0

Monday, October 14, 2013

Ada Apa Pada Pisang ?

Pisang   |   Aneka Jenis

Malaysia dan rantau Kepulauan Melayu (Nusantara), rantau Asia Tenggara, termasuk Brunei, ‎Papua New Guinea, Filipina, Thailand, Burma, dan Benua India, sangat kaya dengan tumbuhan pelbagai jenis pisang. Pada dasarnya, spesis-‎spesis pisang di rantau ini hampir sama, cuma namanya yang berbeza mengikut panggilan dari ‎daerah atau negara yang berbeza. ‎

Pisang (nama botani: Musa spp.) merupakan tumbuhan yang tergolong dalam pepohonan ‎Musaceae. Genus Musa terbahagi kepada 2 kumpulan; Eumusa iaitu kumpulan yang boleh di ‎makan dan Phusocaulis, yang tidak boleh di makan. ‎

Pisang juga terdapat dalam beraneka saiz; dari sebesar-besar pisang seperti Pisang Tanduk hingga ‎sekecil-kecil pisang seperti Pisang Lemak Manis dan Emas. ‎

Dari kumpulan Eumusa, antara jenis-jenis pisang yang lebih susuai lansung di makan:‎
  • Pisang Embun atau Pisang Bunga. Indonesia menyebutnya Pisang Ambon. Pisang ini ‎berbentuk panjang. Ia cepat ranum, tidak sesuai di simpan lama. Berkulit agak tebal, ‎senang di kupas. Isinya lembut, rasanya sangat manis dan lazat. ‎
  • Pisang Emas. Pisang paling digemari kerana rasanya manis dan lazat. Saiz pisang ini agak ‎kecil. Apabila ranum, kulitnya agak tipis, perlu mengupas dengan hati-hati kerana mudah ‎tersoyak. Isinya kental, berwarna kuning keemasan. Pisang ini mempunyai nilai komersial yang tinggi.
  • Pisang Lemak Manis. Pisang jenis ini lebih kecil dari Pisang Emas. Ia juga menjadi ‎kegemaran. Rasanya manis, lemak, kekadang agak kemasaman. ‎
  • Pisang Rastali. Pisang ini bersaiz sederhana. Kulitnya berwarna kuning dan agak kasar. ‎Terdapat bintik-bintik hitam dan coklat di permukaan kulitnya. Ia mudah di kupas. Isinya ‎pula berwarna putih atau berkrim pucat. Rasanya manis, dan kelat. ‎
  • Pisang Susu/Buah Raja. Indonesia memanggilnya Pisang Buah Raja. Pisang ini selalunya bersaiz montel, lebih besar dari Pisang ‎Emas. Rasanya sangat manis, lazat seakan susu. Ia dari jenis eksotik. Spesis ini mempunyai nilai komersial ‎yang tinggi, tetapi aneh kurang mendapat perhatian di Malaysia. ‎
  • Pisang Berangan. ‎Pisang ini juga menjadi kegemaran warga tempatan. Sepertimana pisang-pisang lain, rasanya manis, lemak, kekadang agak kemasaman.
  • Pisang Raja Udang. Masih ramai orang tidak begitu mengenali pisang jenis ini. Dan ‎ramai juga yang masih belum merasainya. Pisang ini agak jarang kelihatan. Menurut dongeng ia tidak boleh di makan, ‎macam-macam cerita yang di reka tentang pisang ini. Bagi yang tidak dipengaruhi oleh ‎cerita dongeng, rasanya manis dan lemak, sungguh lemak, ciptaan Allah SWT yang ‎istimewa, belum terjumpa hadits yang mengharam memakannya, harus mencuba jika tak pernah rasa pisang ini, pasti mau cuba lagi bila terjumpa! ‎
Jenis pisang yang sering di buat gorengan atau beraneka jenis adunan kueh, kerepek, kerepek sira, ‎pengat pisang dsbnya, antaranya: ‎
  • Pisang Nangka. Pisang ini menjadi kegemaran ramai orang. Ia sangat sesuai di buat ‎gorengan untuk di makan, samada masih muda mahu pun yang masak. Isi buah muda ‎berwarna putih, masak berwarna kekuningan. Rasanya masam-masam manis, seakan-akan ‎rasa isi nangka.
  • Pisang Tanduk. Pisang tanduk bersaiz besar, berbentuk panjang dan sedikit melengkung ‎seperti tanduk. Kulit buah pisang tanduk tebal, berwarna kuning jika sudah masak, dan ‎ada bintik-bintik coklat. Rasa pisang tanduk masam-masam manis.‎
  • Pisang Nipah/Abu. Pisang ini juga menjadi kegemaran untuk di buat gorengan jajaan. ‎
Banyak lagi jenis-jenis pisang lain yang kekadang timbul dan kekadang hanya ada di persekitaran ‎kampung-kampung; seperti Pisang Awak, Pisang Kapas, Pisang Masak Hijau, Pisang Raja, ‎dan Pisang Kari/Padang, - pisang ini selalunya di buat masakan kari. Sedap !‎

