Showing posts with label OSTEOPOROSIS. Show all posts
Showing posts with label OSTEOPOROSIS. Show all posts
0

Wednesday, January 21, 2015

GEJALA KEKURANGAN KALSIUM

Kepentingan Kalsium

Kalsium sangat mustahak pada tubuh. Dibandingkan dengan zat-‎zat gizi lain, kalsium lebih banyak diperlukan oleh tubuh. Dan merupakan zat gizi yang paling banyak terkandung didalam tubuh. Kira-kira 99% kalsium berada dan tersimpan dalam tulang dan gigi. Bakinya berada diseluruh cecair tubuh bagi memenuhi ‎berbagai fungsi dan metabolisma tubuh. Justru, permakanan perlu sentiasa ada kalsium.

Antara manfaat kalsium:
  • Diperlukan bagi membina, mengukuh, menumpat dan memampat seluruh kerangka tulang dan gigi. Bekalan kalsium yang mencukupi menjadikan tulang dan gigi tidak mudah retak, rapuh, rosak atau patah.
  • Berperanan menguncup otot, manakala magnesium mengendurkan otot  Kalsium dan magnesium mengurus kuncup-kendur semua otot, termasuk otot jantung. Kalsium menguncup otot jantung mengepam darah ke seluruh tubuh. Magnesium ‎mengendur otot jantung mengembalikan darah ke dalam jantung. ‎
  • Terlibat dalam fungsi otak, saraf, dan sistem penghantaran isyarat. Kalsium memacu pengeluaran 'neurotransmitter' iaitu bahan kimia dari otak yang mengendali komunikasi maklumat antara otak dan seluruh tubuh. Otak menggunakan neurotransmitter bagi memberitahu jantung untuk bekerja, parau-paru bernafas, perut dan usus menghadam makanan dll. Neurotransmitter juga berperanan mengendali mood atau perasaan, sikap tidur, pemusatan fikiran/concentration dll.  
  • Kalsium dan hormon saling berkaitan. Bila sedikit kalsium diserap dari permakanan, aktiviti hormon menjadi kurang aktif. Bila banyak kalsium diserap, hormon-kalsium menjadi aktif, aktiviti kalsium didalam tubuh bertambah rancak. ‎

Terdapat kadar/dos saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Namun, tidak terdapat data tentang kadar/dos maksima yang dianggap masih selamat. Oleh yang demikian, data kadar/dos maksima yang dikira masih selamat dari IOM (Institute of Medicine), National Academics boleh juga diambil sebagai garis panduan asas.

Gejala Kekurangan Kalsium‎


Meskipun permakanan yang boleh dianggap mencukupi untuk membekalkan kalsium, namun masih juga timbul gejala-gejala dari kekurangan kalsium. Kekadang gejala-gejala timbul tanpa disedari atau tidak terduga, terutama pada warga berusia.

Kekurangan kalsium yang berlarutan boleh menyebabkan simpanan kalsium di dalam tulang-tulang dan gigi-gigi semakin terhakis, menipis, mudah retak, kurang tumpat, tidak kukuh. ‎Dan kekurangan kalsium merupakan punca utama kepada ‎perkembangan ‘osteopenia’ dan seterusnya ‘osteoporosis’, dan juga gejala-gejala lain. ‎

1    Osteopenia dan Osteoporosis. Osteopenia adalah ketumpatan tulang di bawah kadar normal. Ia merupakan gejala ‎awal kepada osteoporosis. Kebanyakan orang, di usia 30an, tulang-belulang dan gigi akan mencapai puncak pembentukan dan ‎ketumpatan tulang atau disebut 'BMD' (bone mineral density). Jika tulang ‎tebal ketika itu, maka kemungkinan kurang risiko mengalami osteopenia atau osteoporosis di usia tua.

