Camu Camu, nama botani - Myrciaria dubia, genus Myrciaria, dari kerabat Myrtaceae. Nama lain - Cacari, Camocamo, Araca d'agua, Araza de Agua, Guapuro Blanco, dan berbagai nama lagi.
Spesis yang terdekat dengannya ialah Jaboticaba (Myrciaria cauliflora), Guavaberry/Rumberry (Myrciaria floribunda), dan Gowok/Kupa/Kepa (Syzygium polycephalum).
Pohon Camu Camu tumbuh bertaburan di merata lembah kehutanan Amazon; Peru, Brazil, Colombia, Ecuador, Bolivia, Venezuela dan negara persekitarannya.
Sepertimana pohon Acerola, Camu Camu juga pohon merendang. Tidak begitu tinggi, hanya sekitar 3-5 meter. Kebanyakan pohon Camu Camu bercambah melalui biji. Ia mudah tumbuh. Mampu hidup dalam iklim panas, lembab tropika, dan dingin sub-tropika. Ia perlu banyak air; banyak tumbuh meliar di tepi-tepi sungai, kawasan bertasik berpaya, bahkan di lembah banjir. Ia hidup tegar, mampu bertahan terendam di dalam air sehingga 4-5 bulan.
Sekiranya tumbuh dari biji, mula berbuah usia 3 tahun ke atas. Berbuah jenis bermusim. Buahnya bewarna merah-kehijauan, merah-keunguan sepertimana ceri Acerola. Bunga-bunga pula berwarna putih, harum aroma.
Keistimewaan Camu Camu terletak pada kandungan vitamin C yang sangat tinggi (mega) pada buahnya. Buah Camu Camu mentah mengandungi lebih kurang 2,880 mg vitamin C setiap 100 gm, melebihi Acerola (1,790 mg). Camu Camu berada pada ranking ke-2 dunia selepas Kakadu Plum (terminalia ferdinandiana) dari Australia. Sepertimana Acerola, kandungan Vitamin C di dalam buah Camu Camu semakin berkurangan apabila ia semakin matang atau masak ranum.
Analisa Nutrien Camu Camu. Banyak analisa dilakukan tentang kandungan nutrien Camu Camu. Setiap satunya berbeda, terutama pada kandungan vitamin C. Ini mungkin disebabkan keadaan iklim dan tanah tempat pohon Camu Camu tumbuh. Namun, secara amnya, Camu Camu tetap unggul dengan kandungan vitamin C!!!
Analisa di bawah ini adalah dari makmal bebas, disiarkan oleh “Whole World Botanicals”, satu badan pengkaji flora dan fauna di belantara Amazon. Analisa dilakukan ke atas Serbuk/Bubuk Camu Camu (Royal Camu Camu Powder):
Dan ini pula analisa buah Camu Camu mentah (100 gm) dilakukan oleh Jabatan Perhutanan, "Food and Agriculture Organisation of the United Nations", 1965:
Buah Camu Camu padat dengan vitamin C. Camu Camu juga kaya dengan zat kimia phyto dan “flavonoid”; anthocyanin, flavonol dan flavanol, catechin, delphinidin 3-glucoside, cyanidin 3-glucoside, asid ellagik dan gallik, dan rutin. Vitamin C akan lebih berkesan apabila disertai zat-zat kimia phyto.
Dr. Szent-Gyorgi, Pemenang "Nobel Prize" Perubatan, 1937 kerana berjaya memisahkan asid askorbik (vitamin C), mengaku bahawa vitamin C lebih bermanfaat apabila di makan dari bahan makanan semulajadi. Makanan semulajadi yang mengandungi vitamin C, juga mengandungi nutrien lain. Nutrien tersebut bertindak sebagai aktor gandingan kepada vitamin C. Dengan demikian, vitamin C tersebut akan lebih mudah dimanfaatkan oleh tubuh. Justru, vitamin C asli dari Camu Camu menjadi lebih berkesan dengan tindak-balas bio dari zat-zat gizi dan asid amino yang sama berada di dalam Cama Camu tersebut.
Antara zat gizi yang terkandung di dalam Camu Camu ialah kalsium, phosphorus, potassium dan besi. Dan vitamin-vitaminnya: beta-karotin, thiamin (B1), riboflavin (B2), dan niacin (B3). Disamping itu, Camu Camu juga mengandungi protein; terutama asid amino valine, leucine dan serine.
