, ‎Myanmar (Burma) dan sebagainya. ‎

Menjelang abad ke 19, kayu manis sudah tumbuh di serata dunia. Monopoli ‎perdagangan rempah lumpuh. Negara-negara yang terjajah dahulunya seperti Indonesia, Sri ‎Lanka, India, Vietnam kini menjadi pengeluar dan pengekspot utama untuk negara-negara ‎Eropah dan Timur Tengah.

Harini, kayu manis mudah terdapat di pasaran sepanjang tahun, dalam bentuk gulungan kulit, ‎kepingan kulit, serbuk dan minyak. ‎

Masakan. Kulit dan serbuk kayu manis mengeluarkan bau yang harum, rasa yang manis lazat.

Sering di guna sebagai salah satu dari rempah perasa dalam masakan; terutama dalam resepi daging lembu, ayam, kambing, nasi (briyani), sup-sup dan minuman. ‎

Merupakan rempah kegemaran negara-negara China, Asia Tenggara, Kepulauan Melayu (Indonesia dan Malaysia). Rantau Timur Tengah; seperti Mesir, Arab Saudi, Iran, Iraq, Morocco. ‎ India, Pakistan, Bangladesh; rempah kayu manis tidak dapat dipisahkan dalam resepi kari ikan, daging, ayam dan ‎hidangan nasi briyani. ‎

Di Amerika Syarikat, Latin Amerika dan negara-negara Eropah, rempah kayu manis di adun sebagai ‎perasa asli dalam makanan bijiran, roti-rotian, dalam adunan coklat dan “dessert” seperti ‎kueh, pie epal dan sebagainya.

Juga digunakan dalam hidangan sup, ‎sos barbecue, acar dan jeruk. Juga digunakan sebagai bahan pengawet makanan. ‎


Perubatan. Rempah dan minyak kayu manis tidak asing lagi dalam ‎perubatan tradisional. ‎Perubatan tradisional China, C. cassia di guna untuk merawat selsema, kembong ‎perut, pening-pening, cirit-birit dan sakit sewaktu kedatangan haid. Juga dipercayai dapat ‎menambah tenaga, keampuhan, pengaliran darah dalam tubuh dan darah dingin. ‎ Perubatan Ayurveda India, kayu manis di guna untuk merawat penyakit kencing manis, ‎penyakit pundi kencing, kembong perut, masalah penghadaman, selsema dan berbagai ‎jenis penyakit. Perubatan tradisional Indonesia juga rancak dengan serba ramuan jamu dan herba, termasuk kulit kayu manis, untuk menanggani berbagai masalah kesihatan dan penyakit. ‎

Dunia moden, melalui pengkajian sains dan teknologi, telah meneroka khasiat-khasiat yang ‎terkandung di dalam kulit kayu manis. Banyak jurnal-jurnal perubatan telah disiarkan ‎membongkar rahsia khasiat yang terkandung di dalamnya.

Kandungan Nutrien Kulit Kayu Manis


Kulit kayu manis kaya dengan zat-zat galian/gizi; seperti potassium, calcium, copper, besi, ‎magnesium, manganese, phosphorus dan zinc. Potassium penting dalam pembentukan sel-sel ‎dan cecair tubuh, membantu mengendali kadar denyutan jantung dan ‎tekanan darah. Kalsium penting untuk kesihatan tulang dan gigi. Besi diperlukan untuk ‎metabolisma sel-sel tubuh dan sebagai faktor gandingan kepada pengeluaran sel-sel ‎darah merah. Manganese and copper digunakan oleh tubuh sebagai faktor gandingan kepada ‎enzim anti-oksidan “superoxide dismutase”. ‎

Kulit kayu manis juga mengandungi vitamin-vitamin; seperti A, C, E, K, folates, niacin, asid pantothenik, ‎pyridoxine, riboflavin, thiamin dan lain-lain.‎ Juga mengandungi  kimia tumbuhan yang bermanfaat untuk kesihatan; seperti ‎carotenes, zeaxanthin, lutein dan cryptoxanthins.‎

Terdapat 3 jenis minyak “esential” yang aktif terkandung di dalam kulit kayu manis; dikenali sebagai: (1) cinnamal dehyde, (2) cinnamyl acetate,  (3) cinnamyl ‎alcohol, dan
*(4) juga mengandungi minyak esential yang lain; seperti ethyl cinnamate, linalool, beta-‎caryophyllene, and methyl chavicol.

