0

Friday, June 30, 2017

VITAMIN B12 : VITAMIN UNTUK KESIHATAN SARAF DAN OTAK !!!



Vitamin B12 @ Cobalamin

Vitamin B12 - nama kepada sekumpulan enzim-enzim yang mengandungi kobalt. Kumpulan enzim-enzim ini dikenali sebagai cobalamin. Cobalamin @ B12 adalah salah satu dari 8 ahli keluarga vitamin B Kompleks. Cobalamin bersifat serap @ larut air.

Jenis-Jenis Vitamin B12

Umum menganggap semua jenis vitamin B12 adalah sama. Sebenarnya tidak. Ada 4 jenis utama vitamin B12, iaitu:

(1) cyanocobalamin (sintetik),
(2) hydroxycobalamin,
(3) methylcobalamin,
(4) adenosylcobalamin.

Fungsi-Fungsi Utama Vitamin B12

B12 mempunyai peranan penting kepada kesihatan tubuh. Antara fungsi-fungsi B12 :
  • B12 + B9 (folate / asid folik) membantu menghasilkan sel-sel darah merah (sel-sel darah merah berfungsi membawa oxygen ke seluruh tubuh)
  • B12 + B9 membantu zat besi berfungsi dengan baik di dalam tubuh
  • B12 + B9 menghasilkan S-adenosylmethionine (SAMe), sejenis bahan yang terlibat dalam sistem dayatahan tubuh dan gelombang perasaan
  • B12 + B9 + B6 mengendalikan paras asid amino homocysteine dalam darah iaitu sejenis asid amino yang dikaitkan dengan penyakit jantung
  • B12 memelihara kesihatan sel-sel saraf, dan menghasilkan lapisan myelin yang melindungi sel-sel saraf
  • B12 berperanan besar dalam metabolisma lemak dan karbohaidrat
  • B12 membantu penghasilan DNA dan RNA, iaitu unsur genetik tubuh.

Tanda-Tanda Kekurangan Vitamin B12

Tanda-tanda awal kekurangan B12 mungkin tidak disedari. Jika pun di periksa oleh doktor mungkin kelihatan paras B12 normal. Yang terkesan hanya berupa penyakit lain atau sebagai gejala usia meningkat tua kerana kebanyakan tanda-tanda kekurangan B12 lebih menunjukkan kepada gejala peningkatan usia.

Sebagai petanda kepada paras rendah B12 dapat di jangka apabila timbulnya beberapa gejala penyakit seperti :
  • Kelesuan tubuh yang melampau
  • Lemah segala anggota tubuh
  • Sesak pernafasan
  • Hilang daya ingatan dan selalu mudah lupa
  • Kegugupan, kekeliruan dan kecelaruan
  • Kebas atau rasa sesemut pada jari jemari tangan dan kaki
  • Pemahaman dan pengecaman bermasalah
  • Penglihatan bermasalah
  • Pendengaran berkurangan dan berdesing di telinga
  • Sakit mulut, lidah dan gusi berdarah
  • Kurang kesaimbangan tubuh
  • Perasaan mudah tertekan
  • Hilang selera makan
  • Cirit birit atau sembelit
  • Sulit tidur @ insomnia
  • Kulit pucat lesi, pada orang yang berkulit agak putih; kulit bertompok-tompok hitam pada orang berkulit gelap.

Penyebab Kekurangan Vitamin B12

Individu remaja jarang sekali kekurangan B12, tetapi bagi warga berusia kekurangan B12 adalah biasa. Hal ini bukan disebabkan bahan makanan yang di makan kurang berkhasiat, tetapi asid perut yang diperlukan untuk menyerap B12 sudah berkurangan di dalam usus warga berusia. Asid perut @ usus ini dikenali sebagai faktor intrinsik ("intrinsic factor"). Tanpa faktor intrinsik, B12 tidak boleh di serap.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menghalang @ mengurangkan pengeluaran faktor intrinsik ini:
  • Masalah penghadaman seperti penyakit Celiac, penyakit Crohn, atau bakteria berlebihan dalam usus kecil.
  • Usus dijangkiti parasit seperti Helicobacter pylori, H. pylori adalah perosak sel-sel perut yang menghasilkan faktor intrinsik, juga penyebab ulser usus.
  • Pembedahan atau bedah pintas di bahagian perut atau usus kecil ileum, dan pembedahan menurunkan berat badan.
  • Individu "Vegetarian" memakan hanya produk sayuran, kurang makanan tenusu atau telur. 
  • Penyakit pancreas. 
  • Pengidap HIV.