Selalunya, setelah melewati pertengahan usia, ‎sel-sel tulang yang sedia ada selalu di serap kembali oleh tubuh dengan kadar lebih cepat dari aktiviti pembinaan tulang yang baru. Apabila keadaan ini berlaku, zat-zat galian di dalam tulang semakin hilang, tulang semakin kurang ‎ketumpatan, struktur tulang semakin lemah, semakin menuju kepada orteopenia atau osteoporosis.

Osteoporosis pula, apabila kalsium, fosforus dan zat-zat galian lain di dalam tulang-tulang sudah banyak hilang dan terhakis. Tulang menjadi lemah, rapuh dan mudah retak, sehingga sedikit tekanan ‎seperti membongkok atau mengangkat benda-benda berat biasa atau terbatuk boleh menyebabkan retak tulang. ‎Kuku juga rapuh dan mudah patah. ‎

‎Risiko osteopenia dan osteoporosis lebih tinggi pada wanita dari lelaki. Ini disebabkan oleh turun naik kadar estrogen dan PTH (hormon-kalsium) setiap bulan. Kadar estrogen menjadi sangat rendah ketika kedatangan haid. Kadar PTH pula menjadi tinggi, bermakna menambah pengeluaran kalsium dari tulang, pada masa yang sama menambah penggunaan kalsium dalam tulang. Justru, berlarutan pada jangkamasa lama menjadikan risiko osteoporosis lebih tinggi pada wanita. Apabila menopaus, wanita akan kehilangan banyak kalsium, disebabkan hormon estrogen berkurangan. Dan lagi, BMD wanita lebih rendah dari ‎lelaki, bererti tulang-tulang wanita kurang tumpat dari lelaki. ‎

2   Masalah Gigi, Gusi dan Rahang.  Penyerapan kalsium yang baik memastikan kesihatan pada gigi dan gusi. Kalsium yang mencukupi dapat memelihara tulang, rahang dan gigi menjadi ‎kuat dan sihat. Seseorang boleh mengekalkan keteguhan gigi-giginya sepanjang hayat sekiranya kalsium yang ‎mencukupi dapat diserap ke dalam tubuh sejak awal tumbesaran. Kekurangan kalsium boleh mengakibatkan pembinaan gigi tidak sempurna, gigi ‎longgar, dan gusi mengecut.

3   Rickets. Rickets adalah salah satu gejala akibat dari kekurangan kalsium. Ia marupakan tulang yang lemah dan lembut pada kanak-kanak. Terjadi disebabkan kekurangan ‎vitamin D yang berlarutan. Kurang vitamin D bererti kurang penyerapan kalsium. Vitamin D ‎juga membantu tubuh mengendali penyerapan kalsium dan fosforus kedalam tulang. Jika ‎berkurangan vitamin D didalam darah, tubuh akan mengeluarkan hormon-hormon yang menyebabkan kalsium ‎dan fosforus dikeluarkan dari tulang. Ini menjadikan tulang semakin lemah dan lembut. ‎

Apa Yang Menyebabkan Kekurangan Kalsium‎?


Kekurangan kalsium dalam darah disebut hypocalcemia. Punca utama hypocalcemia ialah masalah penyerapan.

Kekurangan kalsium pada jangkamasa singkat tidak menimbulkan 'hypocalcemia'. Hypocalcemia terjadi apabila kekurangan kalsium berlarutan pada jangkamasa yang panjang. Apabila tubuh mengalami hypocalcemia, kesan-kesan sampingan awal pada tubuh akan timbul, dan lebih kurang sama dengan kesan awal lebihan kalsium. Petanda awalan hypocalcemia, antaranya:‎
  • Cepat marah-marah atau baran, jiwa mudah tertekan, fikiran mudah terganggu, keliru, asyik mengantuk, cenderung banyak tidur. ‎
  • Tubuh lemah dan kelesuan, sering berlaku kekejangan pada otot ‘cramp’, kebas dan getaran pada jari kaki dan tangan, otot mata bergetar ‎dan mata mudah berair.
  • Pening-pening, loya, muntah dan cirit-birit, hilang selera makan, kerap buang air dan sembelit. ‎
  • ‎Wanita mengalami PMS yang perit sewaktu kedatangan haid. ‎

