0

Tuesday, February 25, 2014

Ada Apa Pada Telur ?

Telur, Makanan Ruji


Sejak zaman berzaman, manusia telah sekian lama memakan telur. Didunia ini, banyak jenis unggas dan binatang yang bertelur, dan manusia menjadikan telur mereka sebagai makanan.

Berbagai cara memakannya. Sebagai sarapan, ia boleh direbus sepenuh, separuh atau 3/4 masak, dan diaduk bersama dengan kicap, garam, lada dan sebagainya.

Ia boleh dimasak, diolah bersama dengan bahan atau rempah-ratus lain untuk dijadikan berbagai jenis makanan seperti kari, sayur, mee, kek, tat dll.

Ia juga boleh dimakan mentah; ahli bina badan selalunya memakan putih telur mentah daripada beberapa biji telur setiap hari.

Kebanyakan telur berbentuk bujur. Ada juga yang berbentuk bulat. Bahagian telur yang dimakan ialah putih telur/albumen dan kuning telur/yolk. Kulit telur selalunya keras, ada juga yang lembut, tidak dimakan, biasanya dibuang atau direka diwarnai menjadi bahan perhiasan. Selaput nipis yang membungkus putih telur dan kuning telur juga tidak dimakan, dan dibuang. 

Warna kulit telur juga berbagai; putih, coklat, bintik-bintik, bahkan kehijauan.

Jenis Telur Lazim Dimakan


Telur dihasilkan oleh haiwan betina untuk pembiakan. Kebanyakan telur boleh dimakan, dari sebesar-besar telur seperti telur itik angsa dan burung unta (ostrich) sehingga sekecil-kecil telur ikan.

Antara telur yang selalu menjadi makanan penduduk dunia:
  • Telur Ayam - terdiri dari beberapa spesis ayam seperti ayam kampung, ayam sabung/laga, ayam turkey/belanda/piru/kalkun, ayam mutiara/guinea fowl, serama dan berbagai jenis ayam penelur.
  • Telur Itik - terdiri dari beberapa spesis itik seperti khaki campbell, golden white layer, cherry valley C 2000, indian runner, itik jawa, itik nila/serati/muscovy, itik angsa.
  • Telur Burung - seperti burung puyuh, burung unta/ostrich.
  • Telur Ikan - banyak jenis ikan laut mahu air tawar.
  • Penyu - tergolong dalam spesis reptilia, penyu terdiri dari beberapa spesis yang bertelur ditepi-tepi pantai laut dibeberapa negara didunia ini. Manakala tuntung reptilia air payau yang bertelur ditepian sungai-sungai.

Dikalangan berbagai jenis telur, telur ayam antara yang paling digemari dan menjadi makanan ruji kepada hampir seluruh penduduk dunia harini. Ternakan ayam penelur menjadi satu usaha komersial dimana-mana jua negara didunia ini.

Telur itik juga menjadi kegemaran. Selalunya, telur itik digoreng, dimasak untuk gulai, masak lemak, atau dibuat asinan. Telur itik sangat digemari oleh masyarakat Cina.

Telur ayam turkey dan telur angsa, lebih besar dari telur itik dan telur ayam. Telur ini jarang terdapat dipasaran, mungkin disebabkan ia kurang bertelur dibandingkan ayam, dan ia lebih banyak dipelihara untuk dagingnya, terutama untuk jamuan dihari-hari perayaan.

Telur ikan sentiasa banyak dijual dipasar dan dimall. Terdiri dari ikan laut mahupun air tawar. Telur ikan hilsa sangat populer diIndia. Kaviar adalah telur ikan yang diawet garam. Kaviar merupakan hidangan populer dan mahal di Rusia.

Telur penyu dan tuntung adalah telur bermusim, kerana penyu dan tuntung menjadi habitat terpelihara yang dilindungi, tetapi tidak diternak.