Pisang   |   Manfaat Kesihatan ‎

Menyentuh topik berkaitan zat-zat makanan melalui permakanan, pisang seringkali disisihkan. Ia ‎bagaikan bahan makanan yang terlalu biasa, mungkin kerana terlalu mudah di perdapat di rantau ini. Masih ramai warga yang memandang buah-buahan dari negara Barat adalah lebih baik, kerana manfaat-manfaat yang banyak diwarwarkan, dan diberitahu kepada umum. Lalu buah-buahan tempatan yang mudah di perdapat di negara sendiri di pandang sepi, kerana terlalu sedikit pendedahan tentang khasiatnya.  

Sebenarnya ‎pisang mengandungi nilai-nilai zat makanan yang bermanfaat untuk kesihatan dan juga untuk ‎menanggani beberapa masalah kesihatan.‎

Pisang merupakan sumber serat makanan yang sangat baik. Ia juga mengandungi vitamin B-‎kompleks dan vitamin C yang tinggi. Terkandung juga zat-zat gizi; seperti magnesium, potassium, manganese, besi, fosforus, tembaga dll. Ia tidak ‎mengandungi kolesterol dan lemak tepu. Kandungan sodiumnya rendah. ‎‎

Pisang memiliki nilai kalori yang tinggi kerana kandungann gulanya tinggi. Epal biasa mengandungi ‎lebih kurang 70 kalori, manakala pisang hampir 100 kalori bagi setiap 100 gm.

Dibandingkan dengan epal, pisang ‎mengandungi 4 kali ganda lebihan protein, 2 kali ganda jumlah karbohaidrat, 3 kali ganda fosforus, ‎‎5 kali ganda vitamin A dan zat besi, dan 2 kali ganda vitamin-vitamin lain dan zat gizi. Ia juga ‎sangat kaya dengan zat gizi potassium, manganese dan magnesium.

Pisang boleh membantu menanggani atau menghalang beberapa jenis penyakit seperti tekanan jiwa, ‎strok, kanser kolon, kanser payudara, anemia, ulser, dan kanser ginjal dll. Pisang sangat sesuai dijadikan makanan kelaziman untuk keluarga. ‎‎

1    Pisang Membekalkan Tenaga Segera

Pisang adalah salah satu buah di kalangan buah-buahan tropika yang memiliki nilai kalori yang tinggi. Ia ‎mengandungi banyak gula fruktos dan glukos. Pisang yang bersaiz kecil mengandungi kira-kira 90 kalori setiap 100 gm, sederhana membekalkan ‎kira-kira 105 kalori, yang besar 121 kalori. Bersama dengan serat makanan, pisang dapat membekalkan ‎tenaga segera.  Bagi mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan ‎berkaitan gula dalam darah, pisang adalah baik untuk kesihatan tubuh. ‎

GI (glycemic index, iaitu ukuran kepantasan penyerapan gula kedalam darah) bergantung kepada ‎kematangan pisang. Pisang yang matang, masak ranum, zat kanjinya banyak bertukar menjadi gula. ‎GI pisang 55, boleh di anggap tidak terlalu tinggi. Pisang sangat sesuai bagi kanak-kanak yang sedang ‎membesar. Bagaimanapun, pisang tidak sesuai bagi pesakit kencing manis, dan perlu di makan dalam kadar yang sederhana. Ini kerana ‎kandungan gula di dalam pisang adalah tinggi.‎

2     Pisang Menyihatkan Sistem Penghadaman

Pisang sangat baik untuk sistem penghadaman. Ia menyihatkan perut, usus, rektum, dan appendix.