Rasa dan bau harum kulit kayu manis adalah disebabkan minyak esential cinnamal dehyde. Juga eugenol (jenis phenyl propanoids), ‎bahan kimia tumbuhan yang mengeluarkan aroma semerbak. ‎


Khasiat Kayu Manis Untuk Kesihatan

1.‎ Anti-Pembekuan Darah (Platelet)

Cinnamal dehyde atau “cinnamical dehyde”, adalah salah satu jenis pati ‎minyak esential yang terkandung di dalam kulit kayu manis. Minyak ini adalah anti-pembekuan darah.

Beberapa ujikaji sains mendapati bahawa pati minyak esential "cinnamal dehyde" adalah bahan aktif yang dapat ‎ menahan darah dari menjadi “platelet”, iaitu pekat, membeku dan bertompok ‎di dalam pembuluh darah. Platelet, sekiranya terlalu banyak di dalam saluran ‎darah, akan mengganggu kelancaran aliran darah.

Permakanan kulit/serbuk kayu manis dalam kadar yang sederhana setiap hari dapat melancarkan aliran darah di ‎dalam tubuh dan mengurangkan risiko komplikasi yang berkaitan dengan jantung.

Aliran darah yang lancar di dalam tubuh adalah penting untuk menghindar dari komplikasi ‎saluran darah ke jantung (arteri dan vein) dan juga mengelaki dari serangan jantung.

Satu lagi unsur minyak yang terkandung di dalam kulit kayu manis ialah “coumarin”. Coumarin ‎juga anti-platelet. ‎ Dalam suasana dharurat, seperti kecederaan kepada mana-mana bahagian tubuh terutamanya pada ‎kulit, pembentukan platelet adalah penting sebagai satu cara tindakbalas semulajadi/alami dari ‎tubuh untuk menghentikan pendarahan. Sebaliknya jika darah menjadi terlalu cair, apabila ‎berlaku pendarahan, akan menjadi bahaya kerana pendarahan tidak dapat dihentikan. ‎

Justru, permakanan kulit/serbuk kayu manis yang berlebihan adalah tidak digalakkan !!! ‎

2.‎ Anti-Microb

Minyak esential kayu manis sangat berkesan sebagai anti-‎mikrob, iaitu anti-bakteria dan anti-kulat. ‎Minyak ini boleh digunakan sebagai ‎penghapus kuman sepertimana anti-septik yang digunakan di hospital. ‎

Minyak ini berkesan menghalang pertumbuhan dan pembiakan, sekaligus menghapus kulat “candida ‎albicans” yang sering mendatangkan masalah kepada kesihatan.

Kulat “candida ‎albicans” adalah penyebab jangkitan pada kulit, rongga mulut, penyakit keputihan pada alat ‎kelamin wanita, gatal-gatal pada alat kelamin lelaki, keradangan pada bahagian sudut paha, tangan, jari-jemari dan ‎dubur.

Satu kajian yang dilakukan oleh University of Illinois, Chicago ‎menunjukkan bahawa dengan mengunyah chewing-gum perisa kayu manis berkesan sebagai anti-‎bakteria di dalam mulut dan menghentikan mulut dari berbau. Kesan yang sama berlaku apabila ‎menggunakan ubat gigi perisa kayu manis. ‎

Kulat “candida ‎albicans” juga adalah antara penyebab kepada pencemaran makanan. Makanan yang tercemar cepat menjadi basi. Penggunaan beberapa titis minyak pati kayu manis ke dalam makanan dapat melindungi makanan tersebut dari dicemari oleh bakteria dan ‎kulat.

Nilai-nilai anti-mikrob yang terdapat di dalam rempah kayu manis juga dapat digunakan ‎sebagai bahan pengawet makanan.

