Firman Allah SWT dalam Ayatul Kursiyy (Ayat 255, Surah Al-Baqarah) yang bermaksud:
[Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Maha Hidup Kekal dan Berdiri Dengan Sendirinya, tiada Dia dipengaruhi oleh rasa ngantuk dan tidur, padaNya memiliki segala apa jua di langit dan di bumi, tiada seorang pun sanggup memberi syafaat disisiNya kecuali dengan izinNya, Yang Maha Tahu apa jua di hadapan dan di belakang, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu apapun dari ilmuNya melainkan sekadar mana yang Dia kehendaki, betapa luas kursi/singgahsanaNya meliputi seluruh langit dan bumi, dan tiada jua berat bagiNya memelihara kedua-duanya, Dia Maha Tinggi lagi Maha Agung].
Apakah Kasyaf ?
Menurut Imam Al-Ghazali, kasyaf ialah "tersingkap maklumat disebalik hijab berupa perkara ghaib dan perkara perkara yang benar ada."
Golongan sufi berpendapat bahawa kasyaf adalah anugerah dari Allah SWT kepada seseorang hambaNya. Apabila seseorang dibukakan hijab, maka tersingkaplah rahsia alam langit dan bumi, sidratul muntaha, luh mahfuz, syurga, neraka, kursi, qalam dan lain-lain yang selamanya terselubung dari penglihatan manusia kebanyakan dan menjadi rahsia.
Al-Ghazali mengakui kasyaf tidak diperolehi melalui jalan biasa. Ia diperdapat melalui jalan takwa dan mujahadah. Namun menurutnya, tidak semua orang berjaya mendapatkannya. Dan ilmu dan rahsia yang diperoleh melalui kasyaf tidak boleh ditulis di dalam kitab, kerana kemungkinan banyak rahsia-rahsia Ilahi bertentangan dengan hukum syarak yang terpakai bagi kebanyakan manusia. Hakikat ini dibayangkan dalam kitabnya 'Manhaj Al-Abidin' menerusi 2 bait syair yang dihubungkan kepada Ali Zainal yang bermaksud: “Kadangkala ilmu ini kalau aku hebahkan rahsianya, nanti aku dituduh penyembah berhala. Orang Islam akan menghalalkan darahku kerana menganggap baiknya perkara keji yang mereka lakukan itu.”
Terdapat juga anugerah kasyaf diberikan kepada seseorang tanpa diminta. Allah berkuasa memberikan apa jua dan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Kasyaf juga tidak mungkin diperdapat melalui paksaan. Umpamanya, memaksa seseorang memindahkan anugerah kasyaf dari seseorang kepada orang yang lain. Anugerah Allah SWT tidak boleh diperdapat melalui rompakan dsbnya.
Namun, kasyaf juga boleh diminta, iaitu Allah mengabulkan permohonan seseorang yang bermunajat atau bermusyahadah untuk mendapatkan kasyaf, lalu Allah menjadikan orang tersebut kasyaf. Agar mukasyafah (orang-orang yang kasyaf) tersebut dapat mengenalNya dan menjadi hambaNya yang sollih insan kamil mukamil.
Jenis-Jenis Kasyaf
Terdapat banyak takrif kasyaf. Kasyaf mata dan penglihatan, kasyap telinga dan pendengaran, kasyaf lidah dan percakapan, kasyaf hati dan mata basyirah (firasat tinggi mengetahui sesuatu yang tersembunyi lagi ghaib), kasyaf laduni - rasa/zhauk yang berhubungan secara terus kepada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud: “Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah”.
Dari Syeikh Muhyiddin Ibnul Arabi
Bagi mereka yang inginkan anugerah kasyaf untuk bermusyhadah kejalan Allah SWT, saranan Syeikh Muhyiddin Ibnul Arabi, dari keterangan yang terdapat didalam kitab Khawasul Qur'an, mengamalkan Ayatul Kursiyy seperti berikut;
sesiapa membaca Ayat Kursiyy sebanyak 1000 kali dalam sehari semalam selama 40 hari, maka demi Allah, demi Rasul, demi al-Quran yang mulia, Allah SWT akan membuka baginya pandangan rohani, menghasilkan apa yang dimaksud, dan berpengaruh kepada manusia.
Wallohhu 'aklam.
No comments:
Post a Comment