0

Tuesday, March 4, 2014

Tembikai Baik Untuk Tumbesaran dan Syahwat !!!

Tembikai | Makanan Menyihatkan


Tembikai atau Timun Cina di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Semangka di Indonesia, Watermelon, nama botani Citrullus lanatus (thunb.). Tembikai tergolong dalam keluarga pepohonan Cucurbitaceae. Pohonnya menjalar merembat (memanjat dan melata), dikategori pohon jenis berbunga. Dipercayai berasal dari Afrika Selatan. Kini tumbuh hampir di serata pelusuk dunia, menjadi salah satu tanaman komersial popular didunia. Terdapat lebih dari 1,200 varieti tembikai; berbeza saiz buahnya, kemanisan isinya, dan juga warna isinya dari merah, oren, kuning dan putih.

Disebutkan oleh Al-Thabrani dalam kitab Al-Mu`jam Al-Ausath dan juga Al-Hakim, Anas ra menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengambil kurma masak dengan tangan kanan dan tembikai dengan tangan kiri. Baginda lalu menyantap kurma dan juga tembikai, salah satu buah yang Baginda gemari. (Hadis disahihkan oleh Al-Suyuthi)

Dari Ibnu Abbas ra, Rasulullah SAW bersabda: “Tembikai adalah makanan, minuman dan raihan (tanaman harum), mencucikan pundi kencing, membersihkan perut, memperbanyak air punggung (tulang belakang), membantu bercampur (gaul suami-isteri), mencerahkan kulit dan mengatasi kelemahan.” (Kitab Ath-Thibbun Nabawi)

Nutrien Tembikai 


Purata, diukur dari berat buahnya, tembikai mengandungi 6% gula dan 91% air.

Tembikai kaya dengan kandungan air, rendah kalori (kira-kira 30 kalori/100g) dan lemak. Namun, kaya dengan zat-zat gizi electrolyte, zat-zat phyto dan zat-zat anti-oksidan. Semuanya penting dan menyihatkan tubuh. 

Vitamin 

Tembikai mengandungi beberapa jenis vitamin seperti vitamin A, C, E, K dan B-Kompleks.

Vitamin A. Tembikai kaya dengan vitamin A. Setiap 154g isi segar membekalkan 876IU atau 18% dari kadar keperluan harian vitamin A. Vitamin A bermanfaat menyihatkan mata dan penglihatan, memelihara selaput lendir/lembab dan kulit, dan mengutuhkan sistem kekebalan tubuh. Memakan buah-buahan yang kaya vitamin A dapat membantu melindungi tubuh dari risiko kanser paru-paru dan rongga mulut/tekak.

Tembikai turut mengandungi zat phyto flavonoid atau pigmen karotenoid anti-oksidan seperti lycopene, beta-karotin, beta-cryptoxanthin lutein + zeaxanthin. Malah lebih baik dari tomato: setiap 100g tembikai segar membekalkan 4532µg lycopene, manakala tomato hanya 2573µg. Jenis-jenis anti-oksidan tersebut dapat melindungi sel-sel dan struktur-struktur dari radikal bebas selanjutnya dari kanser kolon, prostat, payudara, rahim, paru-paru, dan pancreas.

Tembikai sarat dengan lycopene, sejenis anti-oksidan yang melindungi jantung, prostat dan kulit. Beberapa kajian menunjukkan bahawa lycopene dapat melindungi kulit dari pancaran UV yang boleh merosakkan kulit. Lycopene bersifat larut lemak, bererti memerlukan lemak untuk penyerapannya kedalam tubuh.

Vitamin C. Seperti kebanyakan buah, tembikai juga kaya dengan vitamin C. Setiap 154g isi tembikai yang segar membekalkan 12.5mg atau 21% dari kadar keperluan harian vitamin C. Vitamin C menyihatkan kollagen, dan terlibat secara lansung dalam proses penghasilan kollagen. Kollagen merupakan komponen utama pada serat-serat tisu yang saling terhubung; seperti kulit, tendon, ligamen, cartilage, jantung, cornea mata, tulang, gigi, usus, saluran-saluran darah, bahkan pada setiap bahagian tubuh. Semuanya terikat rapi mendirikan seluruh tubuh. Justru, adalah menjadi syarat utama menyihatkan kollagen agar struktur tubuh sentiasa utuh.

Vitamin C membantu sistem kekebalan dengan memperbanyak penghasilan sel-sel kekebalan. Vitamin C banyak terdapat pada sel-sel kekebalan, dan sangat cepat dipergunakan apabila berlaku serangan atau jangkitan mikro-organisma.