Menurut satu kajian, yang disiarkan dalam jurnal “ the International Journal of Food Microbiology” pada Ogos 2003, bahawa dengan beberapa titis minyak pati kayu manis ke dalam bubur lobak merah, kemudian di simpan ke dalam peti sejuk, ‎dapat menghalang pemcemaran mikrob selama 60 hari. ‎Rasa bubur juga menjadi lebih enak apabila di makan. Bubur lobak merah yang tidak di titis ‎dengan minyak pati kayu manis, menunjukkan bakteria "pathogenic b. cereus" terus membiak meskipun dalam suasana suhu ‎yang dingin. ‎

3.‎ Anti-Oksidan

Kulit kayu manis mengandungi nilai-nilai anti-oksidan yang sangat tinggi (nilai ORAC “Oxygen radical ‎absorbance capacity” pada kulit kayu manis ialah 267536 TE "trolox equivalents"), bererti melebihi ‎beberapa ratus kali ganda dari epal umpamanya. Dan jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan halia, buah pala, vanilla, ‎pengawet makanan BHA (butylated hydroxyanisole), BHT (butylated hydroxytoluene), and propyl gallate. ‎

Nilai-nilai anti-oksidan adalah penting untuk mengawal ketularan radikal bebas (sel-sel tidak sempurna) ‎yang sentiasa mengancam sel-sel tubuh yang sempurna.

Radial bebas, apabila menular, boleh merosakkan sel-sel, tisu-tisu dan otot-otot. Penyebab timbulnya berbagai jenis penyakit kepada tubuh, menjadikan penyakit-penyakit yang sedang dihidapi semakin parah; seperti penyakit jantung, infeksi, tumor, kanser, penyakit mata (seperti katarak dan ‎glukoma), penyakit kulit (seperti alergi dan dermatitis) dan lain-lain lagi. Radikal bebas juga mempercepatkan ‎proses penuaan. ‎

Tubuh memiliki sistem pertahanan yang bertindak secara semulajadi/alami untuk ‎membantras radikal bebas agar tidak berkembang menjadi berbahaya. Namun, ‎pengaruh alam sekeliling seperti radiasi ultraviolet, kecemaran udara, gaya hidup kurang sihat seperti kebiasaan memakan “junk food” dan merokok, membuat ‎sistem pertahanan tubuh kecundang apabila menghadapi radikal bebas yang berjumlah besar. ‎Dengan memakan jenis makanan yang tinggi nilai anti-oksidan, seperti rempah kayu manis, dapat membantu tubuh ‎membebaskan dari ketularan radikal bebas yang berbahaya. ‎

4.‎ Pengawalan Kandungan Gula ‎ & Penyakit Kencing Manis

Sejenis lagi minyak esential yang aktif terdapat di dalam kulit kayu manis ialah “methyl ‎hydroxychalcone polymer” (MHCP). ‎Minyak jenis ini sangat berkesan dalam mengawal kadar kandungan gula dan juga menurunkan ‎kadar kolestrol di dalam darah. ‎

Menurut kajian dari pusat permakanan USDA Human Nutrition Research Center, kulit kayu ‎manis bertindak membantu insulin dalam metabolisma glukos di dalam tubuh. Unsur lain yang ‎terdapat di dalam kulit kayu manis ialah gerombolan "catechin/epicatechin oligomers" yang juga membantu ‎insulin untuk metabolisma glukos sebanyak 20 kali ganda. ‎Dengan demikian, kulit kayu manis menambahkan kemampuan insulin untuk memecahkan lemak menjadi glukos, mempertingkatkan pengeluaran glukos dari tubuh dan ‎mengawal kandungan gula di dalam darah. 

Oleh yang demikian, kulit kayu manis boleh digunakan sebagai bahan makanan yang mengawal penyakit kencing ‎manis. Oleh kerana penyakit kencing manis adalah suatu penyakit yang sangat berbahaya, ‎sesuatu yang dapat mengawal keparahannya adalah penting. Dengan mengambil sebagai ‎makanan ½ - ¾ sudu teh serbuk kayu manis pada setiap kali makan dapat membantu ‎mengawal kandungan gula di dalam darah. Justru, kesan kayu manis pada insulin ini sangat ‎berguna pada pesakit kencing manis, meskipun Jenis 2.