Pisang mengandungi banyak serat makanan (7-10% of DV setiap 100 gm), dan juga karbohaidrat ‎kompleks ‘pectin’. Serat makanan dan pectin sangat berguna bagi membantu melawaskan ‎pergerakan makanan dalam perut dan usus sewaktu pencernaan, dengan demikian dapat ‎mengurangi masalah sembelit. ‎

Pisang ranum sangat baik bagi mereka yang mengidap ulser, kerana dengan melawaskan ‎pergerakan makanan dalam usus, ia dapat mengurangkan suasana asid dan toksin dalam usus, ‎mengurangkan keradangan pada dinding usus, dan membina lapisan pelindung ‘protease inhibitors’ yang dapat melumpuhkan bakteria mudharat dalam usus iaitu bakteria yang ‎menyebabkan ulser usus. Di samping itu, pisang menyihatkan ‘probiotic’ atau bakteria manfaat dalam kolon. Justru, ‎pisang sangat baik untuk pengidap ulser usus dan kanser kolon (kanser kolon adalah kanser yang terjadi pada kolon, rektum, dan appendix).‎

Pisang juga mengandungi vitamin B6 yang sangat tinggi. Vitamin ini juga turut berperanan menyihatkan kolon dan organ kandungan wanita, melawaskan pergerakan bahan makanan yang ‎di cerna dalam sistem penghadaman. ‎

Cirit-birit selalunya menghakis elektrolait-elektrolait penting dari tubuh, terutama potassium dan magnesium. ‎Kandungan potassium dan magnesium sangat tinggi dalam pisang, menjadikan pisang sesuai bagi ‎merawat cirit-birit. ‎

3   Pisang Menyihatkan Saraf

Kandungan vitamin B-kompleks, terutama B6, sanga tinggi dalam pisang. Vitamin B sangat bemanfaat menyihatkan sistem saraf. Salah satu fungsi vitamin B-kompleks ialah melegakan ketegangan saraf-saraf. Vitamin B6 ‎mengurangkan gejala perasaan tak menentu dan cepat melenting, dan juga sukar tidur. Vitamin B6 juga membantu menstabilkan kadar gula dalam darah, dan mengurangkan gejala mood tak menentu, terutama pada wanita yang mengalami PMS. ‎

Di samping vitamin B, pisang boleh mengurangkan kemurungan dan tekanan jiwa kerana ia juga mengandungi asid amino ‘tryptophan’, yang mana tubuh akan menukarnya menjadi ‘ serotonin’ dan ‘norepinephrine’, ‎jenis-jenis hormon yang melegakan tekanan perasaan, dan menceriakan mood. Pisang juga sangat sesuai diberikan pada kanak-kanak, mudah di hadam dan tidak menimbulkan allergi. .

4    Pisang Mencegah Tekanan Darah Tinggi

Pisang boleh mencegah tekanan darah tinggi. Ia mengandungi potassium yang amat tinggi ‎‎(kira-kira 800 mg potassium bagi setiap 1 cawan, dan sangat rendah kandungan sodium/garam) ‎menjadikan ia amat sesuai bagi mencegah tekanan darah tinggi. Tekanan darah tinggi adalah salah ‎satu sebab utama kepada penyakit jantung dan strok. Potassium ‎juga merupakan komponen yang sangat penting kepada sel-sel dan cecair tubuh, bagi membantu mengawal denyut jantung dan tekanan darah, dan membebaskan kesan negatif dari sodium. Menurut satu kajian yang disiarkan dalam ‎jurnal 'New England Journal of Medicine', dengan memakan pisang sebagai sebahagian dari ‎makanan harian dapat mengurangkan risiko strok sehingga 40% .‎

Kandungan B6 (pyridoxine) yang tinggi dapat membantu mengurangkan kadar asid homocystine (salah satu dari penyebab kepada penyakit jantung dan strok) dalam tubuh, dengan demikian mengurangkan risiko sakit jantung dan strok.. ‎

5    Pisang Anti-Kanser 

Pisang mengandungi vitamin-C (kira-kira 19.6 mg setiap 1 cawan). Vitamin C adalah vitamin anti-‎oksidan yang sangat berkesan melawan jangkitan kuman dan juga radikal bebas. Pisang mempunyai ‎nilai-nilai pencegahan kanser. ‎

Di samping itu, pisang juga mengandungi zat gizi manganese yang tinggi dan sangat diperlukan oleh tubuh sebagai faktor gandingan untuk enzim anti-oksidan 'superoxide dismutase'.