Vitamin C adalah salah satu ahli dari keluarga anti-oksidan. Ia mempunyai peranan besar menggempur radikal bebas dan menjauhi tubuh dari risiko kanser. Kajian mendapati tembikai memiliki nilai anti-oksidan (nilai ORAC) yang kuat, sebanyak 142µmol TE/100g.

Vitamin C juga adalah anti-keradangan. Vitamin ini berperanan melindungi sendi-sendi tulang, kulit dan sebagainya. Membantu tubuh merawat dan menghalang keradangan dari terus merebak menjadi kronik. Melawan sebarang penyakit yang disebabkan keradangan; seperti arthritis, fibromyalgia (keadaan lemah berpanjangan seluruh tubuh terutama pada bahagian sendi-sendi, otot-otot, tendon, dan tisu-tisu lembut penghubung tulang), kelesuan melampau dan sebagainya.

Vitamin B-Kompleks. Turut hadir dalam tembikai ialah vitamin B-kompleks dan jenis-jenis vitamin dalam keluarga vitamin B yang lain.

Zat Gizi  

Tembikai turut mengandungi beberapa jenis zat gizi seperti kalsium, manganese, besi, fosforus, magnesium, zinc, tembaga, selenium, dan potassium.

Potassium (K) adalah komponen yang sangat penting kepada sel-sel dan cecair tubuh. Zat ini membantu mengawal rentak nadi/denyut jantung dan tekanan darah. Menyumbang kepada perlindungan terhadap strok dan penyakit jantung.

Magnesium (Mg) sangat penting untuk urusan metabolisma tubuh. Mg bertindak sebagai faktor gandingan kepada lebih dari 300 jenis enzim. ‎Antara manfaatnya; menumpatkan tulang, menghasilkan tenaga, mengawal kadar gula dalam darah, memelihara kesaimbagan sistem saraf dan mengurangkan tekanan darah tinggi.

Manganese (Mn) merupakan faktor gandingan yang perlu bagi mengaktifkan tindak-tanduk aneka jenis enzim bagi menguruskan berbagai metabolisma dalam tubuh. Mn juga sangat penting untuk organ-organ dalaman tubuh, seperti; memelihara otak agar kekal berfungsi secara normal, dan aktiviti sistem saraf seluruh ‎tubuh terpelihara dengan baik; ‎membantu menghasilkan enzim untuk pembinaan dan pembentukan tulang yang normal, membantu menumpatkan tulang kerangka, terutama tulang belakang.

Tembaga (Cu) merupakan komponen kepada berbagai jenis enzim yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri. Berperanan dalam pelbagai proses tumbesaran tubuh yang normal, sejak diperingkat janin, dan kanak-kanak sedang membesar. Tindak-balas enzim-enzim lebih aktif dan berkesan, apabila tembaga bekerjasama dengan zinc dalam nisbah yang saksama. 90% tembaga berada dalam darah. Maka, tembaga membantu penggunaan zat besi dengan lebih berkesan; justru mengelak dari anemia. Tembaga sebagai ejen penghapus radikal bebas. 'Superoxide dismutase' (SOD) adalah enzim yang bergantung kepada zat tembaga, bertindak sebagai penggalak kepada penyirnaan radikal 'superoxide' dari tubuh.

Manfaat Istimewa Tembikai 


1      Meransang Tumbesaran.  Tembikai adalah makanan yang boleh meransang hormon tumbesaran (HGH/human growth hormone).

HGH juga dikenali sebagai somatotropin, iaitu hormon peptide (molekeul yang mengandungi 2 atau lebih asid amino) yang dihasilkan dibahagian hadapan kelenjar pituitari. Pelepasan HGH dikuasai oleh bahagian tengah otak yang kenali sebagai hypothalamus.

HGH berperanan besar dalam tumbesaran seluruh bahagian tubuh yang melibatkan tisu, otot, tisu penghubung (tendon, ligament, tulang dll), baik-pulih organ, sistem dan fungsi organ, urusan metabolisma, dan fungsi otak dan jantung.

Kekurangan HGH boleh melembabkan tumbesaran kanak-kanak. Ketinggian tubuh berkurangan, walaupun tidak begitu ketara sewaktu usia 2-3 tahun. Meskipun perkembangan tumbesaran tubuh dan kecerdikan berfikir tampak normal, namun wajahnya nampak lebih muda dari usia, kadangkala tubuh lebih gemuk dari biasa, akil baligh juga lambat.

Pengeluaran HGH dari kelenjar pituitari menjadi berkurangan apabila usia meningkat. Kajian menunjukkan individu yang melewati usia 18-25 tahun akan mengalami kekurangan kira-kira 50% bagi setiap 7 tahun. Ketinggin terhenti, selera berubah dan sikap hidup, kurang tidur, tulang semakin rapuh, lemak berkumpul terutama dibahagian tengah tubuh atau diperut, juga kurang daya pengecaman, keutuhan dan kekuatan otot.

