0

Thursday, September 12, 2013

Zat Gizi Fosforus

Fosforus Dan Tubuh Manusia

Bran/Bekatul Beras
Fosforus adalah zat gizi ke-2 yang terbanyak, selepas kalsium, yang berada di dalam tubuh manusia.

Kira-kira 80-90%, fosforus berada dalam tulang dan ‎gigi. Ia bersebati dengan kalsium menjadi kalsium fosfat. Kalsium fosfat adalah bahan ‎utama kepada kristal hydroxyapatite yang berfungsi mengukuhkan tulang dan gigi.

Baki ‎fosforus lainnya terdapat dalam darah, dalam cecair, di dalam dan persekitaran sel-sel, dalam tisu-‎tisu lembut dan organ-organ termasuk jantung, ginjal, otak, dan otot. ‎

Zat gizi ini digunakan oleh setiap sel di dalam tubuh. Ia terlibat dalam hampir semua tindak-balas bio-‎kimia dalaman tubuh. Ia melindungi dan mengukuhkan selaput-selaput sel. Membantu zat-zat makanan ‎lain, hormon, dan juga terlibat dalam proses zat-zat kimia. Ia amat mustahak untuk pembinaan dan pembentukan struktur tulang dan gigi yang wajar. ‎ Ia diperlukan untuk kesihatan dan keberkesanan sistem saraf, fungsi ginjal, dan penggunaan ‎karbohaidrat, lemak, protein dan penghasilan ‎tenaga. Ia juga diperlukan untuk tumbesaran, pengawalan, pemeliharaan, dan baik-pulih sel-sel. ‎

Fosforus memerlukan kalsium dan vitamin D bagi memastikan fungsinya berkesan. ‎

Manfaat kesihatan fosforus terlalu banyak. Justru, kehadirannya perlu dititik-beratkan dalam permakanan ‎harian. ‎

Manfaat Kesihatan Dari Fosforus‎

1       Pembinaan Tulang.  Fosforus adalah zat gizi yang sangat penting untuk proses tumbesaran. Fosforus, bersebati ‎dengan kalsium, berfungsi  membina dan membentuk tulang dan gigi yang sihat dan kukuh. Kalsium sendiri tidak ‎mampu membina tulang dan gigi yang kukuh. Kalsium perlukan fosforus bagi memampatkan tulang dan gigi. ‎Oleh yang demikian, pakar permakanan menyarankan kalsium dan fosforus perlu di ambil dalam nisbah yang bersesuaian bagi membina, membentuk, memelihara, dan menumpatkan tulang dan gigi, dan ‎‎membantu menghalang risiko osteoporosis, rapuh tulang, masalah gigi dan gusi. ‎

‎Pengambilan supplemen kalsium yang banyak tanpa diiringi dengan fosforus yang mencukupi tidak akan ‎memberi kesan positif kepada kesihaan tulang dan gigi sepertimana yang diharapkan. ‎

2       Fungsi Otak. Fosforus berada dalam setiap anggota tubuh, termasuk otak. Ia menjadi unsur yang aktif di dalam dan di persekitaran sel-sel otak. Fosforus ‎mempunyai fungsi dan pengaruh yang penting kepada otak. ‎

Otak memerlukan ‎fosforus dalam kadar yang saksama untuk berdaya aktif dan berfungsi dengan wajar, dan seterusnya melaksanakan berbagai fungsi; seperti ‎daya pemusatan dan daya ingatan yang baik dsbnya.

3      Pembinaan Protein.‎  Fosforus merupakan salah satu elemen penting dalam pembinaan protein dalam tubuh. Fosforus juga membantu ‎protein dalam fungsinya membina, menghasil dan membaik-pulih sel, tisu, otot dan juga faktor genetik iaitu asid ‎nukleik (DNA dan RNA). Fosforus dalam bentuk fosfat merupakan bahagian terpenting kepada DNA dan RNA. ‎

4      Penyerapan Tenaga.  Fosforus membantu penghasilan tenaga dengan cara meransang proses ‎metabolisma berbagai zat makanan termasuk karbohaidart dan lemak. Seterusnya, ia bertindak sebagai ‎perantara dalam pengaliran, penghantaran dan kegunaan tenaga yang saksama oleh berbagai sistem organ-organ. ‎

Fosforus juga penting kepada penghasilan ATP (Adenosine Tri Phosphate), iaitu sejenis molekeul yang digunakan ‎oleh tubuh untuk menyimpan dan membawa tenaga. ATP merupakan sumber tenaga kepada berbagai aktiviti ‎metabolisma dan enzim, terutama kepada penguncupan otot, penghantaran yang berkesan, dan penghasilan DNA.‎

