0

Thursday, November 7, 2013

Ada Apa Pada Betik ?

Asal Betik

Betik, nama lain ialah papaya (America Utara, Belize, United Kingdom), papaw/paw paw ‎‎(Australia, Afrika, United Kingdom), Papiitaa (India), Papaiya, Papaya, Popoo (Jepun), ‎Pappali (Tamil), Loko, Ma Kuai Thet, Malako, Malakor, Sa Kui Se (Thai) atau Mamao (Brazil). ‎Betik adalah buah dari pohon Carica papaya, satu-satunya spesis dari genus Carica dari kerabat pepohonan ‎Caricaceae.
 ‎
Pohon betik berasal dari negara-negara Amerika tropika, dipercayai persekitaran Mexico Selatan (terutama Chiapas dan Veracruz), Amerika Tengah, dan Amerika Selatan. Pelayar, peneroka ‎Sepanyol dan Portugis telah membawa spesis betik ke Eropah pada tahun 1500an. Dari sana, betik ‎terus tersebar ke negara-negara sub-tropika yang mereka (Sepanyol dan Portugis) tempuhi, termasuk Afrika, India, ‎Filipina, Indonesia dan Malaysia. Christopher Columbus menggelarnya 'buah para malaikat' (the fruit of the ‎angels). Dalam abad 20an, betik di bawa ke Amerika Syarikat di tanam di Hawaii, kemudian ‎Barbados dan Jamaica dalam tahun 1911. ‎

Berbagai variety betik kini tumbuh bertaburan di kebanyakan negara-negara tropika dan subtropika. ‎Harini, pengeluar terbesar secara komersial ialah Amerika Syarikat, ‎Mexico dan Puerto Rico. ‎


Jenis, Varieti Betik

Betik terdapat dalam banyak jenis dan varieti yang boleh menjadi pilihan. Setiap jenis dan varieti berbeza dari segi saiz, rupa, bentuk dan rasa. ‎

2 jenis betik yang mengusai pasaran dunia harini: Mexico dan Hawaii. Pohon betik varieti Mexico meninggi sehingga10 meter. Varieti ini lebih mudah tumbuh dari varieti Hawaii. Buahnya lebih besar sehingga 45 sm bila matang, berbanding 16 sm varieti Hawaii. Isinya kuning, oren atau ‎merah muda. Baunya kurang semerbak berbanding varieti Hawaii, tetapi rasanya tetap enak dan ‎menyegarkan.

Varieti Hawaii kerap di jual di supermarket. Berbentuk seperti buah pear, berat sekitar 0.5 kg dan kulit kuning apabila masak. ‎Isinya manis semerbak, samada oren terang atau merah muda. Varieti Hawaii lebih mudah di tuai kerana tinggi pohonnya jarang melebihi 2.5 meter. ‎

Di Malaysia, terdapat beberapa varieti betik tempatan yang dibiak-baka dan juga beberapa varieti yang ‎di import dari luar negara. Betik yang diperolehi dari beberapa varieti tempatan yang terpilih seperti Batu Arang, Morib, ‎Subang 6, Taiping 3, Serdang 1 dan Sitiawan mempunyai isi yang bewarna merah. Isinya pejal, ‎mantap. Jenis-jenis ini ‎mempunyai buah yang besar dan membujur panjang. Berat dalam lingkungan 1-3 kg. ‎

Jenis-jenis dari luar negara yang dibiak-baka, antaranya ialah Sunrise Solo dan Honey Dew. Betik Solo (atau betik Hong Kong, betik panjang, betik sekaki), berbentuk panjang ‎dan mempunyai saiz dan bentuk yang sama di antara pangkal dan hujungnya. Jenis ‎kacukan Sunrise Solo dengan jenis tempatan Subang 6 dari MARDI seperti Eksotika 1 dan Eksotika ‎‎2. Betik Eksotika ialah antara yang popular dengan isinya yang semerbak, merah kekuningan dan ‎kandungan gula yang tinggi. Beratnya antara 600 gm -800 gm.‎

Nutrien Betik

Betik merupakan pohon berbuah yang tidak bermusim. Boleh di perdapat sepanjang masa.‎

Betik biasanya di makan segar. Apabila cukup masak/ranum, mempunyai isi yang lembut, manis ‎dan menyegarkan.

