0

Friday, September 20, 2013

Eczema ‎|‎ Dermatitis

Apakah Penyakit Eczema?

‎Eczema adalah singkatan kepada "Eczema Hypertrophicum", juga di sebut "Dermatitis." Eczema atau ‎dermatitis, adalah istilah kepada beberapa jenis penyakit atau masalah radang kulit yang tidak ‎menyelesakan, samada radang tersebut dalam bentuk kulit kering, panas, berkuping, lebam, ‎kasar, menebal, kemerahan, gatal-gatal sehingga kulit sangat terdorong untuk di garu, kian di garu kian luka, berair dan ‎seterusnya berdarah, dan sekiranya tidak di rawat akan bernanah. Apabila sembuh bersifat sementara, kemungkinan besar akan timbul kembali, dan menjadi semakin merebak. Setiap kali sembuh akan meninggalkan kesan parut kehitaman yang lambat untuk kembali ke tona dan warna asal kulit.

‎Dengan penjagaan dan perawatan kulit yang rapi, terutama pada bahagian yang selalu timbul radang kulit, ‎eczema boleh dikurangkan, tetapi kulit akan sentiasa sensitif dan eczema dengan mudah akan timbul ‎kembali. Eczema boleh berlaku pada semua peringkat usia. Eczema tidak pula berjangkit.

Eczema  ‎|‎  Jenis-Jenis  

Berikut adalah beberapa jenis eczema. Gejala-gejala eczema hampir sama semuanya. ‎Puncanya mungkin berbeza. Dan kaedah rawatannya juga berbeza.

‎●‎    Atopic Eczema. Atopic eczema ini dipercayai masalah kulit yang diwarisi, berkait-rapat ‎dengan faktor genetik. Sejenis eczema yang sering terjadi, dikaitkan dengan penyakit ‎lelah/asma bronchitis (sesak nafas, bersin, hidung berair, batuk-batuk, paru-paru banyak kahak) ‎dan juga hayfever (sesak nafas disebabkan rongga hidung tersumbat kerana berkahak). 

Seseorang yang mengalami atopic eczema, terlalu sensitif kepada miang ‎halus atau “irritants” dari alam sekitar, sedangkan miang tersebut tidak pula menjejaskan kulit kebanyakan orang lain. Atopic ‎eczema timbul kerana tindak-balas dari sistem kekebalan tubuh yang bertindak menyerang ‎miang halus yang melekat di kulit sehingga menghasilkan radang kulit yang gatal. Gatal-gatal kadangkala sangat ‎menusuk kulit. Selalu timbul pada wajah, kulit kepala, leher, celah siku tangan, di ‎bawah lutut, dan juga buntut.

Tanda-tandanya: kulit kering seluruh tubuh, radang ‎kulit dan kadangkala membengkak. Garu-garu yang tak tertahan, berlansung dengan mudah ‎melukakan kulit, mendedahkan kepada jangkitan. Akibat dari radang eczema, kulit akan terkoyak, ‎tersiat, luka, dan berair.

●‎    Dermatitis Sentuhan/Contact Dermatitis. Eczema jenis ini timbul apabila kulit terlalu sensitif terhadap ‎sesuatu bahan yang tersentuh pada kulit, diiringi dengan sistem kekebalan tubuh yang bertindakbalas terhadap bahan tersebut. ‎Selalu timbul di tangan orang dewasa.

Terdapat 2 jenis: Jenis pertama, allergi terhadap sesuatu bahan, umpamanya terhadap logam nikel dalam bentuk ‎subang, gelang, rantai dsbnya. Eczema timbul secara perlahan apabila kulit seringkali bersentuhan ‎dengan bahan allergi tersebut. Jenis ke-2 lebih sering berlaku, eczema yang timbul apabila ‎setiap hari bersentuhan dengan benda seperti bahan pencuci atau bahan kimia, yang ‎mengakibatkan eczema. Boleh juga berlaku terhadap bahan-bahan lain seperti simen, wangi-wangian, bahan kosmetik, getah, krim ubat, pohon-pohon, juga sinaran matahari dsbnya.