Ubat-ubatan yang boleh menurunkan kadar B12 dalam tubuh seperti :
  •  Ubat kencing manis; seperti metformin (glucophage)
  •  Kerap mengguna pump proton inhibitors; seperti prilosec, prevacid, nexium, dll. yang selalu digunakan untuk sakit uluhati seperti heartburn, acid reflux dan GERD.
  • Ubat Anti-kekejangan; phenytoin (dilantin), phenobarbital, primidone (mysoline)
  • Ubat Kemoterapi; seperti methotrexate
  • Ubat Gout; seperti colchicine 
  • Ubat merendahkan kadar kolesterol mudharat (LDL); seperti colestipol (colestid), cholestyramine (questran), dan colsevelam (welchol)
  • Penyekat H2 / H2 blockers, ubat mengurangkan asid perut atau lambung; seperti cimetidine (tagamet), famotidine (pepcid AC), ranitidine (zantac)
  • Perencat pam proton / Proton pump inhibitors, ubat mengurangkan asid perut atau lambung; seperti esomeprazole (nexium), lansprazole (prevacid), omeprazole (prilosec), rabeprazole (aciphex)
  • Antibiotik, Tetracycline : B12 jangan di ambil bersama dengan tetracycline; sebab b12 akan mengganggu penyerapan dan keberkesanannya. Tetracycline dan mana-mana vitamin B Kompleks perlu di ambil pada masa yang berbeda. Pengambilan antibiotik jangka panjang boleh mengurangkan paras vitamin B di dalam tubuh, terutama B2, B9, B12, dan vitamin H (biotin), yang turut di golong sebagai ahli keluarga vitamin B kompleks.

Penyakit-Penyakit Yang Memerlukan Vitamin B12
  • Pernicious Anemia @ anemia hiperkronik : Keadaan di mana sel-sel darah merah sangat berkurangan disebabkan sel-sel perut tidak mampu menghasilkan faktor intrinsik, justru tidak dapat menyerap B12. Pengambilan supplemen B12 dalam dos yang tinggi dapat membantu merawat masalah ini.
  • Penyakit Jantung : Banyak kajian menyarankan individu yang menghadapi paras asid amino homocysteine yang tinggi lebih berisiko mendapat penyakit jantung koroner (coronary artery) dan strok. Vitamin B compleks, terutama B12, B9, dan B6 didapati merendahkan paras homocysteine dalam tubuh. 
  • Kemerosotan Makula Mata Sebab Usia (AMD) : Satu kajian besar-besaran mendapati wanita yang mengambil : B12 (1,000 mcg) + B9 (2,500 mcg) + B6 (500 mg) setiap hari, kurang risiko mengidap AMD, penyakit mata yang boleh berakibat buta penglihatan.
  • Kelesuan : Kelesuan adalah salah satu tanda kekurangan B12. Satu kajian awal menunjukkan B12 bermanfaat pada pengidap sindrom kelesuan melampau.
  • Kanser Payudara : Belum ada bukti-bukti sahih bahawa B12 boleh mengurangkan risiko kanser payudara. Kajian umum ada menunjukkan wanita yang mengambil lebihan B9 dari permakanan didapati kurang risiko kanser payudara. Dirumuskan, B12 + B9 boleh membantu menghindar dari risiko kanser payudara. Satu kajian awal yang lain menunjukkan bahawa wanita yang telah putus haid dan kurang mendapat B12 dari permakanannya akan menghadapi risiko mengidap kanser payudara.
  • Kesihatan Lelaki : Kajian menunjukkan bahawa supplemen B12 boleh memperbaiki kandungan sperma dan kemampuan sperma untuk berenang.

