0

Thursday, November 22, 2012

Solat Dhuha

Keutamaan Solat Dhuha

Solat Dhuha adalah solat sunat. Sangat banyak diperkatakan di dalam hadis-hadis. Dan sangat banyak disarankan mengamalkannya selama hidup di dunia.

Solat Dhuha merupakan solat para nabi, para solihin, para siddiqin, dan para tawwabin (orang-orang yang bertaubat). Juga dikatakan sebagai amalan keberkahan, mendatangkan rezeki dan menolak kepapaan.

Solat Dhuha merupakan sedekah bagi menebus setiap anggota badan dan diri, sebagai penebus dari dosa-dosa, dan sebagai amalan membina bekalan di syurga.

Riwayat dari HR Al-Hakim dan At-Tabrani, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.”



Riwayat dari Muslim dan Abu Daud, dari Abu Dzarr RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "jadikanlah setiap anggota dari kamu hak sedekah, dan setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, menyuruh pada yang ma'aruf itu sedekah, mencegah dari yang mungkar itu sedekah, dan memadai untuk sekelian yang tersebut itu dengan 2 rakaat Solat Dhuha yang dilakukan oleh seorang hamba."

Riwayat dari at-Tarmizi, dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "barangsiapa memelihara rakaat yang genap dari Solat Dhuha, diampuni dosa-dosanya sekalipun dosanya seumpama buih di lautan." dan dari Anas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:"barangsiapa bersolat dhuha 12 rakaat, Allah akan membangunkan baginya mahligai emas di syurga."

Riwayat dari at-Tabrani, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "bahawasanya di syurga ada satu pintu bernama "pintu dhuha", apabila berlaku kiamat berserulah malaikat munadi; "sesiapa yang telah melakukan solat dhuha di dunia, maka masuklah melalui pintu dhuha dengan rahmat Allah.""

Cara Solat Dhuha
  • Solat Dhuha dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat. Boleh dilakukan 4, 6, 8, 10, atau 12 rakaat. Selalunya setiap 2 rakaat 1 salam, (ada juga pendapat setiap 4 rakaat dengan 1 tasyahud).
  • Niatnya:
[sahaja aku solat dhuha 2 rakaat kerana Allah Ta'ala]
  • Waktunya, pagi selepas solat subuh, waktu matahari sedang meninggi, dari bayangan sepenggalahan (kira-kira 3 meter) matahari terbit (waktu syuruk), sehingga meninggi di pertengahan langit, kira-kira jam 8.00-11.00 pagi. Zaid bin Arqam RA berkata, Nabi SAW keluar menuju tempat Ahli Quba, di kala itu mereka sedang mengerjakan Solat Dhuha. Baginda bersabda; “Inilah solat orang-orang yang kembali kepada Allah, iaitu di waktu anak-anak unta telah bangkit kerana kepanasan waktu Dhuha.” (HR. Ahmad, Muslim dan Tirmidzi).
  • Sekiranya melakukan 2 rakaat sahaja, sebaiknya hendaklah di baca pada rakaat pertama Fatihah + Ayatul Kursiyy 10 kali, dan pada rakaat kedua Fatihah + Al-Ikhlas 10 kali. Ini berdasarkan sebuah hadis diriwayatkan dari Anas RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda; "barangsiapa melakukan Solat Dhuha, dibaca pada rakaat pertama Fatihah + Ayatul Kursiyy 10 kali, serta pada rakaat ke2 Fatihah + Al-Ikhlas 10 kali, pasti ia mendapat keredzaan dari Allah Maha Besar." Dan dari sebuah hadits Qudsi yang diriwayatkan oleh Abi Dzar Al-Ghifari bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT berfirman, ‘Wahai anak cucu Adam, janganlah kamu tinggalkan 4 rakaat pada permulaan siang, aka aku akan mencukupi (kebutuhanmu) pada akhir siang.”
  • Doa yang selalu dibaca selepas Solat Dhuha:
[Ya Allah, sesungguhnya dhuha adalah dhuhaMu, kecantikan adalah kecantikanMu, keindahan adalah keindahanMu, kekuatan adalah kekuatanMu, kekuasaan adalah kekuasaanMu, dan perlindungan adalah perlindunganMu. Ya Allah jika rizkiku berada dilangit turunkanlah ia, jika berada dibumi keluarkanlah ia, jika sukar permudahkanlah ia, jika haram sucikanlah ia, jika jauh perdekatkanlah ia, demi dhuhaMu, kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu, dan kekuasaanMu, limpahkan padaku apa yang telah Engkau limpahkan pada hamba-hambaMu yang soleh].

Sekian dimaklumkan, moga bermanfaat!!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...