3

Monday, April 8, 2013

Ayat 1000 Dinar (Ayat 2 & 3, Surah At-Thalaq)



Ayat 1000 Dinar
“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia menjadikan baginya jalan keluar (2). Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di duga, dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkannya, sesungguhnya Allah melaksana urusan yang dikehendakiNya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu (3).” (Surah At-Thalaq: 2 -3)
  

Ayat 2 - 3, Surah At-Thalaq ini lebih dikenali sebagai ‘Ayat 1000 Dinar.’‎ Ayat-ayat ini merupakan amalan yang berkaitan dengan pemeliharaan Allah ketika menghadapi kemelut kehidupan dan kurniaan rezeki dariNya. 

Riwayat Turunnya Ayat 1000 Dinar

Ayat 1000 Dinar diturunkan oleh Allah SWT berkaitan peristiwa Auf bin Malik al-Asyja’i. Beliau mempunyai anak lelaki yang di tawan oleh kaum musyrikin. Lalu mengadu kepada Rasulullah SAW. Baginda meminta Auf agar bersabar, sambil bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT akan menjadikan jalan keluar bagimu.”


‎Ternyata tidak lama selepas itu anak Auf dilepaskan daripada tawanan musuh. Dalam perjalanan pulang, ia terserempak seekor kambing kepunyaan musuh, lalu dibawanya kambing itu kepada ayahnya.‎ Kemudian turunlah ayat-ayat, yang bermaksud: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki tanpa di duga.” (Hadis riwayat Ibnu Jarir)

Pengertian Ayat 1000 Dinar

Ayat-ayat ini merujuk kepada pengaruh taqwa dan tawakkal kepada Allah SWT dalam mengharungi kehidupan. 

*Bertaqwalah kepada Allah; dengan kuasaNya Allah akan membuka jalan keluar/penyelesaian bagi seseorang yang sedang menghadapi masalah kehidupan; yang kusut dirungkaikan, yang sulit dipermudahkan, yang kemelut diselamatkan, yang buntu-fikiran diberikan petunjuk, yang luluh-hati dihidupkan kembali harapan yang lebih membahagiakan.

Bagaimanakah bertaqwa kepada Allah? Menurut Rasulullah SAW, taqwa ialah "menta'ati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupakanNya, bersyukur ‎kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya". (Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas r.a.)‎

Di samping itu, perlu waspada dan tidak tergesa-gesa dalam urusan kehidupan. Waspada terhadap tamak rakus manusia, tipudaya jin dan syaitan, atau kezaliman penganiaya. Saiyyidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Ubai lalu berbalas-tanya kepada Umar: "Pernahkah engkau melalui satu jalan yang berduri?" Jawab Umar: "Ya". ‎Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?".‎Jawab Umar: "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati". Balas Ubai: "Itulah taqwa!!!".‎


“….Wal-‘aqibatu lil muttaqiin”(qasas, 83), akibat yang baik bagi orang-orang ‎yang bertaqwa!!!
 
*Bertawakkallah kepada Allah, akan dicukupkan Allah baginya; ‎setiap kesulitan ‎‎dipermudahkan, setiap cita-cita diupayakan mencapai, perwatakan menjadi lebih tenang, lebih ‎mulia di pandang. Sabda Rasulullah SAW, ‎‎"Barangsiapa yang ingin dirinya menjadi orang yang ‎paling kuat, maka hendaklah ia bertawakkal kepada Allah."‎ Dan dalam satu hadis lain, Baginda ‎bersabda, “Kalau kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, maka Allah akan ‎memberi rezeki kepada kamu sepertimana diberikan rezeki kepada burung. Burung itu keluar ‎pada waktu pagi dengan perut yang kempis, dan pulang pada waktu petang dalam keadaan perut ‎berisi."

‎Bagaimanakah bertawakkal kepada Allah? Imam al-Ghazali merumuskan definisi tawakal sebagai ‎berikut, “Tawakal ialah menyandarkan kepada Allah tatkala menghadapi suatu kepentingan, ‎bersandar kepadaNya dalam waktu kesukaran, teguh hati tatkala di timpa ‎bencana, disertai jiwa ‎yang tenang dan hati yang tenteram.‎" ‎

Apabila menyandar dan berserah diri kepada Allah, Allahlah ‎menjadi wakil bagi menyelesaikan ‎persoalan atau masalah, memecahkan kebuntuan dalam upaya mencapai tujuan, mengupayakan ‎apa jua impian, atau menyelamatkan dari sebarang ketakutan, musibah atau musuh.‎ Namun, ‎tawakkal bukan bererti menyandar dan berserah diri kepada Allah semata-mata, sambil ‎menunggu hasil suatu ‎pekerjaan, atau menanti akibat yang baik dari suatu keadaan,‎ atau lansung ‎mengharap pertolongan dariNya. Tawakkal perlu disertai usaha terlebih dahulu ke arah apa yang ‎dicitakan, kemudian bertawakkal. Contohnya, ‎dalam satu riwayat Rasulullah SAW melihat ‎sekumpulan orang yang tidak bekerja. Baginda kemudian ‎bertanya, "Apa yang kalian kerjakan?"‎ ‎Mereka menjawab,"Kami adalah orang-orang yang bertawakal kepada Allah."‎ Nabi SAW ‎bersabda, "Kamu tidak termasuk orang-orang yang bertawakal, tapi bergantung kepada orang ‎lain."‎ Contoh lain pula, ada seorang sahabat Rasulullah SAW meninggalkan untanya tanpa di ikat ‎terlebih dahulu. Ketika ‎di tanya mengapa tidak di ikat, ia menjawab, "aku telah benar-benar ‎bertawakkal kepada Allah". Lalu Baginda berkata, "Tambatlah dahulu, kemudian bolehlah ‎engkau bertawakkal."‎