Sumber Vitamin B12

Vitamin B12 hanya boleh didapati dari makanan yang bersumberkan daging binatang. Sumber terbaik ialah :
  • Ikan
  • Cengkerang, ketam dan siput
  • Produk tenusu
  • Organ daging, terutama hati dan ginjal
  • Telur
  • Bijiran dan minuman di perkaya dengan B12, tapi kandungannya tidak mencukupi untuk diharapkan sebagai sumber terkaya.

Dos Keperluan

Pediatrik :
  • Bayi baru lahir himgga usia 6 bulan : 0.4 mcg (mencukupi)
  • Bayi 6 bulan - 1 tahun : 0.5 mcg (mencukupi)
  • Kanak-kanak 1 - 3 tahun : 0.9 mcg (RDA)
  • Kanak-kanak 4 - 8 tahun : 1.2 mcg (RDA)
  • Kanak-kanak 9 - 13 tahun : 1.8 mcg (RDA)
  • Remaja 14 - 18 tahun : 2.4 mcg (RDA)
Dewasa :
  • 19 tahun ke atas : 2.4 mcg (RDA)
  • Wanita hamil : 2.6 mcg (RDA)
  • Wanita menyusu : 2.8 mcg (RDA)
* RDA ialah Recomended Daily Allowance atau Saranan Dos Harian Yang Selamat.
*Dianggarkan 10-30% warga berusia, terutama mereka yang melewati usia 50, dijangka tidak mampu menyerap B12 dari bahan makanan dengan sempurna, maka mereka ini dianjurkan mengambil supplemen yang mengandungi B12.

Ambil Perhatian

Vitamin B12 boleh dianggap selamat dan tidak menimbulkan keracunan. Namun begitu, bila mengambil salah satu dari vitamin B Kompleks pada jangkamasa panjang boleh menyebabkan ketidak-saimbangan pada vitamin B yang lain. Atas sebab ini, adalah lebih baik mengambil vitamin B Kompleks sebagai asas.

Bagi pesakit Leber (sejenis penyakit mata), supplemen B12 boleh menyebabkan kerosakan pada saraf optik.

Moga bermanfaat !
0

Wednesday, June 14, 2017

JOM TANAM ALPUKAT @ AVOCADO !!!
BAHAGIAN 1  :   GARIS PANDUAN MENYEMAI BIJI ALPUKAT ...


Jus Alpukat
Alpukat Hass Australia / Afrika
Alpukat Hass Australia / Afrika

Jus alpukat

memang menyegarkan, berkhasiat menyihatkan tubuh. Ingin selalu meminumnya !

Di Malaysia, tak ada pilihan alpukat; cuma Alpukat Hass Australia yang selalu di jual di Mall dan Supermarket. Kekadang, ada juga Alpukat Hass Afrika. Ini kerana ada pihak-pihak dari Australia yang giat mempromosi alpukat dari negara mereka. Kehadiran buah alpukat di Malaysia merupakan salah satu buah-buahan import yang didatangi dari luar negara ! 

Negara serumpun Indonesia memang tersohor dengan alpukat. Berbagai varieti unggul terdapat di sana. Alpukat Kendil, Hawaii Jumbo, Pear Jumbo, Wina Bandungan, Alligator Pear, Mentega Miki dan banyak lagi terdapat di sana. Indonesia bagaikan rumah alpukat ! 

Sayang 1000 kali sayang, alpukat Indonesia jarang sekali dijumpai di sini. Kalau ada pun di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Kenapa ya ? Mungkin tiada individu yang giat mempromosi. Mungkin kurang siasah marketing. Entahlah ! Pada saya, alpukat Indonesia lebih umphh, enak dan "creamy" ! 

Alpukat Malaysia? Sedih sekali, majoriti warga Malaysia masih terasing terhadap alpukat. Jarang-jarang, kadang-kadang terjumpa pohon alpukat yang di tanam di sini. Justru, timbul semangat ingin menanam alpukat ! 

Google dan google lagi bagaimana cara menyemai alpukat. Niat mau menyemai biji-biji alpukat. Mau tanam pokok alpukat. Nanti jika terdapat anak pokok varieti alpukat unggul dari Indonesia atau mana-mana negara yang sampai di sini, boleh diklonkan !

Jom, kita lihat kaedah menyemai biji alpukat !!! 


