0

Tuesday, October 25, 2011

Kurma Makanan Pilihan, Berkhasiat Tinggi Untuk ‎Kesihatan

Pengenalan Kurma

Kurma, sebutan di kalangan warga nusantara. Tamar, sebutan di kalangan bangsa Arab. Date, ‎sebutan Inggeris. ‎

Kurma adalah buah dari sejenis tumbuhan palma. Nama saintifiknya “Phoenix Dactylifera”. Tergolong dari ‎spesis Arecaceae (Phoenix); sepertimana kelapa sawit, enau (kabung, kawung, eret, peluluk), ‎salak (snake fruit), kelapa laut (palmyra) dan beberapa banyak lagi.

Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara. Pembekal ‎terbesar dunia didahului oleh Mesir, Iran, Arab Saudi, Amerika, Algeria, Iraq, Sudan, ‎Oman, Libya, Tunisia, Cina, Morocco, Yamen, Nigeria, Turkey, Qatar, Mauritania, dan Chad. Israel juga tidak ketinggalan. ‎

Jangka hayat sepohon kurma dari 60 tahum hingga ke 200 tahun.

Dewasa ini, pokok-pokok kurma semakin giat di tanam secara komersial/dibudidaya besar-besaran di serata pelusuk dunia; ‎seperti Amerika Syarikat, Mexico, Brazil, Argentina, Afrika Selatan, Australia, Namibia, Sepanyol ‎dan Itali.‎

Dipercayai kurma berasal dari daerah Teluk Parsi, Ditanam sejak era Mesopotamia hingga ke era ‎Mesir kuno, seawal 4000 BCE. Petunjuk-petunjuk arkeologi pula menyatakan kurma telah ‎menjadi makanan asasi negara-negara Timur Tengah sejak 6000 BCE yang lalu. Dizaman Mesir ‎kuno kurma juga diproses sebagai arak. ‎

Sehingga kini, kurma menjadi makanan utama dikalangan penduduk negara-negara Arab dan juga di kalangan umat islam. ‎Malahan dikalangan warga rumpun nusantara, kurma sudah menjadi makanan yang digemari. ‎

Dari kacamata Barat, kurma seolah-olah menjadi simbol makanan umat islam.

Kurma, Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW

Kurma mengandungi pelbagai khasiat dan kegunaan. Di dalam Al-Quran, terdapat 21 ayat yang ‎menyebut tentang kurma. ‎

Kurma Ajwah
Rasulullah SAW sendiri telah memartabatkan kurma sebagai makanan yang berkhasiat tinggi. ‎Dan juga menjadi makanan utama Baginda Rasulullah SAW. Pilihan utama Baginda ialah ‎kurma "Ajwah", juga sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Baginda.

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesiapa yang memakan 7 biji kurma ajwah dia akan terkawal ‎daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".‎

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, ‎kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan ‎akan menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya."‎

Rasulullah SAW menganjurkan umat islam berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana ‎sabdanya daripada Anas RA bermaksud: "Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji ‎buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terdapat kurma, maka Baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda ‎meminum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Ahmad)‎

Diriwayatkan oleh Syaidatina Aishah RA yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat. "Jika sesiapa yang selalu ‎makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan."

Rasulullah SAW juga bersabda: "Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, akan menyebabkan ‎penghuninya kurang sihat".

Jenis-jenis Kurma

Kurma terdiri dari berbagai-bagai jenis. Ada yang mengatakan beratus jenis. Ada juga yang ‎mengatakan lebih dari seribu jenis. Tidak dapat dipastikan berapa jenis kurma sebenarnya. ‎Jenis yang terkenal, mempunyai kualiti tinggi dan bernilai komersial, antaranya seperti ‎berikut: ‎