●‎    Seborrhoeic Eczema. Terdapat 2 jenis:

Eczema pada bayi. Eczema yang timbul pada bayi di bawah usia 1 tahun. Secara ‎amnya, bermula di kulit kepala atau celah kelangkangan, berkuping warna kekuningan, kemudian kian merebak. Mungkin tidak mendatangkan keselesaan, tidak gatal dan tidak terlalu ‎menganggu bayi, mungkin kerana mereka terlalu kecil untk memberitahu. Selalunya eczema jenis ‎ini akan berkurangan dan hilang dalam beberapa bulan. Krim pelembab bayi dan minyak ‎mandi dapat mempercepat kesembuhan. ‎Sebab sebenar adalah samar.

Eczema pada orang dewasa. Orang dewasa berusia antara 20 – 40 tahun mudah mengidap eczema jenis ini. Secara ‎amnya, di kulit kepala terdapat kelamumur, mudah merebak ke wajah, rongga ‎telinga dan dada. Kulit bertukar menjadi merah, dan berkuping. Gejala ini dipercayai ‎berpunca dari pembiakan kulat/jamur. Sekiranya masalah menjadi lebih parah, krim anti-kulat ‎mungkin dapat membantu. ‎

●‎   Varicose Eczema/Venous Eczema/Gravitational Eczema/Stasis Dermatitis. Selalu berlaku pada orang dewasa 50 tahun ke atas.

Eczema mudah timbul di ‎bahagian bawah kaki-kaki, disebabkan kurang lawas pengaliran ‎darah ke kaki. Eczema merebak di sekeliling kaki, berwarna kemerahan, bertompok, berkuping, dan sangat gatal untuk di garu.

Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, kulit akan pecah-pecah dan ‎mengeluarkan cecair dan bernanah.

Merawatnya adalah dengan ‎krim pelembab atau krim steroid.

●‎    Herpetiformis/Penyakit Duhring. Amat gatal terutama di waktu malam. Timbul pada lengan, paha, lutut, ‎dan bahagian bawah lutut. Eczema ini dikaitkan dengan penyakit atau masalah usus.

●‎    Eczema Dyshidrosis/Pompholyx/Vesicular Palmoplantar Dermatitis/Eczema Surirumah). ‎Eczema jenis ini timbul pada telapak tangan, telapak kaki, dan di pergelangan jari-jemari tangan dan kaki. Bintik-bintik kecil, menebal, pecah-pecah dan diiringi dengan gatal-gatal, dan terlalu gatal di waktu malam. Jika eczema di tangan, menjadi lebih parah sewaktu cuaca panas. ‎

●‎    Discoid Eczema/Nummular Dermatitis/Eczema Mikrob. Eczema jenis ini timbul secara tidak di jangka, ‎dalam bentuk tompok kering sebesar wang syiling, berwarna kemerahan. Selalunya pada bahagian lengan atau bahagian ‎bawah kaki. Bentuk seperti kurap. Eczema ini gatal dan sangat terdorong untuk di garu sehingga mengeluarkan ‎cecair. Selalunya, eczema ini di rawat dengan krim pelembab. ‎

●‎    Neurodermatitis/Lichen Simplex Chronicus/Localized Scratch Dermatitis). Bahagian yang gatal ‎menjadi tebal, berpigmen yang disebabkan selalu di garu. Selalu berlaku hanya pada suatu bahagian ‎tubuh sahaja. Boleh di rawat melalui ubat-ubatan anti-keradangan.

●‎    Autoeczematization/Autosensitization). Eczema jenis ini timbul dari tindakbalas sistem kekebalan tubuh terhadap ‎jangkitan parasit, kulat/jamur, bakteria atau virus. Ia dapat di rawat apabila terhapus kuman ‎yang menjadi penyebabnya.

●‎    Lain-lain Jenis Eczema. Terdapat banyak lagi jenis-jenis eczema yang disebabkan oleh jangkitan virus, akibat dari kesan penyakit, dari pengambilan ubat-ubatan, bahan makanan yang tidak seraksi, kekurangan atau lebihan vitamin atau zat gizi, atau bahan kimia. Ada juga eczema yang sangat jarang berlaku dan sangat samar sebab-musababnya. ‎

Eczema  ‎|‎  Apakah Puncanya  ?‎ 

Penyebab eczema banyak dan berbeza, bergantung kepada jenis eczema yang dialami seseorang. ‎Sebab-sebab timbul eczema sentiasa samar. Antara sebab-sebab yang memungkinkan timbul eczema ialah:

1)   Faktor Genetik. Faktor genetik, waris mewarisi, sekiranya salah seorang samada di sebelah ibu atau bapa kepada individu, pernah mengidap allergi, asma/lelah atau hayfever (sesak rongga pernafasan hidung), maka berkemungkinan besar individu tersebut juga cenderung diwarisi eczema allergi.  