Manfaat Camu Camu
1 Penghasilan dan Kesihatan Collagen. Kepadatan vitamin C di dalam Camu Camu merupakan unsur aktif bagi menghasil dan menyihatkan collagen tubuh.
Sebenarnya, vitamin C terlibat secara lansung dalam setiap peringkat penghasilan collagen. Collagen adalah sejenis protein yang paling banyak di dalam tubuh. Berada pada setiap anggota tubuh. Berupa serat putih yang liat dan teguh, lebih teguh dari kawat/dawai logam yang sama ukuran. Juga sebagai "elatin" berwarna kuning (lapisan pelindung pada urat saraf). Collagen merupakan komponen utama pada serat-serat tisu yang saling terhubung; seperti kulit, tendon, ligamen, cartilage, jantung, cornea mata, tulang, gigi, usus, pembuluh-pembuluh dan saluran-saluran darah, bahkan pada setiap bahagian tubuh. Semuanya terikat rapi mendirikan seluruh tubuh.
Oleh yang demikian, vitamin C sangat penting pada tumbesaran bayi dan kanak-kanak. Bergandingan dengan asid amino "leucine" dalam Camu Camu, hormon tumbesaran dan aktiviti kanak-kanak akan lebih semarak.
Vitamin C menyihatkan collagen. Kekurangan vitamin C akan melemahkan collagen. Apabila collagen lemah, semua fungsi-fungsi utama di dalam tubuh akan terjejas. Akibatnya, jantung, pembuluh darah dan organ-organ lain tidak mampu menjadi sihat. Sistem-sistem di dalam tubuh tidak mampu berfungsi dengan sempurna. Berbagai jenis penyakit akan muncul; seperti biri-biri, gusi berdarah, gusi mengecut dan gigi tanggal, tulang mudah retak, tulang rapuh, keradangan sendi, kerosakan cartilage pada sendi-sendi “osteoarthritis” dll.
Collagen juga tidak dapat dihasilkan tanpa vitamin C. Pembinaan dan keutuhan collagen sentiasa memerlukan bekalan vitamin C. Justru, bekalan vitamin C yang berterusan pada tubuh adalah penting bagi manghasilkan collagen dan memelihara collagen agar sentiasa sihat, struktur tubuh akan sentiasa utuh, tidak goyah atau uzur. Camu Camu sangat baik untuk pembinaan dan kesihatan collagen !!!
2 Anti-Oksidan. Vitamin C adalah salah satu dari kelompok anti-oksidan yang sangat berkesan. Anti-oksidan adalah perlu bagi membasmi sisa pengoksidanan. Pengoksidanan adalah proses metabolisma semulajadi di dalam tubuh. Nutrien dari permakanan dan minuman di cerna dan di serap untuk menghasilkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk terus hidup. Tanpa proses metabolisma, tubuh akan lemah dan mati. Justru, pengoksidanan adalah perlu untuk tubuh. Akan tetapi, pengoksidanan juga menghasilkan radikal bebas yang membahayakan kesihatan tubuh.
Radikal bebas adalah sisa dari proses metabolisma. Sisa yang merupakan atom yang kehilangan pasangan elektronnya, menjadikan atom tersebut tidak stabil, lalu merampas mana-mana elektron dari atom-atom lain yang menghampiri atau dihampirinya. Sekiranya kejadian sebegini berterusan dan tidak terkawal, akan mencetuskan rangkaian radikal-radikal bebas yang lain. Lama-kelamaan, kerosakan akan berlaku pada mana-mana bahagian organ tubuh; seperti jantung, kulit, tisu, otot, selaput otot, dan juga DNA seseorang. Radikal bebas yang leluasa akan menghambat kekedutan, ketuaan, kanser, penyakit jantung, darah tinggi, keradangan kronik, kencing manis, cataracts, arthritis, masalah gusi-gigi gingivitis, periodontitis dan berbagai penyakit-penyakit lain.