‎Fosforus juga menjadi sebahagian dari struktur phospholipids. Phospholipids adalah komponen utama yang ‎menjadi struktur kepada semua selaput sel. Phospholipids bertanggungjawab mengawal kadar penyerapan sel-sel. Ia membantu menyerap lemak-lemak yang tidak mudah di serap dan juga ‎kolesterol. ‎ Sel-sel hidup menggunakan forfat untuk menghantar tenaga dalam bentuk ATP. Hampir setiap tindak-tanduk sel-sel ‎menggunakan tenaga dalam bentuk ATP. ‎

Fosforus berkemampuan menghilangkan masalah kesihatan seperti lemah otot, kebas-kebas, ‎kelesuan dsbnya.  Pengambilan supplemen fosfat boleh mengurangkan keletihan dan kesakitan pada ‎otot akibat dari senaman atau olahraga yang berat. Lemah tenaga batin juga mungkin boleh dirawati dengan ‎pengambilan supplemen fosforus.‎

5     Baik-pulih Sel.   Fosforus berperanan penting dalam semua aktiviti metabolisma sel-sel. Fosforus juga menyumbang kepada proses baik-pulih sel-sel ‎tubuh yang mengalami tekanan harian. Ia memastikan sel-sel tubuh terpelihara baik dan kekal aktif ‎untuk kesihatan keseluruhannya.

6     Kesaimbangan Hormon.  Fosforus mustahak bagi menghasil dan mengawal kesaimbangan hormon dalam ‎tubuh. ‎Ia juga didapati meransang kelenjar-kelenjar mengeluarkan ‎hormon, memelihara otot dan jantung menguncup dengan baik dan lancar.

Fosforus juga membantu memastikan hormon peranakan hadir dalam kadar yang mencukupi bagi ‎memelihara kesuburan peranakan.Gejala menopaus dapat dikurangkan dengan ‎kehadiran hormon peranakan yang dihasilkan melalui fosforus. ‎

7     Fosforus Ber-asid.  Berperanan mengimbangi suasana dalaman tubuh (pH) antara asid dan alkalin. ‎Fosforus menghasilkan fosfat untuk menstabilkan kandungan alkalin di dalam plasma darah. ‎

8     Perkumuhan Sisa.  Fosforus berperanan menyihatkan ginjal dengan cara memastikan ‎perkumuhan bahan sisa makanan dan sisa toksin dalam bentuk cecair dikeluarkan melalui ginjal. ‎

Fosforus juga berperanan mempercepat proses penghadaman. Ia mengaktifkan vitamin B-kompleks seperti ‎B2 (riboflavin) dan B3 (niacin), menjadikan vitamin-vitamin tersebut sebagai enzim gandingan untuk melancar ‎penghadaman. Fosforus bermanfaat bagi orang yang mengalami masalah penghadaman dan membantu merawat sembelit. ‎

9     Tindakbalas Kimia.  Fosforus bertindak sebagai faktor gandingan dalam beberapa tindak-balas kimia ‎yang berlaku di dalam tubuh. Ia juga melancarkan penggunaan berbagai nutrien seperti iodine, vitamin D, zinc dan ‎magnesium yang memasuki tubuh. 

Berkaitan dengan vitamin B, fosforus membantu penguncupan otot, memelihara denyut jantung yang normal, ‎dan juga sebagai perantara kepada sistem saraf. ‎

Dos Saranan Fosforus

Tiada data yang di perdapat dari Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan dos harian fosforus. Oleh yang demikian, dos saranan (RDA) dari Lembaga Food & Nutrition dari Institute of Medicine USA, hasil kerjasama dengan National Academy of Sciences dari Kanada, menjadi rujukan terdekat (Rajah sebelah). Dos untuk warga Asia Tenggara sedikit berkurangan dari RDA, kerana rata-rata struktur tubuh warga Asia Tenggara lebih kecil dan rendah dari warga Barat.   

