0

Sunday, October 8, 2017

JOM TANAM POKOK MANGGA !!!
BAHAGIAN  1 :  CARA MUDAH & CEPAT MENYEMAI BIJI-BIJI MANGGA UNTUK DIJADIKAN POHON PENANTI ...




Kaedah menyemai biji-biji mangga, hampir sama dengan kaedah menyemai biji-biji durian.

Biji-biji benih di semai dengan menggunakan kertas tisu. Mudah, cepat, berhasil dan tidak mengeciwakan  !!!


1  MEMILIH BIJI-BIJI MANGGA UNTUK DI SEMAI

Pilih biji-biji yang sihat, matang, dan tidak kesit/lisut.

Tidak sulit memilih biji-biji mangga untuk di semai. Sekian banyak buah mangga yang di jual di pasaran, mall, pasar malam, supermarket, atau gerai-gerai di tepi jalan. Mangga tempatan mahu pun dari India atau Thailand, boleh saja. Mangga-mangga dari negara ini mempunyai iklim yang lebih kurang sama dengan iklim di Malaysia.


2   PENYEDIAAN BIJI-BIJI UNTUK SEMAIAN. Ini penting !

Biji mangga terdiri dari 2 bahagian:
  • Kulit biji @ endocarp, iaitu lapisan kulit keras yang melindungi biji benih yang lembut didalamnya; dan
  • Biji benih, yang berada di dalam endocarp.

Yang perlu disemai ialah biji benih yang berada di dalam endocarp itu. Jika menyemai biji benih beserta endocarpnya, proses percambahan biji benih menjadi lambat sehingga 2 - 5 minggu dan berisiko tinggi di serang kulat, bakteria dll. Akibatnya, risiko biji-biji gagal mencambah !

Oleh itu, untuk memperoleh hasil yang tidak mengeciwakan, biji benih di dalam endicarp perlu dikeluarkan.

Cara mudah mengeluarkan biji benih:

Gunting endocarp di bahagian hujung yang kosong berongga. Ada beberapa varieti mangga, bahagian kosong berongganya terletak di pangkal, ada pula di hujung, maka bahagian pangkal atau hujung yang berongga itulah yang di gunting. 

Kemudian, tekan sedikit di kedua-dua penyambung endocarpnya. Akan tampak biji benih didalamnya.

Kemudian, kelupaskan dengan jari-jari pada bahagian perutnya. Bahagian perut endocarp lebih mudah di kelupas. Keluarkan biji benih mangga didalamnya.

Setelah biji benih dikeluarkan, biji-biji benih perlu dibersihkan dengan air dari sebarang kotoran. Jika kulit kepada biji-biji tersebut sudah mengelembong mudah di tanggal, maka tanggalkan kulit biji tersebut. Jika kulit biji masih utuh melekat pada biji, jangan memaksa menanggalkan kulitnya.

 Biji benih inilah yang akan disemai !



3   BIJI-BIJI DI SEMAI BERALASKAN KERTAS TISU

Selanjutnya, biji-biji di semai dalam bekas plastik berpenutup, beralaskan kertas tisu. Tiap-tiap biji di susun rapi. Kemudian, tisu dibasahi/disembur dengan air bersih/mineral. Sekadar membasah, tidak terlalu berlebihan air sehingga menakung atau lencun.

Kemudian, bekas plastik di tutup rapat dan di simpan di tempat yang terlindung dari sinaran matahari. Tujuan menutup bekas plastik ialah menghalang pengwapan air,  menjadikan kertas tisu cepat kering.

Dari waktu ke waktu, periksa perkembangan biji-biji benih.
  • Jika nampak berkulat warna kehitaman, ambil biji tersebut dan bersihkan dengan air.
  • Jika biji separuhnya mula membusuk bererti biji tersebut masih muda dan belum cukup syarat untuk mencambah, perlu di buang. 
  • Jika kulit yang membaluti biji benih sudah lekang maka perlahan-lahan cuba tanggalkan sehingga tinggal biji benih yang bersih. 
  • Jika kertas tisu agak kering, di sembur atau di tambah air biar kertas tisu sentiasa basah.

Dalamasa 1-2 minggu seterusnya, biji benih selalunya akan mula mencambah. Tandanya bila keluar akar-akar dahulu. Disusuli dengan calon daun pemula.

Jika akarnya kelihatan teguh dan batang pemula sudah mula menegak, di waktu ini penutup kepada bekas boleh di buka, tak perlu lagi di tutup bagi membolehkan tunas batang melonjak ka atas tanpa halangan. Bila penutup bekas di buka, perlu di beri perhatian kepada kelembapan kertas tisu, kerana akan cepat kering.

Atau pilihan lain, benih-benih tersebut sudah selamat dipindahkan ke media dalam polybag.

