0

Friday, April 18, 2014

Ada Apa Pada Mangga ?

Mangga. Mempelam. Mango 



Pohon mangga tergolong dalam genus Mangifera indica L., iaitu sekelompok spesis pohon buah-buahan tropika, dari keluarga pepohonan Anacardiaceae.

Mangga berasal dari Selatan Asia. Merupakan pohon yang banyak tumbuh dan ditanam dinegara-negara beriklim tropika dan sub-tropika.

Kini tumbuh bercambah hampir seluruh dunia; padat di India dan Asia Tenggara: Malaysia, Sumatra, Pulau Jawa, Borneo,Thailand, Kemboja, Filipina, Burma. Juga terdapat di Afrika, Brazil, Mexico, Sepanyol, China, negara-negara Amerika, Pulau Caribbean, Australia, Pakistan, Bangladesh dll.

Mangga begitu tersohor sehingga menjadi tampuk lambang kepada negara India, Filipina dan Bangladesh.

India kini menjadi pengeluar terbesar dunia. Diikuti dengan China, Thailand, Indonesia, Pakistan, Mexico, Brazil, Bangladesh, Nigeria dan Filipina.

Terdapat lebih dari 400 spesis mangga. Mangifera indica atau mangga India (berasal dari India dan Burma) lebih diminati dan menjadi pilihan.

Pohon mangga meninggi kira-kira 35–40 m (115–131 ft), merendang dan merimbun. Jangka hayat setengah spesis boleh menjangkau sehingga 300 tahun.

Jenis-Jenis Mangga Di Malaysia


Alfonso, India
Harumanis
Nam Dok Mai, Water Lily
Mangga Fa lan? Golek? (besar)
dan Sikuraja (kecil)
Mangga Kelapa
Chok Anan
Mangga Epal
Thomas Atkins
Mangga Pama,
dipercayai dari Thailand

Terdapat banyak varieti mangga Mangifera indica di Malaysia. Dari varieti tempatan maupun import, yang ditanam dan dijumpai di serata daerah di Malaysia. Lebih dari 100 varieti klon unggul yang telah didaftar, dan banyak lagi yang belum berdaftar.

Namun begitu, Thailand sentiasa menjuarai disegi teknologi pertanian dan pemasaran produk-produknya, termasuk varieti pohon-pohon mangga dan buahnya. Varieti-varieti mangga, baru dan lama, dari Thailand sering diperkenal dan terkenal, digemari, ditanam, dan menguasai pasaran di Malaysia. Perkara yang sama berlaku di Indonesia.

Sektor pertanian Indonesia juga sangat giat dan rancak. Layari saja laman-laman di internet, pencarian bibit-bibit varieti yang bakal ditanam, akan banyak terpampang sumber penjualan dimerata tempat.

Malaysia, meskipun bergiat dan memiliki beberapa varieti unggul, tetapi masih jauh kebelakang disegi teknologi dan pemasaran produk pertaniannya. MARDI, Kementerian Pertanian dan giat industri pertanian belum boleh dibanggakan !

Varieti-varieti mangga yang ditanam atau beredar dipasaran Malaysia, antara lain:

Klon MA 128 atau Harumanis- berasal dari Sungai Nibong, Kuala Selangor. Saiz buah sederhana besar, berat antara 400-450 gm sebiji. Bentuk buah bujur telur dan bengkok sedikit dihujungnya. Kulit buah berwarna hijau walaupun telah masak. Isi tebal warna oren, berjus, tekstur isi halus, berbau harum, rasa enak dan manis.

Harum Manis boleh dilabelkan mangga orang kaya, kerana agak mahal, bukan semua orang mahu mengorbankan wang untuk menikmatinya, sepertimana yang terjadi pada Durian Kunyit (Musang King).

MA131 atau Mangga Haji Dollah, atau Mangga Nangka Udang, atau Mangga Nangka Betik. Buah bersaiz besar panjang 26 sm dan lebar 12 sm. Bentuk memanjang membulat sedikit dipangkal hujung buah. Berat purata 1.8-2.3 kg sebiji. Kulit sederhana tebal, berwarna kuning kehijauan bila masak. Isi tebal, halus berwarna kuning kemerahan bila masak. Rasa masam-masam manis dan sedikit beraroma.

MA 162 atau Mangga Foo Fatt atau Mangga Golek. Berasal dari Port Dickson. Saiz buah sederhana besar dan purata berat buah ialah 500 gm sebiji. Buah berbentuk bulat memanjang dan bengkok di hujung. Kulit buah berwarna hijau kekuningan apabila masak. Isinya tebal, berwarna oren, bertekstur halus dan rasanya manis tetapi tidak beraroma.