Dalam setengah kes, terjadi eczema disebabkan faktor genetik yang berkaitan dengan kekacauan pada metabolisma asid lemak mustahak ‎‎(EFA); kurang kemampuan pada enzim memperoses asid lemak mustahak (EFA) atau kurangnya EFA itu sendiri. Kulit memerlukan minyak dari bahan makanan untuk tindakan anti-keradangan, manakala tubuh memerlukan asid mustahak EPA (bahagian dari EFA) yang terdapat dalam minyak Omega 3. Jika minyak bersumber dari sayur-sayuran atau bijian, tubuh terpaksa memproses minyak sayuran dengan menggunakan enzim. Enzim ini pula bergantung kepada faktor-faktor gandingan dari zat makanan seperti zinc, magnesium dan B6. Bila tubuh kurang mampu menggunakan enzim memproses minyak sayuran, maka eczema mungkin terjadi. Bagi EFA yang bersumber dari minyak ikan, Omega 3 tidak perlu menggunakan proses enzim ini. 

2)   Masalah Perut. Masalah perut disebabkan kekurangan asid hydrokhlorik dalam perut. Setiap tubuh memerlukan air dan zat-‎zat gizi seperti zinc, sodium dan potassium bagi menghasilkan asid hydrokhlorik. Asid hydrokhlorik ialah asid perut yang membantu mencerna dan menghadam makanan dalam perut. Kekurangan asid hydrokhlorik merupakan salah satu punca eczema.

‎Apabila perut bermasalah, pemecahan, pencernaan dan penghadaman bahan makanan menjadi tidak sempurna. Bahan-bahan makanan kecil yang tidak dapat di pecah dan di serap oleh perut akan melalui usus dan ‎kemudian memasuki ke dalam aliran darah. Seterusnya, tindakbalas allergi terhadap bahan-bahan ‎makanan kecil tersebut berlaku dan menimbulkan eczema.

Keradangan dalam perut yang disebabkan oleh stres, ubat anti-biotik, bahan ubat-ubatan juga antara sebab timbulnya eczema. ‎Pada orang dewasa, hisap rokok, alkohol, atau kafein dari minuman kopi juga berkemungkinan merupakan salah satu dari penyebab eczema.‎

‎3)   Kecemaran Usus Penghadaman. Dalam usus terdapat organisma yang baik ‎atau pun yang memudaratkan kesihatan. Permakanan yang kurang berkhasiat; kurang vitamin ‎dan zat galian, dan pengambilan ubat anti-biotik boleh menyebabkan kurang organisma yang ‎baik, menambah jumlah organisma yang memudaratkan kesihatan, menjadi salah satu penyebab eczema.

Rebakan kulat candida merupakan antara penyebab eczema, terutama pada wanita yang sedang hamil acapkali berlaku kerana perubahan hormon di dalam tubuh. Bayi yang dilahirkan boleh turut dijangkiti, menjadi sebab kenapa supplemen  "probiotic" disarankan pada wanita yang sedang sarat hamil.

4)   Allergi Makanan. Allergi sering berlaku pada hampir setiap individu. Seseorang harus cuba mengenal-‎pasti jenis-jenis bahan makanan yang boleh menyebabkan allergi kepada tubuhnya. Seorang ibu yang menyusukan ‎bayinya, lebih mudah mengenal-pasti allergi kepada bayinya.

Bahan makanan yang sering menimbulkan allergi kepada tubuh; seperti telur, kacang tanah, makanan dari bahan asas kacang ‎soya/kedelai, gandum (roti, kek, biskut dll), susu, yogurt, ais krim, produk tenusu termasuk keju. Sebaiknya, ‎bahan makanan seperti kekacang dan bijiran di rendam terlebih dahulu bagi meruntuhkan asid phytik yang ‎berkemungkinan boleh menimbulkan reaksi allergi. ‎

5)    Stres. ‎Terdapat juga individu yang mengalami eczema disebabkan stres (tekanan jiwa). Tekanan jiwa menjadi ‎pemangkin kepada timbulnya eczema pada bahagian-bahagian tertentu kulit. Bila tekanan jiwa berkurangan, eczema juga turut berkurangan. ‎