* Media

Sebaiknya gunakan media organik. Media organik banyak jenama, mana-mana pilihan pun boleh di beli dari nursery pertanian.

Media lain juga boleh digunakan asalkan gambut, supaya akar-akar pemula mudah menjalar ke dalam media dan batang pemula cepat tumbuh.

* Penyiraman

Lakukan penyiraman di waktu pagi 1 kali dan di waktu petang 1 kali, untuk menjaga kelembapan media tanaman.


4   BIJI-BIJI BERTUNAS DI DALAM POLIBAG

1 minggu anak-anak pokok dalam polybag diletakkan di tempat yang teduh
2 minggu terdedah pada cahaya matahari penuh
Buat sementara waktu, letak polybag yang berisi calon anak pokok tersebut di tempat yang redup dan terlindung dari sinaran matahari. Biarkan akar-akarnya menunjang ke dalam media dan daunnya terus tumbuh berwarna coklat.

Dalamasa 1-2 minggu kemudian, jika daun akan terbentuk sempurna dan sihat dan bertukar warna dari coklat kepada kehijauan, bolehlah pindahkan tanaman muda tersebut ke tempat yang terdedah penuh kepada sinaran matahari agar dapat tumbuh secara normal.




5   BAJA PERTUMBUHAN
Usia 4 bulan akan jadi begini

Buat permulaan, cuba elak dari menggunakan baja kimia. Baja kimia terlalu panas, boleh mematikan anak pokok. Guna baja organik.

Saya menggunakan baja organik Easygrow. Baja organik juga banyak jenama, di jual di nursery pertanian. Setiap minggu 1 kali anak-anak pokok di sembur dengan baja organik tersebut.


6   ANAK-ANAK POKOK SEBAGAI POHON PENANTI

Bila anak pokok mangga telah tumbuh membesar dengan ketinggian mencapai 2-2.5 kaki anak pokok mangga tersebut selamat dijadikan sebagai pohon penanti untuk proses cantuman mangga klon yang menjadi pilihan selanjutnya.


Muga bermanfaat !
SALAM PERTANIAN !!!

0
JOM TANAM POKOK KURMA !!!
BAHAGIAN 2 : PERCUBAAN MENYEMAI KURMA ANBARA...

PESONA KURMA !

Terpesona dengan kemasyuran kurma, timbul hasrat ingin menanam pokok kurma. Dari pengalaman beberapa Pak Tani yang telah berjaya menanam kurma sehingga berbuah di Indonesia dan Malaysia, maka saya turut ingin mencuba menanam pokok kurma di bumi Malaysia.
Ramandhan 2017 menjelang. Berbagai jenis kurma di jual di pasaraya kecil mau pun besar, kedai-kedai, bazar ramadhan dsbnya. Intai sana sini, akhirnya saya bertekad menyemai 3 jenis kurma pilihan. Alang-alang menyemai dan menanam biarlah yang terbaik :

1 : Kurma Anbara (Iran)
2 : Kurma Medjool (Palestin)
3 : Kurma Ajwa (Madinah)


KURMA ANBARA @ ANBAR

Bermula dengan Kurma Anbara @ Anbar. Kurma Anbara dari Iran, salah satu jenis kurma yang di jual di bulan Ramadhan 2017 saat ini.

Kurma Anbara merupakan jenis kurma yang ke-2 termasyhur selepas kurma Ajwa. Namun, akhir-akhir ini Kurma Medjool semakin terkenal dan menjadi pesaing di tempat ke-2. Kedua-duanya saya pilih !!!

Kurma ini bersaiz besar. Berbentuk lonjong memanjang, berwarma coklat. Kulitnya agak tebal. Isinya manis, kenyal, dan enak. Rasanya lebih kurang macam kurma Doughlet Noor, tapi bersaiz besar. Isinya lebih liat dan bijinya kecil. Makan 3 biji buah kurma ini sudah cukup mengenyangkan.

Di Saudi Arabia, buah ini biasanya disajikan kepada tetamu istimewa.

Harganya boleh dikatakan mahal bagi warga kebanyakan seperti saya !

JOM KITA CUBA SEMAI BIJI-BIJINYA !!!


1   BIJI-BIJI KURMA DIBERSIHKAN

Biji-biji kurma Anbara siap di bersih, sebelum di rendam.



2   BIJI-BIJI KURMA DI RENDAM DI DALAM AIR DAN LARUTAN ZPT

Biji-biji kurma Ambara di rendam selama 7 hari berturut-turut.

Hari pertama: biji-biji di rendam di dalam air mineral bercampur ZPT, selama 24 jam.

* ZPT - saya guna Spectra dan CY (Spectra adalah zat peransang pertumbuhan akar, dan CY adalah zat penggalak pertumbuhan). Masing-masing 1/4 sudu kecil/sudu teh di bancuh bersama air mineral. Sebenarnya, salah satu pun boleh...