MA 165 atau MAHA 65. Berasal dari Negeri Kelantan. Saiz buah agak besar antara 450-600 gm sebiji, berbentuk panjang dan leper. Kulit buah berwarna hijau kekuningan bila masak. Isinya berwarna kuning muda, tebal tanpa sabut, tekstur isinya halus, rasa manis tidak beraroma. 

MA 204 atau Mangga Melele atau Mas Muda. Berasal dari Ko'diang, Kedah. Saiz buah sederhana, berbentuk bulat membujur dan mempunyai puting yang nyata di bahagian tangkai buah. Kulit buah berwarna hijau kekuningan. Isinya berwarna kuning, berjus dan beraroma, isi berserat.

MA 223 atau Nam Dok Mai atau Water Lily. Berasal dari Thailand. Buah berbentuk bujur dan membengkok sedikit di bahagian hujung. Saiz buah sederhana besar dan purata berat buah adalah diantara 400-450 gm sebiji. Kulit buah masak berwarna kuning emas dan isinya berwarna kuning. Rasanya manis, berbau harum, berjus dan bersabut sedikit.

MA224 atau Chok Anan. Berasal dari Thailand.Varieti ini paling banyak dipasaran. Harganya agak murah dibandingkan dengan varieti-varieti lain.

Varieti-varieti lain seperti; Irwin (MA 150), Keith (MA 151 jenis mangga besar), Sala, Mas Hitam, Siam Panjang, Mun Diem Kaw, Tommy Atkins, Malgoa, Mangga Kelapa, Sikuraja, Mangga Lemak Manis, Fa lan, Golekn India, Gading Gajah, Pama, juga Kuinin Kurau Madu dll. Mangga Epal, dan Mangga Telur lebih popular di tanam keliling rumah.

Anekarasa Mangga



Saiz buah mangga berbagai bentuk: dari sekecil telur ayam hingga sebesar kelapa; dari yang bulat, leper, membujur, lonjong, memanjang dsbnya. Warna kulit dan isinya juga beraneka: dari warna putih, kekuningan, oren, ungu dan merah; dari isi yang tebal berbiji tipis, penuh isi, lembut, kenyal, kental, empuk, berserat, kurang berserat ala pudding, atau berjus. Rasa setiap varieti mangga yang ranum juga masing-masing berbeza: dari tawar hambar, masam, lemak, masam-masam manis, manis, bermadu atau harum.

Sebagai bahan makanan, buah mangga amat sinonim kepada masyarakat Asia Tenggara. Buah mangga yang mekal kemasaman juga gemar dimakan, terutama bagi golongan wanita. Ia juga boleh dibuat rojak, jeruk, bahan kerabu, bahan masak lemak, pudding, perasa ais krim, perasa dodol, perasa gula-gula dan coklat, minuman serbat dan 'milkshake', dan berbagai ragam resepi sajian.

Mangga unggul yang ranum seringkali dimakan mentah sebagai sajian pencuci mulut atau dibuat jus.

Nutrien dan Zat Phytokimia



Mangga banyak varieti. Dan nutrien dan zat kimia-phyto yang terkandung didalam buah mangga didapati sedikit sebanyak berbeza antara varieti-varietinya. Namun, secara purata seperti berikut;

Analisa kandungan zat makanan dalam mangga mendapati mangga mengandungi pelbagai nutrien dari vitamin dan zat gizi, zat kimia-phyto polyphenol, dan serat makanan.   

Tenaga dan Karbohidrat. Nilai tenaga bagi setiap 1 cawan (165 g) buah mangga adalah kira-kira 448 kJ (107 kcal); mengandungi 28 g karbohidrat bersamaan 9% dari saranan harian sebanyak 2,000 kalori. Karbohidratnya terdiri dari kira-kira 22 g gula ringkas dan 3 g serat bersaman 12% dari kadar saranan harian serat. Justru, buah mangga adalah pilihan makanan berserat yang baik.
  • Permakanan yang kaya berserat boleh menyihatkan usus, dan mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser, tekanan darah tinggi, kencing manis, buncit, kadar kolesterol tinggi dan strok. 

Protein. Mangga mengandungi 17 jenis asid amino yang seimbang.  Juga terdapat asid lemak poli tak tepu, omega-3 dan -6.