Aabel tumbuhan lazim di Libya.
AjwahMadinah, Saudi Arabia. Kurma Nabi.
Amer HajjIraq; isi kurma ini tebal dan lembut, kulit tipis, nama julukan "kurma tetamu” ‎kerana sering disajikan untuk tetamu.
'Abid RahimSudan dan Nigeria; di Nigeria disebut “Dabino”, sering disajikan untuk ‎berbuka puasa.
BaraqahSaudi Arabia.
Barakawi Sudan.
Barhee/Barhi‎umumnya dari rantau Teluk Parsi; bentuknya agak bulat sedikit lonjong, ‎berwarna kuning keemasan ketika setengah matang dan kecoklatan ketika ‎matang; lembut, isinya tebal dan enak rasanya.
BireirSudan.
Datça ‎ Turki, banyak tumbuh di utara Turki, daerah Mediteranian.
Deglet Noor Terkenal di Libya, ‎Aljazair, Amerika Syarikat dan Tunisia. Di Tunisia, kurma ini tumbuh di ‎perdalaman oasis dan diutamakan untuk eksport. Kurma ini agak kering ‎dan tidak terlalu manis. Mendapat nama kerana bahagian tengahnya berwarna ‎keemasan ketika di sinar matahari.
Dayri (kurma 'Biara')‎selatan Iraq; bentuknya panjang, ramping, warna hampir hitam dan isinya ‎lembut.
Empress‎California, USA dari biji benih 'Thoory' dari Algeria. Bentuknya ‎besar, lebih lembut dan lebih manis daripada 'Thoory', sebahagian atasnya ‎berwarna terang dan sebahagian bawahnya berwarna coklat.
Ftimi atau 'Alligue'‎ ‎ Perdalaman oasis Tunisia.
Holwah/Halawi/Halwa isinya lembut, rasanya sangat manis bagai halwa, bentuknya kecil ‎dan sederhana.
Haleema Libya (Haleema berasal dari nama seorang wanita)‎.
Hayani Mesir(Hayani berasal dari nama seorang lelaki), berwarna merah pekat hampir kehitaman dan isinya lembut.
Iteema Aljazair.
Khajur India/Pakistan.
Kenta Tunisia.
Khadrawy (bermaksud ‎‎'hijau')‎ tanaman yang diistimewakan oleh kebanyakan bangsa Arab, isinya lembut ‎dan warnanya sangat gelap.
KhalasahSaudi Arabia; sangat digemari kerana sederhana manisnya, sesuai untuk orang kebanyakan. Dikenali ‎juga sebagai 'Khlas'. Banyak terdapat didaerah 'Huffuf' (Al-Aqsa) dan 'Qatif' ‎dibahagian Timur Saudi Arabia (daerah Al-Sharqheyah)‎.
Khastawi (Khusatawi)‎ Iraq; isinya lembut kenyal, rasanya seperti sirup dan berukuran ‎kecil, selalu disajikan sebagai hidangan.
Maktoom Saudi Arabia, Mesir, Iraq, sekarang ditanam/budidaya ‎di California, USA; bentuknya besar, berwarna merah kecoklatan, ‎berkulit tebal, isi lembut, manisnya sederhana.
Menakbir buahnya besar dan cepat matang.
Medjool/Mujhoolah Morocco, Saudi Arabia, Jordan, ‎Palestin dan Israel, sekarang ditanam di USA; buahnya besar, manis dan banyak ‎mengandung air.
Migraf (Mejraf)‎Yamen; bentuknya besar, berwarna keemasan.
Mgmaget AyuobHoon, Libya.
MishriqSudan dan Saudi Arabia.
Mozafati Iran, juga dikenali sebagai "Kurma Bam Mozafati" (nama sebuah kota ‎diIran); warnanya gelap, isinya lembut, manis bila buahnya ‎berukuran sederhana, kurma ini dimakan ketika masih segar kerana tidak ‎tahan lama.
Nabtat-seyfSaudi Arabia.
RotabIran; berwarna gelap dan isinya lembut.
Sag‘aiSaudi Arabia.
SaidiLibya; isinya lembut, sangat manis.
Sayerberwarna oren kecoklatan, berukuran sederhana, isinya lembut dan ‎kenyal.
SekkeriSekkeri (bermaksud bergula, nama dari perkataan “sugar” ), jenis ‎yang paling mahal. Kulit berwarna coklat tua, isinya sangat lembut, ‎rasanya sangat manis.
Sellaj Saudi Arabia.
TagyatLibya.
Tamej Libya.
Thoory/Thuri populer di Algeria; jenis kering, berwarna coklat kemerahan apabila ‎di awet, kulitnya berkeriput, isinya ‎manis, agak keras dan rapuh, rasanya manis dan kekacangan.
Umeljwary Libya.
UmelkhashabSaudi Arabia; kulit merah terang, rasanya manis kepahitan, isinya ‎putih kental.
Zahidi ukurannya sederhana, lonjong, berwarna terang emas kecoklatan, buahnya ‎yang hampir kering, sangat manis.
ZaghloulKulit berwarna merah tua, panjang dan sangat rangup ketika segar, ‎gulanya begitu tinggi sehingga melekit didalam mulut ketika dimakan. Jenis yang ‎exclusive di Mesir, menjadi symbol kebanggaan bangsa Mesir.

