0

Thursday, October 31, 2013

Ada Apa Pada Rambutan ?

Rambutan, Buah Keceriaan

Rambutan, nama botani Nephelium lappaceum, dari pepohonan Sapindaceae. Sejenis tumbuhan tropika yang rimbun, rendang, berbuah lebat. Tinggi ‎pohon sederhana, mencecah kira-kira 20 meter.

Rambutan berasal dari bumi kepulauan Melayu; Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Filipina, Selatan Thailand. ‎Rambutan kemudian tumbuh bertaburan di seluruh negara-negara Asia Tenggara, Australia, Sri Lanka, India (terutama ‎Kerala), Hawaii, Panama, Costa Rica dan Puerto Rico. ‎

Rambutan mendapat nama dari perkataan Melayu “rambut”, merujuk kepada rerambut pada kulit buahnya. ‎Rambutan juga di beri berbagai nama lain, menurut daerah ia tumbuh. Di India menyebutnya ‎‎‘ramboostan’, dan di Kerala pula ‘mullan pazham’. 'Chom chom' atau 'vai thieu' di Vietnam. 'Ser mon' atau 'chle sao mao' di ‎Kemboja. ‎

Pohon rambutan berbuah mengikut musim. Buah-buahnya berangkai dan bertangkai. Kebanyakan spesis, bentuk buahnya berbujur telur, dan ada juga yang membulat. Saiz buah agak kecil, memanjang 3–6 sm (jarang sekali 8 sm) dan 3–4 sm melebar. ‎Kulit buahnya dikelilingi rerambut lembut.  Kulit rambutan kebanyakannya berwarna merah, ‎kuning atau warna campuran kedua-duanya. ‎

Buah rambutan, sepertimana longan, lychee, mamoncillo, matoa akan masak di pohon. Buahnya perlu di petik sebelum ranum, ‎kerana apabila meranum akan gugur ke bumi dan rosak sendiri. ‎

Di Malaysia, rambutan mula berbunga antara Mac - Julai dan sekali lagi Jun – November. Musim berbunga juga berubah mengikut iklim setempat. Buahnya muncul selepas 15–18 minggu mengeluarkan bunga. ‎Di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Sri Langka, musim rambutan berbuah menceriakan suasana, ‎dengan warnanya yang merah dan kuning kelihatan di gerai-gerai tepi jalan pada kebanyakan tempat dan pasar. ‎

Thailand, Indonesia dan Malaysia merupakan pengeluar rambutan yang terbesar di dunia. ‎

Jenis-Jenis Rambutan

Terdapat banyak spesis atau varieti rambutan. Ada varieti yang tumbuh liar dan rasanya lebih masam dari manis. Isinya juga tidak ‎‎‘lekang’. Selalunya jenis ini di buat jem. ‎

Kini terdapat banyak varieti rambutan unggul diklonkan dan berkualiti, dan mendapat pasaran di dalam negeri dan antarabangsa. ‎ Masing-masing mempunyai rasa tersendiri; berbeza dari segi bentuk buah, isi dan tahap kemanisannya.‎ Isinya lekang: manis lebih manis dari gula, atau lemak, kenyal, kental, berjus, atau pun pejal. Namun, semuanya enak di ‎makan mentah.

Lebih dari 62 klon rambutan yang kini di tanam dan didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia. ‎ Antaranya:  * R1 - Penang No 1/Red Bead 1, R2 - Penang No 2/Read Bead 2, R3 - Gula Batu/Penang No 3, R4, R5, R6, R7, R8 - Merah Besar, dan R9 kesemuanya dari Pulau Pinang * R10 - Kelang No 1, ‎R11 dan R12 dari Kelang (Selangor) * R30, Selama (Perak) * R61, Tasik Gelugor (Pulau Pinang) * R68, R81, R84 kesemuanya dari Bentong (Pahang) * R86, Singapura * R99, Triang (Pahang) * R132, Selama ‎‎(Perak) * R133, Dinding (Perak) * R134 - Gula Batu, Singapura * R136, Batang Padang (Perak) * R137, Gajah Mati (Perak) ‎* R138, Baling (Kedah) * R139 dan R141, Kampung Gajah (Perak) * R153 - Bunga Mawar, Kedah * R154, Kuala ‎Kangsar (Perak) * R155, Serdang (Selangor) * R156 Gading Mas/Muar Gading, Muar (Johor) * R57, Telok Intan ( Perak) * R159, ‎Alor Setar (Kedah) * R160, Pulau Pinang * R161, Serdang Baru (Selangor) * R162 - Ong Heok, Pulau Pinang * R163, Petaling Jaya ‎‎(Selangor) * R164, Trong (Perak) * R167 - Chai Taw Cheng * R168 - Che Embong, Kelantan  * R169 - Lychee, ‎Sungai Buloh (Selangor) * R170 - Deli Cheng, Sungai Buloh (Selangor) * R171 - Sik 1, Sik (Kedah) * R172 - Taiping 1/Merah Kecil, R173 - Taiping 2/Isi Kuning, R174 - Taiping 3/Gading Merah, ‎ R 175 - Taiping 4/Merah Besar, R176 - Taiping 5/Gading Kuning, R177 - Taiping 6,  R178 - Taiping 7, R181 - Taiping 10, kesemuanya dari Taiping (Perak) * R183 ‎- Sik No 2, Sik (Kedah) * R184 Rambutan Thai, Thailand * R185 - Lekang Nyior, dan R186 - Titi Teras, ‎Gurun (Kedah) * R187 Rapiah, R188 Acheh Lebak Bulus, Indonesia * R189 UKM Bangi (Selangor) ‎* R190 Binjai, Indonesia * R191 Rong Rien/Anak Sekolah, Thailand * R192 - Ganja, Pendang (Kedah) * R193 ‎- Deli Baling, Baling (Kedah); dan banyak lagi varieti klon-klon yang terjual dan belum didaftarkan. ‎

