0

Friday, November 22, 2013

Vitamin E

Apakah Vitamin E   ?




Vitamin E adalah nama majmuk yang merujuk kepada 8 isomer yang larut lemak yang merupakan ahli-ahli keluarga vitamin E. Setiap ‎isomer mempunyai tahap aktiviti biologi yang berbeza. 8 isomer tersebut terbahagi kepada 2 kelompok; 4 ‎darinya dalam kelompok tocopherol, dan 4 bakinya dalam kelompok tocotrienol. Isomer-isomer tersebut disimbolkan: ‎alpha = (α-), beta = (β-), gamma = (γ-), dan delta = (δ-). ‎‎

Keluarga Vitamin E (8 Ahli/Isomer)‎
4 Jenis Tocopherol‎ 4 Jenis Tocotrienol‎
Alpha/(α)-tocopherol Banyak terdapat dalam darah ‎dan tisu-tisu tubuh. Sifat anti-‎oksidan yang aktif dan penting ‎pada tubuh. Formula ‎molekeulnya ialah C29H50O2.‎ Alpha/(α)-tocotrienolFormula molekeulnya ‎ialah C29H44O2.‎
Beta/(β)-tocopherol Sifat anti-oksidannya kurang dari ‎alpha-tocopherol. Formula ‎molekeulnya ialah C28H48O2.‎ Beta/(β)-tocotrienol ‎Formula molekeulnya ‎ialah C28H42O2.‎
Gamma/(γ)-tocopherolFormula molekeulnya ialah ‎C28H48O2.‎Gamma/(γ)-‎tocotrienolJenis vitamin E yang ‎jarang sekali ditemui.‎
Delta/(δ)-tocopherolJumlahnya sedikit berkurangan ‎dari alpha-tocopherol dalam ‎darah dan tisu-tisu tubuh. ‎Formula molekeulnya ialah ‎C27H46O2.‎Delta/(δ)-tocotrienol Formula molekeulnya ‎ialah C27H40O2.‎

Tocopherol dan Tocotrienol



Tocopherol

Alpha-tocopherol. Dari semua isomer vitamin E, alpha-‎tocopherol paling dikenali dan di kaji. Didapati paling pekat di dalam darah. Hati menyerap alpha-tocopherol ‎dan isomer-isomer yang lain, dari nutrien yang telah di cerna dan di serap oleh usus. Hati kemudian ‎mengeluar kembali alpha-tocopherol melalui sejenis protein pemindahan “hepatic alpha-tocopherol transfer ‎protein - (a-TTP)", lalu menggabungkan alpha-tocopherol dengan ‎lipoprotein dalam darah, untuk diedarkan ke seluruh tubuh. Hati juga turut ‎mengeluarkan isomer-isomer lain memasuki ke dalam darah, tetapi dalam jumlah yang kurang pekat. Kerana itu, alpha-tocopherol mendapat tempat ‎sebagai “Vitamin E” kerana di kira lebih berkepentingan pada tubuh manusia. Justru, rujukan tentang vitamin E lebih ‎merujuk kepada alpha-tocopherol, dan unit IU dalam supplemen vitamin E selalunya ‎merujuk kepada alpha-tocopherol.

Akan tetapi, kajian-kajian terkini menunjukkan bahawa bukan hanya alpha-tocopherol, tetapi isomer-isomer lain juga turut diperlukan dan tidak mungkin dapat disisihkan, untuk memelihara kesihatan tubuh. ‎

Gamma-tocopherol. Gamma-tocopherol ‎kini didapati mempunyai fungsi sebagai anti-oksidan dan juga bukan anti-oksidan pada tubuh manusia. ‎Namun fungsi-fungsinya yang sebenar masih belum jelas. ‎

Kadar gamma-tocopherol dalam darah secara amnya 10 kali ganda lebih rendah dari ‎alpha-tocopherol. Keadaan ini disebabkan alpha-tocopherol terus berada dalam seluruh tubuh setelah di edar oleh darah melalui tindakan a-TTP dalam hati. Manakala gamma-‎tocopherol pula lebih banyak dikeluarkan dari tubuh, hanya sedikit kadar gamma-tocopherol yang perlu kekal dalam tubuh. ‎
Hasil dari beberapa kajian, gamma-tocopherol didapati: ‎
  • membantu mengurangkan risiko atau perkembangan kanser prostat, jika dos gamma-tocopherol, alpha-tocopherol dan toenail selenium di tambah.
  • membantu tindak-balas sistem kekebalan tubuh dan menggalak pertumbuhan ‎sel-sel secara normal. 
  • sebagai anti-oksidan membantu merawat keradangan.  
  • mengambil supplemen d-alpha tocopherol tanpa seluruh isomer keluarga vitamin E boleh menghakis kadar d-gamma tocopherol ‎dalam tubuh. ‎
Tocotrienol