Eczema | Jenis Rawatan ‎

‎Belum ada penawar yang pasti bagi eczema. Eczema adalah masalah kulit yang bersifat peribadi. ‎Suatu ubat mungkin sesuai untuk seseorang individu, namun tidak pula sesuai pada pengidap lain. ‎Justru, pencarian ubat yang sesuai bagi mengubati semua jenis eczema adalah usaha yang sangat ‎sukar.‎

‎Oleh itu, rawatan ditujukan kepada berbagai cara merawat eczema. Kesemua cara bermula dengan ‎pemeliharaan kulit yang rapi. ‎Berikut adalah beberapa cara yang selalu digunakan bagi merawat dan mengawal gejala-gejala ‎eczema:‎

1    Pelembab Kulit/Moisturizer/Emollient

Eczema menjadi semarak apabila kulit kering. Melembabkan kulit adalah salah satu kaedah penting ‎bagi merawat dan menanggani eczema. Melembabkan bahagian yang dijangkiti eczema boleh ‎mempercepat kesembuhan pada kulit dan mengurangkan timbul eczema. ‎

Pelembab kulit, dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai “emollient” atau “moisturizer.” Pelembab kulit ‎adalah losyen, krim, atau minyak sapuan agar kulit sentiasa lembab, berminyak, dan kembali anjal. Pelembab mengurangkan kekeringan pada kulit dan menghalang eczema daripada berkuping. Lebih tebal lapisan pelembab perlu di sapu pada bahagian eczema yang kering dan berkuping. Penggunaannya yang berterusan setiap hari adalah penting bagi merawat eczema. ‎ ‎Sapuan pelembab berminyak, kerana kandungan airnya sedikit, akan mengekal kulit berminyak lebih lama, akan tetapi ‎kurang keselesaan. ‎

Penggunaan pelembab di kira selamat dan boleh di sapu lebih kerap atau sekurang-kurangnya 2 kali dalam sehari. Sabun dan pencuci detergen lebih baik dihindari dari terkena pada bahagian eczema, kerana ‎ boleh menghakis minyak di dalam lapisan kulit dan menyebabkan kekeringan ‎pada permukaan kulit. ‎

Berbagai pelembab terjual di pasaran, perlu ‎di cuba yang mana seraksi untuk seseorang individu. Ceramides, sejenis asid lemak yang terdapat pada lapisan epidermis, kini menjadi bahan utama ‎ pada pelembab merawat eczema. ‎

2    Krim Steroid

Apabila eczema terkawal, hanya krim pelembab diperlukan bagi mengawal eczema agar tidak ‎muncul lagi. Namun, jika radang kulit semakin bersemarak, eczema semakin merebak, maka ‎‎“corticosteroid”, atau singkatnya steroid, digunakan. ‎Jenis-jenis corticosteroid seperti anabolic steroid, cortisone, prednisone, dan methylprednisolone dll.

Anabolic steroid selalu digunakan bagi menanggani masalah keradangan eczema ini. Terdapat 4 gred anabolic steroid: sederhana (mild), biasa (regular), kuat (potent) ‎dan amat kuat (super potent). Gred steroid ini merujuk pada samada usia pesakit, keparahan ‎eczema, saiz eczema, dan juga bahagian tubuh yang dijangkiti. Untuk eczema yang biasa, steroid ‎yang sederhana digunakan (seperti hydrocortisone). Untuk yang lebih parah, makan steroid yang ‎lebih kuat digunakan (seperti clobetasol propionate). Untuk kes kronik, apabila anabolic steroid ‎tidak mampu lagi memberi kesan positif, doktor pakar kulit akan memberi minuman atau suntikan ‎corticosteroid, perkembangan pesakit di pantau di bawah perhatian doktor pakar kulit ‎sepanjang pengambilan steroid tersebut.‎

Dalam banyak kes, penggunaan “corticosteroid” sangat berkesan mengawal dan menghilangkan ‎eczema. Cepat sembuh, akan tetapi kesan sampingan juga ada. ‎Penggunaan sapuan corticosteroids yang berpanjangan akan meningkat risiko ‎kulit menipis, mudah calar dan luka. Oleh yang demikian, seboleh mungkin sapuan steroid ‎yang sederhana digunakan pada kulit wajah dan bahagian tubuh yang halus dan sensitif. Sapuan ‎steroid juga perlu jauh dari bahagian mata, kerana boleh menyebabkan glaucoma (rabun mata yang boleh mengakibatkan buta) atau cataract (selaput mata).‎