Antara kebanyakan varieti rambutan, yang digemari dan mendapat perhatian komersial iaitu R134 (Gula Batu), ‎R156 (Muar Gading), R162 (Ong Heok), R170 (Deli Cheng), R191 (Anak Sekolah) dan R193 (Deli Baling). ‎R192 - Ganja, Pendang (Kedah) juga mendapat perhatian kerana ganja, maksudnya tidak mengandungi biji.

Manfaat Buah Rambutan 

Rambutan mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan. Di samping rasanya yang manis dan menyegarkan, ia juga mengandungi banyak nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Rambutan mengandungi vitamin C, vitamin B,  kalsium, fosforus, besi,  protein, lemak dan serat makanan.

Berikut adalah antara manfaat kesihatan yang di perdapat dari rambutan. 

    Rendah Kalori dan Berserat. Rambutan rendah lemak dan protein. Hanya kira-kira 60 kalori dalam setiap 100 gm, dan kebanyakan kalori rambutan adalah dari karbohaidrat. Rambutan manis kerana kaya dengan gula fruktos.

Rambutan juga mengandungi serat yang menyumbang kepada kelawasan pergerakan sisa-sisa penghadaman dalam usus, dengan demikian, menghindari dari sembelit. Rambutan juga memiliki nilai anti-septik, boleh menghapus parasit dalam usus dan melegakan masalah cirit-birit.

2    Kaya Vitamin C dan Anti-oksidan.‎   Rambutan kaya dengan vitamin C. Sekiranya seseorang memakan 10-12 biji rambutan, bererti 75-90 mg vitamin C. Kadar ini memadai untuk dos saranan vitamin C harian yang diperlukan oleh tubuh.

Tubuh perlu vitamin C setiap hari, untuk menghasil, membina, menyihat dan mengutuhkan kollagen. Vitamin C terlibat secara lansung dalam setiap peringkat penghasilan kollagen. Pembinaan dan keutuhan kollagen sentiasa memerlukan bekalan vitamin C. Kollagen merupakan komponen utama pada serat-serat tisu yang saling terhubung; seperti kulit, tendon, ligamen, cartilage, jantung, cornea mata, tulang, gigi, usus, pembuluh-pembuluh dan saluran-saluran darah, bahkan pada setiap bahagian tubuh.

Vitamin C menyumbang kepada sistem kekebalan dengan memperbanyak penghasilan sel-sel kekebalan. Oleh yang demikian, vitamin C banyak terdapat pada sel-sel kekebalan, dan sangat cepat dipergunakan apabila berlaku serangan atau jangkitan kuman. Vitamin C juga melindungi sel-sel kekebalan dari kerosakan.

Oleh kerana rambutan mengandungi vitamin C yang tinggi, maka ia memiliki nilai anti-oksidan yang boleh melindungi sel-sel tubuh dari ancaman perosak radikal bebas.

Menurut kajian, salah satu bahan kimia alami yang terdapat dalam kulit buah rambutan ialah asid gallik, sejenis asid phyto-kimia phenol. Asid gallik bertindak sebagai pembanteras radikal bebas, melindungi tubuh dari kerosakan disebabkan oksidasi. Di dalam kulit buah rambutan juga terdapat bahan anti-oksidan flavonoid yang bersifat anti-kanser dan anti-keradangan, juga dapat mengurangkan kadar kolesterol dalam darah. Manfaat besar ialah kulit rambutan boleh digunakan untuk melawan kanser. Oleh kerana memiliki nilai anti-oksidan yang sangat tinggi, maka kulit buah rambutan boleh dijadikan ubat atau produk supplemen bagi melawan kanser.

Vitamin C juga merawat kerosakan pada sel-sel dan membantu penyerapan zat besi dan tembaga yang diperlukan bagi menghasilkan sel-sel darah merah dan darah putih. Juga bermanfaat mencegah dari anemia (pucat kerana kekurangan darah).