Makanan ini sangat rendah lemak tepu, kolesterol dan sodium. Ia ‎juga mengandungi air, protein, serat, zat besi, fosforus, kalsium, magnesium, manganese, ‎zinc, vitamin C, B-kompleks, E, K dan zat-zat phyto lain. ‎

Menurut rating dunia, betik merupakan sumber vitamin C dan A  yang unggul. ‎Folate dan potassium sangat baik. Serat makanan, vitamin E dan K juga baik. ‎












Betik ranum boleh juga dijadikan jus minuman, bahan dalam puding, dan jelly.

Betik matang yang ‎belum masak boleh juga di halwa, di jeruk atau di masak sebagai sayur.

Pucuk daun betik di celur ‎untuk dijadikan ulam di makan bersama sambal; daunnya juga berkhasiat mengandungi dekstros, ‎karbohidrat, serat dan kalsium.‎

Manfaat Betik 

1         Betik | ‎ Anti-Oksidan, Anti-Kanser.

Betik unggul kandungan vitamin C. Beberapa varieti betik juga unggul kandungan vitamin A‎‎ (dari kepekatan pemula vitamin A, jenis zat phyto karotenoid seperti beta-karotin, lutein dan zeaxanthin). Betik juga mengandungi vitamin E yang baik.

Vitamin C, A, E dan B-kompleks, menjadikan betik mempunyai nilai anti-oksidan yang amat berkesan bagi menyirna radikal bebas yang sentiasa mengancam kesihatan tubuh. Radikal bebas, jika tidak ditanggani dengan anti-oksidan, akan merusak DNA sel yang normal ‎dan merubah fungsi sel-sel menjadi sel kanser. Radikal bebas juga merusak sel-sel, tisu-tisu, dan otot-otot tubuh yang boleh menjejaskan fungsi-fungsi dalaman dan seterusnya membawa akibat kepada berbagai penyakit kronik.‎

Zat flavonoid ‎beta-karotin, lutein, ‎zeaxanthin, cryptoxanthin juga bertindak sebagai anti-oksidan dan anti-kanser. Zat-zat tersebut melindungi organ paru-paru, kolon dan rongga mulut dari kanser. Serat betik mampu  menambat toksin yang menjadi penyebab kanser kolon, dan melindungi sel-sel kolon dari bahan beracun. Kajian menunjukkan makanan yang mengandungi karotenoid berperanan utama mengurangkan kesan sampingan akibat dari penyakit seperti penyakit jantung, kemerosotan sistem kekebalan tubuh, cataracts (selaput mata), kanser paru-paru, usus dan rahim. Berganding dengan Vitamin C, Vitamin E, peranan alpha-kerotin dan beta-karotin lebih berkemampuan untuk menyembuh penyakit, mempertingkat kesihatan tubuh pada keseluruhannya, dan menambah usia.

Vitamin C, pemula vitamin A (beta-karotin) dan E juga berperanan menyegerakan kesembuhan dari penyakit, pada luka dan kecederaan dalam dan kulit tubuh, dan melambatkan proses penuaan.

Vitamin C juga merupakan unsur utama yang diperlukan oleh tubuh bagi ‎menghasil dan menyihatkan kolagen iaitu sejenis protein utama yang terdapat di ‎setiap bahagian tubuh seperti kulit, tulang, tendon, ligamen, kartilej, saluran-saluran darah dll. ‎Kolagen yang sihat akan memantapkan keadaan seluruh tubuh. ‎

Betik kaya lycopene, jika diamalkan memakan bersama dengan teh hijau (Green Tea) boleh mengurangkan risiko kanser prostat bagi kaum lelaki, demikian hasil ujikaji yang dilakukan keatas pesakit kanser prostat, yang disiarkan dalam jurnal Asia Pacific ‎Journal of Clinical Nutrition.  