Pisang juga mengandungi anti-oksidan ‘flavonoid poly-phenolic’ seperti lutein, zea-xanthin, ß and ‎α-carotenes meskipun dalam kadar yang sedikit, namun dapat membantu melindungi tubuh dari ‎ancaman radikal bebas. ‎ ‎

Pisang yang ranum, zat-zat makanan didalamnya berubah. Semakin ranum, nilai -nilai anti-oksidan ‎didalamnya pun semakin bertambah. Nilai anti-oksidan ini boleh melindungi tubuh dari kanser dan ‎juga penyakit jantung. Namun, pisang ranum akan semakin hilang zat-zat penting yang lain. Kanji ‎bertukar menjadi gula yang mudah di serap ke dalam tubuh, dan keadaan ini kurang baik untuk ‎pesakit kencing manis. Begitu juga dengan nutrien mikro yang lain seperti vitamin dan zat gizi ‎akan semakin berkurangan dalam pisang ranum. ‎

Menurut satu kajian, pisang yang ranum boleh bertindak sebagai anti-kanser dengan cara ‎meransang penghasilan sel-sel darah putih dalam rangkaian sel-sel. Pisang ranum didapai dapat ‎menambah kadar ransangan TNF-α (Tumor Necrosis Factor) iaitu sejenis bahan yang dihasilkan ‎oleh sel-sel dari sistem kekebalan tubuh bagi melawan se-sel tumor yang menyebabkan kanser. ‎

Beberapa kajian yang disiarkan dalam jurnal ‘International Journal of Cancer’, menunjukkan bahawa ‎dengan selalu memakan buah-buahan dan sayur-sayuran, terutama pisang, kobi dan sayur ubian ‎boleh mengurangkan risiko kanser pada ginjal dan terbinanya batu karang dalam ginjal. Ini ‎disebaban bahan makanan tersebut mengandungi bahan anti-oksidan 'phenolic' yang tinggi. Dalam ‎kes kanser ginjal, kajian menyeluruh ke atas warga telah dilakukan dan mendapati bahawa wanita ‎yang memakan pisang antara 4-6 kali dalam seminggu telah mengurangkan risiko kanser ginjal sehingga ‎‎50% dibandingkan dengan wanita yang tidak lansung memakan pisang.

6    Lain-Lain Manfaat Pisang

Pisang Menyihatkan Tulang. ‎  Dengan selalu memakan pisang boleh meningkatkan kemampuan tubuh menyerap kalsium. Pisang yang belum begitu masak mengandungi rangkaian asid lemak yang tidak hadam yang menjadi makanan pada sel-sel yang membina lapisan pada dinding usus. Apabila sel-sel tersebut sihat, maka kemampuan tubuh menyerap kalsium menjadi lebih sempurna. 

Oleh kerana pisang kaya dengan potassium, dapat membantu mengurangkan tekanan darah tinggi dan menghalang hakisan pada tulang dengan cara mengurangkan pengaruh negatif sodium/salt dari permakanan.‎

Pisang anti-anemia. Pisang mengandungi zat besi, boleh membantu merawat anemia. Anemia disebabkan kekurangan ‎zat besi yang berkait-rapat dengan fungsi haemoglobin. Kerana pisang kaya dengan zat besi, ia boleh meransang penghasilan haemoglobin dalam darah. Zat tembaga pula diperlukan bagi penghasilan sel-sel darah merah. Manakala vitamin B6 (pyridoxine) juga berperanan merawat anemia.

Pisang Menanggani Sakit Ulu Hati (Heartburn). Pisang yang ranum boleh mengurangkan suasana berasid dalam tubuh (antacid), boleh mengurangkan sakit ulu hati. ‎

Pisang Menanggani Nyanyuk. ‎Kehadiran vitamin C yang tinggi disertai dengan vitamin A dan zat gizi potassium yang tinggi, ‎gabungan yang ideal untuk menyihatkan fungsi otak, dan melambatkan penyakit nyanyuk. ‎

Pisang Mengurangi Mual Muntah.  Pisang membantu meningkatkan kadar gula dalam darah dan mengurangkan gejala mual-muntah 'morning sickness' pada wanita ‎yang hamil. ‎

Resepi Milkshake Pisang Segar

Bahan-bahan:
  • 2 cawan susu 
  • 1 biji pisang
  • 4 sudu teh sirup coklat
  • 4 scoop ais krim vanilla 
Cara:
  • pisang di kupas dan di potong-potong 
  • masukkan susu, sirup coklat dan pisang ke dalam blender, kemudian blend hingga lumat 'smooth puree'.
  • tambah ais krim dan blend sekali lagi pada kelajuan yang tinggi sehingga semua bahan-bahan sebati. 
  • tuangkan ke dalam gelas yang sesuai, taburkan serpihan coklat keatasnya dan sedia di minum dengan straw.   
*Tip Menyediakan Sirup Coklat - bar coklat dicairkan dalam oven, kemudian dicampurkan denan susu. Kemudian, biji gajus yang dipecah kecil-kecil lalu di tambah. Masukkan ke dalam milkshake tadi sebagai bahan serat tambahan.
‎________________________________________

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...