3     Zat Gizi Fosforus. Rambutan merupakan sumber zat gizi fosforus dalam kadar yang sederhana. Fosforus berperanan penting dalam proses tumbesaran. Fosforus, bersebati ‎dengan kalsium, berfungsi membina dan membentuk tulang dan gigi yang sihat dan kukuh. Kalsium sendiri tidak ‎mampu membina tulang dan gigi yang kukuh tanpa fosforus.

Fosforus ‎mempunyai fungsi dan pengaruh yang penting pada otak. ‎Otak memerlukan ‎fosforus dalam kadar yang saksama untuk berdaya aktif dan berfungsi dengan wajar; seperti ‎daya pemusatan dan daya ingatan yang baik dsbnya.

Fosforus juga membantu ‎protein dalam fungsinya membina, menghasil dan membaik-pulih sel, tisu, otot dan juga faktor genetik iaitu asid ‎nukleik (DNA dan RNA). Fosforus dalam bentuk fosfat merupakan bahagian terpenting kepada DNA dan RNA. ‎

Fosforus membantu penghasilan tenaga dengan cara meransang proses ‎metabolisma berbagai zat makanan termasuk karbohaidrat dan lemak. Seterusnya, bertindak sebagai ‎perantara dalam pengaliran, penghantaran dan kegunaan tenaga yang saksama oleh berbagai sistem organ-organ. ‎

Fosforus mustahak bagi menghasil dan mengawal kesaimbangan hormon dalam ‎tubuh. ‎Ia meransang kelenjar-kelenjar mengeluarkan ‎hormon, memelihara otot dan jantung menguncup dengan baik dan lancar.

Fosforus juga membantu mengeluarkan bahan sisa dalam ginjal, dan menyihatkan ginjal.‎

4     Zat Gizi Kalsium. Rambutan merupakan sumber zat gizi kalsium dalam kadar yang sederhana. Zat gizi kalsium menjadi bahan utama pada tubuh. Bergandingan dengan fosforus, kalsium berperanan membina seluruh kerangka tulang-‎belulang dan gigi agar terbina kukuh, tumpat dan tidak mudah rosak. ‎

Justru, permakanan yang mengandungi kalsium perlu diamalkan, sejak usia kanak-kanak membesar hingga ke usia remaja, agar ‎tumbesaran tubuh menjadi sempurna dan kurang bermasalah apabila berusia kelak. Kecenderungan kepada osteoporosis (rapuh tulang) selalunya disebabkan kurang ‎pengambilan kalsium sewaktu kanak-kanak dan remaja, demikian menurut lapuran dari National ‎Osteoporosis Foundation, USA. ‎

Kalsium diperlukan oleh semua otot-otot, terutama otot jantung, untuk menguncup dan magnesium untuk mengendur. Kalsium ‎mengawal penguncupan otot jantung untuk mengepam darah ke seluruh tubuh. Magnesium yang ‎mengawal kekenduran otot jantung apabila darah tidak di pam keluar dari jantung. ‎Kekurangan kalsium akan menjejaskan tindak-balas kepada desakan dari denyut jantung. Kesanimbungan menjadi lemah. Sel-sel otot termasuk ‎otot jantung pun menguncup dengan lemah, dan kerja pengepaman jantung lembab dan berkurangan. ‎

5     Zat Gizi Besi.‎   Rambutan mengandungi zat gizi besi yang agak tinggi. Dengan kehadiran vitamin C dalam rambutan, dapat membantu penyerapan zat gizi besi ke dalam tubuh dengan lebih berkesan.

Zat besi diperlukan bagi menghasilkan haemoglobin. Haemoglobin adalah pembawa oxygen yang utama keseluruh tubuh, menguruskan perpindahan oxygen dari satu sel ke sel yang lain, dan mewarnai darah dengan merah pekat. Dengan demikian, zat besi juga menanggani masalah kurang tenaga, kelesuan, dan pening-pening disebabkan anemia. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia. ‎ Zat besi sangat disarankan kepada wanita yang hamil.

Zat besi juga penting untuk kesihatan dan keutuhan otot, dan berada dalam myoglobin, iaitu protein otot. Protein myoglobin ‎adalah pembawa oxygen dari haemoglobin dan menyebarkan oxygen keseluruh sel-sel otot. Keadaan ini sangat diperlukan untuk penguncupan otot-otot, terutama otot jantung.

‎Otak menggunakan kira-kira 20% oxygen yang terdapat dalam aliran darah. Zat besi menyumbang bekalan oxygen kepada darah menjadikan ia sangat penting untuk mmelihara kesihatan otak. 

Rumusan

‎Rambutan, buah yang tersedia enak untuk lansung di makan. Ia makanan yang menyihatkan. Ia mengandungi banyak manfaat untuk kesihatan tubuh. Di setengah negara Barat, rambutan di anggap sebagai buah eksotik.

Tanamlah pohon rambutan, meskipun sepohon. Pohonnya mudah tumbuh, berbuah ramah dan lebat. Meskipun sepohon yang di tanam, namun berbaloi, kerana dapat dinikmati sehingga beberapa generasi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...