Menurut satu kajian yang telah disiarkan pada tahun 2003 di dalam jurnal perubatan ‎‎“Diabetes Care”, 6 pesakit Kencing Manis Jenis 2 di beri makan serbuk kayu manis, dos sebanyak ‎‎1,3, atau 6 gram pil serbuk kayu manis (bersamaan ¼ - 1 sudu teh) setiap hari. Selepas 40 hari, ‎hasil ujian menunjukkan ketiga-tiga dos tersebut telah menurunkan kandungan gula di dalam ‎darah dari 18% - 29%, lemak triglycerides menurun sebanyak 23% - 30%, kolestrol LDL bahaya menurun sebanyak 7% - ‎‎27%, dan keseluruhan kolestrol menurun sebanyak 12% - 26%.

Para pengkaji juga merumuskan bahawa ‎permakanan kayu manis oleh pesakit Kencing Manis Jenis 2 dapat mengurangkan risiko ‎berkaitan dengan masalah sakit jantung. ‎

5.‎ Kalsium dan Serat Kulit Kayu Manis Menyihatkan Usus Pencernaan Dan Melindungi ‎Dari Penyakit Jantung

Di samping minyak-minyak esential yang bermanfaat, kulit kayu manis juga memiliki sumber zat galian manganese, besi ‎dan kalsium.

Serat kulit kayu manis juga bermanfaat untuk kesihatan.

Gandingan kalsium dan serat ini adalah penting ‎dalam membantu merawat berbagai jenis penyakit. Kalsium dan serat boleh memerangkap garam hempedu ‎dan mengeluarkannya dari tubuh. Dengan mengeluarkan garam hempedu dari tubuh, serat ‎membantu melindungi sel-sel usus besar dari kerosakan disebabkan oleh garam hempedu. Dengan ‎demikian, mengurangkan risiko kanser usus.

Juga, apabila garam hempedu dikeluarkan oleh serat, tubuh ‎terpaksa menggunakan kolestrol untuk menghasilkan hempedu yang baru. Dengan cara ini, kadar kolestrol ‎di dalam tubuh akan berkurangan. Keadaan ini membantu mengurangkan masalah yang berkaitan dengan kadar ‎kolestrol tinggi; seperti masalah saluran darah yang berhubungan dengan jantung atau pun penyakit jantung. ‎

Kulit kayu manis juga bermanfaat kepada orang yang mempunyai masalah penghadaman. ‎

Seratnya dapat membantu meleraikan kekentalan sisa makanan di dalam usus yang menyebabkan derita sembelit dan kekejangan perut. Ia berkesan menghapus bakteria Escherichia coli (E. coli ‎bacterium) dan helicobacter pylori, bakteria yang menyebabkan gastrik atau ulser pada ‎usus. Juga bermanfaat untuk menghapus kuman-kuman bakteria yang menyebabkan cirit-birit.

Kajian menunjukkan bahawa kulit kayu manis dapat merawat sebarang jangkitan pada ‎saluran-saluran yang berhubungan dengan pundi air kencing.

6.‎ Aroma Rempah Kayu Manis Menyegarkan Fungsi Otak ‎ 

Keharuman rempah kayu manis menyegarkan fungsi otak. ‎

Satu kajian yang diterajui oleh Dr. P. Zoladz dan disiarkan pada April 24, 2004, dalam pertemuan "Association for Chemoreception Sciences, Sarasota, FL, USA", menunjukkan ‎bahawa dengan hanya mengunyah chewing gum berperisa kayu manis atau dengan menghidu rempah ‎kayu manis, boleh meningkatkan proses pembelajaran dan pemahaman seseorang.

Secara ‎khususnya, kecerdasan minda berkembang di aspek proses perhatian, pemusatan dan ingatan. Ingatan minda menjadi lebih cemerlang pada pengecaman objek-objek yang di pandang, ingatan pada data-data yang telah dilalui dan dialami, ‎kepantasan minda berfikir sewaktu bekerja melibatkan program komputer. ‎

‎Justru, rempah kayu manis adalah baik untuk orang yang menderita nyanyuk.

7.‎ Mengurangkan Kesakitan Penyakit “Arthritis”

Kulit kayu manis, apabila di campur dengan madu lebah, boleh mengurangkan kesakitan yang ‎dideritai oleh pesakit arthritis.

Satu kajian yang dilakukan pada tahun 2009 oleh di Universiti ‎Copenhagen, di mana setiap pesakit yang terlibat di beri makan 1 sudu-teh madu lebah bersama ‎‎½ suu-teh serbuk kayu manis, setiap pagi sebelum sarapan, telah menunjukkan kekurangan ‎kesakitan pada penyakit arthritis.