Khasiat Kurma

Dikalangan warga rumpun nusantara yang mencakupi lebih kurang 300 juta umat, kurma sudah ‎menjadi bahan makanan yang digemari. Buah kurma boleh dimakan, sama ada mentah mahu ‎pun ranum. Buahnya tahan lama untuk disimpan. Boleh juga dibuat jus, jem, kek, atau diadun ‎dengan makanan-makanan lain sebagai hidangan penambah kelazatan. ‎

Kurma juga mempunyai banyak khasiat. Amat sesuai bagi orang-orang yang mementingkan ‎kesihatan. Amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian. Amat sesuai bagi ‎tumbesaran kanak-kanak. Dan amat sesuai pada wanita yang sedang hamil dan sesudah ‎melahirkan bayi (bersalin). ‎

Amnya; kandungan karbohidratnya tinggi, sekitar 60% ke 70%, kandungan proteinnya antara ‎‎1.8% hingga 2.0%. Manakala kandungan gulanya terutama glukos, fruktos dan dextros dari ‎‎50% hingga 57%.‎

1)‎ Analisa Kandungan Nutrien Kurma

Kurma juga mengandungi berbagai vitamin penting, seperti vitamin A, K, thiamin, riboflavin, ‎niasin, folates, asid pantothenik dan pyridoxine. Selain itu, buah kurma termuat juga berbagai ‎zat phyto seperti vitamin B-kompleks. Juga zat galian/gizi lain seperti zat kalsium, copper, besi, ‎magnesium, manganese, phosphorous,zinc, potassium dan sodium, dan juga asam nikotinat ‎dalam jumlah memadai.‎

Semua zat-zat makanan yang terdapat didalam buah kurma, menjadikan ia sebagai makanan ‎berkhasiat tinggi untuk kesihatan tubuh manusia. ‎

2)‎ Kurma Mengandungi Gula Fruktos, Glukos dan Dextros

Isi buah kurma yang mentah dan segar adalah lembut dan mudah dicerna kedalam tubuh. ‎Gula yang terkandung didalam buah kurma seperti fruktos, glukos dan dextros dapat ‎diserap secara lansung kedalam tubuh untuk digunakan sebagai tenaga. Zat-zat gula ini ‎sudah diolah secara semulajadi/alami dan tidak membahayakan kesihatan. ‎

Justru, buah kurma sangat sesuai dimakan ketika berbuka puasa atau sahur pada bulan ‎Ramadhan. Juga sangat baik untuk diamalkan sebagai makanan hari-harian.

3)‎ Serat Isi Kurma Baik Untuk Kesihatan Jantung Dan Usus

Kurma bebas kolesterol. Disegi kesihatan, dengan ketiadaan kolesterol amat baik untuk ‎meredakan tekanan darah tinggi.