Kekurangan penyerapan kalsium mungkin disebabkan, antaranya:

‎‎1     Faktor Usia. Kalsium di serap sepanjang ‎penjalanan makanan melalui usus kecil. Kadar penyerapan kalsium pada anak kecil melebihi kira-kira 60% dari orang dewasa. Penyerapan semakin berkurangan apabila semakin berusia. Bagi memastikan penyerapan yang mencukupi, bagi memenuhi keperluan tubuh, perlu menambah bahan makanan yang kaya atau di perkaya dengan zat kalsium. Ini sangat penting pada ‎warga yang berusia.

2     Permakanan Kurang Vitamin ‎D dan Magnesium.  Vitamin D diperlukan untuk penyerapan kalsium. Vitamin D penting sebab ia bertukar menjadi hormon di dalam tubuh, yang kemudiannya ‎mempengaruhi penghasilan protein dalam usus yang bertanggungjawab menyerap kalsium. ‎Jika kurang vitamin ‎D didalam tubuh, akan menyebabkan kurang kadar kalsium yang dapat diserap ke dalam tubuh. ‎

Vitamin D bekerjasama dengan PTH. PTH adalah hormon yang dihasilkan oleh kelenjar ‘parathyroid’, iaitu 4 ‎kelenjar kecil yang terletak dileher, disisi belakang kelenjar ‘thyroid’. PTH dilepaskan oleh kelenjar apabila kalsium berkurangan dalam darah (hypocalcemia). Kurang vitamin D akan menjejaskan tindak-balas PTH dalam penyerapan kalsium. Maka, kekurangan vitamin ‎D secara tidak lansung akan mengakibatkan penyakit rickets pada kanak-kanak dan osteomalacia pada orang dewasa, keadaan yang memperlihatkan kecacatan pembentukan tulang.

Magnesium juga penting pada penyerapan kalsium. Magnesium membawa kalsium kepada sel-sel ‎tubuh. Justru, supplemen kalsium sangat baik di ambil bersama dengan supplemen vitamin D ‎dan magnesium. ‎

3     Permakanan Sodium (Garam) Berlebihan.  Makanan yang tinggi sodium (garam) boleh menyebabkan lebih banyak ‎pengeluaran kalsium dari tubuh melalui ginjal. Justru, lebih baik menghadkan pengambilan sodium agar tidak berlebihan.

4     Alahan Pada Lactose. Ada individu yang mengidap kekurangan enzim 'lactase' didalam usus. Enzim lactase perlu untuk metabolisma gula 'lactose' dalam susu atau produk tenusu. Jika enzim lactase kurang, akibatnya, ‎lactose tidak banyak yang mampu diserap oleh tubuh. Individu ‎tersebut dikatakan mengalami alahan pada lactose.

Individu yang mengalami ‎alahan pada lactose, disaran meminum/memakan susu atau produk tenusu secara sedikit demi ‎sedikit. Atau meminum susu yang bebas lactose. Cara lain ialah meminum susu atau produk tenusu bersama dengan pil ‎lactase. Setengah produk tenusu dipasaran sudah sedia ditambah lactase didalamnya.



0

Friday, January 3, 2014

Zat Gizi Kalsium

Apakah Zat Gizi Kalsium‎


Kalsium bersimbolkan Ca. Ia sejenis zat galian/gizi bukan organik berunsurkan logam bumi yang ‎lembut, berwarna kelabu, sifatnya ber-alkalin. ‎

Kalsium sangat mustahak pada tubuh dan kehidupan. Dibandingkan dengan zat-‎zat galian lain, kalsium paling banyak terkandung didalam tubuh. Kira-kira 99% kalsium berada dan tersimpan dalam tulang dan gigi. Bakinya berada diseluruh cecair tubuh bagi memenuhi ‎berbagai fungsi dan metabolisma tubuh. Kalsium lebih diperlukan oleh tubuh dari mana-mana zat gizi ‎lain. Permakanan yang sihat perlu sentiasa ada kalsium.

