0

Wednesday, June 26, 2013

Delima, Buah Eksotik !

Delima(Ar-Rumman)
Rasulullah SAW bersabda,
“Tidak ada delima yang tidak mempunyai buah dari delima surga di dalamnya” (HR Abu Nu’aim)
Delima adalah sejenis pohon sederhana besar, meninggi antara 5–8 meter (16–26 kaki), mengeluarkan 'buah delima' bermusim. Buah delima sangat eksotik dan menakjubkan.

Nama botani ialah punica granatum. Ia terkenal dengan berbagai nama; Arab: ar-rumman. Barat/Inggeris: pomegranate, punica. Sepanyol: granada. Perancis: grenade, pomme granate. Belanda: granatepped. Itali: rodi, rodia. India: anaar. Canada: dalimba. Jepun: zakuro. Korea: sokryu. Laos: kok mak pi la. Filipina: granada, delima. Thailand: thap thim. Malaysia dan Indonesia: delima. Dan terlalu banyak namanya mengikut beza negara dan daerah.
     
Pohon ini dipercayai berasal dari Iran. Tumbuh merebak ke negara-negara Mediterranean, Afghanistan, Pakistan, hingga ke Utara India. Kini, banyak tumbuh di India, Turkey, Rusia, Afrika, China, Jepun, Asia Tenggara (termasuk Thailand, Malaysia dan Indonesia), Amerika Syarikat (terutama California dan Arizona). India sekarang menjadi salah sebuah negara pengeluar terbesar buah delima di dunia. ‎

Delima dan Tamadun Manusia

Buah delima memang eksotik, unik, istimewa, unggul tersendiri. Isi/ulasnya berwarna merah darah, merah-kemerahan, atau kekuningan menawan hati manusia sejak zaman berzaman. Delima tumbuh dan wujud bersama dengan sejarah ketamadunan dan peradaban manusia. Menjadi simbol berkaitan dengan kelahiran, kematian, dan keabadian hidup. ‎Sentiasa dijadikan simbol mistik yang tersanjung dalam urusan keagamaan, kepercayaan dan peradaban beberapa kaum di dunia; termasuk Greek Purba, Parsi Purba, Mesir Kuno, Babylon, Yahudi, Hindu, Buddha, Kristian dan Islam.

Mesir Kuno, delima telah lama di tanam sebelum era Nabi Musa lagi. Parsi Purba (Iran), menggunakannya bagi tujuan perubatan sejak 8000 tahun dahulu. Yahudi, delima sebagai simbol kesucian, kesuburan, dan kekayaan. Masyarakat Timur Tengah, delima sebagai simbol kesuburan dan keberkatan dalam perkahwinan. Kristian, delima sebagai "buah kehidupan", simbol kebangkitan hidup yang suci, mulia dan kekal abadi. Delima juga sudah berada di Lembah Indus, bersama dengan agama Hindu, sejak zaman dahulu kala. Kepercayaan Buddha menjadikan delima simbol keberkatan, di samping oren dan peach. Masyarakat Cina menjadikan simbol kesuburan dan kekayaan rezeki, keturunan dan tuah di hari muka; selalu dihiaskan dalam acara perkahwinan.

Islam, delima adalah antara buah yang terdapat dalam syurga. Di sebut dalam al-Quran sebanyak 3 kali; surah al-An'am, ayat 99 dan 141, dan ar-Rahman, ayat 68.

Delima dan Kemodenan Sains Kini 


Zat Makanan  Menurut data kajian dari USDA, bagi setiap 100 gm ulas mentah buah delima membekalkan kira-kira: 12% vitamin C, 16% vitamin K, 4% vitamin E, 36% vitamin B-Kompleks, dari keseluruhan jumlah yang diperlukan setiap hari.

Delima juga mengandungi zat-zat gizi: kalsium, besi, magnesium, manganese, phosphorus, potassium, sodium, zinc, tembaga dan selenium.
 
Kalorinya agak sederhana, setengah spesis mencecah antara 130 - 150 kcal. Kalori banyak terdapat di dalam biji-bijinya.

Biji-bijinya mengandungi serat makanan, protein, karbohaidrat, gula dan lemak tak tepu dan juga zat-zat mikro/kelumit yang baik untuk kesihatan. Sebaiknya, ulas delima mentah di makan bersama dengan biji-bijinya.

Delima tidak mengandungi kolesterol.

Zat Kimia-phyto. Beberapa kajian sains terkini menunjukkan bahawa unsur-unsur di dalam buah delima yang berpengaruh menyumbang kepada kesihatan ialah kandungan rumpun asid polyphenol, seperti ellagitannin (juga disebut punicalagin) dan flavonoid.

Kandungan asid polyphenol adalah yang paling banyak dalam jus delima. Asid polyphenol jenis ellagitannin sangat berkesan membasmi radikal bebas.