Isi buah kurma berserat. Serat isi kurma ini sangat berguna kerana bertindak menghindar ‎suatu unsur yang dinamakan “kolesterol LDL” yang terdapat didalam badan, dari terus ‎melekat ke pembuluh darah. Kolesterol LDL ini sebenarnya berperanan sebagai pembawa ‎protein didalam pembuluh darah. Akan tetapi, apabila jumlah kolesterol LDL terlalu tinggi, ia ‎akan melekat pada pembuluh darah. Saluran pembuluh darah menjadi semakin ‎menyempit. Lama kelamaan aliran darah jadi terhalang. Apabila aliran darah terhalang, ‎organ-organ penting seperti jantung tidak dapat menerima bekalan darah yang mencukupi. ‎Akibatnya, jantung atau organ-organ lain tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Situasi ini ‎akan meningkatkan risiko serangan sakit jantung secara tiba-tiba.

‎Justru, serat isi kurma amat berguna kerana ia akan menghakis kolesterol LDL dari terus ‎melekat dan bertumpuk pada pembuluh darah. Dengan cara begini, serat isi kurma ‎bertindak membantu melancarkan aliran darah ke seluruh organ-organ didalam tubuh. ‎Kurma adalah anti-serangan jantung.


Serat isi kurma juga baik untuk mengurangkan risiko sembelit. Serat isi kurma berfungsi ‎melawaskan perut pada penderita sembelit, terutamanya pada wanita yang sedang hamil, ‎kerana kebanyakan wanita hamil kerapkali menderita sembelit. Serat ini bertindak memecahkan ‎makanan yang terkumpul didalam usus. Dengan demikian, makanan yang tekumpul akan lebih ‎mudah bergerak untuk dihadam dan dicerna oleh usus perut. ‎ Kurma adalah anti-sembelit dan anti-kanser usus. ‎

4)‎ Kurma Mengandungi Anti-Oxidan Tannins

Kurma mengandungi anti-oxidan “Flavonoid ‎Polyphenolic” seperti beta-carotene, crypto-xanthin, lutein dan zeaxanthin; singkatnya ‎dikenali sebagai “tannins”. Tannins adalah unsur yang bertindak sebagai anti-oxidan ‎semulajadi/alami, anti-bakteria, anti-kulat/jamur untuk kesihatan usus. Juga anti-‎jangkitan/penularan, anti- radangan dan anti-pendarahan. Tannins menjadi unsur membina ‎dayatahan tubuh dari serangan pelbagai jenis penyakit. Kerana adanya tannins ini membuat ‎rasa kurma mentah dan segar dimakan agak pahit dan masam.‎

Antioxidan tersebut ini berperanan melindungi sel-sel tubuh dan organ-organ didalam ‎tubuh dari “oxygen free radicals”. Oxygen free radicals ini terjadi dimana sel-sel didalam ‎tubuh terbentuk secara tidak sempurna; ketidak-sempurnaan ini boleh merosakkan kadar ‎protein dan lemak didalam tubuh, boleh menyebabkan beberapa jenis kanser kepada usus ‎besar, prostat, payudara, organ peranakan, paru-paru dan pancreas. Bahkan, boleh ‎menjejaskan DNA manusia. Justru, kurma adalah anti beberapa jenis kanser. ‎

Sementara zeaxanthin pula penting untuk kesihatan mata. Zeaxanthin diserap oleh retina ‎mata. Bertindak sebagai anti-oxidan dan berfungsi sebagai pelindung pada silauan cahaya ‎pada mata. Juga, melindungi dari kekejangan otot dan kekedutan kulit. ‎

5)‎ Kurma Kaya Vitamin A

Buah kurma kaya Vitamin A (mengandungi 149 IU per 100 g). ‎
  • Vitamin A juga sangat baik untuk kesihatan mata. ‎
  • Vitamin A juga diperlukan untuk memelihara lapisan-lapisan kulit agar menjadi sihat. ‎
  • Vitamin A juga membantu menyihatkan paru-paru dan gusi, melindungi dari gejala ‎serangan kanser paru-paru dan gusi.‎
6)‎ Kurma Mengandungi Vitamin B-Kompleks Dalam Kadar Yang Sempurna

Buah kurma mengandungi kumpulan vitamin B-kompleks yang sempurna, dan juga vitamin ‎K. ‎

