0

Wednesday, May 15, 2013

Syariat Islam: Hiasan Emas, Pakaian Sutera Dll.

Syariat Islam menggalakkan berpakaian indah. Namun, berpakaian (dan berperhiasan) indah ‎masih ada batas-batas tertentu menurut syariat.
”Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan ‎minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang ‎berlebih-lebihan. Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah ‎dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan (siapa pula yang mengharamkan) rezeki yang baik?” ‎Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, ‎dan khusus di hari kiamat. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang ‎mengetahui”. (Al-A’raf;31-32)‎‎‎
1. Emas haram bagi lelaki islam. Sabda Rasulullah SAW: "Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki dari umatku ‎dan dihalalkan bagi wanita-wanita mereka." (HR at-Tirmizi dari Abi Musa al-Asy’ari ‎r.a.)‎ 

Cincin, rantai, gelang dll. Cincin emas, rantai emas, gelang emas dan sebagainya adalah ‎perhiasan bagi wanita. Diharamkan ke atas lelaki islam memakainya samada ‎berupa cincin, rantai, gelang, atau apa jua bentuk.

Adapun cincin selain emas, seperti cincin perak atau logam yang lain, boleh di pakai oleh lelaki islam meskipun logam tersebut lebih berharga dari ‎emas. Emas putih, menurut fatwa JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), adalah campuran logam emas dengan logam-logam lain dalam kuantiti yang berbeza. Emas putih adalah pancalogam yang berbeza dengan platinum walaupun dari segi warnanya sama, iaitu putih. Jabatan Mufti Selangor telah memfatwakan bahawa hukum haram memakai emas putih sekiranya kandungan emasnya melebihi 50%. Adapun Platinum adalah jenis logam yang memiliki unsur komposisi kimia yang berbeza, ‎‎tidak mempunyai unsur emas. Emas putih bukanlah platinum. Halal bagi lelaki memakai platinum dan haram baginya memakai emas putih. 

Rasulullah SAW pernah melihat seorang lelaki yang memakai cincin emas dijarinya. Baginda ‎lantas mencabut cincin tersebut dari jari lelaki itu dan di buang ke tanah. Kemudian Baginda bersabda: “Salah seorang ‎dari kamu sengaja mengambil bara api dari neraka lalu meletakkannya dijarinya!”‎Setelah Rasulullah pergi, kepada lelaki tersebut di suruh ambil cincin tersebut dan dimanfaatkan. Maka jawabnya: 'Tidak! demi Allah, aku tidak akan mengambil cincin yang telah di buang oleh Rasulullah.' (Riwayat Muslim)

Memakai cincin di jari manis atau kelingking. Memakai cincin merupakan salah satu sunnah ‎Rasulullah SAW. Baginda sendiri pernah memakai cincin di jari kelingking kiri. Dan Baginda ‎melarang umatnya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari tengah, kerana ini meniru cara ‎berhias kaum ‘Ad yang derhaka dan di laknat oleh Allah SWT di zaman Nabi Luth AS. Hadis ‎dari Anas bin Malek ra: "Adalah cincin Nabi SAW di pakai pada tangan ini (dia menunjukkan ‎pada jari kelingking kiri)" (HR Muslim). Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menasihati ‎Saidina Ali ra sesudah berkahwin dengan Siti Fatimah az-zahra (anakanda kesayangan Baginda), ‎jika memakai cincin pakailah di jari manis atau di jari kelingking dan melarang memakai ‎cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya (jari tengah atau jari hantu). (HR Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai)‎

Memakai gelang tangan. Dari satu hadis bahawa Rasulullah SAW telah melihat di ‎pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang, di perbuat daripada tembaga. Baginda ‎bertanya kepada lelaki tersebut: "Apakah bendanya ini?" Lelaki itu menjawab: "Ia adalah gelang ‎perubatan." Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa (faedah ‎walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri kamu, jika sekirannya kamu ‎mati dan benda itu masih berada pada diri kamu, maka kamu tidak akan berjaya (selamat) untuk ‎selama-lamanya." (Sahih riwayat Imam Ahmad)‎

Ulama berbeza pendapat. Ada yang mengharamkan pemakaian gelang tangan, samada di perbuat ‎dari logam, akar kayu, tali berwarna dsbnya, kerana hadis jelas melarang lelaki memakai gelang ‎tangan, meskipun untuk tujuan perubatan. Boleh disifatkan sebagai memakai tangkal ‎dan azimat. Manakala ulama lain pula mengharuskan, sekiranya untuk tujuan perubatan yang telah ‎diperakui oleh kajian saintifik bahawa mampu merawat penyakit. ‎

Justru, pemakaian gelang, untuk keterampilan sebagai hiasan lelaki adalah tidak bermanfaat, di ‎tegah dan tidak sejajar dengan syariat Islam. ‎

Perkakas dari emas dan perak. Diharamkan menggunakan emas dan perak sebagai perkakas ‎makanan dan minuman (pinggan, mangkuk, cawan dan sebagainya).

‎Sabda Nabi SAW: "Janganlah kamu minum di dalam bekas dari emas dan perak, dan jangan kamu ‎makan di dalam talam dari keduanya, kerana ia adalah untuk mereka (orang-orang kafir) di ‎dunia." (HR Imam Muslim dari Huzaifah r.a.)‎

Dari Hudzaifah ra berkata: "Nabi Muhammad SAW telah melarang kami untuk minum dan ‎makan dengan bejana emas dan perak, serta melarang pula untuk memakai kain sutera baik yang ‎tipis mahupun yang tebal, dan melarang pula untuk duduk di atasnya." (HR at Turmudzy)  

2. Kain sutera haram bagi lelaki islam.  Kain sutera memang halus. Tentu kelihatan anggun dan bergaya, bila dijadikan sebagai bahan pakaian, ‎khususnya wanita. Kini “fashion trend” baru, banyak lelaki memakai baju Melayu, baju batik sutera atau pakaian ‎acara rasmi di perbuat dari kain sutera.


Syariat Islam tidak membolehkan lelaki memakai sutera, baik untuk solat mahu pun pakaian apa ‎jua. Pakaian sutera dikhususkan bagi wanita sahaja. Selain memakai sutera, lelaki islam ‎juga diharamkan duduk di atas hamparan dari sutera. ‎

Dalam hadis-hadis lain dari Umar bin Khattab ra, Anas ra, dan Abu Musa Al Asy’ary ra, Baginda ‎Rasullulah SAW bersabda: "Sesiapa (lelaki) yang memakai sutera di dunia, ia tidak akan dapat ‎memakainya lagi di akhirat." (HR. Bukhari dan At Turmudzy) ‎
 Ali bin Abu Talib ra berkata: "Rasulullah SAW mengambil sutera, ia letakkan di sebelah kanannya, dan ia mengambil emas kemudian diletakkan di sebelah kirinya, lantas ia berkata: Sesungguhnya 2 ‎benda ini haram buat lelaki dari umatku." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah). Tetapi Ibnu Majah menambah: "halal buat orang-orang perempuan."

Wallohu 'aklam !!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...