Untuk menghalang atau melambatkan cetusan radikal bebas tersebut dari terus merebak, anti-oksidan diperlukan. Ciri-ciri anti-oksidan pada vitamin C dapat melindungi sel-sel tubuh dari rebakan, cetusan dan kesan negatif radikal bebas.Vitamin C adalah anti-oksidan yang terserap air. Sifat ini membolehkan vitamin C memberi tindak-balas segera dan efektif terhadap radikal bebas. Justru, Vitamin C adalah penggempur radikal bebas; meringankan bebanan pengoksidanan di dalam tubuh; penghalang kekedutan sel-sel, tisu-tisu, kulit-kulit dan organ-organ; pelindung tubuh dari beberapa jenis penyakit yang berkait-rapat dengan radikal bebas. Camu Camu adalah salah satu sumber anti-oksidan yang terbaik.
3 Anti-Penuaan dan Kesihatan Kulit. Vitamin C sebagai anti-oksidan berkesan menghalang penuaan (oksidasi pra-matang sel-sel tubuh). Camu Camu tinggi vitamin C boleh membantu tubuh menghalang tanda dan gejala penuaan pada lapisan kulit. Kulit menjadi kurang berminyak, lebih sihat dan segar, lebih bersinar dan lembut, tegang dan anjal, melambatkan proses penuaan.
Vitamin C juga mempunyai peranan penting dalam menyembuhkan luka dan kecederaan. Dengan bekalan vitamin C yang sentiasa mencukupi, tubuh lebih mudah melawan jangkitan dari bakteria, kulat dan virus. Tanda-tanda kekurangan vitamin C; termasuklah rambut menjadi kering dan pecah-pecah, kulit menjadi kasar kering dan mengelupas, kulit mudah luka atau tercalar, luka lambat sembuh, eczema, hidung berdarah, panau, kurap, jeragat dan rosacea, campak, gejala allergi seperti asma, selsema, jangkitan paru-paru dll.
4 Anti-Keradangan. Vitamin C adalah anti-keradangan. Pada dasarnya, keradangan adalah sebahagian dari tindak-balas sistem kekebalan tubuh. Tubuh cuba melindungi diri dari sebarang unsur-unsur mudarat kesihatan; seperti bakteria, virus, kulat/jamur, sisa-sisa toksik, sel-sel yang mati dll. Apabila unsur-unsur mudarat ini menjangkiti pada mana-mana bahagian tubuh, sistem kekebalan bertindak-balas untuk cuba me-nyahkan unsur-unsur tersebut. Sekaligus memulakan proses penyembuhan pada bahagian tubuh yang terjejas. Kesan tindak-balas ini dapat di lihat melalui gejala keradangan yang timbul atau dialami.
Kadangkala, keradangan merebak, menjadi parah/kronik, apabila proses penyembuhan di dalam tubuh tidak berlaku sewajarnya. Keadaan ini boleh menimbulkan berbagai masalah kesihatan, berbagai penyakit; seperti "rheumatoid arthritis", sistem kekebalan tubuh terjejas dan terkeliru, risiko sakit jantung dll. Apabila keradangan berlaku, collagen di dalam cartilage boleh runtuh, penyebab terjadinya “osteoarthritis”. Keadaan ini membuat tulang bergeseran sesama sendiri, menyebabkan rasa nyilu dan sangat menyakitkan. Dengan bekalan vitamin C yang sentiasa mencukupi, dapat mempertahan dan memperteguhkan cartilage dan tisu-tisu penghubung yang lain, dan mengurangkan beban kesakitan yang dialami.
Gejala-gejala keradangan lain juga dapat dihindari; termasuk angina (sakit menyucuk/memulas di dada jantung seperti tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi), bisul mulut dan bibir, gusi berdarah, gingivitis (bengkak gusi), gigi longgar, sengal dan sakit sendi, mudah terseliuh, bronchitis, sakit kerongkong (tenggorokan), jangkitan saluran air kencing dll. Ada kajian menunjukkan bahawa vitamin C juga adalah anti-Parkinson.
Vitamin C, sebagai anti-keradangan, sangat penting pada tubuh. Vitamin ini memberi kesan positif pada keseluruhan tubuh. Berperanan melindungi sendi-sendi tulang, kulit dan sebagainya. Membantu tubuh merawat dan menghalang keradangan dari terus merebak menjadi kronik. Melawan sebarang penyakit yang disebabkan keradangan. Camu Camu bermanfaat bagi menanggani masalah keradangan.