2       Betik | Sistem Kekebalan

Vitamin C dan vitamin A dari beta-karotin dalam betik adalah 2 jenis vitamin yang diperlukan bagi memelihara fungsi sistem kekebalan tubuh yang utuh. Betik dengan demikian merupakan pilihan buah yang bermanfaat bagi mencegah berbagai jenis penyakit.   ‎

3         Betik | Melindungi Jantung

Betik, bukan saja enak dan menyegarkan apabila di makan, bahkan kaya dengan zat-zat anti-oksidan pemula vitamin A karotin, vitamin C dan flavonoid; vitamin B asid folik dan asid  pantothenik; dan zat gizi  potassium dan magnesium; dan juga serat makanan. Zat-zat makanan ini menyihatkan sistem saluran darah dan jantung (cardiovascular system). ‎

Betik menyumbang kepada perlindungan dari atherosclerosis dan penyakit jantung. Zat-zat makanan tersebut menyumbang kepada pencegahan dari oksidasi kolesterol. Apabila kolesterol beroksidasi, ia akan melekat pada dinding-dinding saluran darah, menggumpalkan plaque, apabila banyak bertompok boleh menyebabkan serangan jantung atau strok. Vitamin E dan vitamin C juga membantu melalui meleraikan plaque melalui reaksinya dengan 'paraoxonase', sejenis enzim yang menghalang kolesterol LDL dan oksidasi kolesterol HDL. ‎Serat makanan betik dilapurkan sangat baik untuk menyumbang menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

Vitamin B asid folik dalam betik diperlukan bagi menukar homocysteine ‎menjadi asid amino seperti  cysteine atau methionine. Homocysteine, jika tidak di tukar, boleh merosakkan dinding-dinding saluran darah. Jika terlalu banyak homocysteine, boleh mengancam jantung, meningkatkan risiko serangan jantung atau strok.

Potassium dalam betik membantu mengatur cecair dalam sel-sel tubuh. Zat ini mengawal aliran darah dengan mengendali tekanan darah, mencegah kesan sodium dalam tubuh, dengan demikian melindungi tubuh dari penyakit jantung.

Enzim fibrin dalam betik juga menghalang darah membeku dalam tubuh. Fibrin juga bertindak sebagai ejen kesembuhan pada luka dalaman dan luaran tubuh.

4         Betik | Menyihatkan Usus

Buah betik, biji-biji, dan daunnya, mengandungi enzim papain yang membantu penghadaman protein. Papain betik juga mengandungi ciri-ciri anti-parasit. Enzim fibrin dalam betik adalah enzim aktif yang juga membantu penghadaman. Betik ‎sering disyorkan bagi mereka yang menghadapi masalah penghadaman makanan, sembelit, sakit/nyeri ulu hati, saluran penghadaman terlalu berasid, ‎sindrom radang usus, ulser perut, dan juga masalah gastrik. Justru, kelaziman memakan betik adalah idea yang baik bagi individu yang menghadapi risiko kanser kolon.   ‎

5         Betik | Melindungi Mata

Menurut satu kajian yang disiarkan dalam Archives of Ophthalmology menyatakan dengan memakan 3 atau lebih sajian buah-buahan setiap hari boleh mengurangkan risiko kemerosotan mata (age-related macular degeneration atau ARMD). ARMD adalah penyebab utama merosot penglihatan pada warga tua. Dalam kajian tersebut, banyak permakanan berupa buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi karotenoid, dan anti-oksidan vitamins A, C, dan E didapati boleh melindungi dari keparahan ARMD dan penyakit yang berkaitan dengan penglihatan dan mata. Dan buah betik mengandungi ciri-ciri yang diperlukan bagi memelihara kesihatan dan perlindungan mata.

6         Betik | Melindungi Dari Rheumatoid Arthritis 

Betik memiliki ciri-ciri anti-keradangan. Kandungan enzim yang meruntuhkan protein yang unik seperti papain dan chymopapain berkesan membantu mengurangkan masalah keradangan dan mempercepat kesembuhan pada luka dan kelecuran. ‎

Di samping itu, zat anti-oksidan seperti vitamin C, vitamin E, dan beta-‎karotin, juga sangat baik bagi mengurangkan masalah keradangan. Individu yang mengalami penyakit seperti asma, osteoarthritis, dan rheumatoid arthritis, lebih parah dengan keradangan. Makanan yang kaya vitamin C vitamin E, dan beta-‎karotin seperti betik boleh memberi perlindungan terhadap penyakit keradangan ‎polyarthritis, sejenis rheumatoid arthritis yang melibatkan 2 atau lebih sendi-sendi tulang. Demikian menurut hasil ujikaji yang dilapurkan dalam Annals of the Rheumatic Diseases. 