Dibandingkan dengan tocopherol, tocotrienol jarang di beri perhatian dan di kaji. Terdapat kurang dari 1% ‎nafkah kajian yang berkaitan dengan tocotrienol. ‎

Beberapa kajian terkini memberi petunjuk bahawa Tocotrienol :‎
  • bersifat anti-oksidan yang lebih berkuasa dari kalangan keluarga vitamin E; seperti melindungi kerosakan sel-sel neuron, dan melindungi kerosakan otak.
  • mempunyai fungsi penting bukan sebagai anti-oksidan; seperti ‎membantu mengurangi ‎kadar kolesterol, memelihara tahap kolesterol, menggalak pertumbuhan dan fungsi sel ‎yang sihat.
  • dalam bentuk supplemen, tocopherol menghindar dari bergabung dengan tocotrienol ‎apabila keduanya di ambil pada masa yang sama.   
Kesempurnaan Vitamin E

Meskipun tubuh lebih banyak mengandungi alpha-tocopherol dari isomer-isomer lain, namun pengambilan alpha-tocopherol semata-mata, tanpa isomer-isomer yang lain, tidak begitu bermanfaat untuk kesihatan. Aktiviti vitamin E tidak datang dari satu isomer, tetapi dari semua isomer ‎dari kalangan tocopherol dan tocotrienol, yang saling berkaitan antara satu dengan yang lain.

Kedua-dua jenis tocopherol dan tocotrienol boleh di perdapat ‎dari pohon-pohon atau sumber semulajadi. Akan tetapi, belum terdapat satu jenis tumbuhan pun yang membekalkan kesemua ‎isomer-isomer vitamin E dalam nisbah yang saksama. Justru, kedua-dua tocopherol dan tocotrienol perlu di perdapat ‎dari sumber tumbuhan yang ‎berbeza.

Pada keseluruhannya, fungsi dan manfaat vitamin E masih banyak yang samar. Kajian lebih mendalam diperlukan. ‎

Fungsi Vitamin E



1)‎     Fungsi Anti-Oksidan.  ‎Fungsi utama vitamin E ialah sebagai anti-oksidan. Nilai anti-oksidannya sangat berkuasa menjadikan ia begitu penting pada kesihatan tubuh. Vitamin E dari sumber alami didapati memiliki nilai anti-oksidan yang lebih berkesan dari sumber sintetik.

‎Sebagai anti-oksidan, vitamin E berperanan menghalang radikal bebas dari merosakkan sel-‎sel, tisu-tisu, dan organ-organ tubuh. Ia juga bertindak mengurangi kerosakan akibat dari oksidasi ‎yang disebabkan oleh radikal bebas, dan mencegah dari perkembangan kanser.

‎Radikal bebas memang pengancam kesihatan tubuh. Ia terhasil dari proses metabolisma biasa di ‎dalam tubuh. Ia juga boleh terhasil bila tubuh terdedah kepada faktor-faktor alam sekitar, seperti ‎asap rokok, kecemaran udara dsbnya. Lemak-lemak, yang menjadi bahagian utama kepada semua ‎selaput sel, mudah terancam kepada kerosakan melalui oksidasi yang disebabkan oleh radikal ‎bebas. ‎Alpha-tocopherol larut lemak, maka ia di serap ke dalam ‎selaput sel, sekaligus bertindak melindungi sel-sel dari kerosakan oksidasi, melumpuhkan perantara kepada radikal ‎bebas, menghalang gerak-tindak radikal ‎bebas, dengan demikian mencegah perkembangan reaksi berantai kerosakan pada lemak lipid.

Di samping memelihara keutuhan selaput-selaput sel seluruh tubuh, alpha-tocopherol juga ‎melindungi lemak LDL (low density lipoprotein) dari berlaku oksidasi. Lipoprotein adalah bahan ‎yang terdiri dari lemak lipid dan protein yang membawa lemak-lemak melalui saluran darah. LDL secara ‎khusus membawa kolesterol dari organ hati ke tisu-tisu tubuh. LDL yang sudah berlaku oksidasi ‎boleh bertompok menjadi binaan plaque di dalam saluran-saluran darah arteri, dikaitkan dengan perkembangan penyakit jantung.