Kebanyakan telur-telur yang dijual dalam pasaran dihasilkan oleh ayam-ayam penelur yang diternak dalam sangkar. Setengah kajian menunjukkan telur-telur yang dihasilkan oleh ayam yang berkeliaran bebas, atau yang hidupnya memakan secara alami, menghasilkan telur yang lebih menyihatkan. 'The Mother Earth News' melapurkan bahawa telur yang dihasilkan oleh ayam-ayam yang bebas berkeliaran mengandungi 1/3 kurang kolesterol dan lemak tepu, 2/3 lebihan vitamin A, 3 kali ganda lebihan vitamin E, 4 -7 kali ganda lebihan vitamin D, 2 kali ganda lebihan lemak omega-3 dan 7 kali ganda lebihan beta-karotin berbanding telur-telur yang dihasilkan oleh ayam-ayam dalam sangkar. Justru, harga telur-telur ayam kampung, secara logik, menjadi lebih mahal dari telur ayam dalam sangkar.

Nutrien Telur 


Telur mengandungi berbagai jenis nutrien penting untuk kesihatan tubuh manusia. Namun, telur juga dianggap boleh memudharatkan kesihatan.

Kalori.    Telur, makanan yang paling mudah, murah, dan rendah kalori. Menurut Egg Nutrition Center, USA: purata 1 biji telur mengandungi hanya kira-kira 70 kalori. Kebanyakan kalori bersumber dari lemak dan protein.

Putih telur mengandungi hanya 16 kalori, manakala kuning telur 54 kalori. Lebih banyak kalori dalam kuning telur.    

Lemak.    Telur juga mengandungi lemak. Lemak dalam telur adalah dari jenis yang menyihatkan, iaitu lemak tak tepu. Lemak tak tepu perlu bagi menbantu mengawal tekanan darah dan menyerap vitamin-vitamin yang terserap lemak dari berbagai jenis makanan lain.

Lemak merupakan sumber tenaga untuk tubuh; setiap 1 gm lemak mengandungi 9 kalori. Tubuh juga memerlukan lemak bagi menyerap vitamin-vitamin terserap lemak seperti vitamin A, D, E dan K. Disampng itu, lemak juga bergabung dengan selaput-selaput sel dan meransang penghasilan hormon.

Menurut 'Institute of Medicine', individu yang berusia 19 tahun keatas memerlukan sebanyak 20-35% dari jumlah keseluruhan pengambilan kalori setiap hari. Peratusan kadar tersebut diperlukan bagi menyerap dan membekalkan zat-zat makanan penting untuk tubuh dan juga bagi mengurangkan risiko timbul penyakit-penyakit kronik.

Menurut 'National Nutrient Database', purata 1 biji telur mengandungi kira-kira 4.5 gm lemak, 2.5gm darinya adalah lemak tak tepu, dan 1.5 gm lemak tepu iaitu lemak tidak menyihatkan. Hanya kuning telur mengandungi semua lemak dan kolesterol. Manakala, putih telur tidak mengandungi lemak dan kolesterol.
 
American Heart Association (AHA) memberi amaran bahawa memakan lemak tepu akan menyebabkan kolesterol dalam darah meningkat. AHA menyarankan had harian pengambilan lemak tepu seharusnya kurang dari 7% dari jumlah kalori setiap hari (2,000 kalori), bersamaan kira-kira 14 gm lemak tepu. Oleh yang demikian, 2 biji telur yang mengandungi 3 gm lemak tepu masih selamat dimakan setiap hari.

Lemak tak tepu tidak menyebabkan kadar kolesterol dalam darah meningkat. AHA menyarankan lebih baik banyak memakan lemak tak tepu kerana boleh membantu mengurangkan kadar kolesterol dalam darah.Oleh yang demikian, 2 biji telur yang 5 gm lemak tak tepu (mono dan poli) adalah menyihatkan. 

Telur juga mengandungi lecithin dalam kuning telur, sejenis lemak yang mencuci darah dan menghalang pembekuan darah.

Protein.  Purata, 1 biji telur mengandungi  6-8 gm protein atau 12-13% jumlah protein yang diperlukan oleh tubuh setiap hari. Protein telur terdiri dari 18 jenis asid amino, bererti telur mengandungi protein lengkap. Menurut 'Department of Animal and Poultry Sciences', Virginia Tech, putih telur rebus mengandungi kira-kira 3.6 gm protein, manakala kuning telur 2.7 gm protein. Justru, putih telur rendah kalori, bebas kolesterol dan lebih tinggi protein.