Gejala Kekurangan Fosforus

Kekurangan fosforus sangat jarang berlaku. Antara puncanya:‎

a)‎ Kalsium, Besi dan Zinc. Penyerapan fosforus hanya kira-kira 50-70% berkesan, kerana fosforus ‎cenderung bersebati dengan kalsium, besi dan zinc ketika dalam perut, dengan demikian fosforus kurang dapat di serap.  

b)‎ Kekacauan Genetik. Kecacatan dalam penyerapan fosfat, sepertimana terjadi pada penyakit ricket yang menolak ‎penyerapan vitamin D, sejenis kekacauan genetik yang kurang kemampuan mengguna ‎vitamin D. ‎

Gejala Kekurangan Fosforus:
 
a)‎ Hypophosphatemia. Keadaan di mana penyerapan fosfat ke dalam darah dan juga ke dalam sel-sel begitu ‎rendah. Gejala hypophosphatemia; saraf dan otot gagal berfungsi dengan baik kerana ‎kekurangan ATP, tulang tidak kuat, sengal-sengal sendi, hilang selera makan, dan kurang stamina untuk ‎menjalani aktiviti harian. ‎

b)‎ Kemerosotan Tulang. Fosforus bertindak sepertimana kalsium dalam memberi kekuatan dan ketumpatan pada tulang dan gigi. Kekurangan fosforus boleh menyebabkan pembinaan dan pembentukan tulang kerangka ‎kurang baik, hilang ketumpatan tulang, rapuh dan mudah retak, pembinaan gigi yang tidak sempurna, ‎gigi mudah rosak, sakit sendi, kekejangan, dan meningkatkan ‎risiko osteomalacia, osteoporosis.dan ‎rheumatism dan masalah-masalah tulang yang lain. ‎

c)‎ Gejala Lain. Kebas-kebas di beberapa bahagian tubuh terutama bahagian kaki dan tangan, ‎kemurungan, gugup, tubuh susut dan hilang berat badan, tubuh pucat (anemia), dan bagi kanak-kanak akan terbantut tumbesaran. ‎

Bahaya Lebihan Fosforus

Antara punca lebihan fosforus:

a)‎ Pengambilan Makanan Tinggi Fosforus. Punca lebihan fosforus yang biasa berlaku ‎ialah kerana terlalu banyak memakan bahan makanan yang mengandungi fosforus yang tinggi. ‎Makanan dalam tin, makanan di proses, makanan segera,  keju, daging, ‎atau minuman ringan. Kebanyakan industri permakanan dan minuman menambah fosforus bagi memanjangkan jangka masa ‎makanan atau sebagai bahan perasa kepada produk. ‎

b)‎ Kekurangan Kalsium atau Magnesium. Menurut lapuran dalam jurnal "American Medical ‎Association," kekurangan kalsium atau magnesium boleh meninggikan jumlah fosfat di dalam darah. ‎Kadar fosfat yang tinggi dalam darah seterusnya boleh mengganggu penyerapan kalsium yang mana sekiranya disertai ‎dengan kurang permakanan yang mengandungi kalsium yang tinggi pada jangkamasa yang panjang, ‎akan meningkat risiko kehilangan ketumpatan tulang dan gigi, tekanan darah tinggi, dan kanser usus. Justru,  ‎terlalu banyak fosforus boleh menyebabkan ketidak-saimbangan zat-zat gizi utama, akan ‎menghakis kalsium dari tulang dan melemahkan tulang, mengakibatkan tulang menjadi rapuh. ‎

Gejala Lebihan Fosforus:

a)‎ Hyperphosphatemia. Lebihan fosforus boleh menyebabkan hyperphosphatemia iaitu kadar fosfat yang ‎tinggi di dalam darah. Hyperphosphatemia boleh berlaku pada orang yang mempunya ginjal yang gagal ‎berfungsi dengan baik. Ginjal yang sihat akan mengeluarkan lebihan fosforus dari dalam darah. Orang ‎yang mengalamai penyakit atau masalah ginjal tidak mampu mengeluarkan fosforus yang ‎lebih, kadar fosforus akan terus terkumpul di dalam darah, maka menghadapi risiko penyakit jantung dan ‎tulang dsbnya. ‎

b)‎ Tompokan Kalsium. Lebihan kalsium dan fosforus pula boleh menyebabkan tompokan kalsium dalam tisu-tisu lembut seperti ‎paru-paru, jantung, otot, mata, saluran darah, dan juga ginjal. ‎Dan keadaan ini akan menjejaskan kesihatan tubuh.

c)‎ Kesan-kesan Sampingan. Terlalu banyak fosfat di dalam tubuh boleh menyebabkan cirit-birit dan tisu lembut dan organ-organ menjadi keras ‎dan tidak anjal, dan boleh menganggu kemampuan tubuh menggunakan zat besi, kalsium ‎magnesium dan zinc. ‎

Bagi menghindari kesan sampingan atau gejala lebihan fosforus, "Food & Nutrition Board of the Institute of ‎Medicine" telah menentukan had maksima yang masih selamat - Tolerable Upper Intake Levels (ULs) sebagai garis panduan,  sepertimana terdapat dalam Rajah di atas. ‎