Salah satu sebab ialah kulit kayu manis mempunyai ciri-ciri ‎anti-keradangan, menjadikan sendi-sendi dan kekejangan otot-otot menjadi berkurangan. ‎

Kesan Sampingan Rempah Kayu Manis

1) ‎Coumarin Membahayakan Organ Hati dan Ginjal. Rempah Kayu Manis mengandungi “coumarin”. Coumarin adalah bahan kimia semulajadi/alami yang terdapat di dalam tumbuh-tumbuhan, termasuk kulit kayu manis. Bahan ini mengeluarkan bau harum sehingga memikat manusia menggunakan kulit kayu manis sebagai bahan perisa dalam makanan.  

Namun, permakanan kulit kayu manis yang berlebihan, dan terus menerus, dikhuatiri kandungan coumarin didalamnya berpotensi merosakkan organ hati dan ginjal, terutama bagi mereka yang sudah mempunyai masalah organ hati dan ginjal.

Coumarin juga bertindak mencairkan darah. Bagi mereka yang sedang memakan ubat-ubatan anti-‎pembekuan darah (seperti coumadin/warfarin), atau yang sedang mengalami ‎pendarahan, dinasihatkan jangan memakan serbuk kayu manis berseiringan. 

Menurut kajian, terdapat perbezaan kandungan courmarin di dalam jenis-jenis kayu manis. ‎Kandungan courmarin di dalam kulit kayu manis Sri Lanka (C. verum) adalah yang paling sedikit ‎jika dibandingkan dengan jenis-jenis lain. Kayu manis Indonesia (C. bumannii) juga mengandungi kadar ‎coumarin yang rendah. ‎Kadar kandungan courmarin di dalam Kayu Manis Vietnam (C. loureiroi) dan C. cassia lebih banyak dari C. verum dan C. bumannii. Justru, permakanan C. loureiroi dan C. Cassia secara berlebihan boleh membahayakan kesihatan organ hati dan ginjal. ‎ Atas sebab-sebab ini juga, pertubuhan seperti “Federal Institute for Risk Assessment in Berlin, Germany” ‎dan beberapa agensi negara Eropah menyarankan agar tidak memakan C. cassia dan C. loureiroi terlalu berlebihan. Negara Jerman telah menghentikan import C. cassia atas kekhuatiran tersebut ini.

Hindar dari memakan rempah kayu manis secara terus menerus berlebihan !!!

2)‎ Kencing Manis Dan Pengawalan Gula. Meskipun rempah kayu manis adalah baik untuk pesakit kencing manis, namun permakanan kayu manis perlu di bawah perhatian doktor. Pesakit kencing manis yang sedang memakan ubat yang di tentukan oleh doctor berkaitan dengan ‎pengawalan kadar gula dan insulin di dalam tubuh, dinasihatkan tidak memakan rempah kayu manis ‎berlebihan.Kerana ‎dengan memakan rempah kayu manis seiring dengan ubat-ubatan, dikhuatiri kandungan gula di dalam darah menjadi terlalu rendah, dan keadaan ini boleh membahayakan pesakit kencing manis. ‎‎

Hindar dari memakan rempah kayu manis secara terus menerus berlebihan !!!

3)‎ Minyak Kayu Manis. Kayu manis boleh didapati dalam bentuk pati minyak. Setengah dari produk minyak kayu manis ‎ini tidak bertujuan untuk di makan tetapi hanya sebagai minyak urutan aromatherapy. Juga, ‎minyak ini terlalu kuat kesannya, sekiranya berlebihan boleh mengganggu sistem saraf. Oleh ‎yang demikian, tidak digalakkan minyak kayu manis di makan !!!