Protein diperlukan bagi membina dan membaik-pulih tisu dan otot tubuh. Sebahagiannya pula untuk keutuhan sistem kekebalan tubuh. Protein juga adalah zat makanan yang diperlukan untuk kesihatan kulit, kuku, rambut dan otot. Protein telur berkualiti tinggi, boleh membantu seseorang memelihara berat badan jika dimakan sebagai sarapan harian dan permakanan yang berkalori rendah. 

Vitamin.  Telur juga mengandungi beberapa jenis vitamin.

Kuning telur banyak mengandungi vitamin serap lemak seperti vitamin ‎A, B, D, E dan juga K;  vitamin A kira-kira 245 IU, vitamin D 18.26 IU, vitamin E 0.44 mg, vitamin K 0.1 ‎mcg, vitamin B6/pyridoxine 0.071 mg, B9/folate 25 mcg, dan Bp/kholine 116 mcg. Turut terkandung ialah B1/thiamin, B2/riboflavin, dan B5/asid pantothenik. Kuning telur dar 2 biji telur dapat membekalkan lebih dari 20% vitamin B5 dan B12/kobalamin, dan lebih dari 10% B2/riboflavin dan B9/folate dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh. Vitamin-vitamin tersebut tidak terdapat dalam putih telur. 1 biji telur mengandungi 23% kholin yang diperlukan setiap hari. 2 biji telur mengandungi kira-kira 250 mg kholine, bererti separuh dari jumlah saranan harian yang diperlukan oleh tubuh.

Vitamin A dan D diperlukan untuk menyumbang kepada keutuhan sistem kekebalan tubuh dan juga kekuatan dan kemantapan tulang.

Manakala vitamin B kompleks membantu tubuh menggunakan tenaga dari permakanan dan membantu perkembangan dan pertumbuhan sel-sel darah merah.

Kholin sangat banyak terdapat dalam kuning telur, dan sangat sedikit dalam putih telur. Kholin diperlukan untuk fungsi dan metabolisma semua sel-sel tubuh, termasuk sel-sel yang membawa zat-zat makanan keseluruh tubuh, dan sel-sel yang berkaitan dengan otak, daya ingatan, menurut Harvard Medical School.‎ Zat gizi ini membantu meningkat daya ingatan dan fungsi otak pada kanak-kanak dan membantu mencegah dari kecacatan bayi dilahirkan. Kholin berkemampuan mengurangkan penyakit jantung. Kekurangan kholin yang berlarutan, lelaki dan perempuan, akan menjadikan hati lebih berlemak dan kerosakan pada otot.

Pennington Biomedical Research Center ‎juga menjelaskan bahawa kuning telur mengandungi lutein dan zeaxanthin, kira-kira 186 mcg setiap sebiji kuning telur. 2 jenis karotenoid yang membantu melindungi dari beberapa jenis penyakit konik dan menyihatkan mata. Lutein dan zeaxanthin adalah anti-oksidan yang diperdapat dalam telur. Zat-zat ini melindungi sel-sel tubuh dari kerosakan disebabkan oleh radikal bebas yang boleh membawa kepada kanser. Menurut American Egg Board, telur rebus mengandungi lutein dan zeaxanthin dalam kuning telur. Anti-oksidan ini bermanfaat melindungi dari kemerosotan mata dan penglihatan akibat dari peningkatan usia (age-related macular degeneration) dan katarat. Walaupun hanya 186 mcg kadar anti-oksidan tersebut yang terkandung dalam 1 biji telur, tetapi zat-zat ini lebih mudah diserap dari telur berbanding bahan makanan lain.

Zat Gizi.  Telur merupakan sumber nutrisi yang mudah dan ringkas, membekalkan beberapa jenis zat gizi yang diperlukan oleh tubuh seperti magnesium, sodium, kalsium, fosforus, besi dan zinc. 

Kuning telur lebih banyak membekalkan beberapa zat gizi penting untuk kehidupan berbanding putih telur. Kandungan selenium, kalsium, dan fosforus amat ketara.