Apabila molekeul alpha-tocopherol melumpuhkan gerak-tindak radikal bebas, ia hilang ‎kemampuan sebagai anti-oksidan. Namun, anti-oksidan yang lain, seperti vitamin C, boleh ‎pula menghidupkan kembali sifat anti-oksidan alpha-tocopherol yang lumpuh tadi. ‎

2)     Fungsi Selain Dari Anti-Oksidan.     Vitamin E juga dikenal-pasti mempunyai beberapa fungsi lain yang tidak berkaitan dengan ‎fungsinya sebagai anti-oksidan. ‎Antaranya;
  • memperteguhkan beberapa aspek dayatahan tubuh. 
  • memainkan peranan dalam fungsi saraf dan otak, dan isyarat sel; sel-sel menggunakan vitamin E untuk berhubungan ‎dan memberi isyarat dan maklumat antara satu sama lain bagi melaksanakan beberapa fungsi penting. ‎ 
  • pengaruh dalam pengawalan ekspresi dan aktiviti gene, enzim-enzim utama, dan molekeul dalam sel-sel kekebalan, yang mana sekiranya tidak terkawal boleh menyebabkan rebakan sel-sel ‎tumor dan kanser.
  • menyekat aktiviti protein kinase C (PKC), sejenis enzim yang terlibat dalam pengawalan, pembiakan dan percambahan sel-sel, menghalang pembentukan otot-otot sel yang tidak normal, menghalang pembekuan dan tompokan ‎darah, tompokan monocyte, tompokan akibat dari oksidasi LDL (penyebab atherosclerogenesis). Juga membantu mengembangkan saluran dan pembuluh darah bagi melancarkan pengaliran darah. ‎ ‎ ‎
  • penting dalam pembinaan sel-sel darah ‎merah; membantu tubuh menggunakan vitamin K.
Semua ini bukan semata-mata dari aktiviti anti-oksidan tocopherol, tetapi hasil dari gerak-tindak isomer-isomer vitamin E keseluruhannya. ‎Terdapat juga tindakan bertindan antara isomer-isomer tocopherol dan tocotrienol, namun isomer-isomer dari tocotrienol lebih ‎berkuasa dalam fungsi isyarat yang melibatkan kawalan tahap kolesterol LDL dan beberapa jenis kanser. ‎

Bagi mendapatkan manfaat vitamin E sepenuhnya, supplemen vitamin E (semua isomer dari kalangan tocopherol dan tocotrienol) juga perlu diperdapat dari sumber alam semulajadi.

Kajian sepenuhnya perlu dilakukan ke atas semua ahli keluarga vitamin E, melewati fungsi anti-‎oksian.

Manfaat Vitamin E  ‎


Banyak diperkatakan tentang potensi vitamin E dalam meningkatkan kesihatan tubuh dan ‎mencegah berbagai jenis penyakit. Semua ini disebabkan fungsi utama vitamin E sebagai anti-‎oksidan yang ulung. Namun kemujaraban vitamin E terhadap penyakit-penyakit masih banyak yang tidak pasti. Kajian lebih terperinci perlu dilakukan. 

1 ‎      Mengurangkan Risiko Kanser (*Masih Dipertikaikan)‎

‎Kebanyakan jenis kanser adalah akibat dari kerosakan oksidasi ke atas sel-sel disebabkan oleh radikal ‎bebas. Sel-sel kanser berkembang-biak dengan cepat. Kerosakan yang merebak, sekiranya tidak ‎di sekat, akan mengakibatkan perkembangan kanser yang kronik. Vitamin E, bersifat anti-oksidan, ‎di anggap boleh membantu mengurangkan risiko penyakit kanser, seterusnya boleh melindungi serta merawat sel-sel dari kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas ‎tersebut.

Kemampuan vitamin E alpha-tocopherol melumpuhkan radikal bebas telah menggerakkan ‎beberapa kajian berkaitan pencegahan kanser. Namun, sehingga kehari ini, kajian demi kajian ‎masih gagal menemui kaitan yang kukuh antara pengambilan vitamin E alpha-tocopherol dengan ‎kesembuhan atau pengurangan dari gejala kanser.‎