Hari ke 2 hingga hari ke 6 : biji-biji di rendam dalam air mineral tanpa campuran ZPT. Air rendaman di ganti setiap hari.

Hari ke 7 : biji-biji sekali lagi rendam selama 24 jam dalam air mineral yang di campur dengan ZPT, dosis yang sama seperti hari pertama rendaman.


Inilah hasilnya, tunas telah tumbuh setelah 9 hari.
(Usia 7-10 hari biji-biji mencambah)
3   BIJI-BIJI KURMA DI SEMAI BERALASKAN TISU

Selesai 7 hari proses rendaman, larutan ZPT ditiriskan, dan biji-biji kurma dibiarkan kering selama 1-2 jam.

Selanjutnya, biji-biji di semai di dalam bekas plastik berpenutup, beralaskan kertas tisu. Tiap-tiap biji di susun rapi. Kertas tisu dibasahi dengan air mineral.

Kemudian bekas plastik tersebut di tutup rapat dan di simpan di tempat yang terhindar dari sinar matahari. Tujuan bekas plastik di tutup rapat ialah untuk mengelak dari kewapan, tisu nantinya akan cepat kering. Bila di tutup rapat, wap tidak dapat keluar dan kembali membasahi kertas tisu.

Dari waktu ke waktu tisu dibasahi/disembur dengan air mineral. Sekadar membasah, tidak terlalu berlebihan air sehingga menakung lencun.

Menurut garis panduan dari Pak Joko Samudro, biasanya biji-biji kurma memerlukan 4 – 7 hari untuk mula tumbuh tunas cambahannya. Setelah 14 hari lebih (2 minggu lebih) biasanya akar kurma dapat mencapai panjang 2 – 3 cm.

Setelah akar tumbuh dengan kepanjangan akar lebih kurang 5-10 cm, baru dipindah ke media tanaman.


biji-biji tunas dipindahkan ke dalam pot
4    MENANAM TUNAS KURMA

Di hari ke 10 : jadi tak sabar untuk memindahkan biji-biji cambahan tersebut ke dalam pot-pot semaian !!!

Biji-biji yang bertunas lalu di pindah ke media tanaman dalam pot.

Buat permulaan, benih dalam pot diletakkan di tempat ternaung dari sinar terik matahari.

* Hari ke 10 : benih dipindahkan ke dalam pot kecil. * Media : sekeliling tunas dimediakan dengan peatmoss. Kemudian, sebahagian sekelilingnya dipenuhkan dengan tanah organik.

[Nota:

Media Tanaman : Media tanaman yang bagus merupakan faktor penting untuk memupuk tanaman agar cepat tumbuh membesar.

Sebaiknya guna media yang gambut, ertinya media ketika di siram air langsung terserap lembab keseluruhannya. 

Boleh juga menggunakan bahan-bahan lain sebagai media, asalkan memiliki porositi/gambut. Sebagai panduan, campuran media tanaman adalah 2:1:1 ( pasir 2 , Kompos 1 dan arang sekam 1 )].


5   ANAK POKOK-POKOK KURMA YANG TUMBUH

Usia menjangkau 1 bulan dalam pot
Ketika usia 1 bulan - anak-anak pokok dipindahkan ke dalam polybag
Wow ! Wow ! Wow ! Inilah perkembangan tunas-tunas setelah 1 bulan di tanam di dalam pot. Anak-anak pokok kurma mulai melonjak tumbuh !

Setelah melalui 1 bulan, anak-anak pokok kurma Anbara dipindahkan ke dalam polybag.

Dan anak-anak pokok kurma ini diletakkan di tempat yang terdedah sepenuhnya kepada sinaran matahari dan hujan.

Setelah 1 minggu anak-anak pohon tersebut nampak sihat, saya mula membajainya dengan
baja "Easygrow" setiap minggu. (*Baja Easygrow diperkenalkan kepada saya kerana ia bukan resepi kimia dan tidak menjejaskan pertumbuhan pokok, selamat digunakan).

anak-anak pokok kurma di siram pagi dan petang. Hujan tak payah !!! 

Kita lihat perkembangan seterusnya ...


Usia 2 bulan dalam polybag
Usia 3 bulan dalam polybag

HASIL DARI PERCUBAAN INI :

- Dari 76 biji benih kurma Ambara yang saya semai, 67 biji berjaya mencambah, 9 gagal cambah meskipun setelah melalui 1 bulan lebih;

- Dari 67 biji yang mencambah, beberapa biji tunas di dalam media rosak, tak pasti samada diserang kulat/jamur/bakteria atau media tidak sesuai atau terlalu awal di tanam ke dalam media atau kemungkinan besar salah menanam kedudukan tunas;

- Akhirnya, dari 67 biji tersebut, 42 biji yang berjaya tumbuh terus ....


SALAM PERTANIAN !!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...