Sebuah hadits dari Rasulullah SAW menceritakan dosa-dosa yang menjadi penyebab turunnya bala dari Allah SWT. Hadits diriwayatkan oleh
At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib.
Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): "Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka
ditimpa bencana/bala/siksaan." Maka bertanya seorang sahabat, "Apakah (15 perkara) itu, ya Rasulullah?” Maka Baginda bersabda:
1 Apabila harta rampasan perang (maghnam) dianggap sebagai milik sendiri, diagihkan kepada orang-orang tertentu sahaja.

Rampasan perang adalah milik Allah dan rasul; seperlima untuk Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil.
Sejarah islam dirantau kepulauan Melayu melawan kaum kafirin belum pernah timbul isu harta rampasan perang.
2 Apabila amanat (barang amanah) dijadikan sebagai rampasan.

Riwayat dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:“3 perkara, barangsiapa ada pada 3 perkara itu, maka dia itu orang munafiq, walaupun ia berpuasa, mengerjakan solat dan mendakwa ia islam, iaitu: apabila berbicara, ia berdusta; apabila berjanji, ia menyalahi janji; dan apabila dipercayai, ia berkhianat.” (HR Bukhari-Muslim)
3 Apabila zakat dianggap sebagai cukai (denda).

Baitulmal, pemegang zakat juga memikul amanat berat, perlu pro-aktif, bagi memastikan tujuan-tujuan murni zakat dapat dicapai sebaik mungkin. Jangan sampai ramai warga islam masih mengemis, ramai yang terpaksa tidur dibawah jambatan, ramai yang terpaksa meminjam 'along' untuk menyelesai masalah kehidupan, ramai balu yang membesarkan anak-anak terpaksa merintih belas ihsan bagi meneruskan kehidupan. Baitulmal pasif, tidur dalam senyuman kerana banyak wang dan harta yang terkumpul, penyalahgunaan dan perbelanjaan tidak pada jalan yang hak dan diredzai, boleh ditakrifkan sebagai syaitan-pencuri yang mencuri harta zakat (harta orang-orang yang berhak menerimanya).
4 Apabila suami dikuasai/tunduk kepada isteri.


Isteri yang baik, yang beriman dengan Allah, tahu nikmat dan azab dari Allah akan terdidik mentaati hukum Allah dan nasihat Rasul. Dari Anas ra, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang 5 waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia suka.” (HR Ahmad)
Beberapa hadits lain boleh juga dijadikan renungan dan panduan.
Dalam satu kisah Rasulullah SAW dan para sahabatnya melakukan solat gerhana dengan solat yang panjang. Rasulullah SAW melihat Syurga dan Neraka. Ketika Baginda melihat neraka, Baginda bersabda kepada para sahabatnya: “ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya:“Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi: “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab: “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata: ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (HR Imam Al-Bukhari)
“Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.” (HR Nasa’i)
“Wanita yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebab (berlandaskan syar’ie) maka haram baginya mencium wangi syurga.” (HR Abu Daud dan At-Tirmizi )
“ …dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta; mereka tidak masuk syurga dan tidak mendapatkan wangi syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (HR Muslim dan Ahmad)
5 Apabila seorang anak bersikap kasar terhadap ibu sendiri.
6 Apabila seorang anak lebih memuliakan rakan dari ibu sendiri.
7 Apabila seorang anak bersikap kasar kepada bapa sendiri.

Rasulullah SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kamu tentang dosa yang paling besar? iaitu menyekutukan Allah dan durhaka kepada kedua orang tua.” (Sahih Bukhari dan Muslim)


Rasulullah SAW bersabda, "Semua dosa ditunda (siksanya) oleh Allah semahuNya hingga hari Kiamat kecuali durhaka kepada orang tua. Sesungguhnya dosa durhaka disegerakan (siksanya) bagi pelakunya” (Diriwayatkan Hakim dari hadits Abu Bakar dengan sanad yang baik).
Sewaktu peristiwa israk mikraj, Rasulullah SAW bersabda “Pada malam ketika aku diisra’ kan aku melihat beberapa kaum yang bergelantungan pada dahan-dahan dari api. Aku bertanya, "Wahai Jibril, siapakah mereka itu?” Jibril menjawab, “Mereka adalah orang-orang yang mencaci ayah dan ibu mereka di dunia.”
8 Apabila riuh pikuk dalam masjid.

Masjid adalah rumah Allah, merupakan tempat ibadat orang-orang islam; tempat pendidikan agama Islam; tempat sesuatu majlis perayaan yang berkaitan dengan agama Islam; tempat syarahan atau ceramah agama yang dibenarkan; pusat penyebaran dakwah, maklumat, dan peraturan agama; tempat mengadakan mesyuarat atau perjumpaan berkenaan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan kegiatan keagamaan.
Masjid bukan tempat berkempen politik atau perbincangan politik kepartian atau apa-apa isu yang boleh membawa kepada perpecahan ummah. Bukan juga tempat mencetuskan perpecahan ummah dan membuat bising dan keributan di dalam masjid (yang bertentangan dengan syari’ah).
9 Apabila pemimpin orang rendah martabatnya/krisis moral.
10 Apabila seseorang dihurmati dan dimuliakan kerana ditakuti kuasa kejahatannya.

