0

Monday, November 25, 2013

Orang Yang Arif

Petikan dari kata-kata Ibnu Sina (980-1037) tentang 'orang yang arif';‎
Orang yang arif mempunyai kedudukan dan darjat yang istimewa dalam kehidupan di ‎dunia ini. Jiwanya bebas dari ikatan raganya, dan membumbung tinggi menuju alam yang qudus. ‎Dalam dirinya ada sesuatu yang tersembunyi, tetapi dari dirinya timbul sesuatu yang nyata. ‎

Orang yang arif hanya punya satu tujuan saja, iaitu mendekati ‘Alhaqqu Awwalu’ ‎kebenaran pertama. Sekali-kali tidak mempunyai tujuan lain. Dan tidak satu pun yang dapat ‎mempengaruhinya. Dia beribadat hanya kepada satu saja, yakni Kebenaran. Kerana Dia hanya ‎yang mustahak buat diibadati. Hubungan dengan yang Esa itu semata-mata hubungan kemuliaan, ‎bukan kerana harap (raghban) dan bukan pula kerana cemas (arhaban).‎

Orang yang arif selalu gembira, senyum dan jernih mukanya. Dia berlaku hormat kepada ‎orang kecil sebagaimana hormatnya kepada orang besar, kerana dia tawadu’, dapat ‎mendudukkan dirinya. Dihadapinya orang tiada terkenal sama dengan menghadapi orang ‎istimewa. Betapa wajahnya tiada jernih, padahal hati sanubarinya sendiri yang telah gembira ‎sejak dia mengenal kebenaran, dan di mana-mana dia melihat hanya satu saja, iaitu Al Haqq, ‎kebenaran. Dia memandang semua sama, kerana semua memang sama. ‎

Orang yang arif tidak mengintip-ngintip dan mencari-cari kelemahan orang, dan tidak ‎tersinggung lekas marah bila melihat yang mungkar, dan jiwanya diliputi rahmat. Dia memandang ‎sirrullah atau rahsia Ilahi yang terbentang dalam qudratNya. Kalau dia menyuruh berbuat ma’ruf ‎‎(kebenaran dan keadilan) selalu dengan lemah lembut, tidak dengan kekerasan dan tidak dengan ‎mencerca. Dan kalau yang ma’ruf itu telah jelas, dia cemburu atasnya dari yang selain ahlinya.‎

Orang yang arif berani. Betapa dia tidak akan berani, padahal dia tidak mengenal lagi ‎akan takut mati.‎ Orang yang arif adalah dermawan. Betapa dia tidak akan dermawan, padahal cintanya ‎tidak lebih lagi sama sekali kepada benda.‎

Orang yang arif adalah pemaaf. Betapa dia tidak akan pemaaf, padahal kemuliaan murni ‎jiwanya lebih tinggi nilai baginya daripada menghubung-hubung kesalahan orang lain.‎

Orang yang arif tidak mengenal dendam. Betapa dia tidak akan berdendam, padahal ‎ingatannya keseluruhannya dipenuhi oleh satu, iaitu mengingati Al Haqq sehingga tidak ada ‎tempat didalamnya buat yang lain.
Justru, nasihat dari Bapak Baginda Muchtar (2/10/1973), bacalah dan cobalah renungkan akan huraian Filasauf Ibnu Sina ini, dan nasihat seterusnya;
Perbaikilah keadaanmu dengan apa yang ada padamu, dan
Perbaikilah keadaan yang di luar badandirimu juga dengan apa yang telah ada padamu.
Kalau dapat memahami betul-betul akan kata-kata tersebut di atas dan dapat pula membawakannya, insyaAllah, segala yang dikehendaki dan diingatkan akan maqbul. Ketahuilah olehmu bahawa dalam diri itu ada sesuatu yang tersembunyi, dan pada ilmu yang telah ada padamu itu, apa sesuatu yang tersembunyi itu telah menjadi kenyataan bagimu sendiri, kerana dia itu terbitnya atau timbulnya dari dirimu sendiri yang engkau sendiri telah dapat merasakannya.....Dan awas, jangan lupa pada diri sendiri dan jangan lupa pada akumu. Segala sesuatunya, lakukanlah dengan sabar dan tenang, jauh dari takabbur dan sombong!
________________________________________

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...