Delima juga mengandungi jenis-jenis phenol yang lain termasuk catechin, gallocatechin, dan anthocyanin.
  

Khasiat Kesihatan Delima 

Anti-Oksidan Berkesan. Kajian mendapati kandungan zat kimia-phyto yang bersifat anti-oksidan dalam delima lebih tinggi dari kebanyakan sumber makanan atau minuman lain; seperti teh hijau (green tea) atau jus acai berry. Sebagai anti-oksidan, delima memberi perlindungan kepada sel-sel tubuh, merawat dan memperbaiki kembali sel-sel tubuh, dan menanggani bahaya kerosakan disebabkan oleh radikal bebas. Dengan demikian, mengurangkan risiko beberapa jenis kanser, termasuk kanser payudara dan prostat.

Melancar Pengaliran dan Penyaluran Darah. Kajian klinikal juga mendapati bahawa zat-zat organik kimia-phyto ini menjadikan jus delima sangat berkesan mengurangkan risiko penyakit-penyakit yang berkaitan ‎dengan pengaliran dan penyaluran darah. Zat-zat kimia-phyto tersebut bertindak mengurangkan "lipoprotein" atau kolesterol mudharat (LDL) dari seterusnya menyebabkan pembuluh darah arteri menjadi keras (atheroscleros) (American Journal of Clinical Nutrition, May 2000), melambatkan rebakan atherosclerosis (arteri menjadi keras), mengurangkan tompokan plaque dalam arteri bahkan juga tompokan plaque pada gigi, menghalang pembekuan darah yang tak menentu atau melulu, dan mengurangkan tekanan darah.

Justru, delima dapat mengurangkan risiko sakit jantung atau serangan jantung. Jus delima sangat baik di minum oleh penderita sakit jantung !

Anti-Kanser.  Satu kajian yang dibiayai oleh "POM Wonderful Juice", dilakukan oleh para pengkaji dari "University of California-Los Angeles" menunjukkan bahawa jus delima memberi kesan positif pada kaum lelaki yang sedang mengalami kanser prostat. 

Anti-Keradangan. Delima mengandungi nilai-nilai anti-keradangan. Memakan buah atau jus delima dapat mengurangkan keradangan pada mana-mana bahagian tubuh. Kajian Preliminary yang dilakukan oleh para saintis dari "Case Western Reserve University" dan disiarkan dalam "Journal of Nutrition" menyatakan bahawa pati delima boleh mengurangkan masalah keradangan yang berkaitan dengan penyakit "arthritis". Ujian yang dijalankan ke atas tikus menunjukkan bahawa pati delima dapat memberi kesan positif menghalang penyakit Alzheimer.

Menyihatkan Sistem Penghadaman. Ulas-ulas termasuk biji-biji delima boleh melawaskan fungsi sistem penghadaman dan mengurangkan sembelit. Ia juga berkesan menanggani atau mengurangi penyakit asma, cirit-birit dll. 

Mengutuhkan Sistem Kekebalan Tubuh. Vitamin C yang terkandung dalam delima membantu mengutuhkan sistem kekebalan tubuh dari serangan penyakit atau jangkitan. Jus delima juga dapat menghalang sebarang jangkitan virus dan bakteria akibat dari tompokan plaque di gigi.

Kesuburan Lelaki. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan jus delima secara berterusan akan meningkatkan tahap hormon 'testosterone', melancarkan aliran darah, meringankan tekanan perasaan atau 'mood', melegakan kemurungan emosi, merawat dan menghidupkan kembali masalah 'mati pucuk' pada kaum lelaki (Journal of Urology, July 2005).

Menyihatkan Tubuh. Dua (2) jenis zat gizi yang ketara dalam jus delima ialah potassium dan manganese. Potassium penting bagi memelihara berbagai fungsi sel-sel dan kesaimbangan cecair di dalam tubuh. Manakala manganese membantu pembinaan tulang dan bermacam-macam  proses metabolisma tubuh.  Juga ‎di anggap sebagai unsur yang memanjangkan usia, melambatkan proses penuaan. ‎

Akhirkata, meminum jus delima adalah amalan gayahidup yang sihat !!!‎

Jom Tanam Pohon Delima   !!!

Terdapat banyak spesis pohon delima di dunia ini; dikategori berdasarkan warna buah atau isinya. Delima Merah, Delima Putih (Kekuningan), Delima Hitam dan Delima Ungu. Paling dikenali ialah delima merah dan putih, sering di tanam di pekarangan rumah atau di dalam pasu sebagai tanaman hiasan, sekaligus untuk di makan buahnya. Delima hitam dan ungu jarang sekali termaklum kepada umum atau ditemui.  

Mula berbuah selepas 1 1/2 tahun di tanam.

Pohon Delima,
1.5 tahun sudah berbuah !!!
Delima Merah
Delima Putih (Kuning)
Delima Hitam
Delima Ungu
‎‎

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...