Vitamin B-kompleks berfungsi untuk mengendalikan metabolisma karbohaidrat dan ‎mengawal kadar gula dan asid berlemak didalam tubuh untuk akhirnya digunakan sebagai ‎tenaga. Unsur-unsur vitamin B-Kompleks seperti pyridoxine (vitamin B-6), niacin, asid ‎pantothenic dan riboflavin menyumbang kepada kelancaran sistem metabolism ini. ‎

Vitamin K pula diperlukan oleh tubuh untuk mengendali kecairan atau kepekatan darah dan ‎juga untuk metabolisma tulang agar menjadi sihat dan tidak rapuh. ‎

7)‎ Kurma Juga Mengandungi Zat-zat Galian ‎

Buah kurma juga mengandungi zat-zat galian seperti kalsium, manganese, copper, besi dan ‎magnesium. ‎

Kalsium ini adalah zat galian yang penting bagi pertumbuhan dan memelihara tulang dan ‎gigi yang sihat. Sangat penting untuk pergerakan otot-otot, darah membeku apabila ‎berdarah dan sistem saraf yang sihat. ‎

Zat manganese pula diperlukan oleh tubuh bertindak bergandingan dengan enzim anti-‎oxidan “superoxide dismutase”. superoxide dismutase adalah sejenis enzim yang membina ‎sel-sel tubuh dan sel-sel kulit agar sihat dan tegang, agar tidak cepat kekedutan. ‎

Zat copper diperlukan oleh tubuh dalam pengeluaran sel-sel darah merah. ‎

Zat magnesium diperlukan untuk pertumbuhan tulang. mencegah dari tulang menjadi ‎rapuh/osteoporosis.‎

Buah kurma kaya kandungan zat besi (0.90 mg/100 g ). Zat besi diperlukan untuk membina ‎sel-sel darah merah. Sel-sel darah merah ini berfungsi membawa zat-zat makanan ‎keseluruh tubuh. Justru, buah kurma adalah anti kekurangan darah merah/anemia. ‎

8)‎ Kurma Juga Mengandungi Zat Elektrolyte, Seperti Potassium dan Sodium

Potassium adalah zat yang penting didalam pembentukan sel-sel dan cairan didalam tubuh, ‎yang menyumbang kepada kelancaran tekanan darah dan degupan jantung.‎

‎Justru, potassium baik untuk melindungi dari serangan jantung dan perbagai komplikasi ‎jantung. ‎

9)‎ Kurma Sangat Baik Untuk Wanita Hamil

Dengan adanya kandungan vitamin-vitamin, zat-zat galian yang penting yang sangat ‎diperlukan oleh tubuh, maka buah kurma adalah amat sesuai untuk wanita yang sedang ‎hamil dan selepas bersalin. ‎

Dengan memakan buah kurma, otot-otot peranakan menjadi lebih kuat, mempermudah ‎proses bersalin, dan mengurangkan pendarahan sewaktu dan selepas bersalin. ‎

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi ‎bagi menambah susu ibu. Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka ‎dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ada kajian ‎menunjukkan bahawa anak yang disusui oleh ibu yang selalu memakan buah kurma, akan ‎mempunyai daya tahan dari serangan pelbagai penyakit semasa hayatnya. ‎

10) Kurma Boleh Dimakan Dalam Pelbagai Bentuk ‎

Buah kurma boleh dimakan dalam berbagai bentuk. Samada dalam bentuk buah segar, buah-‎buahan kering, dibuat jus, kek kurma atau berbagai lagi.

Kurma boleh dicampur dengan susu kambing atau lembu/sapi, yoghurt atau dengan roti atau ‎butter untuk menmbahkqan keenakan apabila memakannya. ‎
‎ ‎
Ada juga kurma disajikan bersama badam dan madu. Kurma dibuang bijinya dan diganti dengan ‎kacang tanah, badam atau gajus bagi menambahkan keenakan. ‎

Ada juga buah-buah kurma direndam semalaman kedalam susu kambing kemudian diblend ‎bersama madu dan serbuk buah pelaga untuk kesihatan danmenambah tenaga. ‎


Perhatian !!!