Vitamin.  Vitamin anti-oksidan terkandung dalam buah mangga: vitamin A, C, E dan K masing-masing merupakan 25%, 76%, 9% dan 9% dari Kadar Saranan Harian dalam setiap sajian 165 gram.

Mangga juga mengandungi vitamin B-kompleks yang baik; vitamin B1/thiamin, B2/riboflavin, B3/niasin, B5/asid pantothenik, B6/pyridoxine, B9/folate, B12/kobalamin masing-masing terdiri dari 6%, 6%, 5%, 3%, 11%, 6% dan 0% dari Kadar Saranan Harian dalam setiap sajian 165 gram.

Vitamin B6 diperlukan untuk penghasilan hormon GABA Asid Gamma-Aminobutyrik) dalam otak. GABA adalah sejenis asid amino yang unik tidak tergolong dalam protein. Ia bertindak sebagai 'neurotransmitter' dalam sistem saraf pusat pada otak, unsur penenang aktiviti saraf dan kemurungan, unsur pertumbuhan otot, memberi kesan positif kepada hormon tumbesaran, dan mengawal paras 'homocystiene' dalam darah iaitu anasir yang memusnahkan saluran darah dan menyebabkan strok. 

Zat Gizi. Disamping itu, terdapat juga zat-zat gizi seperti kalsium, besi, magnesium, fosforus, potassium, sodium, zinc, tembaga, manganese dan selenium.

Kadar tembaga sederhana (melebihi 10% dari saranan harian), dan tembaga berperanan sebagai faktor gandingan kepada banyak enzim penting, seperti cytochrome c-oxidase dan superoxide dismutase (zat gizi lain yang menjadi faktor gandingan kepada enzim ini ialah manganese dan zinc). Tembaga juga diperlukan dalam penghasilan sel-sel darah merah. 

Zat Karotenoid dan Flavonoid Polyphenol. Kulit dan isi buah mangga mengandungi bahan-bahan seperti pigmen karotenoid dan anti-oksidan flavonoid polyphenol. Kira-kira 25 jenis karotenoid terdapat dalam isi mangga. Paling pekat ialah karotenoid pemula vitamin A beta-karotin, lutein dan alpha-karotin, yang merupakan pigmen/warna oren-kuning pada kebanyakan isi mangga. Flavonoid seperti beta-karotin, alpha-karotin, dan beta-cryptoxanthin dalam buah mangga agak kaya.
  • Bersama dengan vitamin C, mangga memiliki nilai-nilai anti-oksidan dan sangat baik bagi menyihatkan mata dan penglihatan. 
  • Karotenoid pemula Vitamin A juga diperlukan bagi memelihara kesihatan selaput lendir dan kulit. 

Kulit, isi dan daunnya juga banyak mengandungi kimia anti-oksidan flavonoid polyphenol tersebut; seperti quercetin, kaempferol, catechins, tannin, xanthonoid (xanthone), mangiferin, asid kaffeik, dan asid gallik. Kajian-kajian lebih mendalam giat dijalankan tentang potensi kimia-kimia tersebut bagi membendung perkembangan radikal bebas yang menjadi penyebab beberapa jenis penyakit kronik. Kajian awal dari Texas A & M University, 2009 melapurkan bahawa buah mangga didapati mengandungi zat phytokimia yang tinggi, seperti gallotannin, mangiferin dan flavanol glycoside; zat-zat phytokimia adalah bahan kimia dari pokok yang mempunyai nilai-nilai anti-oksidan yang dapat melindungi tubuh dari kanser kolon, payudara, leukemia dan prostat; mengurangkan risiko kadar kolesterol tinggi, penyakit jantung, kemerosotan sel dan tisu, dan penyakit kencing manis.

Perhatian !   Getah pada kulit buah mangga jika termakan bersama isinya boleh menyebabkan gatal-gatal pada lidah, bibir, mulut atau gusi. Getah mangga dari lelehan tangkai buah, kulit buah, daun, atau dahan, jika tersentuh atau terpalit, boleh menyebabkan gatal-gatal pada kulit.

Keadaan ini disebabkan getah mangga mengandungi flavonoid polyphenol seperti mangiferen, asid resin, asid mangiferik, resinol yang dikenali sebagai mangiferol, dan juga urushiol. Kelopak mata, muka, atau mana-mana bahagian tubuh boleh membengkak. Gatal-gatal pada kulit boleh menyebabkan kelecuran. Juga, asap dari pembakaran daun, dahan, atau batang pohon mangga boleh memberi kesan gatal-gatal pada kulit.

Jom tanam mangga   !


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...