CARA MENYEMAI ALPUKAT DARI BIJI
Langkah-Langkah Cara Menyemai Biji Alpukat

1:  Biji Benih Alpukat Di bersih & Diistirihatkan Dahulu

Biji dicuci bersih, lalu dikeringkan. Kemudian, biji-biji diistirihatkan dahulu pada cuaca panas biasa selama sekurang-kurangnya 3 - 7 hari.

2:  Mengenalpasti Bahagian Atas dan Bawah Biji

Terlebih dahulu bahagian atas dan bawah biji alpukat amat perlu dikenalpasti. Biji alpukat memiliki 2 bahagian. Bahagian bawah sebagai tempat akar tumbuh, berbentuk lebih lebar dan membulat. Bahagian atas sebagai tempat tunas batang menumbuh, berbentuk lebih membujur.

3:  Tusuk Biji Alpukat Pada 3 - 4 Penjuru 

Tusuk biji alpukat dengan penusuk gigi. Sebaiknya penusuk yang di buat dari buluh, keras dan tidak mudah patah. Tusuk pada 3 - 4 penjuru pada jarak yang sama. Penusuk gigi ini berfungsi menahan biji agar tidak terendam seluruh biji benih di dalam air. Tusuk menukik sedikit ke atas agar lebih banyak bahagian bawah yang terendam oleh air. Perlu menusuknya dengan kemas supaya biji alpukat tidak terlepas dan terjatuh kesemuanya ke dalam air. 

4:  Biji Benih Diletakkan Di atas Bekas Gelas/Plastik 

Seterusnya, letakkan biji benih yang di tusuk di atas bekas yang berisi air. Bekas tersebut dijadikan tempat semaian, dan air sebagai medianya. Jika menggunakan bekas "transparent", dapat melihat perkembangan akar-akarnya yang menumbuh. 

Sentiasa pelihara agar biji alpukat terendam dalam air kira-kira ¾ bahagian bawahnya. Tambah air jika airnya berkurangan dan tidak mencecah bahagian bawah. Pastikan juga agar bahagian atas biji tidak terendam ke dalam air. 

Kemudian, letakkan bekas di tempat yang tidak terdedah kepada sinar matahari, misalnya dekat jendela rumah. Jangan simpan biji alpukat di bawah terik sinar matahari saat percambahan ini.

Ganti air bersih yang baru 5 hari sekali untuk mencegah di serang kulat, bakteria dll yang boleh membunuh akar yang baru mula tumbuh. 

5:   Waktu Biji Alpukat Tumbuh 2 - 8 Minggu 

Selanjutnya, menunggu akar dan tunas tumbuh. Jangka waktu munculnya tidak dapat dipastikan. Ada yang segera tumbuh hanya dalam waktu 2 – 4 minggu. Bahkan ada yang sampai 8 minggu. Jadi, bersabarlah! 

Di waktu penantian ini, dapat disaksikan bahagian atas alpukat akan mengering dan membentuk celah. Kemudian kulit coklat di bagian luar biji akan mengelupas. Biji akan mulai retak memanjang sampai ke bawah. Melalui celah di bahagian bawah, akar kecil akan mula muncul. Akar tersebut semakin tumbuh banyak. Akhirnya tunas kecil akan mula tumbuh melalui bahagian atas rekahan biji alpukat.

Beri perhatian di fasa ini, tambah air jika mengurang. Jangan biarkan akar tersebut mengering tanpa air kerana tanaman boleh mati.


6:  Potong Pokok Bila Meninggi 6 inci/15 cm 

Bila tunas alpukat telah tumbuh setinggi 6 inci (15 cm), potong tunas ditengahnya sepanjang 3 inci (7 cm). Hal ini akan memicu pertumbuhan batang dan daun yang lainnya. 

Sekitar 2 - 3 minggu seterusnya, akan muncul daun-daun baru dan akar tanaman lebih banyak. 





7:  Pemindahan Ke Dalam Polibag/Pasu Bunga 

Bila pucuk batang tinggi mencapai 6 inci/15 cm, pindahkan pohon alpukat dari gelas @ bekas plastik yang berisi air ke dalam polybag/pasu bunga berukuran sederhana.