7         Betik | Meng-empuk Daging ‎

Buah betik, daun, dan juga bahagian-bahagian pohon yang lainnya, kaya dengan kandungan ‎papain, sejenis enzim protease yang membantu menghadam protein. Enzim ini lebih pekat pada ‎buah muda. Papain diekstrek untuk dijadikan supplemen enzim penghadaman. Papain banyak digunakan dalam ‎penyediaan makanan, khususnya untuk melembutkan daging. Buat masa ini, pengeluar papain ‎secara komersil hanya terdapat di Filipina.‎ Sekarang papain banyak dicampur dalam bentuk serbuk, digunakan dalam penyediaan makanan, ‎khususnya untuk melembutkan daging. ‎

Masyarakat Mexico ‎menggunakan daun betik bukan sahaja untuk melembutkan daging, tetapi juga dijadikan ubat untuk ‎asma dan masalah jantung. Bagaimanapun jika penggunaan daun terlalu banyak juga merbahaya kerana ia boleh menghasilkan toksik.‎

Kesan Sampingan, Allergi

1‎   Getah Betik -  'Papain'  dan ‎‎‘Chitinases’ 
  • Papain terkandung dalam getah betik. Paling banyak dalam buah betik muda. Juga daun dan batangnya. Papain boleh ‎menyebabkan keradangan dan gatal-gatal pada kulit. Boleh menimbulkan reaksi ‎allergi pada setengah orang. Papain kerapkali digunakan dalam krim sapuan untuk kulit dan untuk merawat ulser kencing manis. Papain juga merupakan bahan tambahan dalam krim pelembab (moisturizer), pencuci kulit, perapi rambut (hair conditioner). Bagi mereka yang mengalami ‎allergi getah betik perlu berhati-hati menggunakan produk-produk tersebut. ‎
  • Papain juga di kesan boleh menyebabkan penguncupan pada ‎kandungan (uterus), yang mana berkemungkinan boleh membawa risiko keguguran sekiranya betik muda di makan keterlaluan. 
  • Betik juga mengandungi getah chitinases yang dikaitkan dengan sindrom allergi-getah buah-buahan. Bagi mereka yang ‎mengidap allergi getah, lebih mudah mengalami apabila memakan buah betik. ‎
2‎   Debunga Betik. Beberapa kajian mengaitkan debunga betik boleh menyebabkan gejala allergi. Bagi ‎mereka yang bermasalah pernafasan seperti sesak pernafasan atau asma lebih mudah ‎mengalaminya apabila terdedah kepada debunga betik. ‎

Betik GM/GE (Genetically Modified/Genetically Engineered), Yang Di Ubah-Suai Secara Genetik ‎

Kenapa Betik GM/GE  ?

Suatu fenomena alam sedang berlaku dan kian berlarutan, iaitu kemunculan varieti betik GM (genetically modified) atau juga disebut GE (genetically engineered), ‎betik yang diubaih-suai secara genetik. Bagaimana betik GM/GE ini boleh muncul? ‎

Sekitar 1990an, sejenis penyakit ‘papaya ringspot virus’ (PRSV) telah ‎menyerang, menular, merebak dan memusnahkan hampir seluruh pohon dan buah betik di Hawaii. Industri betik Hawaii lumpuh. Betik adalah industri multi-million untuk USA. Hawaii merupakan tempat perladangan betik secara komersial untuk USA. Maka sangat penting bagi USA mengambil langkah-‎langkah wajar bagi menanggani masalah PRSV tersebut. ‎

Lalu kajian-kajian bio-teknologi giat dijalankan. Akhirnya dalam tahun 1998, para ‎saintis dari Universiti Hawaii menemui kaedah yang di anggap penyelesaian yang terbaik. ‎Mereka mengenal-pasti virus PRSV, seterusnya mengklonkan DNA dalam protein virus tersebut, kemudian mencantumkannya dengan DNA pohon betik. Natijahnya, pohon dan buah betik menjadi mampan dan kebal PRSV. ‎Kaedah ini sangat berjaya. Beberapa baka baru betik GM seterusnya di cipta. Dari betik ‘sunset’, diberi nama “SunUp Papaya.” Kemudian ‎di kacuk pula dengan betik ‘kapoho’ diberi nama “Rainbow.” Dalam beberapa tahun ‎sahaja, bisnes betik bernafas semula, dan industri betik secara keseluruhannya terselamat. ‎Menjelang tahun 2010, beberapa sumber mengatakan lebih dari 80% betik Hawaii adalah betik ‎GM. Dan tidak mengejutkan, syarikat Monsanto mendapat hak patent ke atas betik GM tersebut. ‎ 