Steroid bersifat immunosuppressive, iaitu mengurangkan tindakbalas sistem kekebalan tubuh. ‎Penggunaan steroid tanpa diiringi dengan anti-biotik atau ubat anti-kulat, boleh menyebabkan ‎timbul gejala lain pada kulit, seperti jangkitan kulat atau bakteria. ‎

Dan lagi, penggunaan steroid yang kuat pada bahagian tubuh yang luas akan di serap oleh sistem ‎tubuh, dan keadaan ini boleh menganggu atau menjejaskan sistem dalaman tubuh. ‎

Secara amnya, penggunaan corticosteroid di anggap selamat jika digunakan pada jangkamasa ‎singkat atau sederhana bagi tujuan mengawal rebakan eczema. Bila terkawal, perlu di tukar kepada ‎penggunaan krim pelembab. ‎

3    Sapuan Immunosuppressant

Di samping krim pelembab dan steroid, terdapat juga sapuan immunosuppressant bagi merawat keparahan eczema. Sapuan immunosuppressant adalah ubatan yang baru. Apabila ‎eczema menjadi kronik, dan rawatan-rawatan lain tidak berkesan, maka sapuan ‎immunosuppressant digunakan. Ia didapati berkesan menumpulkan tindakbalas sistem kekebalan ‎tubuh terhadap eczema, dengan demikian memberi ruang kepada kulit untuk sembuh.

Sapuan ‎immunosuppressant seperti pimecrolimus, tacrolimus, ciclosporin, azathioprine dan methotrexate. Penggunaannya perlu di bawah perhatian rapi doktor pakar kulit kerana ia memberi kesan sampingan. ‎

4    Rawatan Gatal-Gatal Kulit

Ubat anti-gatal-gatal, atau anti-histamine, juga digunakan untuk mengurangkan gatal dan bengkak ‎akibat selalu di garu pada bahagian yang dijangkiti eczema. Ubat-ubat anti-histamine juga memberi ‎keselesaan pada pesakit, terutama di waktu malam di mana gatal-gatal selalu menyerang. ‎

Ubat-ubat anti-histamine yang sering berada di pasaran seperti promethazine (phenergan), ‎diphenhydramine (benadryl), hydrocortisone, atau capsaicin. ‎

5    Kaedah Permakanan

Pada setengah individu, ada sesuatu bahan makanan yang boleh mendatangkan allergi padanya sehingga ‎menyemarakkan eczema. Telur mungkin didapati boleh menimbulkan eczema pada seseorang, dan ‎menghindari memakannya dapat menghalang timbulnya eczema. Namun, kaedah yang ‎berkesan di segi permakanan bagi menanggani atau merawat eczema sepenuhnya, masih tidak pasti. ‎

Oleh kerana punca sebenar timbulnya eczema sentiasa samar, permakanan supplemen multi ‎vitamin dan zat gizi, mungkin dapat membantu tubuh meningkatkan kesihatan kulit dan ‎peredaran darah.‎

Supplemen seperti probiotic mungkin juga baik untuk di minum bagi mengurangi eczema. Probiotik adalah mikro-‎organisma hidup, seperti bakteria lactobacillus yang terdapat dalam yogurt. Bagi warga berusia ‎probiotik mungkin tidak begitu berkesan, tetapi banyak lapuran menyatakan bahawa terdapat jenis bakteria ‎probiotik yang berkesan mengurangi eczema pada kanak-kanak. ‎

Supplemen-supplemen lain seperti: Vitamin B-kompleks membantu kesegaran, pembiakan dan jangka hayat sel-sel tubuh, ‎kekurangan vitamin ini dikaitkan dengan masalah kulit (dermatitis).‎ Vitamin E melembabkan kulit dan mengurangkan gatal-gatal. ‎Vitamin C beserta "bioflavonoids" menghalang keradangan kulit dan menstabilkan selaput sel. Zat gizi zinc dan iodine membantu kesembuhan dan fungsi sistem kekebalan tubuh. ‎

Asid lemak mustahak (EFA) seperti Omega-3 dari minyak ikan, minyak flaxseed, minyak herbatus ‎sauda (jintan hitam), mungkin membantu. ‎ Sapuan minyak Evening Primrose boleh membantu mengurangkan rekahan dan luka pada kulit.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...