5 Pemampan Sistem Kekebalan Tubuh. Vitamin C berperanan membantu memelihara sistem kekebalan tubuh agar sentiasa mampu berfungsi dengan berkesan. Fungsi sistem kekebalan ialah melindungi tubuh dari sebarang serangan atau jangkitan mikro-organisma yang boleh menjejaskan kesihatan; seperti bakteria, virus, dan kulat/jamur dll. Sistem ini menghasilkan sel-sel darah putih (sel-sel kekebalan); terutama “phagocytes” dan “T-lymphocytes” serta jenis sel-sel kekebalan yang lain, sebagai penggempur dan penghapus mikro-organisma tersebut.
Vitamin C membantu sistem kekebalan dengan memperbanyak penghasilan sel-sel kekebalan ini. Vitamin C sangat cepat dipergunakan apabila berlaku serangan atau jangkitan mikro-organisma.Vitamin C juga melindungi sel-sel kekebalan dari serangan radikal bebas ketika bertindak-balas dengan mikro-organisma.
Kekurangan vitamin C bukan boleh menjejaskan fungsi sel-sel kekebalan. Sel-sel kekebalan juga akan cepat lemah dan musnah. Akhirnya, memberi kesan buruk kepada sistem kekebalan tubuh, mengurangkan dayatahan tubuh dari serangan mikro-organisma. Justru, pengambilan Camu Camu setiap hari adalah terbaik untuk kemampanan sistem kekebalan tubuh.
6 Sistem Pengaliran Darah. Vitamin C berpengaruh pada sistem pengaliran darah. Sifat anti-oksidan yang dimiliki oleh vitamin C, apabila terserap ke dalam darah, mampu meleraikan gumpalan "plaque" dan kolestrol merbahaya (LDL) pada dinding-dinding pembuluh arteri dan veina, pada masa yang sama menambah kolestrol bermanfaat (HDL).
Ia mencuci pembuluh arteri, menghindar arteri dari tersumbat, mengembalikan keanjalan arteri, mengurangkan tekanan darah tinggi atau "hypertension", dan melancarkan pengaliran darah ke jantung. Oleh yang demikian, mengurangkan risiko tekanan darah tinggi, menghindar atau melambatkan perkembangan penyakit "atherosclerosis" (saluran dan pembuluh darah arteri menjadi keras), “peripheral artery disease” (penyakit pembuluh/saluran darah tersimpul di kawasan kaki/betis) dan serangan sakit jantung. Salah satu dari ciri vitamin C, ia membantu tubuh menyerap zat besi, maka sangat bermanfaat pada pesakit “anemia” (kekurangan darah).
Camu Camu yang disertai kandungan zat-zat gizi didalamnya sangat bermanfaat untuk kelancaran sistem pengaliran darah di dalam tubuh.
7 Anti-Stres. Migrain sering berlaku, sehingga kebanyakan orang menganggapnya perkara biasa dalam hidup. Ia berkaitan dengan sistem saraf yang di serang oleh kimia toksin dari makanan serta dipengaruhi oleh cuaca yang tercemar. Camu Camu adalah buah yang mengandungi nutrien perlindungan saraf, mampu mengurangi masalah migrain. Asid amino "serine" baik untuk membantu menyihatkan fungsi otak dan sistem saraf, mempertingkat daya ingatan dan kepekaan. Sebagai tambahan, jauhi pemanis aspartame, sodas dan makanan berMSG, dengan demikian dapat mengurangi masalah migrain.
Gary Null, Ph.D., seorang pengkaji dan pakar permakanan, dalam bukunya "Clinician’s Handbook of Natural Healing, (1998)", menyatakan Camu Camu mengandungi kimia phyto yang tinggi. Sangat berkesan menanggani masalah tekanan perasaan atau stres. Tindak-balas bio-kimia Vitamin C juga menyemarakkan penghasilan "serotonin" di dalam otak. Serotonin adalah sejenis kimia di dalam otak yang mengawal "mood" berkaitan rasa bahagia, sukacita atau sebaliknya. Vitamin C adalah terapi anti-stres.
8 Anti-Virus. Camu Camu banyak mengandungi kimia phyto. Kajian menunjukkan bahan kimia phyto ini mampu menanggani virus "Herpes Simplex" dan "Eppstein-Barr" yang selalu menyerang tubuh.Virus ini selalu menyebabkan Herpes Simplex dalam bentuk bintik-bintik lepuhan pada mulut, gatal-gatal pada kulit. Penyakit Eppstein-Barr pula dalam bentuk demam, selsema, sakit kerongkong (tenggorokan), keletihan, kelenjar bengkak di bahagian leher atau ketiak. Virus ini selalunya tidak aktif di dalam tubuh. Ia menjadi semakin aktif apabila seseorang itu selalu kurang tidur dan jiwanya selalu tertekan. Virus jenis ini acapkali berulang menyerang apabila jiwa tertekan.
