0

Friday, October 26, 2012

AQIQAH

PENGERTIAN AQIQAH

Aqiqah, di sisi hukum syara’ bermaksud, binatang yang di sembelih pada hari mencukur rambut bayi, serta mengadakan jamuan dan doa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SAW sempena kelahiran bayi tersebut. Sabda Rasulullah SAW, bermaksud: “Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu aqiqah; disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur kepalanya dan di beri nama” (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Hasan r.a. dari Samurah bin Jundub r.a.).

Tentang nama bayi; berikan nama yang elok dan baik kerana Rasulullah SAW bersabda; إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيامَةِ بأسْمائكُمْ وأسماءِ آبائِكُمْ فأحْسِنُوا أسْماءَكُمْ “Sesungguhnya kamu sekelian akan diseru/dipanggil pada hari Qiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh yang demikian, perelokkanlah nama-nama kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.).

HUKUM AQIQAH
  • Hukum aqiqah, menurut Mazhab Syafie dan Hambali, adalah Sunnat Muakkad, iaitu sunnat yang sangat dituntut bagi orang yang menanggung sara hidup bayi tersebut, kecuali aqiqah nazar yang menjadi wajib.
  • Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ke7 dari kelahiran bayi, hari di mana bayi tersebut mendapat nama dan rambutnya di cukur (paling afdhal), atau hari ke 14, atau ke 21. Jika tidak mampu, pada bila-bila masa sebelum anak itu baligh.
  • Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya, dan sunnat bagi anak itu mengaqiqah untuk dirinya sendiri. Bahawa Rasulullah SAW pernah mengaqiqah untuk dirinya sendiri sesudah Baginda di angkat menjadi Rasul. (Riwayat dari Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani)
  • Anak zina, pendapat bercanggah. Menurut Syaikh Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli: aqiqah anak zina sunnat bagi ibunya, kerana nafkah hidup anak zina tertanggung pada ibunya bukan bapanya. Manakala menurut Khatib Syarbini pula: tidak sunnat bagi ibu mengaqiqahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.
  • Bayi lelaki disembelihkan 2 ekor kambing (tetap sah meskipun seekor), bayi perempuan memadai dengan seekor kambing. Bahawa Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah "Sunnahnya 2 ekor kambing untuk anak laki-laki, dan 1 ekor kambing untuk anak perempuan. Ia dimasak tanpa mematahkan tulangnya. Lalu dimakan (oleh keluarganya), dan disedekahkan pada hari ke 7" - (Riwayat al-Bayhaqi, dari Aisyah r.a.). Dan bahawa Rasullullah SAW menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing - (Riwayat Abu Dawud, dari Ibnu Abbas r.a.).
SYARAT AQIQAH
  • Berniat ‘aqiqah ketika menyembelih: … بِسْمِ اللهِ ، اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ عَقِيْقَةٌ Maksudnya: "Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, (binatang) ini dariMu dan kembali kepadaMu, ini aqiqah ....(sebut nama anak)". Meskipun aqiqah tidak terikat pada masa tertentu sepertimana qurban dilakukan selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya ‘Aidil Adha hingga 13 Zulhijjah, namun sebaiknya penyembelihan aqiqah dilakukan ketika matahari sedang naik.
  • Hendaklah binatang tersebut cukup sifat, tidak cacat, serta cukup umur.
  • Jika orang lain yang menolong melaksanakan aqiqah, maka hendaklah berakad dengan salah satu dari 2 cara, iaitu secara wakil atau serahan tanggung-jawab:
(1) Cara wakil. Orang yang mewakilkan berkata: "Aku wakilkan atas diriku kepada tuan (nama wakil) menghasilkan penyembelihan aqiqah untuk anakku (sebut nama bayi) kerana Allah ta’ala". Penerima wakil menjawab: "Aku terima sebagai wakil tuan (sebut nama) untuk menghasilkan penyembelihan aqiqah untuk anakmu (sebut nama bayi) kerana Allah ta’ala“. (PERINGATAN: Penerima wakil hendaklah melaksana penyembelihan, tidak boleh menyerah/memindahkan tanggungjawab penyembelihan kepada orang lain).
(2) Cara serahan tanggungan-jawab. Orang yang menyerah tanggung-jawab berkata: "Saya meletakkan atas zimmah tanggungan tuan (sebut nama) untuk menghasilkan penyembelihan aqiqah untuk anakku (sebut nama bayi) kerana Allah ta’ala". Penerima tanggung-jawab menjawab: "Aku terima sebagai zimmah tanggungan dari tuan (sebut nama) untuk menghasilkan penyembelihan aqiqah untuk anakmu (sebut nama bayi) kerana Allah ta’ala“. (PERINGATAN: Sekiranya penerima tanggung-jawab tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diterima, ia boleh menyerah/memindahkan kepada orang lain untuk menyempurnakan penyembelihan bagi pihak orang-orang yang berakad tadi).
  • Daging aqiqah sunat di masak terlebih dahulu, masakan jenis manis seperti kurma, kicap dan sebagainya, untuk dihidangkan kepada tetamu sebagai kenduri, atau sebelum disedekahkan tanpa mengira miskin atau kaya, lebih afdzal kepada fakir miskin. Berbeza dengan daging qurban yang sunat disedekahkan secara mentah, dan hanya boleh diberi kepada fakir miskin.
  • Orang yang melakukan aqiqah boleh memakan daging sembelihannya; seeloknya di ambil 1/3 daripadanya, 1/3 lagi disedekahkan kepada fakir miskin, dan 1/3 lagi kepada saudara mara. Demikian menurut keputusan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Akan tetapi, daging atau mana-mana bahagian dari binatang aqiqah nazar (aqiqah wajib), haram di makan atau di ambil oleh orang yang melakukannya.
  • Tidak mematah-matahkan tulang-tulang binatang aqiqah, cuma mencerai-ceraikan sendi-sendinya, samada oleh orang yang mengaqiqahkan atau yang memakannya. Sekiranya dilakukan juga tidaklah pula makruh, tetapi khilaf aula (yakni tidak selari dengan pengertian utama aqiqah).
  • Daging aqiqah atau mana-mana bahagian dari binatang (seperti kulit, tulang dan sebagainya) tidak boleh dijadikan upah kepada orang yang menyembelih dan orang-orang yang menguruskan pemotongan. Upah sekiranya perlu, hendaklah di beri dalam bentuk wang atau harta benda yang lainnya.
  • Sekiranya binatang aqiqah adalah lembu, kerbau atau unta, maka terbahagi kepada 7 bahagian. Boleh dibahagikan; sebahagian untuk qurban dan sebahagian yang lain untuk aqiqah. Mazhab Syafie :- membahagikan aqiqah sebagaimana melakukan korban; iaitu 1 kambing atau 1/7 unta atau 1/7 lembu.
  • Orang kafir tidak boleh diberi makan daging aqiqah. Sekiranya telah di beri, umpamanya sekilo, maka wajib di ganti dengan daging yang lain sebanyak yang diberikan itu. Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging aqiqah (sunat atau wajib) kepada bukan Islam.
Wasallam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...