Gunakan media tanaman peatmoss dan tambahkan media tanaman sampai menutupi biji alpukat. Pastikan batang pohon tegak lurus dan tidak mereng. 

Letakkan di tempat yang terdedah penuh kepada sinar matahari. Pancaran sinar matahari akan mempercepat pertumbuhan pohon.

Bila pohon alpukat mencapai ketinggian sekitar 12 inci/30 cm, lakukan pemangkasan. Potong setengahnya biar pohon tetap rendah. Cara ini akan mempergiat pertumbuhan. 

Siram tanaman dengan air secukupnya pagi dan petang agar media sentiasa lembab. Jangan pula sampai becak lencun. 



 *Tips:

- Jika daun-daun berubah menjadi kuning, itu berarti terlalu banyak di siram air, maka keringkan tanaman, lalu siram seperti biasanya. 

- Jika daun-daun berubah menjadi coklat dan ujung-ujung daunnya mengering, itu berarti tanah terlalu banyak mengandung garam. Maka siramlah pohon dengan air sebanyak-banyaknya lalu keringkan dan siram seperti biasa. 

 8:  Pembajaan NPK Setiap 2 Minggu Sekali 

Selama dipolybag lakukan pembajaan. Ada yang membajai dengan berselang-seli antara urea dan NPK 20-10-10 setiap 2 minggu sekali. 

(Dosis 2 gram/liter. Cara mudah : 1 sudu teh baja NPK 20-10-10 dilarutkan dalam 2 liter air).

Bilamana perlu, sembur racun serangga untuk pengendalian hama dan penyakit. 

Demikianlah garis panduannya, yang dibahagikan oleh beberapa petani berpengalaman terutama dari Indonesia, untuk manfaat bersama. Muga bermanfaat, imsyaAllah! 

JOM CUBA !!!
0

Saturday, June 3, 2017

RAHSIA PARA WANITA YAO :
MEREKA TIDAK BERUBAN MESKIPUN MELEWATI USIA 70AN, RAMBUT MASIH SEGAR, DAN PANJANGNYA MELEWATI KIRA-KIRA 2 METER !



Mudah, murah, dan berkesan!!! Rambut tidak cepat beruban, sentiasa bersinar, sepertimana para wanita dari suku Yao.

Huangluo, sebuah daerah di negara China, didiami oleh suku Yao. Mereka memiliki rambut yang panjang, segar, dan tidak beruban. Mereka bercukur rambut hanya sekali seumur hidup kerana berkahwin.

Ramai wanita mahupun lelaki di kalangan masyarakat kita harini menghadapi masalah rambut beruban, tidak segar, layu, kering dan adakalanya rambut rosak atau rontok, meskipun masih di usia muda. Ini disebabkan minyak rambut atau shampoo banyak mengadungi campuran bahan-bahan kimia. Jom kita cuba kaedah yang diamalkan oleh wanita Yao ini.

Wanita Yao membasuh rambut mereka dengan lebihan air yang digunakan bagi menanak nasi !

Kajian mendapati air nasi mengandungi zat-zat gizi dan vitamin E, dan mempunyai nilai-nilai zat yang menjadikan rambut lembut, sihat dan tidak mudah rusak. Jika rambut sudah rusak, air masakan nasi mengandungi karbohaidrat bagi menyuburkan rambut. Asid amino juga terdapat dalam air rebusan nasi, boleh menguatkan akar rambut, dengan demikian rambut tidak mudah gugur, lembut dan bersinar.

PERSEDIAAN:
       
  • Tanak nasi (paling baik menggunakan beras perang) dan tambah air melebihi dari yang sepatutnya.    
  • Air lebihan tersebut di ambil ketika nasi mendidih.    
  • Simpan air tersebut pada suhu biasa, kira-kira 24-48 jam. Ia akan menjadi sedikit masam.
  • Gunakan bagi membasuh rambut, dan yang belum digunakan di simpan di dalam peti ais untuk membasuh rambut nantinya. (Jika inginkan aroma harum, boleh tambah beberapa titis minyak haruman yang diminati).
  • Urut kulit kepala kira-kira 5 minit, dan kemudian basuh dengan air. Tidak perlu shampoo atau mask. Lebih baik dibiarkan rambut kering sendiri.