Hasil dari beberapa kajian masih bercanggah:
  • Kanser Mulut dan Kerongkong – Satu kajian, 1992 dilakukan oleh NCI menunjukkan ‎bahawa dengan pengambilan vitamin E yang berterusan dapat mengurangkan kanser ‎mulut dan kerongkong sehingga 50%.‎
  • Kanser Paru-Paru – Satu kajian, 1990 dilakukan di Louisiana University Medical Centre ‎menunjukkan tahap vitamin E dalam darah terlalu rendah pada orang yang mengidap ‎kanser paru-paru. Ini diperakui oleh satu kajian, lain di Johns Hopkins School USA pada ‎tahun berikutnya 1991.
  • Kanser Payudara – Pada tahun 2002, Life Extension magazine telah menyiarkan artikel ‎yang menyemak 12 kajian berbeza tentang vitamin E, kajian-kajian menunjukkan bahawa ‎wanita yang mengidap kanser payudara mempunyai tahap vitamin E yang rendah dalam ‎darah. Begitu juga kajian yang diperdapat dari St Bartholomews Hospital pada tahun 1992.‎
  • Kanser Rahim – Kajian dari Albert Einstein College of Medicine, New York menunjukkan ‎wanita yang paling teruk mengalami “lesions” (masalah keradangan melampau) memiliki ‎kadar vitamin E yang terlalu rendah. Ini diperakui oleh beberapa kajian lain.
  • Kanser Kolon – Kajian mendapati vitamin E boleh menghalang terbina carcinogenic ‎nitrosamines (bertindak sepertimana radikal bebas) dalam perut dari nitrite yang ‎terdapat dalam makanan. ‎
  • Kanser Pundi Air Kencing - Kajian mendapati di antara alpha- dan gamma-tocopherol, ‎hanya alpha-tocopherol dikaitkan boleh mengurangi risiko kanser pundi air kencing. 
  • Kanser Prostat – The Journal of the National Cancer Institute (1998) menyiarkan satu ‎kajian di Finland tentang kesan vitamin E ke atas para perokok menunjukkan kadar rendah ‎vitamin E dalam darah terdedah 3 kali ganda lebih mudah mengidap kanser. Di samping itu, ‎kajian tersebut menunjukkan alpha-tocopherol mengurangi risiko kanser prostat. Kajian-kajian lain tidak pula ‎menunjukkan sedemikian, bahkan sebaliknya, dos tinggi supplemen vitamin E setiap hari ‎‎(400 IU) meningkatkan lagi risiko kanser prostat.‎ 
  • Satu kajian lain yang disiarkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of ‎Sciences, Disember 2004 mendapati gamma-tocopherol, bukan alpha-tocopherol, ‎yang menghalang pembiakan sel-sel kanser prostat, menggalakkan sel-sel kanser luluh sendiri (apoptosis), tanpa menjejaskan sel-sel sihat yang lain. Apabila gamma-tocopherol digabungkan dengan isomer-isomer lain seperti delta-‎tocopherol, menjadikan nilai anti-oksidan semakin berkesan.
2 ‎      Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung ‎ (*Masih Dipertikaikan)‎

Vitamin E banyak diperkatakan boleh membantu menghindar dari berbagai jenis penyakit jantung. ‎

Vitamin E didapati berkesan menghalang oksidasi kolesterol LDL (low-density lipoprotein cholesterol) yang ‎merupakan awalan kepada penyakit atherosclerosis (dinding pada saluran arteri menebal ‎disebabkan bahan lemak kolesterol LDL menompok). Satu kajian terpencil ke atas lelaki yang baru melalui pembedahan pintas saluran darah ke jantung, dengan pengambilan sekurang-kurangnya 100 IU supplement ‎alpha-tocopherol (67 mg RRR-alpha-tocopherol) setiap hari telah mengurangkan penyakit ‎atherosclerosis yang dialaminya.

Beberapa kajian lain menunjukkan serangan penyakit jantung (yang tidak mengakibatkan kematian) berkurangan dengan pertambahan dos ‎supplemen alpha-tocopherol yang lebih tinggi (400 IU/180 mg atau 800 IU/360 mg ‎‎sintetik 'RRR-alpha-tocopherol'). ‎Manakala terdapat beberapa kajian lain pula mendapati dalam kadar dos yang lebih kurang sama tidak benar-benar memberi kesan positif yang merubah risiko kemungkinan serangan jantung atau strok akan berlaku.  Justru, kebanyakan ujikaji klinikal ke atas supplemen α-tocopherol bagi merawat penyakit jantung tidak menunjukkan manfaat yang jelas dan tidak mengurangkan risiko serangan jantung yang parah.

