0

Friday, July 19, 2013

ZAKAT: BERKENAAN SIAPA & HARTA YANG WAJIB

Siapa Yang Wajib

Setiap individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat yang perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat taksiran. Syarat-syarat tersebut ialah:

Islam. Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja.

Merdeka. Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.

Sempurna Milik. Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat.

Harta Usaha Yang Baik Sebagai Sumber Zakat. Para Fuqaha’ merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai “Mal Mustafad” iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.

Cukup Nisab. Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 595 gram perak.

Cukup Haul. Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.

Harta Yang Wajib 

Ada 2 Jenis Zakat:

Zakat Fitrah. Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Zakat Harta. Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat adalah seperti berikut:
  • Zakat Pendapatan 
  • Zakat Perniagaan 
  • Zakat Binatang Ternakan 
  • Zakat Pertanian 
  • Zakat Wang Simpanan 
  • Zakat Emas dan Perak 
  • Zakat Saham 
  • Zakat Ma’adin, Kunuz dan Rikaz ***
*** Ma’adin ialah segala galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair di darat atau di laut.
      Kunuz ialah harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun).
      Rikaz ialah harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan         sebelum kedatangan Islam. (Jumhur ulama mengatakan semua jenis simpanan jahiliah).

Sumber: LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...