Kuning telur dari 1 biji telur mengandungi:
  • paling banyak selenium, kira-kira 23% dari kadar saranan harian selenium, iaitu 9.5 mcg pada kuning telur, berbanding 6.6 mcg pada putih telur, selenium penting bagi membantu mengawal pelepasan hormon thyroid dan melawan bebanan oksidasi; 
  • 22 mg kalsium pada kuning telur berbanding hanya 2 mg pada putih telur; 
  • 66 mg fosforus ‎pada kuning telur berbanding 5 mg pada putih telur;  
  • kira-kira 2.5% zat besi untuk wanita dan lebih dari 10% zinc untuk lelaki; dan
  • lebih dari 7% zat zinc dari kadar saranan harian bagi lelaki dan perempuan.

Walau bagaimana pun, putih telur dari 1 biji telur melebihi kandungan:
  • potassium dengan 54 mg pada putih telur berbanding 19 mg pada kuning telur; 
  • magnesium dengan 4 mg pada putih telur berbanding 1 mg pada kuning telur; dan 
  • sodium 55 mg pada pada putih telur berbanding 8 mg dalam kuning telur.‎

Ringkasan:

Kuning TelurPutih Telur
Kalori: kira-kira 54Kalori: kira-kira 16
Lemak dan asid licithintiada
Protein: 2.7 gm Protein: 3.6 gm
Vitamin A, B-Kompleks, D, E dan Ktiada
B1/thiamin, B2/riboflavin, dan B5/asid pantothenik, B6/pyridoxine, B9/folate, B12/kobalamain, Bp/kholinBp/kholin hanya sedikit.
Anti-oksidan: lutein dan zeaxanthintiada
Lebihan kadar: selenium, kalsium, ‎fosforus,
besi dan zinc
Kurang kadar: selenium, kalsium, ‎fosforus, besi dan zinc
Kurang kadar:  potassium, magnesium dan sodiumLebihan kadar: potassium, magnesium dan sodium
* Kolesteroltiada





Bahaya Kolesterol ! 


Purata, 1 biji telur besar mengandungi antara 184- 212 mg kolesterol. Jika 2 biji kuning telur, bererti mengandungi kira-kira 430 mg kolesterol, melewati had maksima harian ‎300mg.‎ Menurut University of Michigan Health System, semua kolesterol berada dalam kuning telur. Ini bererti, telur boleh dianggap makanan berkolesterol tinggi sepertimana udang kecil/shrimp, hati berlemak dan daging itik/bebek.

Kolesterol, sejenis lemak lipid, mempunyai peranan penting kepada beberapa fungsi tubuh yang normal. Terlalu banyak kolesterol dalam darah akan menyumbang kepada permulaan penyakit jantung. Justru, ramai orang menghindar dari memakan banyak telur kerana berhati-hati terhadap kandungan lemak tepu dan kholesterolnya yang tinggi. Akan tetapi, American Egg Board pula sebaliknya menyatakan bahawa sejak 30 tahun kajian, pengambilan telur masih belum dapat dikaitkan dengan penyakit jantung. Bahan makanan yang mengandungi kolesterol tinggi bukanlah bererti ancaman secara otomatik kepada jantung, menurut Harvard Medical School.

Kebanyakan individu sihat normal boleh memakan 1 biji telur (kuning dan juga putih telur) setiap hari tanpa meningkatkan risiko penyakit jantung, demikian menurut The Harvard School of Public Health. Justru, 1 biji telur setiap hari akan membekalkan kadar harian kolesterol yang mencukupi untuk tubuh, tidak mendatangkan masalah pada kesihatan.

Klinik Cleveland pula melapurkan bahawa bagi mengurangi risiko kolesterol tinggi dan penyakit jantung, perlu membataskan pengambilan bahan makanan yang  mengandungi kurang dari 200 mg berkolesterol setiap hari. Jika keadaan kesihatan seseorang tidak begitu baik atau tabiat banyak memakan telur boleh membahayakan kesihatan disebabkan kolesterol. Sekiranya sejarah keluarga mempunyai penyakit jantung atau kencing manis, maka permakanan seharusnya mengandungi kolesterol yang rendah, iaitu kira-kira separuh dari permakanan normal. Universiti Harvard melapurkan bahawa pesakit kencing manis lebih terdedah kepada risiko penyakit jantung apabila mereka memakan 1 biji telur setiap hari. Begitu juga dengan pengidap kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, dan perokok.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...