Vitamin E didapati membantu menghalang pembekuan darah yang ‎boleh menyebabkan serangan jantung atau ‘venous thromboembolism’. ‎Namun demikian, beberapa kajian lain tidak menunjukkan sebarang kaitan yang positif. ‎
3 ‎      Memperbaiki Kesihatan Mata (*Masih Dipertikaikan)‎

AMD. AMD (Age-related Macular Degeneration) dan kataract sering melanda warga berusia. ‎Punca sebenar tidak diketahui. Tetapi kesan dari bebanan oksidasi yang ‎berlarutan di anggap sebagai puncanya. Sekiranya demikian, maka fungsi anti-oksidan vitamin E di kira ‎bermanfaat bagi menghalang atau merawat masalah organ mata dan penglihatan. ‎Pengambilan vitamin E, bersama dengan anti-oksidan lain seperti zinc dan tembaga bagi ‎merawat penyakit mata yang berkaitan dengan usia, didapati dapat mengurangkan sebanyak 20% perkembangan ‎AMD di peringkat awal. Namun, hasil dari kajian-kajian lain tidak selari dengan kajian tersebut.

Kataract. Kataract timbul bila berlaku bebanan oksidasi protein dalam lensa mata. Oksidasi tersebut sepatutnya boleh di halang oleh ‎anti-oksidan seperti alpha-tocopherol. Beberapa hasil kajian didapati berbeza; meskipun keputusan ‎beberapa kajian mendapati vitamin E boleh melindungi perkembangan kataract, akan tetapi ujikaji-ujikaji ‎yang lain tidak menyokong penemuan tersebut.

4      Mengurangkan Keradangan Kronik (*Masih Dipertikaikan)‎

Menurut kajian dari University of Illinois menunjukkan vitamin E mungkin bermanfaat terhadap individu yang mengalami keradangan kronik pada :- otot dan tulang kerangka, pesakit yang berusia, penyakit Kencing Manis Jenis 2, atau jantung gagal berfungsi. Mungkin bermanfaat juga merawat arthritis dan rheumatoid arthritis.  Bagaimana pun, hasil kajian tersebut adalah dari ujikaji ke atas tikus. Kajian lebih mendalam perlu dilakukan tentang manfaat tersebut ke atas manusia.

Satu kajian menunjukkan bahawa tambahan pengambilan vitamin E selama 5 tahun boleh mengurangkan risoko ALS (Amyotrophic Lateral Sclerosis, Penyakit Lou Gehrig). Namun, kajian selanjutnya perlu dilakukan kerana penglibatan jumlah bahan ujikaji terlalu kecil. Penyakit ALS - otot-otot seluruh tubuh menjadi lemah tak bermaya disebabkan kemerosotan pada sel-sel neuron di bahagian atas dan bawah tubuh. Individu yang mengalaminya hilang daya kawalan kepada semua pergerakan, lemah daya pengecaman dan ingatan.

5       Mengurangkan Risiko Kemerosotan Otak (*Masih Dipertikaikan)‎

‎Otak banyak menggunakan oxygen. Dan asid lemak poli tak tepu banyak terdapat dalam selaput sel-sel ‎neuron. Otak sangat mudah terdedah kepada bebanan oksidasi. Maka, bebanan oksidasi di ‎anggap menjadi punca kepada beberapa jenis penyakit kemerosotan otak.

Para pengkaji beranggapan sekiranya kerosakan semakin parah akibat dari radikal bebas yang ‎terus-menerus merosakkan sel-sel neuron, keadaan ini akan memerosotkan otak, mengakibatkan hilang pengecaman ‎atau penyakit-penyakit otak lain seperti nyanyuk, Alzheimer dsbnya. Maka dengan pengambilan ‎supplemen anti-oksidan dalam dos yang mencukupi (seperti vitamin E) mungkin dapat memberi ‎perlindungan dari timbulnya gejala-gejala tersebut. Namun, banyak hasil kajian mendapati bahawa ‎penggunaan supplemen vitamin E tidak mampu memelihara daya pengecaman atau sekurang-kurangnya melambatkan kemerosotan otak. Beberapa kajian tidak ‎menemui keputusan yang kukuh, masih berbeza. ‎

6     Diabetes Mellitus (*Masih Dipertikaikan)‎

Penyakit kencing manis menjadikan bebanan oksidasi bertambah berat, menyebabkan kemerosotan pada sistem ‎saluran darah dan jantung, menjadi punca serangan jantung dan strok. ‎Meskipun terdapat petunjuk supplemen alpha-tocopherol mungkin bermanfaat bagi merawat ‎Kencing Manis Jenis 1 atau 2, namun keputusan yang kukuh dari kajian klinikal masih ‎belum ada. Manfaat supplemen alpha-tocopherol dan isomer-isomer lain pada pesakit kencing manis juga perlu di kaji lebih mendalam. ‎