Minyak kayu manis juga tidak digalakkan lansung di sapu kepada kulit. Beberapa titis minyak ‎hendaklah di campur dengan minyak lain sebelum di sapu. Kerana ‎minyak kayu manis terlalu kuat kesannya, boleh menyebabkan kulit terbakar atau keradangan yang melampau !!! ‎

4)‎ Wanita Hamil. Wanita yang sedang hamil seharusnya tidak memakan terlalu banyak rempah kayu manis, dan tidak ‎digalakkan memakan rempah kayu manis sebagai makanan supplemen/tambahan setiap hari !!! ‎

5)‎ Rempah Kayu Manis Mentah. Rempah kayu manis yang di makan mentah, boleh menyebabkan sesak nafas. ‎Permakanan yang berlebihan boleh menyebabkan keradangan kepada sistem deria rasa, bengkak ‎gusi atau ulser mulut.

Hindar dari memakan rempah kayu manis secara terus menerus berlebihan !!!

6)‎ Meningkatkan Degup Jantung.  Memakan rempah kayu manis berlebihan boleh meningkatkan dengup jantung, yang mana boleh ‎membahayakan orang yang sedang menghadapi masalah jantung. ‎

Hindar dari memakan rempah kayu manis secara terus menerus berlebihan !!!

Rumusan

Khasiat rempah kayu manis ternyata banyak menyumbang kepada manfaat kesihatan tubuh manusia. Pada pesakit Kencing Manis dan Jantung, harus berhati-hati dalam apa jua permakanan. Sekiranya rempah kayu manis di makan pada kadar yang sedikit, meskipun setiap hari, tidak akan membahayakan kesihatan. 

Rempah ini tidak sesuai di makan secara berlebihan. Walaupun kandungan courmarin adalah sedikit, namun sekiranya di makan secara berlebihan, boleh mendatangkan bahaya dan menambah keparahan pada penyakit yang sedia ada.



Di aspek potensi komersial, secara perladangan/perkebunan, tumbuhan ini boleh dituai/panen hasil dalamasa 2-3 tahun. Sayangnya, harga jualan tidak memberansangkan, persaingan sengit kerana lambakan rempah C. cassia dari negara China terlalu di mana-mana!!!

Di aspek tanaman "hobby", bagi mereka yang memiliki ruang halaman, pohon kayu manis sesuai di tanam di mana-mana penjuru perkarangan rumah. Meskipun sepohon di tanam, kerimbunannya menyegarkan, pohonnya tidak terlalu cepat membesar. Kulitnya boleh di proses untuk kegunaan sendiri. Prosesnya mudah, tidak memerlukan biaya luarbiasa !!!


SEKIAN DAHULU UNTUK KALI INI.....

6 comments:

  1. salam.. sy ada jual ceylon cinnamon. bg yg sedang mencari boleh contact 014 8399454

    ReplyDelete
  2. KULIT KAYU MANIS SUPER

    Kami menyediakan kulit kayu manis antara 10 ton s/d 15 ton per minggu.
    Kami memproduksi kulit kayu manis dengan kualitas tinggi dan terbaik.
    Semua kulit kayu manis yang kami produksi adalah hasil pengolahan sendiri agar kualitas terjaga dan terjamin.

    Bagi anda yang membutuhkan dan berminat silahkan hubungi kami:

    HP. 0812 6973 544. ( WhatsApp)
    BBM. 2AD17C31

    ReplyDelete

  3. KAYU MANIS SUPER

    Kami menyediakan kulit kayu manis antara 5 ton s/d 8 ton per minggu.
    Kami memproduksi kulit kayu manis dengan kualitas tinggi dan terbaik.
    Semua kulit kayu manis yang kami produksi adalah hasil pengolahan sendiri agar kualitas terjaga dan terjamin.

    Bagi anda yang membutuhkan dan berminat silahkan hubungi kami:

    HP. 0812 6973 544
    BBM. 2AD17C31

    ReplyDelete

  4. KAYU MANIS SUPER

    Kami menyediakan kulit kayu manis antara 5 ton s/d 8 ton per minggu.
    Kami memproduksi kulit kayu manis dengan kualitas tinggi dan terbaik.
    Semua kulit kayu manis yang kami produksi adalah hasil pengolahan sendiri agar kualitas terjaga dan terjamin.

    Bagi anda yang membutuhkan dan berminat silahkan hubungi kami:

    HP. 0812 6973 544
    BBM. 2AD17C31

    ReplyDelete
  5. Kayu manis super

    HP. 0812 6973 544
    BBM. 2AD17C31

    ReplyDelete
  6. Kayu manis super
    Hp. 08126973544
    BBM. 2ad17c31

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...