0

Sunday, November 25, 2012

Solat Tahajjud

Solat Tahajjud adalah solat sunat, dilakukan di waktu malam, setelah tidur terlebih dahulu, kerana "tahajjud" juga membawa maksud bangun di malam hari. Solat Tahajjud juga merupakan terapi bagi sebarang kemudaratan disegi zahir mahupun batin, dunia mahupun akhirat.

Dari Abdullah bin Amr bin Ash, Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Solat yang paling disukai oleh Allah SWT adalah solat Nabi Daud AS, dan puasa yang paling disukai oleh Allah SWT adalah puasa Nabi Daud AS. Beliau biasa tidur seperdua malam dan solat pada sepertiganya, kemudian tidur lagi seperenamnya, dan beliau berpuasa satu hari dan tidak berpuasa satu hari.” (HR Bukhari)

Sepertiga (1/3) Malam: Rasulullah SAW bersabda: "Rabb (Tuhan) kita turun disetiap malam ke langit yang terendah, iaitu saat sepertiga malam terakhir, maka Dia berfirman: 'Siapa yang berdoa kepadaKu maka Aku kabulkan, siapa yang meminta kepadaKu maka Aku berikan kepadanya, dan siapa yang meminta ampun kepadaKu maka Aku ampunkan untuknya'." (HR Al Bukhari)

Waktu bilakah bermulanya sepertiga malam? Ianya bermula selepas selesai solat Isyak, sehingga sebelum masuk waktu Subuh. Dibahagikan kepada 3 bahagian: jarak antara waktu Isyak - Subuh adalah 9 jam, maka 3 jam pertama selepas Isyak dikira 1/3 awal, 3 jam kedua di kira 1/3 pertengahan, dan 3 jam terakhir dikira 1/3 akhir malam. Bermakna (di Malaysia), bermula kira-kira pukul 2.30-3.00 pagi itulah bermula waktu 1/3 akhir malam (Indonesia 1.30-2.00 pagi). Maka, Solat Tahajjud boleh dilakukan samada pada 1/3 awal, 1/3 pertengahan, atau 1/3 akhir malam!!!



Perlukah tidur terlebih dahulu? Syarat ini paling afzal, tetapi bukan satu kemestian. Sebaiknya, tidurlah terlebih dahulu meskipun cuma sebentar, demi mencari kesempurnaan Solat Tahajjud. Dari Hudzaifah, "apabila Rasulullah SAW bangun untuk melaksanakan solat Tahajjud, beliau terlebih dahulu menggosok giginya dengan siwak.” [HR Bukhari, Muslim, Nasa’i, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad dan Ad Darami]

Solat Tahajjud, berapa rakaat? Dilaksanakan dengan munfarid (tanpa berjamaah). Jumlah rakaatnya tidak terbatas. Paling sedikit 2 rakaat, atau 4, atau seterusnya sehingga hampir menjelang waktu subuh, sebagaimana hadits Nabi SAW: "Solat malam itu adalah 2 rakaat apabila khuatir akan masuk waktu subuh maka berwitirlah 1 rakaat saja." ( HR.Bukhari-Muslim ).

Solat Tahajjud sebaiknya diiringi dengan Solat Witir. Banyak hadits sahih dari Bukhari dan Muslim menyebut anjuran mengerjakan Tahajjud bersama dengan Witir. Dari Qasim bin Muhammad, katanya dia pernah mendengar Aisyah berkata: “Biasanya Rasulullah SWT bersolat malam 10 rakaat, kemudian beliau Witir 1 rakaat, sesudah itu solat sunat Fajar 2 rakaat, menjadikan jumlahnya 13 raka’at.” [HR Muslim]

Namun, paling penting ialah memelihara amalan agar istiqamah (berterusan) meskipun hanya sedikit. Dari Aisyah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:"Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. Amalan paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dan dari Abu Hurairah pula katanya: “Nabi SAW bersabda yang maksudnya: 'Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan, sesiapa yang memberatkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama'."

Niat Solat Tahajjud:

         [sahaja aku bersolat tahajjud 2 rakaat kerana Allah Ta'ala] 

Doa setelah selesai Solat Tahajjud. Boleh berzikir, beristighfar, bertaubat, atau bermunajat pada Allah SWT dalam urusan dan masalah zahir dan batin, dunia mahu pun akhirat.


Doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, riwayat dari Ibnu Abbas RA seperti berikut ini:

[Ya Allah, bagiMu segala puji, Engkau penegak langit dan bumi serta segala isinya; bagiMu segala puji, bagiMu Raja penguasa langit dan bumi serta segala isinya; bagiMu segala puji Cahaya langit dan bumi; bagiMu segala puji, Engkau yang maha benar, dan janjiMu adalah benar, pertemuan denganMu adalah benar, firmanMu adalah benar, sorga adalah benar, neraka adalah benar, nabi-nabi adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan kiamat adalah benar. Ya Allah padaMu aku berserah diri, denganMu aku beriman, kepadaMu aku bertawakkal, kepadaMu aku kembali, bersamaMu aku merindu, padaMu aku merujuk hukum; ampuni aku atas dosa-dosa yang telah ku lakukan, yang terdahulu, yang kemudian nanti, yang tersembunyi, yang terang nyata,  Engkaulah Permulaan dan Pengakhiran, tiada Tuhan melainkan Engkau, atau tiada yang lain selain Engkau, dan tiada daya dan kuasa melainkan kekuasaan Allah semata-mata].



Wasallam, selamat bertahajjud!!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...