7      Vitamin E | Anti-penuaan (*Masih Dipertikaikan)‎

Vitamin E sering di label sebagai vitamin anti-penuaan. Krim, losyen dan produk-produk kosmetik ‎untuk penjagaan kulit, menjadikan vitamin E sebagai bahan asas yang penting. Ramai di kalangan ‎wanita mengguna krim dan losyen dan juga mengambil supplemen vitamin E dengan kepercayaan ia mampu mengawet kembali kulit ‎wajah dan seluruh kulit tubuh, meghilangkan kekedutan dan mengembalikan tona keremajaan. ‎

Mungkin disebabkan vitamin E bersifat anti-oksidan, maka ia menjadi penting bagi melindungi sel-‎sel kulit dan lapisan epidermis dari sinaran UV, kelecuran, kecemaran, ubat-ubatan/dadah, dan anasir-anasir lain yang boleh ‎menghasilkan radikal bebas. Vitamin E juga sering digunakan bagi merawat penyakit atau masalah kulit yang lain; umpamanya ‎ psoriasis dan erythema (radang kulit berupa bengkak merah, menyakitkan). ‎

Namun, hasil kajian terkini telah mempersoalkan tentang manfaat ini. ‎Sehingga ada kajian yang menunjukkan bahawa krim vitamin E tidak dapat memulihkan parut kulit ‎dari pembedahan sebaliknya menjadikan kulit bertambah buruk. Ini bertentangan dengan ‎tuntutan beberapa pengalaman individu yang mengatakan vitamin E membantu melembut dan ‎mengurangkan kesan parut.

‎Apa yang ‎memeranjatkan, satu kajian dilakukan oleh Shu Takeda dari Keio University, Tokyo menunjukkan ‎terdapat risiko baharu dari pengambilan supplemen vitamin E, sebenarnya boleh menjadikan tulang rapuh dan mempercepat penuaan. ‎

Dosej Vitamin E



A    ‎|‎    Perkiraan Dos 

Rajah 1
Sumber alami vitamin E di sebut d-alpha-tocopherol (juga di sebut RRR-α-tocopherol). ‎Manakala dalam bentuk sintetik di sebut dl-alpha-tocopherol (juga di sebut all-rac-α-tocopherol). ‎

Perkiraan antara keduanya sedikit berbeza:‎
  • Untuk menukar dari mg kepada IU: 1 mg alpha-tocopherol bersamaan dengan 1.49 IU ‎jenis alami atau 2.22 IU jenis sintetik.‎ 
  • Untuk menukar dari IU kepada mg: 1 IU alpha-tocopherol bersamaan dengan 0.67 mg ‎jenis alami atau 0.45 mg jenis sintetik. ‎ Rajah 1 dan 2 merujuk kepada vitamin E alpha-tocopherol alami dalam kiraan mg dan juga ‎IU; contohnya, 15 mg x 1.49 IU/mg = 22.4 IU. Bererti, nilai jenis alpha-tocopherol sintetik ‎adalah 33.3 IU (15 mg x 2.22 IU/mg).‎ 
B    ‎|‎    Dos Saranan Harian 
 
Dos saranan vitamin E dalam Rajah 1 dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Dos tersebut lebih ‎sesuai untuk keperluan tubuh warga Asia Tenggara secara amnya. ‎

Oleh kerana tidak terdapat data tentang had dos maksima yang masih selamat, maka Had ‎Dos Maksima (UL – Upper Intake Level) dari Linus Pauling Institute digunakan, Rajah 2. Institute tersebut ‎juga merujuk dan mengambil kira dos saranan dan had maksima yang dikeluarkan oleh the ‎Food and Nutrition Board (FNB), the Institute of Medicine of The National Academies ‎‎(dahulunya dikenali National Academy of Sciences). ‎

Gejala Kekurangan Vitamin E



Kekurangan Vitamin E jarang berlaku. Tanda-tanda dan gejala kekurangan vitamin E juga tidak ‎mudah timbul, meskipun seseorang itu mendapat vitamin E yang sedikit dari permakanannya. ‎

Namun begitu, terdapat 3 situasi yang menunjukkan kekurangan vitamin E:
(1) bayi pra-‎matang dengan berat badannya kurang dari 1,500 gm/3.5 pound,  ‎
(2) individu yang tidak ‎mampu menyerap lemak dari permakanan, atau
(3) individu yang mengalami kekacauan ‎metabolisma lemak disebabkan faktor genetik.