Dari Ubadah Shamit, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan dipimpin oleh para pemimpin yang memerintah kamu dengan hukum yang tidak kamu ketahui (imani). Sebaliknya, mereka melakukan apa yang kamu ingkari. Sehingga terhadap mereka ini tidak ada kewajiban bagi kamu untuk mentaatinya.” (HR Ibnu Abi Syaibah)


Para pemimpin diktator (kejam).... Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seburuk-buruknya para penguasa adalah penguasa al-huthamah (diktator).” (HR. Al-Bazzar). Pemimpin al-huthamah (diktator) adalah pemimpin yang menggunakan politik tangan besi terhadap rakyatnya.
Dari Abu Layla al-Asy’ari, Rasulullah SAW bersabda: “Dan berikut adalah para pemimpin jika mereka diminta untuk mengasihani (rakyat), mereka tidak mengasihani; jika mereka diminta untuk menunaikan hak (rakyat), mereka tidak memberikannya; dan jika mereka disuruh berlaku baik (adil), mereka menolak. Mereka akan membuat hidup kamu dalam ketakutan; dan memecah-belah tokoh-tokoh kamu. Sehingga mereka tidak membebani kamu dengan suatu beban, kecuali mereka membebani kamu dengan paksa, baik kamu suka atau tidak. Serendah-rendahnya hak kamu adalah tidak mengambil pemberian mereka, dan tidak menghadiri pertemuan mereka.” (HR. Thabrani).
11 Apabila meminum arak leluasa dan menjadi kebiasaan.

Dari Anas ra Rasulullah SAW bersabda: "dalam hal arak ada 10 orang yang dilaknat oleh Allah SWT: pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayar dan pemesannya." HR Ibnu Majah dan at-Tarmizi
Meminum khamr termasuk salah satu dosa besar. Khamr adalah induk segala kejahatan. Orang yang mabuk akan hilang kendali kesadarannya. Hadis riwayat Tabrani dari Abdullah bin Umar: “Khamr adalah ibu kejahatan dan terbesar dosa-dosa besar dan barangsiapa meminum khamr, maka akan meninggalkan solat dan terjatuh (menggauli) ibu dan bibinya.’’ Nabi SAW juga menggambarkan orang yang meminum khamr ibarat orang yang menyembah berhala, artinya telah hilang Islamnya. (HR Ibnu Majah dari Abu Hurairah).
12 Apabila sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki.

Dalam hadits-hadits dari Umar Khattab ra, Anas ra, dan Abu Musa Al Asy’ary ra, Rasullulah SAW bersabda: "Sesiapa (lelaki) yang memakai sutera di dunia, ia tidak akan dapat memakainya lagi di akhirat." (HR Bukhari dan At Tarmidzi)
Ali bin Abu Talib ra berkata: "Rasulullah SAW mengambil sutera, ia letakkan di sebelah kanannya, dan ia mengambil emas kemudian diletakkan di sebelah kirinya, lantas ia berkata: Sesungguhnya 2 benda ini haram buat lelaki dari umatku." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah). Tetapi Ibnu Majah menambah: "halal buat orang-orang perempuan."
13 Apabila artis/biduan menjadi pujaan.
14 Apabila musik banyak dimainkan.


Namun kini, penyanyi dan penari wanita muncul bagaikan bidadari melalui akademi fantasia, dan pelbagai program realiti sehingga menjadi sanjungan, penghambatan, dan 'glamour' dalam bisnes hiburan. Keterlaluan sehingga nyanyian, tarian sensual, spara bugil dan dangdut menghairahkan.
Kecanggihan teknologi melahirkan berbagai macam alat musik dari yang tradisional (akustik) hingga yang modern (elektrik). Alat-alat musik dan konsert semakin leluasa dan menjadi kebanggaan.
Penonton menjadi peminat yang memuja para artis diserata pelusuk negara. Arus perdana ini semakin tidak memperdulikan hukum islam dan larangan Allah SWT.
15 Apabila generasi kini/muda mengutuk generasi awal/tua.

Melihat sejarah politik di negara kita maka terlihat bagaimana generasi muda (berbagai gerakan) mula mengecam, memaki, melaknati para pemimpin terdahulu negara ini. Jika cercaan datang dari kaum kafir, ini boleh difahami kerana memang bagaikan suatu sumpahan kaum kafirin sentiasanya tidak menyenangi orang-orang islam sehingga bersetongkol dengan mereka.
Perlu diingat bahawa tanpa usaha generasi awal takkan berkembang maju generasi kini. Mereka yang membia landasan kepada kemajuan generasi muda. Segala ikhtiar dan ikhtibar adalah dari generasi awal; yang tidak baik dijadikan sempadan, yang baik dikekalkan.
Apabila telah berlaku perkara-perkara tersebut diatas, maka tunggulah sehingga datangnya malapetaka berupa angin taufan merah gempa bumi, tanah jerlus, kemanusiaan hilang (bersifat seperti binatang). Dalam hadith riwayat Abu Hurairah mengenai hal ini terdapat tambahan
seperti berikut..."dan (qazafan) tembakan, lontaran serta tanda-tanda lain yang datang secara berturut-turut bagaikan butir manik
yang terputus benangnya dan jatuh bertubi-tubi satu lepas satu”.(HR. Tirmidzi, 2136)
No comments:
Post a Comment