0

Friday, June 30, 2017

VITAMIN B12 : VITAMIN UNTUK KESIHATAN SARAF DAN OTAK !!!



Vitamin B12 @ Cobalamin

Vitamin B12 - nama kepada sekumpulan enzim-enzim yang mengandungi kobalt. Kumpulan enzim-enzim ini dikenali sebagai cobalamin. Cobalamin @ B12 adalah salah satu dari 8 ahli keluarga vitamin B Kompleks. Cobalamin bersifat serap @ larut air.

Jenis-Jenis Vitamin B12

Umum menganggap semua jenis vitamin B12 adalah sama. Sebenarnya tidak. Ada 4 jenis utama vitamin B12, iaitu:

(1) cyanocobalamin (sintetik),
(2) hydroxycobalamin,
(3) methylcobalamin,
(4) adenosylcobalamin.

Fungsi-Fungsi Utama Vitamin B12

B12 mempunyai peranan penting kepada kesihatan tubuh. Antara fungsi-fungsi B12 :
  • B12 + B9 (folate / asid folik) membantu menghasilkan sel-sel darah merah (sel-sel darah merah berfungsi membawa oxygen ke seluruh tubuh)
  • B12 + B9 membantu zat besi berfungsi dengan baik di dalam tubuh
  • B12 + B9 menghasilkan S-adenosylmethionine (SAMe), sejenis bahan yang terlibat dalam sistem dayatahan tubuh dan gelombang perasaan
  • B12 + B9 + B6 mengendalikan paras asid amino homocysteine dalam darah iaitu sejenis asid amino yang dikaitkan dengan penyakit jantung
  • B12 memelihara kesihatan sel-sel saraf, dan menghasilkan lapisan myelin yang melindungi sel-sel saraf
  • B12 berperanan besar dalam metabolisma lemak dan karbohaidrat
  • B12 membantu penghasilan DNA dan RNA, iaitu unsur genetik tubuh.

Tanda-Tanda Kekurangan Vitamin B12

Tanda-tanda awal kekurangan B12 mungkin tidak disedari. Jika pun di periksa oleh doktor mungkin kelihatan paras B12 normal. Yang terkesan hanya berupa penyakit lain atau sebagai gejala usia meningkat tua kerana kebanyakan tanda-tanda kekurangan B12 lebih menunjukkan kepada gejala peningkatan usia.

Sebagai petanda kepada paras rendah B12 dapat di jangka apabila timbulnya beberapa gejala penyakit seperti :
  • Kelesuan tubuh yang melampau
  • Lemah segala anggota tubuh
  • Sesak pernafasan
  • Hilang daya ingatan dan selalu mudah lupa
  • Kegugupan, kekeliruan dan kecelaruan
  • Kebas atau rasa sesemut pada jari jemari tangan dan kaki
  • Pemahaman dan pengecaman bermasalah
  • Penglihatan bermasalah
  • Pendengaran berkurangan dan berdesing di telinga
  • Sakit mulut, lidah dan gusi berdarah
  • Kurang kesaimbangan tubuh
  • Perasaan mudah tertekan
  • Hilang selera makan
  • Cirit birit atau sembelit
  • Sulit tidur @ insomnia
  • Kulit pucat lesi, pada orang yang berkulit agak putih; kulit bertompok-tompok hitam pada orang berkulit gelap.

Penyebab Kekurangan Vitamin B12

Individu remaja jarang sekali kekurangan B12, tetapi bagi warga berusia kekurangan B12 adalah biasa. Hal ini bukan disebabkan bahan makanan yang di makan kurang berkhasiat, tetapi asid perut yang diperlukan untuk menyerap B12 sudah berkurangan di dalam usus warga berusia. Asid perut @ usus ini dikenali sebagai faktor intrinsik ("intrinsic factor"). Tanpa faktor intrinsik, B12 tidak boleh di serap.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menghalang @ mengurangkan pengeluaran faktor intrinsik ini:
  • Masalah penghadaman seperti penyakit Celiac, penyakit Crohn, atau bakteria berlebihan dalam usus kecil.
  • Usus dijangkiti parasit seperti Helicobacter pylori, H. pylori adalah perosak sel-sel perut yang menghasilkan faktor intrinsik, juga penyebab ulser usus.
  • Pembedahan atau bedah pintas di bahagian perut atau usus kecil ileum, dan pembedahan menurunkan berat badan.
  • Individu "Vegetarian" memakan hanya produk sayuran, kurang makanan tenusu atau telur. 
  • Penyakit pancreas. 
  • Pengidap HIV.