Kelahiran bayi pra-matang. Istilah pra-matang ialah kelahiran bayi kurang dari 37 minggu ‎kehamilan. Bayi yang dilahirkan pra-‎matang dengan berat badannya kurang dari 1,500 gm/3.5 pound ‎menunjukkan bahawa kekurangan vitamin E mungkin sebagai salah satu puncanya. ‎Kajian menunjukkan pengambilan minyak ikan (keutamaan pada omega-3), vitamin C ‎dan E yang mencukupi sewaktu kehamilan dapat mengurangkan risiko kelahiran bayi pra-matang. ‎

Penyerapan lemak bermasalah. Ada individu yang ususnya tidak mampu menyerap lemak dari ‎permakanan harian. Mungkin kerana sebahagian dari perut atau ususnya terpaksa di potong disebabkan kanser dsbnya. Penyakit Crohn (masalah keradangan pada sistem penghadaman, dari mulut hingga ke ‎dubur) juga salah satu sebab penyerapan lemak menjadi sukar. Kurang lemak bererti kurang mampu menyerap vitamin E .‎ 

Kekacauan metabolisma lemak dari faktor genetik. Jenis kekacauan metabolisma lemak ini diwarisi dari faktor keturunan. Individu terlibat menghadapi kesukaran bagi ususnya menyerap lemak dari makanan. Vitamin E perlukan lemak untuk di serap. Apabila kurang lemak bererti ‎tubuh akan sukar menyerap vitamin E ke dalam tubuh.‎

Jens-jenis penyakit kekacauan metabolisma lemak yang diwarisi, antaranya:
  • Abetalipoproteinemia. Penyakit yang diwarisi melalui faktor keturunan. Kekacauan ini jarang ‎berlaku, di anggap sangat terpencil. Pesakit menghadapi kesukaran bagi ususnya ‎menyerap lemak dari makanan. Orang yang mengalami AVED sering kekurangan vitamin E.
  • AVED (Ataxia with vitamin E deficiency). Juga penyakit yang diwarisi dari faktor keturunan, ‎amat jarang sekali berlaku. Protein alpha-tocopherol dalam organ hatinya merosot, ‎cacat atau tidak ada. Orang yang mengalami AVED sering kekurangan vitamin E.
  • Cystic fibrosis. Juga penyakit yang diwarisi dari faktor keturunan. Berupa penghasilan cecair ‎secara tidak normal, menyebabkan pertambahan lendir di dalam paru-paru, pancreas ‎dan usus. Lambakan lendir yang menebal menjadikan sukar untuk bernafas dan paru-paru mudah ‎dijangkiti, seiring dengan kesulitan menyerap zat makanan disebabkan masalah pada ‎pancreas dan usus. Hati pula berhenti mengeluarkan cecair hempedu, ‎menimbulkan masalah pada fungsi hati, gall bladder dan usus.
Gejala-Gejala kekurangan vitamin E yang kronik, antaranya:
  • Sistem saraf berhubung dengan tulang dan anggota-anggota tubuh terjejas, penghantaran dan maklum-balas dari sistem saraf menjadi lemah, myopathy (otot-otot dan serat-serat otot menjadi lemah dan kurang mampan), ‎retinopathy (retina mata merosot yang memungkinkan buta penglihatan).‎
  • Sistem saraf yang berhubung dengan otak juga terjejas, mengakibatkan komplikasi pada organ dan fungsi otak. Hilang ‎kesaimbangan pergerakan, dan pengecaman.‎ Kurang tindak balas dan pantulan otot-otot (deep tendon reflexes - masalah pergerakan otot) dan Babinski sign (lemah ‎pantulan tindak balas otot).‎
  • Dysarthria (gagap dan gugup pertuturan)‎.
  • anemia (pucat lesi seperti kekurangan darah disebabkan kerosakan pada sel-sel darah merah.
  • ‎Sistem kekebalan tubuh terjejas.  
  • Kemandulan (terdapat kajian klinikal kekurangan vitamin E menjadi salah satu penyebabnya). 
Gejala Dos Tinggi Vitamin E