Beberapa varieti betik GM seterusnya di cipta, samada dalam bentuk kajian, usahasama dan ‎sebagainya, di beberapa negara di dunia; Brazil, Jamaica, Uganda, Tanzania, Venezuela, India, Bangladesh, China, Australia, ‎Filipina, Thailand, Indonesia, Malaysia, Vietnam dll.

Kini betik GM/GE semakin menguasai pasaran dunia. Betik ‎GM/GE menjadi pilihan peladang kerana tidak mudah dijangkiti ‎penyakit, kurang penggunaan racun serangga yang boleh memudharatkan kesihatan, lebih tegar pada perubahan cuaca dan iklim, kos lebih rendah, kualiti buah ‎lebih baik, lebih enak dan berzat, lebih lama tempoh matang/ranum, dan buahnya lebih sempurna. Di aspek ekonomi pertanian, betik GM/GE sangat ‎menggalakkan!‎

Keresahan Terhadap Betik GM/GE !‎

Di aspek kesihatan, potensi bahaya dari betik GM/GE (dan juga bahan makanan GMO yang lain) ‎sudah lama menjadi tajuk kontroversi dan menimbulkan keresahan di beberapa negara di dunia. ‎

Hawaiian Papaya Industry Association sudah pasti mempertahankan bahawa betik GMO/GE ‎selamat untuk di makan dan tidak mencemari alam semulajadi. Di sokong pula oleh FDA (Food and Drug ‎Administration) dan EPA (Environmental Protection Agency) Amerika Syarikat. Slogan “sejauh ini ‎betik GM/GE semuanya selamat, beberapa kajian juga tiada menunjukkan bukti yang jelas tentang ‎bahaya pada kesihatan” ‎

Namun, masih ramai para saintis, pakar permakanan, badan keagamaan dan juga badan-badan ‎NGO yang lain percaya kajian lebih mendalam perlu dilakukan bagi mengenalpasti marabahaya ‎bahan makanan GM/GE kepada kesihatan tubuh manusia. Mereka berpendapat betik GM/GE berpotensi:‎ ‎ ‎
  • menjadi bahan allergi (allergen), sebab betik GM/GE (juga bahan makanan GMO yang ‎lain) mengandungi rangkaian asid amino yang sama dengan allergen yang dikenal-‎pasti, allergen baru dalam betik GM/GE akan mengikut tindak-tanduk sepertimana ‎allergen yang sedia ada.‎
  • Kebal terhadap anti-biotik, sebab betik GM/GE (juga bahan makanan GMO yang lain) ‎mengandungi gene mampan anti-biotik, sekiranya gene mampan anti-biotik ini menyebabkan penyakit ‎maka akan menjadi sangat sulit untuk merawat penyakit tersebut.
  • ‎Terdapat kaitan bahan makanan GM/GE dengan  tumor, organ ‎dalaman tubuh gagal berfungsi, masalah perut dan penghadaman, kerosakan pada hati, ‎ginjal, impoten (mati pucuk) dll. ‎
‎Pergolakan dan penentangan seringkali timbul di beberapa negara yang protes penanamam dan import betik ‎GM/GE dan bahan-bahan GM yang lain. Terutama beberapa negeri dalam Amerika Syarikat sendiri, Australia, New ‎Zealand, Ireland, Jepun, Austria, Hungary, Greece, Bulgaria, Luxembourg, France, ‎Madeira, Switzerland dan kumpulan Greenpeace di negara-negara lain seperti Thailand, India, ‎dan Eropah .

Apa yang menjadi kebimbangan mendalam ialah seandainya di suatu hari nanti ternyata timbul masalah ‎kesihatan akibat dari gene virus dalam bahan makanan GM/GE, maka sudah tentu akan menjadi mustahil untuk menyekat penularan ‎dan mungkin merupakan wabak malapetaka dunia! Amat menggerunkan!‎
‎__________________________________ ‎ ‎ ‎

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...