0

Wednesday, April 30, 2014

Ada Apa Pada Kai-lan ?

Sayur Kai-lan



Sayur Kailan
Kailan Ikan Masin
Kailan Udang
Kai-lan (atau gai-lan), panggilan dalam bahasa Kantonis pada sejenis sayuran. Kai-lan juga dikenali sebagai Brokoli China atau Kale China.

Kai-lan dan Brokoli adalah dari spesis yang sama iaitu Brassica oleracea, tetapi kai-lan tergolong dalam kelompok alboglabra yang bermaksud 'putih tanpa bulu'. Rasanya hampir sama dengan brokoli, tetapi lebih sedikit pahit, manis, masam dan menyengat.

Kai-lan adalah sayuran berdaun tebal berwarna hijau, sedikit berkeriput, batang daun bulat tebal, dan sejumlah kecil hujungnya  berbunga kecil mirip bunga brokoli.

Kai-lan sering digunakan dalam masakan Cina, terutama masakan Kantonis. Sayur ini lazim ditumis bersama halia dan bawang putih, atau digoreng dengan sos tiram. Bukan saja daun, tetapi batang kailan juga boleh dimakan, dipotong-potong kecil sebelum dimasak.

Sayur kai-lan tidak asing pada warga Asia Tenggara, terutama masyarakat Vietnam, Myanmar, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Ia menjadi sajian berbagai masakan.

Nilai Nutrisi Kai-lan



Serat Sayuran. Kailan rendah kalori, tetapi kaya dengan serat makanan. Sayur kailan adalah pilihan makanan berserat yang baik.

  • Permakanan yang kaya berserat boleh menyihatkan usus, dan mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser, tekanan darah tinggi, kencing manis, buncit, kadar kolesterol tinggi dan strok.

Vitamin.  Kailan mengandungi beberapa jenis vitamin; A, B-kompleks, C, E dan K.

Vitamin A dalam kailan yang boleh dianggap tinggi, setiap 88 g membekal lebih dan 29% vitamin A dari kadar saranan harian.

  • Vitamin A, apabila ditukar oleh tubuh menjadi 'retinaldehyde', menyumbang kepada kesihatan mata. Vitamin A juga dipercayai menjadi ejen yang mencegah katarat, kemerosotan mata, dan glaucoma (kemerosotan saraf optik). 
  • Vitamin A memperteguh selaput-selaput dalam tubuh; seperti selaput lendir, saluran-saluran pernafasan, air kencing dan usus. 
  • Vitamin A turut penting dalam penghasilan 'lymphocyte' atau sel-sel darah putih, bagi menggempur sebarang kuman yang menyebabkan jangkitan pada tubuh. 

Vitamin C. Sepertimana sayur-sayuran lain, kailan juga kaya dengan vitamin C.

  • Vitamin C adalah anti-oksidan; permakanan yang kaya dengan vitamin C boleh mengutuhkan sistem kekebalan tubuh, membantu tubuh melawan jangkitan dan menyirna radikal bebas yang sentiasa menjadi perosak kepada mana-mana bahagian tubuh.
  • Vitamin C secara lansung terlibat dalam pembinaan kolagen iaitu sejenis protein yang paling banyak terdapat di dalam tubuh dan berada pada setiap anggota tubuh. Ia berupa serat putih yang liat dan teguh, lebih teguh dari kawat/dawai logam yang sama ukuran. Ia juga sebagai "elatin" berwarna kuning (lapisan pelindung pada urat saraf). Kolagen merupakan komponen utama pada serat-serat tisu yang saling terhubung; seperti kulit, tendon, ligamen, cartilage, jantung, cornea mata, tulang, gigi, usus, pembuluh-pembuluh dan saluran-saluran darah, bahkan pada setiap bahagian tubuh. Semuanya terikat rapi mendirikan seluruh tubuh. Justru, vitamin C menjadi syarat utama bagi membina kolagen agar struktur tubuh sentiasa utuh.

Vitamin B-kompleks sentiasa ada pada sayur-sayuran. B9 atau asid folik, dalam kailan agak tinggi.