Rajah 2
Pengambilan vitamin E dari bahan makanan alami tidak menanggung apa-apa risiko dan ‎kemudaratan. ‎
Risiko Dos Tinggi Supplemen Vitamin E:
  • Pendarahan. Pengambilan supplemen vitamin E dalam dos yang tinggi dikhuatiri boleh mencairkan darah sehingga terhalang ‎pembekuan dan mengakibatkan risiko pendarahan yang sukar dihentikan ketika luka, meninggikan risiko pendarahan yang memberi ‎kesan yang buruk pada otak. Pihak “The Food and Nutrition Board of the Institute of Medicine” telah menentukan pengambilan ‎tertinggi yang di kira masih selamat (UL) untuk supplemen alpha-tocopherol (RRR- atau all-rac-‎alpha-tocopherol), berasaskan halangan pada pendarahan. Badan ini berpendapat, pengambilan ‎alpha-tocopherol dalam apa jua bentuk, samada alami atau sintetik sebanyak 1,000 mg/1,500 IU ‎setiap hari atau 1,100 IU/hari untuk semua all-rac-alpha-tocopherol, adalah dos yang tertinggi ‎yang tidak memungkinkan berlaku pendarahan pada orang dewasa. UL vitamin E untuk bayi masih ‎belum dapat ditentukan. Pengambilan dos tinggi supplemen vitamin E tidak di galakkan 1 bulan sebelum apa-apa pembedahan ‎agar risiko pendarahan dapat dielaki.
  • Kecacatan Bayi. Dos tinggi supplemen vitamin E juga meningkat risiko kecacatan pada bayi yang dilahirkan. Bayi ‎pra-matang sangat mudah mendapat kesan negatif dari supplemen alpha-tocopherol. Supplemen alpha-tocopherol hanya ‎di ambil di bawah pemerhatian rapi doktor. ‎
  • Kanser Prostat. Terdapat kajian bahawa supplemen vitamin E (400 IU/hari) boleh meninggikan risiko kanser prostat ‎pada lelaki dewasa.
  • Tindak-balas Terhadap Ubat-ubatan Lain‎. Pengambilan supplemen vitamin E boleh menambah risiko pendarahan pada individu yang sedang ‎mengambil ubat anti-kepekatan darah dan anti-pembekuan darah:  (a) ubat anti-kepekatan darah seperti warfarin (Coumadin) atau individu yang kekurangan atau ‎bergantung kepada vitamin K; ‎  (b) ubat anti-pembekuan darah seperti clopidogrel (Plavix) dan dipyridamole (Persantine); ‎  (c) ubat anti-keradangan bukan-steroid (NSAIDs), termasuk, ibuprofen dll.  
  • Jenis Ubat Lemak Gantian. Pengambilan beberapa jenis ubat dan/atau lemak gantian yang boleh mengurang penyerapan ‎vitamin E, ‎seperti cholestyramine, colestipol, isoniazid, mineral oil, ‎orlistat, sucralfate, dan olestra; dan ‎ ubat anti-kekejangan seperti phenobarbital, phenytoin, atau carbamazepine.
  • Simvastatin dan niacin. Individu yang sedang di rawat dengan simvastatin (Zocor®) and niacin bagi meningkatkan kadar ‎HDL2, mengambil supplemen vitamin E bersama dengan anti-oksidan yang lain seperti vitamin C, ‎selenium, dan beta-carotene. Gabungan anti-oksidan ini boleh membantut pertambahan kadar ‎HDL, terutama HDL2, komponen yang paling melindungi saluran jantung. ‎
Sumber Vitamin E 



Makanan Alami

Nutrien sepatutnya datang dari makanan alami, bererti dari alam semulajadi. Cara terbaik mendapat vitamin E untuk keperluan harian ialah dengan memakan bahan makanan ‎dari sumber alami. Berbeza bahan makanan berbeza pula kadar 8 jenis vitamin E ini. Makanan alami juga mengandungi vitamin, zat gizi, serat makanan, zat phyto dan unsur-‎unsur lain yang memberi kesan positif kepada kesihatan. Supplemen hanya bermanfaat sebagai ‎tambahan kepada sesuatu vitamin atau zat gizi yang kekurangan.‎

Vitamin E banyak terdapat dalam:‎
  • Minyak sayuran: dari wheat germ, bunga matahari, safflower, kelapa sawit, jagung, bijan dsbnya.
  • Kekacang seperti almond/badam, kacang tanah, dan kacang hazel.... ‎ 
  • Biji-bijian seperti biji bunga matahari... ‎ 
  • Sayur-sayuran hijau seperti bayam, brokoli, tomato, lobak merah/wortel...
  • Kiwi, mangga, alpukat... ‎ 
  • Bijiran yang diperkaya vitamin ‎ 
  • Susu bebas-lemak atau kurang kandungan lemak dan produk tenusu... ‎ 
  • Daging lembu, ayam, ikan, telur....
‎*DV = Daily Value (Nilai Harian). DV di rekakhas oleh U.S. Food and Drug Administration (FDA) bagi ‎membantu pengguna membandingkan kandungan nutrien antara berbagai makanan. Peratusan adalah dari dos saranan harianyang perlu di perdapat untuk tubuh. Bahan makanan yang mengandungi 20% DV di anggap sumber yang kaya nutrien untuk kesihatan. Bahan makanan yang mempunyai kurang dari ‎20% DV di anggap bahan makanan yang hanya menyumbang kepada kesihatan.
________________________________________

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...