Justru, tawakkal sebenarnya menuntut ketinggian iman kepada Allah. Yakin kepada Allah ‎di tahap tahkik (teguh, tidak goyang). Yakin yang istiqamah (berterusan) tanpa di serang keraguan. Terus yakin dan tetap sabar, meskipun hati remuk- redam di rundung sengsara, di landa kecewa, zahir mahupun batin. Orang ‎yang kuat, tinggi keyakinannya, tidak keraguan menggoyah hatinya; manakala orang yang lemah ‎pula rendah keyakinannya, sentiasa di hasut keraguan dan waswas. Nabi SAW bersabda dalam ‎satu hadis sahih, “Dimakbulkan doa kamu selagi kamu tidak tergesa-gesa”. Sahabat bertanya, ‎‎“Apa maksud tergesa-gesa”. Nabi menjawab, “Dia berdoa dan berkata bila nak dapat”. Dengan ‎kata lain, dia meragui apa yang ada di sisi Allah !!! ‎

*Bagaimanakah mengamalkan Ayat 1000 Dinar?‎ Mewiridkan ayat ini umpama seseorang itu menyeru, menuntut perhatian dari Allah SWT kepada ‎permasalahan, penghambatan atau kemelut kehidupan yang sedang dilalui oleh seseorang itu. Amalan wirid disertai dengan ‎taqwa dan tawakkal; semakin hari semakin mendalam, semakin tahkik, semakin hilang waswas, semakin ‎tulus ikhlas. ‎Sehingga, Allah berkenan menjadi wakil kepada apa yang di tuntut perhatian dariNya.

Tidak terdapat kifiat khusus tentang berapa banyak Ayat 1000 Dinar yang perlu diwiridkan setiap hari. Ramai para peniaga, lazim mengamalkan ‎ayat ini dengan cara menampal di kedai/toko perniagaan, agar Allah SWT berkenan meluaskan kurniaan rezeki, memudahkan urusan dan terselesai masalah. Ada yang mewiridkan sebanyak 3 kali setiap selesai solat 5 waktu. Ada yang sampai 200 kali setiap selesai solat 5 waktu, menjadikan 1000 kali setiap hari. Ada pula yang mewiridkan 313 kali setiap hari. Ada pula yang membataskan sehingga 41 atau 100 hari. Dan ada pula yang dawam mewiridkannya di dalam hati, umpama zikrillah, tidak menghitung berapa banyak dan tidak peduli berapa lama hari-hari yang dilalui. Justru, sebaiknya soal jumlah bilangan, waktu dan berapa lama terserah kepada setiap individu, asal sahaja tidak membebankan. Sebaik-baik amalan biarlah istiqamah (berterusan) meskipun sedikit bilangan!!!  
 
Bukti Kehebatan Ayat 1000 Dinar
 
Seorang hartawan telah bermimpi. Dalam mimpi ia didatangi seorang lelaki lalu menasihatinya; “Beramallah dengan hartamu sebanyak 1,000 dinar, sedekahkan kepada fakir miskin yang banyak berkeliaran dan meminta-‎minta.” ‎ Mimpi itu terjadi berulang-ulang kali. Akhirnya, dilaksanakan menurut nasihat dalam mimpinya itu.

Suatu malam dia bermimpi, lelaki itu datang lagi kepadanya. Lalu mengajarkan beberapa ‎ayat Al-Quran (Ayat 1000 Dinar), dianjurkan membaca dan mengamalkannya setiap pagi dan petang, nescaya Allah SWT akan melepaskannya dari bahaya yang bakal menimpa diri. Terbangun daripada tidur, hartawan itu termenung memikirkan hubung-kait mimpinya dengan mimpi yang terdahulu. Oleh kerana kalimat-kalimat tersebut adalah ayat-ayat Quran, maka tanpa ragu-ragu di baca ‎dan diamalkannya.

Tidak lama kemudian, hartawan tersebut dalam suatu pelayaran, menumpang sebuah kapal layar, membawa barang dagangannya. Ketika kapal itu berada di tengah samudera luas, maka ‎bertiuplah angin taufan yang kuat sehingga laut bergelora. Kapal itu terumbang-‎ambing di pukul gelombang laut yang besar. Kesemua penumpang cemas dan ketakutan. Nakhoda dan anak kapal sekelian berusaha sekuat tenaga untuk menyelamatkan kapal dan penumpangnya. Keadaan semakin meruncing. Laut semakin bergelora. Gelombang semakin ganas membadai. Hujan pun semakin lebat. Suasana sekeliling bertambah gelap. Namun, hartawan tersebut tetap tenang, tetap berharap ‎pertolongan Allah sambil terus membaca ‘Ayat 1000 Dinar’ yang telah diajarkan dalam mimpinya. Akhirnya kapal tersebut terhempas pada sebuah batu karang besar,‎ dan pecah. Nasib sekelian anak-anak kapal tidak diketahui. Hartawan tersebut akhirnya terdampar di tepi pantai dalam keadaan selamat, bersama kesemua barang dagangannya. 

Demikianlah kehebatan kuasa Allah yang berlansung melalui Ayat-Ayat 2-3, Surah At-Thalaq yang di terima oleh hartawan tersebut dalam mimpi dan diamalkannya dengan penuh keyakinan, disertai keteguhan imannya kepada Allah dalam bertaqwa dan bertawakkal ketika menghadapai musibah. Lalu ayat-ayat ini disebut ‘Ayat Seribu Dinar’

…‎والله أعلم بالصواب
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

3 comments:

  1. tq atas ayat ini. Moga kita mendapat keberkatan & dimurahkan rezeki...
    sihatgojes.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Terimakasih atas penjelasan nya semoga Allah membalasnya

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...