  • Asid folik bertindak sebagai enzim gandingan dalam bentuk tetrahydrofolate (THF). THF terlibat dalam pemindahan unit karbon “single-carbon units” ‎sewaktu metabolisma asid nucleik dan asid amino.
  • THF juga terlibat dalam penghasilan pyrimidine nucleotide, yang ‎diperlukan untuk percambahan dan pembinaan sel-sel normal, ‎terutama sewaktu kehamilan dan janin sedang cepat membesar.
  • Folate juga membantu dalam erythropoiesis, dalam penghasilan sel-‎sel darah merah. ‎‎

Vitamin K – Keistimewaan kailan terletak pada kandungan vitamin K. Kailan sangat kaya dengan vitamin K, setiap 88 g membekal lebih dan 93% vitamin K dari kadar saranan harian.

Vitamin K berperanan utama sebagai faktor pembekuan darah yang sihat, penghalang pendarahan yang berlebihan. Walaupun pembekuan darah kedengaran seperti proses biasa yang tidak begitu perlu dititik-beratkan pada kesihatan harian, tetapi sebenarnya ia amat penting. Disatu segi, luka perlukan kemampuan darah membeku bagi menutup luka dan menghindar dari pendarahan berlebihan. Disegi lain pula, terlalu banyak pembekuan darah meskipun tidak luka, memungkinkan terbina tompokan darah beku yang boleh menyekat dan menyumbat pengaliran darah, menjejaskan perjalanan darah ke jantung, otak dan lain-lain bahagian, natijahnya menggugat kesihatan dan nyawa. Justru, vitamin K merupakan zat yang penting bagi memelihara kemampuan darah membeku pada tahap yang saksama.

Vitamin K merupakan faktor gandingan dalam pengubah-suaian sisa asid amino glutamik (Glu) untuk menghasilkan asid amino dikenali sebagai "Gla," iaitu asid gamma-karboxyglutamik. Dan vitamin K bertindak melalui Gla untuk pelbagai aktiviti dan fungsi tubuh. Antaranya:

  • Protein Gla osteocalcin paling dikenali, banyak terdapat dalam tulang. Protein Gla osteocalcin berkait-rapat dengan ketumpatan tulang. Ia bergabung dengan ion kalsium untuk proses pembinaan melalui pengkalsium (calcification).
  • Vitamin K berganding dengan sejenis protein iaitu "carboxylation", mampu mengawal perjalanan urusan kalsium. Kekurangan vitamin K disebut "undercarboxylated", protein carboxylation tidak dapat mengawal perjalanan kalsium. Tanpa kawalan keatas kalsium, kalsium akan keluar dari tulang dan gigi, memasuki saluran darah arteri dan tisu-tisu lembut yang lain. Jika berlarutan, akan menyebabkan terbina plaque kalsium dalam arteri, pengaliran darah dalam arteri boleh tersumbat, menggugat fungsi jantung. Jika undercarboxylated pada osteocalcin, akan menyebabkan tulang dan gigi menjadi rapuh.
  • Protein Gla juga terdapat dalam darah dan pada dinding-dinding saluran darah, bersama dengan platelet phospholipid dan bergabung dengan kalsium, untuk proses pembekuan darah.
  • Protein Gla dalam organ hati berperanan penting memelihara keadaan darah yang sihat. 
  • Protein Gla dalam organ ginjal berfungsi menghalang terbinanya batu karang kalsium oxalate melalui kawalan protein Gla terhadap kalsium dalam ginjal.
  • Protein Gla didapati penting sebagai ejen laluan kepada penggunaan semula vitamin K dari epoxide metabolite (KO) untuk digunakan dalam carboxylation.
  • Protein-protein Gla yang lain, seperti MGP (calcification-inhibiting matrix Gla protein), Gas6 (pertumbuhan sel melibatkan protein gene 6 khusus), TMGP (4 jenis transmembrane Gla protein) -  ‎fungsi-fungsi sebenar masih banyak belum diketahui dengan jelas.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...