Tembikai mengandungi 3 jenis asid amino dalam kadar yang tinggi, bertindak meransang dan menambah kadar HGH: Arginine, Ornithine dan Lysine.

Arginine.   ‎ ‎ ‎Para pengkaji USDA dan kajian yang disiarkan dalam Journal of Nutrition, March 2007, melapurkan bahawa dengan memakan tembikai akan meningkatkan lagi kadar asid amino arginine dalam darah. Zat yang bertanggungjawab meningkatkan lagi kadar Arginine dalam darah dikenali sebagai 'Citrulline'. Tembikai mengandungi zat phyto citrulline dalam kadar yang tinggi. Citrulline lebih pekat dalam isi kulit putih/rind yang selalunya dibuang tidak dimakan. Zat ini digunakan oleh tubuh bagi menghasilkan asid amino Arginine. Apabila tembikai dimakan, citrulline ditukar menjadi arginine melalui tindakan enzim tertentu. Purata, isi tembikai mengandungi 1.5mg citrulline setiap gram.‎ ‎ ‎Pengambilan 1kg isi tembikai akan membekalkan citrulline yang mencukupi bagi menghasilkan 40% dari kadar harian Arginine (3.8g) orang dewasa.   ‎ ‎ ‎

Ornithine.  Disamping itu, kadar Ornithine dalam darah juga meningkat kira-kira 18%.‎ ‎Ornithine adalah asid amino yang tidak tergolong sebagai proteinogen (bahan binaan protein). Ia bertindak sebagai perantara (sepertimana asid arginine dan asid citrulline) dalam kitaran urea dalam tubuh.
 ‎ ‎ ‎
Lysine.  Lysine mempertingkat tumbesaran dan pertumbuhan tulang, terutama pada bayi dan kanak-kanak. Lysine membina tisu baru, menghasilkan protein untuk tumbesaran dan baik-pulih otot. Lysine juga terlibat dalam pembinaan kollagen pada tisu penghubung, kulit, kartilej dan tulang. Membantu mempertingkat daya pemusatan fikiran dan menambah kesuburan. Kekurangan boleh menyebabkan berbagai komplikasi seperti kurang tenaga, rambut gugur, anemia, terbantut tumbesaran, hilang berat badan, dan sistem peranakan kurang subur/impoten.

2      Meransang Syahwat.  Tembikai didapati bermanfaat mencegah dari mati pucuk/erectile dysfunction, menurunkan tekanan darah tinggi, membasmi racun dalam tubuh, dan mempertajam kepekaan insulin.‎

Kajian terbaru dari Texas A+M Fruit and Vegetable Improvement Center di College Station mendapati, tembikai memiliki zat-zat phyto alami yang mampu meransang tindak-balas dalaman tubuh dan melegakan saluran darah, memberi kesan sepertimana yang dihasilkan oleh Viagra.

Arginine adalah asid amino yang digunakan oleh lapisan sel dalam saluran darah bagi meransang penghasilan nitric oxide (juga dikenali sebagai NO, nitrogen monoxide, nitrogen oxide). Nitric oxide bertindak melegakan saluran-saluran darah, tindakan yang sama dihasilkan oleh Viagra bagi meningkatkan syahwat, merawat lemah tenaga batin dan mungkin bermanfaat bagi mencegah dari mati pucuk/erectile dysfunction pada kaum lelaki. 

Tembikai tidak menanggani saluran darah secara khusus sepertimana Viagra, tetapi ia meransang kelegaan saluran-saluran darah secara alami tanpa kesan sampingan ubat-ubatan. Meskipun banyak faktor-faktor lain yang menjadi punca mati pucuk atau lemah tenaga batin, namun lebihan nitric oxide boleh membantu pertambahan pengaliran darah untuk meningkat tenaga batin, samada untuk kaum lelaki mahupun wanita.
Arginine bukan sahaja baik untuk tumbesaran dan menambah syahwat, ia juga memantapkan jantung dan sistem pengaliran darah dan meneguhkan sistem kekebalan tubuh. Ia mempertingkat pengaliran darah keseluruh sistem tubuh, membantu merendahkan tekanan darah tinggi, angina (sakit ulu hati) dan lain-lain masalah pengaliran darah ke jantung. 

Arginine juga membantu kitaran urea dengan cara membasmi ammonia dari otot-otot yang lemah, menyegarkan kembali otot-otot, dan menghakis bahan-bahan beracun yang lain dari tubuh.
Arginine didapati dapat memperbaiki kepekaan insulin terhadap penolakan insulin yang dialami oleh pesakit Kencing Manis Jenis 2.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...