Ubat-ubatan yang boleh menurunkan kadar B12 dalam tubuh seperti :
  •  Ubat kencing manis; seperti metformin (glucophage)
  •  Kerap mengguna pump proton inhibitors; seperti prilosec, prevacid, nexium, dll. yang selalu digunakan untuk sakit uluhati seperti heartburn, acid reflux dan GERD.
  • Ubat Anti-kekejangan; phenytoin (dilantin), phenobarbital, primidone (mysoline)
  • Ubat Kemoterapi; seperti methotrexate
  • Ubat Gout; seperti colchicine 
  • Ubat merendahkan kadar kolesterol mudharat (LDL); seperti colestipol (colestid), cholestyramine (questran), dan colsevelam (welchol)
  • Penyekat H2 / H2 blockers, ubat mengurangkan asid perut atau lambung; seperti cimetidine (tagamet), famotidine (pepcid AC), ranitidine (zantac)
  • Perencat pam proton / Proton pump inhibitors, ubat mengurangkan asid perut atau lambung; seperti esomeprazole (nexium), lansprazole (prevacid), omeprazole (prilosec), rabeprazole (aciphex)
  • Antibiotik, Tetracycline : B12 jangan di ambil bersama dengan tetracycline; sebab b12 akan mengganggu penyerapan dan keberkesanannya. Tetracycline dan mana-mana vitamin B Kompleks perlu di ambil pada masa yang berbeda. Pengambilan antibiotik jangka panjang boleh mengurangkan paras vitamin B di dalam tubuh, terutama B2, B9, B12, dan vitamin H (biotin), yang turut di golong sebagai ahli keluarga vitamin B kompleks.

Penyakit-Penyakit Yang Memerlukan Vitamin B12
  • Pernicious Anemia @ anemia hiperkronik : Keadaan di mana sel-sel darah merah sangat berkurangan disebabkan sel-sel perut tidak mampu menghasilkan faktor intrinsik, justru tidak dapat menyerap B12. Pengambilan supplemen B12 dalam dos yang tinggi dapat membantu merawat masalah ini.
  • Penyakit Jantung : Banyak kajian menyarankan individu yang menghadapi paras asid amino homocysteine yang tinggi lebih berisiko mendapat penyakit jantung koroner (coronary artery) dan strok. Vitamin B compleks, terutama B12, B9, dan B6 didapati merendahkan paras homocysteine dalam tubuh. 
  • Kemerosotan Makula Mata Sebab Usia (AMD) : Satu kajian besar-besaran mendapati wanita yang mengambil : B12 (1,000 mcg) + B9 (2,500 mcg) + B6 (500 mg) setiap hari, kurang risiko mengidap AMD, penyakit mata yang boleh berakibat buta penglihatan.
  • Kelesuan : Kelesuan adalah salah satu tanda kekurangan B12. Satu kajian awal menunjukkan B12 bermanfaat pada pengidap sindrom kelesuan melampau.
  • Kanser Payudara : Belum ada bukti-bukti sahih bahawa B12 boleh mengurangkan risiko kanser payudara. Kajian umum ada menunjukkan wanita yang mengambil lebihan B9 dari permakanan didapati kurang risiko kanser payudara. Dirumuskan, B12 + B9 boleh membantu menghindar dari risiko kanser payudara. Satu kajian awal yang lain menunjukkan bahawa wanita yang telah putus haid dan kurang mendapat B12 dari permakanannya akan menghadapi risiko mengidap kanser payudara.
  • Kesihatan Lelaki : Kajian menunjukkan bahawa supplemen B12 boleh memperbaiki kandungan sperma dan kemampuan sperma untuk berenang.

Sumber Vitamin B12

Vitamin B12 hanya boleh didapati dari makanan yang bersumberkan daging binatang. Sumber terbaik ialah :
  • Ikan
  • Cengkerang, ketam dan siput
  • Produk tenusu
  • Organ daging, terutama hati dan ginjal
  • Telur
  • Bijiran dan minuman di perkaya dengan B12, tapi kandungannya tidak mencukupi untuk diharapkan sebagai sumber terkaya.

Dos Keperluan

Pediatrik :
  • Bayi baru lahir himgga usia 6 bulan : 0.4 mcg (mencukupi)
  • Bayi 6 bulan - 1 tahun : 0.5 mcg (mencukupi)
  • Kanak-kanak 1 - 3 tahun : 0.9 mcg (RDA)
  • Kanak-kanak 4 - 8 tahun : 1.2 mcg (RDA)
  • Kanak-kanak 9 - 13 tahun : 1.8 mcg (RDA)
  • Remaja 14 - 18 tahun : 2.4 mcg (RDA)
Dewasa :
  • 19 tahun ke atas : 2.4 mcg (RDA)
  • Wanita hamil : 2.6 mcg (RDA)
  • Wanita menyusu : 2.8 mcg (RDA)
* RDA ialah Recomended Daily Allowance atau Saranan Dos Harian Yang Selamat.
*Dianggarkan 10-30% warga berusia, terutama mereka yang melewati usia 50, dijangka tidak mampu menyerap B12 dari bahan makanan dengan sempurna, maka mereka ini dianjurkan mengambil supplemen yang mengandungi B12.

Ambil Perhatian

Vitamin B12 boleh dianggap selamat dan tidak menimbulkan keracunan. Namun begitu, bila mengambil salah satu dari vitamin B Kompleks pada jangkamasa panjang boleh menyebabkan ketidak-saimbangan pada vitamin B yang lain. Atas sebab ini, adalah lebih baik mengambil vitamin B Kompleks sebagai asas.

Bagi pesakit Leber (sejenis penyakit mata), supplemen B12 boleh menyebabkan kerosakan pada saraf optik.

Moga bermanfaat !

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...