Fungsi-Fungsi Kalsium‎


Kalsium menyumbang berbagai peranan kepada tubuh. Ia merupakan zat gizi utama dalam pembinaan tulang dan gigi. Tubuh sentiasa memerlukannya untuk memastikan kesinambungan penguncupan semua otot, terutama otot jantung. Kalsium juga terlibat dalam urusan pengeluaran hormon, fungsi otak dan saraf berkaitan penghantaran maklumat ke otak dan pelepasan neurotransmitter dari sel-sel saraf neuron. Kalsium juga merupakan ‎ komponen penting dalam penghasilan enzim dan hormon yang mengurus penghadaman dan metabolisma tenaga dan lemak, komponen mustahak dalam sistem pembekuan darah. Ia juga bertindak sebagai ejen pembawa ion (bahan yang dihidupkan dengan tenaga letrik) untuk melintasi selaput/membrane, membantu memelihara semua sel dan tisu penghubung dalam tubuh, dan membantu kesembuhan luka.

0

Monday, December 2, 2013

Vitamin K

Apakah Vitamin K ?‎



Vitamin K ialah sekumpulan vitamin yang diperlukan oleh tubuh untuk proses mengubah-suai protein ‎tertentu bagi tujuan pembekuan darah dan memberi tindak-balas metabolisma dalam sel-sel tulang dan ‎tisu-tisu. Kumpulan vitamin K diperdapat dari kalangan 2-methyl-1, 4-naphthoquinone (3-), termasuk ‎vitamer: vitamin K1 dan vitamin K2. Justru, ringkasnya vitamin K merujuk kepada vitamin K1 and vitamin ‎K2.‎
  • Vitamin K1 - dikenali sebagai phylloquinone atau phytomenadione (phytonadione).
  • Vitamin K2 - banyak jenis, termasuk menaquinone dan menatetrenone.
Vitamin K1 dan K2 bersumber dari alam semulajadi, dan larut lemak. Ia tersimpan dalam organ hati ‎meskipun tidak begitu banyak, dan juga dalam tisu-tisu lemak sepertimana vitamin A,D, dan E. 

Vitamin K1.   Vitamin K1 - phylloquinone atau phytomenadione (phytonadione) - dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan. Banyak sekali terdapat dalam sayur-sayuran hijau yang terdedah secara lansung kepada 'photosynthesis'. Agak kurang dalam tisu pohon (akar, buah dll). Vitamin K1 diserap dalam kolon (usus ‎besar bahagian atas). Penyerapannya memerlukan lemak dan garam hempedu. ‎

Vitamin K2.   Vitamin K2 - termasuk menaquinone dan menatetrenone - banyak terdapat dalam binatang. K2 mempunyai beberapa jenis rumpun dibawahnya. ‎Selalunya K2 dalam istilah singkat MK-n; M untuk menaquinone, K ‎untuk vitamin K, dan n untuk jumlah sisa isoprene (definasi jenis-jenis K2). Jenis-jenis vitamin K2 yang sering dikaji dan dianggap bermanfaat untuk kesihatan tubuh ialah - MK-4 dianggap paling penting, dan MK-7. Jenis-jenis vitamin K2 yang lain juga wujud – MK-5, MK-6, MK-8, MK-9, MK-10, MK-11, MK-12, MK-13, dan MK-14.

Bakteria dalam kolon boleh ‎menukar K1 menjadi vitamin K2. Banyak jenis bakteria, seperti Escherichia coli, terdapat dalam kolon, menghasilkan vitamin K2, dari ‎MK-7 sehingga MK-11. Semua jenis K2, melainkan MK-4, boleh dihasilkan oleh bakteria dalam kolon tersebut. ‎

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...