1)‎ Kurma mengandungi tyramin. Tyramin adalah suatu unsur yang selalunya terdapat ‎didalam keju atau daging yang tersimpan lama. Sesiapa yang mengambil ubat ‎monoamine oxidase (MAO) untuk meredakan tekanan darah tinggi perlu menghindar ‎dari memakan kurma, kerana tyramin boleh bertindak balas pada ubat MAO ini, ‎mengakibatkan tekanan darah tinggi akan lebih meningkat dan boleh mengancam ‎nyawa. Tyramin juga boleh menyebabkan migraine. ‎

‎2)‎ Boleh meningkatkan kadar gula didalam tubuh. Kurma kaya dengan zat gula. Gula-gula ‎ini tidak membawa akibat buruk pada orang yang sihat. Akan tetapi, pada penderita sakit ‎kencing manis/diabetes dinasihatkan jangan memakan buah kurma atau jus kurma, kerana ‎ini akan menambah risiko kadar gula yang semakin tinggi didalam tubuh. Boleh ‎mendatangkan kesan yang lebih serious.‎

‎3)‎ Kerosakan pada gigi. Sesudah memakan kurma, adalah penting menggosok gigi. ‎Buah kurma yang sudah masak ranum akan melekit pada celah-celah gigi. Kerana ‎kandungan gulanya yang tinggi, ini boleh menyebabkan kerosakan pada gigi. ‎

‎4)‎ Kurang baik pada orang yang mengamalkan “diet”. Bagi orang yang sedang ‎mengamalkan diet untuk melansingkan tubuh, tidak digalakkan memakan buah kurma ‎terlalu banyak. Kandungan gula yang tinggi didalam buah kurma, meskipun semulajdi/alami, ‎namun akan sedikit sebanyak mempengaruhi pertambahan berat badan. ‎

‎5)‎ Tidak dinasihatkan bagi penderita Cirit Birit. Orang yang sedang menderita cirit birit ‎dinasihakan tidak memakan buah kurma, kerana ini akan menambah keparahan cirit birit ‎yang dideritai. Boleh mengakibatkan muntah-muntah. ‎

‎6)‎ Kekejangan usus perut. Kurma kaya dengan sumber zat-zat makanan termasuk beberapa ‎jenis vitamin, zat galian, protein dan serat isi kurma. Semua ini untuk membina ‎kesihatan tubuh. Tambahan pula, kurma juga kaya dengan zat potassium. Sekiranya ‎kurma dimakan berlebihan, zat-zat yang berlebihan ini dikhuatiri boleh menganggu sistem penghadaman ‎usus perut dan boleh menyebabkan kekejangan usus. ‎

‎7)‎ Sesak dada. Ada juga orang yang merasa sesak didada atau nafas menjadi kurang selesa ‎setelah memakan buah kurma. Meskipun tidak membahayakan kesihatan tetapi ini adalah ‎salah satu dari kesan-kesan sampingan apabila kita memakan buah yang berserat. ‎

‎8)‎ Allergi. Kajian sains ada juga menunjukkan bahawa terdapat allergi pada sesetengah orang ‎yang memakan buah kurma. Seandainya terdapat allergi sebaiknya mendapat nasihat ‎doctor sebelum memakan buah kurma. ‎

‎9)‎ Sendawa. Meminum setelah memakan buah kurma selalunya akan menyebabkan ‎sendawa. Berhati-hatilah agar tidak dianggap kurang sopan apabila sendawa dhadapan ‎orang ramai. ‎

Demikianlah tentang beberapa kesan sampingan dari memakan buah kurma. Permakanan buah ‎kurma pada keseluruhannya adalah sangat baik untuk kesihatan tubuh. Namun, sekiranya kesan ‎sampingan menjadi serious pada sebilangan orang, disarankan mendapat nasihat doctor ‎terlebih dahulu sebelum terus memakannya!!! ‎

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...