Sumber Makanan Kaya Fosforus

Sumber fosforus yang utama adalah dari bahan makanan yang mengandungi banyak kalsium dan protein. Sebagai ‎garis panduan, seseorang yang memakan cukup protein dan kalsium, maka kadar fosforus yang diperlukan oleh tubuh berkemungkinan mencukupi. ‎Antaranya:
  • Susu (termasuk produk tenusu) dan daging adalah 2 kumpulan bahan makanan yang membekalkan ‎fosforus yang tinggi. seperti daging lembu, kerbau, ikan, ayam, itik, telur, keju dll ‎‎
  • Bijian, bijiran, kekacang dan juga produk yang dihasilkan darinya juga mengandungi fosforus yang ‎tinggi; seperti roti gandum, oat, bijiran, beras perang; biji-bijian jenis berbagai labu, bijian bunga matahari, bijian ‎flaxseed, bijian bijan, almond/badam, kacang brazil, termasuk ubi kentang, ‎bawang putih dan brokoli dll. ‎‎
*Perhatian: keju, susu segar mengandungi kolesterol yang tinggi, hanya di makan dalam kadar yang sederhana bagi ‎menghindar dari risiko sakit atau serangan jantung. ‎‎*Jenis kekacang adalah makanan yang berkalori tinggi, juga perlu di makan dalam kadar yang sederhana.‎

Berikut adalah senarai makanan yang mengandungi fosforus yang tinggi:

#1: Lapisan Bran/Bekatul (Beras dan Oat) Bran Beras - fosforus paling tinggi 1677mg (168% DV) setiap 100 gm, 1979mg (198% DV) ‎setiap cawan. Bran Oat - 690mg (69% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎#2: Biji Labu (dan jenis-jenis labu), salai kering - fosforus 1172mg (117% DV) setiap 100gm, 2660mg (266% DV) ‎setiap secawan. Biji Tembikai/Semangka - 815mg (82% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎#3: Biji Bunga Matahari - juga sumber magnesium dan vitamin E dll, fosforus 1158mg (116% DV) setiap 100 ‎gm, 1552mg (155% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎#4: *Bijiran - fosforus 1150mg (115% DV) setiap 100gm, 713mg (72% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎#5: Wheat germ, salai kering - fosforus 1146mg (115% DV) setiap 100gm, 1295mg (129% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎#6: Serbuk Whey - fosforus 932mg (93% DV) setiap 100 gm, 1351mg (135% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎#7: *Keju banyak jenis, juga kaya dengan kalsium, fosforus 807mg (81% DV) setiap 100 gm. ‎‎‎

‎#8: Bijian Bijan - juga kaya dengan kalsium, fosforus 774mg (77% DV) setiap 100 gm, 991mg (99% DV) setiap ‎secawan. ‎‎‎

‎#9: Serbuk Koko - fosforus 734mg (73% DV) setiap 100 gm, 631mg (63% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎#10: Kacang Brazil dan Pine - fosforus dalam kacang Brazil 725mg (73% DV) setiap 100 gm, 500mg (125% DV) ‎setiap secawan. Kacang Pine 575mg (58% DV) setiap 100 gm, 776mg (78% DV) setiap secawan. Biji gajus, ‎kacang tanah, pistachio, walnut, dan hazelnut/kacang berangan juga kaya dengan fosforus.‎‎‎

‎ ‎ ‎#11: *Flaxseed juga kaya dengan kalsium, fosforus 642mg (64% DV) setiap 100gm, 1079mg (108% DV) setiap ‎secawan. ‎‎

‎ ‎#12: *Ikan Halibut/Ikan Sebelah - fosforus 285mg (29% DV) setiap 100 gm, 340mg (86% DV) setiap fillet/potongan (318 ‎gm). Ikan Salmon - fosforus 256mg (26% DV) setiap 100 gm, bersamaan 788mg (39% DV) setiap fillet/potongan (308 gm).‎‎‎

‎#13: Tempe - fosforus 266mg (27% DV) setiap 100 gm, 442mg (44% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎#14: *Kacang Dhal - fosforus 180mg (18% DV) setiap 100 gm, 356mg (36% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎#15: *Yogurt (Tanpa Lemak) – fosforus 157mg (16% DV) setiap 100 gm, 385mg (38% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎#16: *Milk (Tanpa Lemak/Skim) – fosforus 101mg (10% DV) setiap 100 gm, 247mg (25% DV) setiap secawan. ‎‎‎

‎ *Kandungan fosforus boleh berbeza antara berbagai jenama produk. ‎‎Begitu juga dengan jenis bijiran, biji-bijian dan kekacang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...