Air menanak nasi adalah juga baik untuk digunakan sebagai lotion tubuh dan wajah atau untuk menanggalkan cecair make-up.

Muga bermanfaat !
Saya pun nak cubalah !!!
0
JOM TANAM KURMA !!!
BAHAGIAN 1 - GARIS PANDUAN MENYEMAI BIJI-BIJI KURMA



CARA CEPAT MENUMBUHKAN BIJI-BIJI KURMA

Garis panduan ini diperdapat dari admin blog Organikilo.co - Joko Samùdro. Teknik menumbuhkan biji kurma dengan menggunakan tisu basah. Menurut beliau, percambahan biji kurma lebih cepat, dengan kejayaan cambah mencapai 90 – 99.99 %.

Alat-alat yang perlu disediakan :
1 – Biji-biji kurma
2 – Air mineral/air yang tidak tercemar
3 – ZPT (Zat Pengatur Tumbuh/growth regulator)
4 – Tisu
5 – Tupperware/wadah plastik berpenutup.

1    BIJI-BIJI KURMA PERLU DI CUCI BERSIH, MENCEGAH DARI SERANGAN KULAT

Langkah pertama, biji-biji kurma perlu dibersihkan dari sisa-sisa isi kurma. Bersih dengan menggunakan air dan pasir halus. Bersihkan hingga benar-benar bersih. Biji kurma yang bersih adalah faktor utama keberhasilan percambahan biji kurma.

Jika kurang bersih, risiko di serang kulat. Kulat akan menyerang biji-biji kurma sebelum sempat bercambah. Serangan kulat akan mengakibatkan kegagalan pada proses percambahan.

2   BIJI-BIJI KURMA DI RENDAM DALAM AIR BERCAMPUR LARUTAN ZPT AGAR CEPAT TUMBUH

Langkah berikutnya, proses perendaman. Biji-biji perlu di rendam selama 7 hari.

Hari pertama : biji-biji di rendam dalam air mineral/air bersih yang di campur dengan ZPT. Dosis ZPT : 10 ml atau 1 penutup di campur dengan air 1 liter. Waktu rendaman: selama 24 jam.

Hari ke 2 hingga hari ke 6 : biji-biji di rendam dalam air mineral/air bersih tanpa campuran ZPT. Air rendaman sebaiknya di ganti setiap 24 jam sekali dari hari ke 2 hingga hari ke 6.

Hari ke 7 : sekali lagi rendam ulang  biji-biji kurma selama 24 jam dalam air mineral/bersih yang di campur dengan ZPT. Dosis yang sama 10ml/liter air.

3  BIJI-BIJI KURMA DI SEMAI  BERALASKAN TISU BAGI MEMPERCEPAT PERCAMBAHAN

Berikutnya, setelah biji-biji kurma melalui proses 7 hari perendaman, tiriskan biji kurma dari larutan ZPT. Dan angin-anginkan sejenak selama 1-2 jam.

Selanjutnya, biji-biji di semai di atas alas tisu yang dibasahi dengan air mineral di dalam Tupperware/wadah plastik berpenutup. Susun rapi setiap biji ikut jarak sesuai keinginan. Kemudian tutup rapat dan simpan di tempat yang gelap terhindar dari sinar matahari. Dari waktu ke waktu pastikan tisu dibasahi dengan air bersih.

Biasanya biji-biji kurma memerlukan 4 – 7 hari untuk mula tumbuh akar cambahannya.

Setelah 14 hari lebih  (2 minggu lebih), biasanya akar kurma dapat memanjang 2 – 3 cm. Di tahap ini biji-biji kurma boleh dipindahkan ke media tanaman dalam polibag.

Buat permulaan, letakkan tunas berpolibag di tempat ternaung dari sinar terik matahari. 

Demikianlah garis panduan yang diberikan oleh Pak Joko, seorang yang berpengalaman dalam penanaman pohon kurma.

*Semuga ilmu hasil dari pengalaman Pak Joko dapat dikongsikan dan dimanfaatkan dan memberi pengetahuan untuk kita bersama. 

 JOM CUBA !!!
------------------------------
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...