Camu Camu didapati berkesan menanggani virus ini. Dengan pengambilan vitamin C dalam dos yang tinggi dan berterusan dapat membantu tubuh menanggani stres dan melumpuhkan serangan virus jenis ini.
9 Kesuburan. Camu Camu lazim di makan oleh warga Amerika Selatan kerana dipercayai boleh menambah kesuburan. Banyak juga kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan vitamin C yang tinggi dan berterusan mampu menambah syahwat dan merawat mati pucuk "impotensi."
10 Penyakit Kanser. Vitamin C mampu melambatkan rebakan dari keradangan kepada kanser. Beberapa ujikaji sains telah menunjukkan bahawa permakanan vitamin C boleh menghindar dari dijangkiti penyakit kanser; termasuk kanser kulit, kanser rahim, kanser payudara, kanser esophagus, dan kanser pancreas.
11 Penyakit Mata. Vitamin C membantu mengurangkan risiko cataracts. Vitamin C melindungi lensa dari kerosakan akibat dari oksidasi dan radikal bebas dan melindungi enzim di dalam lensa. Vitamin C juga memperbaiki penglihatan kepada pesakit “uveitis” (keradangan pada bahagian tengah mata).Vitamin C bersama dengan anti-oksidan yang lain, termasuk zat zinc, beta-carotene, dan vitamin E dapat melindungi mata dari mengalami AMD yang menjadi penyebab kepada buta.
12 Pre-eclampsia. Vitamin C bersama dengan vitamin E boleh menghalang “pre-eclampsia” pada kaum wanita. Pre-eclampsia ialah gejala tekanan darah tinggi dan terlalu banyak protein di dalam air kencing. Juga menjadi penyebab utama kepada keguguran.
13 Perlindungan dari Kencing Manis. Menurut kajian 2010 yang tersiar dalam “Journal of Agricultural and Food Chemistry”, Camu Camu mengandungi "Asid Ellagik" yang tinggi. Asid Ellagik ialah sejenis flavonoid yang anti-diabetes.
Produk Camu Camu. Kerana kandungan vitamin C yang mega, Camu Camu telah menjadi bahan buruan dalam pasaran antarabangsa. Jepun menjadi pemburu utama; menjadikan Camu Camu bahan komoditi eksotik yang hampir di monopoli. Camu-Camu sangat terkenal dan sangat berharga di Jepun. Manakala di Amerika dan Eropah, Camu Camu semakin mendapat perhatian.
Buah Camu Camu segar sangat masam. Ia dinikmati dalam resepi jus, di blend dan di adun dengan gula atau susu, dan/ atau bersama buah-buahan lain. Aroma harum dari pigmen (kemerahan/ungu) kulit buahnya tetap menyegarkan. Ia juga dijadikan bahan tambahan pada ais krem, gula-gula, di buat jem, dan berbagai resepi lagi.
Buah Camu Camu segar tidak mampu di eksport ke serata dunia. Justru, kebanyakan pihak pengeluar menghasilkannya dalam bentuk kapsul, serbuk/bubuk dan juga jus. Cara begini, manfaat Camu Camu dapat diedarkan ke seluruh dunia.
Jom Tanam Camu Camu !!! Pohon ini mudah hidup dan tegar. Penulis yakin ia boleh hidup di bumi Malaysia, Thailand dan Indonesia. Penulis sedang mencari benih atau anak pokok Camu Camu ini sebagai menambah koleksi. Moga di suatu masa dan hari, penulis berjaya mendapatkannya!!! Penulis sangat mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai informasi tentang di mana penulis boleh mendapatkannya!!!
Sekian dahulu.
kat mana blh sy beli pil camu camu berry mcm yg kat gambar atas tu?
ReplyDeletekat malaysia ni ada ke???
sy pun nak tahu jgk kat mana blh beli produk camu2 mcm gmbr kat atas tu...
ReplyDeletecari inner shine camu2
ReplyDelete